Pages

Saturday, May 29, 2010

Ketika Si Mu'min Redha

Kesabaran dan kecekalan untuk terus berada di atas kebenaran bukanlah suatu perkara yang mudah. Lagi-lagi dalam keadaan hidup kita yang hidup di zaman yang RasuluLlah sebutkan sebagai; zaman "pelahap-pelahap mengerumuni makanan". Ramai dari kalangan kita lemah imannya, bahkan ada juga yang kosong seperti buih di lautan.

Buih-buih yang terapung akan melambung apabila ombak melintas, dan akan kembali tenang apabila tiada apa yang memukulnya. Tetapi dalamnya tetap kosong dan tidak berisi, yang ada hanyalah udara yang memenuhi ruang kosong tersebut. Entiti ada, tetapi nilai tiada. Bila-bila masa sahaja boleh diletupkan. Keadaan ini hampir serupa keadaannya yang digambarkan oleh peribahasa Melayu; Bagai telur di hujung tanduk - sudah berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Dalam keadaan yang seperti ini, kesabaran yang tinggi merupakan taufiq daripada Allah kepada hamba-hambanya yang mulia agar mereka terselamat dari bermacam jenis gejala dan keruntuhan moral.

Orang-orang mu'min yang mempunyai jiwa-jiwa yang halus, sentiasa sahaja peka dan sensitif terhadap suasana mereka. Oleh kerana itu, mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk ber'uzlah syu'uriyah (pemisahan total secara perasaan/ma'nawi) agar mereka tidak larut di dalam kebejatan yang ada.

Walau bagaimanapun, orang-orang mu'min tetap manusia, dan manusia tetap melakukan kesalahan. Sedangkan para sahabat yang mulia, yang mendapat tarbiyah langsung dari RasuluLlah juga melakukan banyak kesalahan, apatah lagi mereka (baca: kita) yang hidup jauh dari zaman baginda SAW. Sudah pasti generasi ini lebih terbuka dan terdedah kepada kesalahan yang lebih banyak.

Namun melakukan kesilapan dan kesalahan, bukanlah sesuatu yang terlalu berat. Dosa tetap dosa, tetapi ada "dosa" yang lebih besar dari "dosa". Apekah?

Ia umpama seorang yang meninggalkan solat, dosanya adalah kerana dia meninggalkan solat sahaja. Tetapi suatu dosa yang lebih besar dari dosa tersebut ialah, dengan menafikan bahawa solat itu wajib. Dia berdosa disebabkan meninggalkan solat, dan bertambah dosa apabila menafikan syari'at Allah. Kufur hukumnya.

Namun, bagi orang-orang mu'min, mereka tidaklah seteruk itu. Mereka tetap melakukan segala kewajipan dan tanggungjawab seorang mu'min. Tetapi apabila mereka lemah, mereka harus berwaspada. Berwaspada agar tidak jatuh ke dalam lubang kehinaan.

Bilakah tibanya saat kehancuran dan kejatuhan bagi seorang mu'min?

"Ketika si mu'min mula redha dengan kema'siatan yang berlaku di sekelilingnya"

Saat itu hilanglah segala kepuasannya terhadap iman, lalu mulalah ia mengambil jalan-jalan yang lain.

Sabda Rasulullah SAW:
"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api."
(HR. Bukhari & Muslim)

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]