Pages

Monday, August 31, 2009

Piawai Ramadhan

--
"Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu"
(al-Baqarah, 2:183)

"Baragnsiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, akan diampunakan dosa-dosanya yang telah lalu" (Bukhari dan lain-lain)

Kedua-dua ayat yang penuh bermakna. Satu dari Allah secara langsung dan terus, dan yang lagi satu pula dari RasuluLlah SAW, dalam keadaan kita meyakini bahawa setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya adalah diwahyukan. Begitu juga seluruh tindakannya.

Allah telah menurunkan ayat yang ringkas tetapi mempunyai makna yang sangat cantik. Ringkas kerana ianya sangat pendek, tetapi pada masa yang sama makna yang ingin disampaikan begitu besar sekali impaknya pada kehidupan seorang muslim. Mana tidaknya? Kerana Allah telah menjelaskan tentang satu jalan untuk mencapai ketaqwaan.

Jika sebelum ini, di dalam sebuah ayat yang selalu kita renung-renung secara bersama;
"...Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa darimu..." (49:13) membawa kepada kita meyakini bahawa ketaqwaan adalah nilai kita di sisi Allah, maka di dalam ayat surah al-Baqarah di atas pula ia menunjukkan kepada kita jalan untuk menuju kepada ketaqwaan tersebut.

Dalam erti kata lain, tujuan berpuasa ialah untuk memperoleh ketaqwaan.

Dalam proses untuk memperoleh ketaqwaan tersebut, ada amal-amal fizikal dan amal-amal hati yang harus dibuat. Jika amal fizikal, saya yakin sudah ramai yang mengetahui apa yang perlu dibuat, i.e. puasa, tilawah, tadarus, qiyamullayl dan lain-lain.

Tetapi amal fizikal ini adalah tidak berguna sekiranya hati tidak turut serta di dalam amal. Sehinggakan apa yang RasuluLlah SAW pernah sebut menjadi benar: "Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga?" (an-Nasa'i & Ibnu Majah).

Puasa mempunyai piawainya sepertimana juga semua ibadah yang lain. Secara khususnya, Ramadhan itu juga mempunyai piawainya. Hadith yang saya bawakan di atas telah menyebut tentang piawai yang ingin kita capai dari amal-amal pada bulan Ramadhan; Penuh keimanan (imanan) dan penuh keinsafan (ihtisaban).

Sekiranya kita membuat 20 rakaat tarawih atau ditambah sebanyak mana bilangan rakaat tarawih pun, apabila ianya tidak dibuat dengan penuh keinsafan dan keimanan, maka ia seolah-olah boleh dikatakan sebagai sia-sia. Jika kita membaca al-Qur'an sebanyak manapun, tetapi tidak mencapai piawai yang telah ditetapkan, maka ia tetap akan menjadi sia-sia. Umpama sami-sami yang membaca mantera tetapi tidak memahami maksud yang diucapkan.

Kedua-dua piawai ini pada akhirnya membawa seseorang kepada tujuan puasa; ketaqwaan. Ketaqwaan pula membawa kita kepada kemuliaan di sisi Allah.

Siapakah yang tidak ingin kemuliaan dariNya?

Friday, August 28, 2009

Hudud dalam Siyasah Da'wah

Saya tertarik dengan sebuah huraian yang sangat cantik oleh YB Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) tentang isu hukum Islam; Hudud. Isunya bukan nak atau taknak melaksanakan hukum tersebut, isunya ialah pendekatan yang diambil untuk menegakkan hakimiyyah Allah.

Di sana ada fiqh awlawiyatnya, di sana ada fiqh muwazzanatnya. Mungkin sedikit sebanyak, wawancara TVPas bersama dengan YB ini, dapat memberikan satu gambaran yang jelas lagi padat berkaitan dengan isu ini.

Saya ingin quote sebuah kata-kata YB Dr Dzulkefly Ahmad:
"Di mana akhirnya surah ini? Pergi kepada hukum kah..? Tidak... Dia (surah al-Mutaffifin yang mencela golongan kapitalis, mengutuk hebat orang-orang ekonomi yang menindas) balik kepada mengungkapkan masalah dengan Aqidah"

Video 1


Video 2


Video 3


Video 4


Nota: Saya mengambil video-video dari TVPas bukan bermakna saya orang PAS. Kita cuba memanfaatkan mana-mana yang dirasakan penting.

Saturday, August 22, 2009

Pesta Agung

Di kala umat akhir zaman, dalam keadaan jahiliyah berleluasa, kehancuran menjadi nyata akibat perbuatan manusia sendiri. Ramai dari mereka yang telah menzahirkan kehancuran dan kerosakan mereka. Dengan rasa 'izzah tanpa ada sebarang rasa bersalah di dalam hati. Fitrah hati mereka telah diubah kepada ketidak-fitrahan lantaran kekotoran jiwa dan kekerasan hati mereka. Mereka tidak lagi peka dengan fitrah yang telah difitrahkan ke atas mereka.

Lalu berlakulah wabak sosial. Dalam wabak sosial tersebut, mereka sangka mereka sedang bergembira, tetapi satu azab yang sangat pedih sedang mengintai-intai tidak jauh dari situ. Menunggu-nunggu sahaja masa kedatangannya, dengan arahan dari Allah SWT. DikataNya sahaja "JADI!" maka hancur binasalah satu kaum, tidak tersisa lagilah walau seorangpun. Namun Dia menangguhkannya.

Keadaan yang begitu teruk itu terlalu berleluasa, sehingga ramai menyangka bahawa "inilah arus utama!". Barangsiapa yang tidak mengikut arus utama ini, pasti akan ditinggalkan oleh dunia. Pasti mereka akan dianggap "kolot" oleh golongan-golongan "terkini". Mana-mana manusia yang berpegang kepada Islam juga diannggap kolot, lalu mereka menjadi golongan minoriti; pada sangkaan orang ramai.

Tetapi sebenarnya, sangkaan mereka telah tersilap! Jauh sekali dari kebenaran yang nyata. Keadaan yang sebaliknya berlaku sepanjang masa:

"Apakah selain dari deen Allah yang mereka cari, sedangkan bagiNya telah menyerah (aslama) segala apa yang ada di langit dan di bumi? Sama ada dalam keadaan taat atau terpaksa, dan hanya kepadaNyalah mereka kembali"
(Aali 'Imran, 3:83)

Segala-galanya telah tunduk dan patuh. Segala-galanya telah islam. Yang tinggal hanya manusia dan jin, dengan persoalan "Adakah mereka juga ingin menyertai jamaah yang terbesar ini?" Lalu merekalah yang membuat keputusan sendiri.

Segala sesuatu yang selain dari jin dan manusia bersujud menghadapkan wajah mereka kepada Allah:

"Dan bagi Allahlah bersujudnya apa yang ada di langit dan bumi, dalam keadaan taat atau terpaksa, juga bayang-bayang mereka, pada waktu pagi dan petang"
(ar-Ra'd, 13:15)

"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah dan tiada satu kejadianpun melainkan seluruhnya bertasbih kepada Allah"
(al-Isra', 17:44)

Bertasbihnya mereka umpama berada mereka di dalam satu pesta yang agung. Satu pesta yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pesta yang lain. Walau sebesar mana keHEBOHan pesta tersebut yang dianjurkan oleh manusia, pesta ini jauh lebih besar. Walaupun manusia berbondong-bondong datang ke pesta-pesta HEBOH, dengan angka yang berpuluh-puluh ribu atau lebih, dengan anak dan bini, pesta HEBOH manusia tidak dapat mendekati langsung (dari segi bilangan) pesta yang Agung ini.

Ia adalah PESTA IBADAH yang disertai oleh seluruh makhluk, sama ada yang berada di langit atau di bumi, atau yang ada di antara keduanya. Kesemuanya telah menyertai Pesta Ibadah ini. Para malaikat dengan jumlahnya yang berjuta-juta mentasbihkanNya sepanjang masa. Ada yang rukuk, ada yang sujud, dan ada pula yang bertawaf mengelilingi 'arasy Allah 'Azza wa Jalla. Burung-burung berkicauan pada pagi hari dan petang hari tanda bertasbihnya mereka kepada Allah. Pokok-pokok berdiri tegak, megah di dalam hutan rimba. Bayang-bayangnya menyejukkan bumi. Harimau dan singa mengaum pada siang hari, kesemuanya mentasbihkan Allah, dalam bahasa yang tidak difahami oleh manusia. Kelompok manusia yang dianggap kecil tadi telah, dengan tiba-tiba, menjadi kelompok terbesar.

Lalu Allah wujudkan Ramadhan, untuk menjadi pemangkin kepada manusia untuk menyertai Pesta Agung ini. Di dalamnya ada bermacam-macam nikmat dan rahmat. Yang diketahui dan tersembunyi, dari perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (qurrata a'yun) bagi orang-orang yang bertaqwa.

Marilah kita menyertai Pesta yang terbesar ini.
Marilah kita bersama-sama di dalam PESTA IBADAH...

Semarakkan RamadhanMU..!

p/s: Ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf dari semua orang. Andaikata ada hutang-piutang dari segi zahir dan batinnya, maka harap dapat tuntut atau maafkan... Mudah-mudahan Ramadhan ini, dapat mengembalikan kita kepada fitrah.

-"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu" (HR. Bukhari dll)-

Tuesday, August 18, 2009

Mengetahui Sunnah Kebangkitan

Orang yang benar-benar mengkaji sirah an-nabawiyah pasti akan mendapati bahawa di sana ada pengajaran yang betul-betul bermakna untuk kita contohi.

Sememangnya menjadi hasrat dan cita-cita setiap orang yang bergelar muslim yang beriman, pasti akan meletakkan meletakkan perlaksanaan syari'at Allah sebagai cita-citanya yang mulia. Bahkan bukan sekadar itu sahaja, orang yang benar-benar memahami Islam pasti akan meletakkan wawasan perjuangannya adalah untuk menjadikan Islam sebagai world order.

Tetapi di dalam proses untuk mencapai ke tahap tersebut, pasti ada langkah-langkahnya yang harus dilalui. Ada sunnah yang harus dipatuhi, dan tanpa memahami sunnah tersebut, kita pasti tidak akan mampu mengeluarkan ummah ini dari kebinasaan yang melandanya sekarang.

Apakah sunnah tersebut? Ia adalah sunnah yang dilalui oleh RasuluLlah SAW di dalam sirahnya. Untuk menegakkan kembali Islam, kita harus mengambil intipati dan fiqh dari sirah RasuluLlah untuk kita kembalikan Islam di tempatnya: World Order.

Ramai ulama' yang terkenal telah menyebut tentang peri pentingnya tarbiyah sebelum segala sesuatu. Syeikh Yusuf Qaradhawi telah menjelaskan dengan baik di dalam kitab Fiqh Awlawiyatnya. Syeikh Ahmad ar-Rasyid juga telah menyampaikan satu mesej yang sama di dalam buku al-Muntalaq.

Syeikh Syakib Arsalan telah berkata kepada salah seorang pemuda Palestin:
"Banyak buku-buku sampai kepadaku, samada dari Maghribi, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu, Palestin. Penulis-penulisnya mencadangkan supaya diadakan muktamar Islam, atau melantik seorang khalifah, atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun, seperti biasa aku akan menjawab: 'Kita wajib memulakan usaha Islam ini dari bawah iaitu melalui pendidikan individu' "
Al-Banna, Sayyid Qutb, dan ramai lagi syeikh-syeikh Ikhwanul Muslimin telah menyampaikan fikrah mereka tentang hal ini. Mereka telah menyatakan bahawa kita perlu membawa perubahan dengan mengubah dari akar masalah; individu muslim.

Begitu juga seperti yang telah diterangkan oleh Abul A'la al-Maududi di dalam risalah "Proses Revolusi Islam" atau "Proses Pembinaan Negara Islam".

Mereka yang telah memberikan persaksian mereka di atas jalan da'wah ini, dengan mengikuti sunnah RasuluLlah SAW, dalam konteks yang sebenar, dan mereka semuanya telah memberikan pandangan-pandangan yang sama atau menjurus kepada itu.

Bagaimana pula kita?

Sunday, August 16, 2009

Dugaan Dunia Yang Kecil

Dugaan-dugaan dunia yang kecil, tidak mampu menjatuhkan seorang da'ie agung. Permulaan kisahnya bermula sedang dunia di sekelilingnya penuh dengan kegelapan jahiliyah. Lalu datang pula kepadanya cahaya harapan, sinaran keimanan dan wahyu kebenaran yang menggoncangkan hatinya lalu mententeramkan jiwanya. Rabbul A'la telah menurunkan wahyunya yang pertama, yang melantiknya menjadi seorang saksi buat seluruh manusia terhadap kebenaran deen ini.

Sungguh! Dugaan-dugaan dunia yang kecil tidak bermakna apa-apa kepada sang da'ie agung. Ketika kaumnya menentangnya dengan sekeras-keras tentangan, dan ketika tahun kehilangan dua orang yang tersayang (Khadijah dan Abu Talib), da'ie ini menamakan tahun tersebut sebagai tahun kesedihan. Tetapi nama kesedihan tidak terbit dari rasa sayang kehilangan dua orang tersayang, ianya terbit dari sebab tidak berkembangnya da'wah dalam tempoh tersebut.

Mulianya jiwa ini, sedih bukan kerana sebab dunia. Tetapi sedih kerana tiada manusia yang menerima kalimah yang mulia ini, serta risalah yang dibawa.

Lalu sang da'ie agung diperintahkan untuk keluar disekitar Makkah. Berjumpalah dia dengan penduduk Ta'if, membawa risalah yang suci, buat kaum yang baru. Namun mereka menolak seruan yang mulia ini, dengan lemparan batu-batu yang banyak, sehingga luka-luka tubuh peribadi agung ini. Malaikat bukit menawarkan diterbalikkan gunung ke atas mereka yang menzalimi baginda, tetapi dugaan dunia tidak menyempitkan perasaan dan cita-cita mulia baginda, lalu dijawab: "Bahkan aku mengharap agar lahir dari mereka, generasi yang mentauhidkan Allah".

Kemudiannya dibacanya sebuah doa yang masyhur, yang mengadu kepada Rabbul 'Alamin, tentang perasaannya terhadap da'wah yang dibawa:
"Ya Allah, wahai Tuhanku! Kepada engkau aku mengadu hal keletihan tenagaku, kekurangan helahku, kehinaanku di hadapan manusia... Wahai Yang Maha Penyayang Lagi Maha Belas Kasihan! Engkaulah Tuhan golongan yang lemah dan dhaif, engkaulah Tuhanku, kepada siapa lagi yang hendakku menyerah? Apakah kepada orang yang jauh membenciku? Atau kepada seteru yang telah Engkau berikan kuasa mengatasi aku? Kiranya tiada kemurkaanMu ke atasku, tidaklah aku peduli. Namun afiat dariMu lebih luas bagiku, aku berlindung dengan cahayaMu. Engkaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik. Aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurmkaanMu, atau terturunnya kemarahanMu, bagiMu jua tempat kembalinya (segala sesuatu) hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya dan upaya kecuali denganMu, wahai Tuhan..!"
Seorang da'ie tidak lemah dihambat dunia, tetapi risaunya adalah pada da'wahnya. Baginya, dunia adalah kecil dan remeh... Tetapi akhirat jualah yang besar disisinya. Dengan itu, dalam tiap kejatuhan masih ada harapan lagi, melainkan kejatuhan pada hari kebangkitan.

Seorang da'ie bebas hatinya dari dunia dan kesedihannya.

Kerana akhirat adalah wawasan dan cita-citanya.

Jangan engkau sedih wahai para du'at!

Rukun Usrah

Sebelum ini saya telah menceritakan sedikit-sebanyak tentang usrah, sirahnya dan juga sejarahnya (lihat: Sejarah Usrah). Di dalam bahagian sirahnya, saya ada membicarakan tentang apa yang RasuluLlah SAW lakukan pada peringkat-peringkat awal permulaan da'wah Islam di Makkah. Iaitu tentang kejadian yang berlaku di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Kemudian saya juga telah membawa, di dalam bahagian sejarahnya, cerita secara ringkas bagaimana Hasan al-Banna (mujaddid kurun lepas) berijtihad tentang keperluan untuk mewujudkan sebuah sistem yang mampu membina rijal-rijal da'wah.

Ramai yang mungkin memahami dan meletakkan perspektif bahawa usrah itu adalah sebuah liqa' (perjumpaan) mingguan yang di dalamnya ada pengisian-pengisian. Dengan perspektif itu, selalunya berlaku kepincangan di dalam diri mereka, "Bukankah lebih baik kita pergi dengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz?". Di dalam kefahaman mereka, usrah tersebut umpama majlis-majlis ilmu tetapi dalam jumlah yang lebih sedikit jumlah pesertanya. Bahkan tidak lebih dari itu.

Apabila usrah dilihat seperti itu, maka ia tidak ubah seperti sebuah ceramah berskala kecil. Sesebuah usrah yang berfungsi seperti itu sahaja tidak mungkin mampu membina keperibadian muslim sehingga mereka menjadi rijal-rijal da'wah. Ia akan menjadi sebuah program yang gagal di dalam pendekatannya, tidak jelas di dalam matlamatnya, bahkan hanya merosakkan pandangan umum terhadap kalimah usrah.

Sesungguhnya, usrah adalah sebuah nizam (SISTEM). Manakala liqa' (perjumpaan) mingguan hanyalah salah satu daripada programnya. Andaikata sistem ini lemah, nescaya akan lemahlah sesebuah gerakan Islam yang menjadikan tarbiyah sebagai asasnya. Dan sesungguhnya, kita adalah satu saff yang meyakini bahawa method revolusi Islam wajib menjadikan tarbiyah sebagai asas. Al-Banna berkata: "Berusahalah supaya anda menjadi sebahagian daripada batu-bata yang baik dalam binaan Islam ini".

Untuk memperkuatkan sistem ini, Hasan al-Banna telah menggariskan tiga rukun. Lalu beliau berpesan kepada golongan yang meyakini fikrah ini dengan pesanan:
"Jagalah rukun-rukun ini. Cubalah sedaya-upaya merealisasikannya supaya hubungan ini wujud bukan sekadar kerana satu arahan, sebaliknya ada ruh di sebalik pelaksanaannya".

Rukun-rukun usrah:

(1) Ta'aruf

"Ini adalah rukun pertama. Kenal-mengenalilah antara satu sama lain dan wujudkanlah suasana kasih-sayang sesama kamu dengan roh Allah. Hayatilah nilai persaudaraan yang sebenar dan ideal sesama kamu. Berusahalah sedaya-upaya supaya kamu tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan hubungan kamu. Sentiasalah laksanakan ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith yang mulia. Sentiasalah merenungi ayat-ayat dan hadith-hadith berikut. Ingatlah firman Allah SWT:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara
(al-Hujurat, 49:10)
Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam)
(Aali 'Imran, 3: 103)

RasuluLlah SAW juga pernah bersabda:
Seorang mu'min dengan seorang mu'min yang lain ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.
(HR. Bukhari dan Muslim)
Seorang muslim adalah saudara seorang muslim yang lain, tidaklah dia menzaliminya dan tidaklah juga dia membiarkannya.
(HR. Mutafaqqun 'alayh)
Kasih-sayang, belas kasihan dan simpati sesama orang-orang yang beriman ibarat satu tubuh.
(2) Tafahhum

Inilah rukun kedua dalam sistem ini. Istiqamahlah di astas jalan yang benar. Laksanakanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan Allah. Nilailah diri kamu sehalus-halusnya; adakah kamu orang-orang yang taat atau orang yang derhaka.

Setelah itu hendaklah kamu nasihatkan saudara kamu jika kamu melihat ada kelemahan padanya. Hendaklah saudara menerima nasihat daripada saudara kamu dengan gembira dan senang hati. Berterima-kasihlah kepadanya kerana nasihatnya itu. Janganlah saudara yang memberi nasihat itu berubah hati walaupun sebesar kuman sekalipun terhadap saudara yang dinasihati. Janganlah sehingga dia merasakan saudaranya itu lebih rendah daripadanya atau dia merasakan dia lebih baik daripada saudaranya itu.

Kedudukan kasih-sayang yang dijalin kerana Allah adalah kedudukan yang tertinggi, selain itu nasihat itu sendiri adalah rukun agama ini: 'Agama adalah nasihat'. Semoga Allah memperkukuhkan hubungan sesama kamu dan Allah berikan kamu kekuatan untuk mentaatiNya. Semoga Allah menjauhkan kita semua daripada angkara tipu daya syaitan.

(3) Takaful

Ini adalah rukun ketiga. Hendaklah kamu saling bantu-membantu, pikullah tanggungjawab bersama-sama. Inilah tanda keimanan dan teras persaudaraan. Hendaklah kamu berjanji untuk saling bertanya khabar dan membuat kebajikan. Hendaklah kamu sentiasa bersedia membantu saudara kamu setiap kali diperlukan. Hayatilah sabda RasuluLlah SAW:
Jika salah seorang di antara kamu berjalan kerana mahi menunaikan keperluan saudaranya itu, (ia) adalah lebih baik daripada dia beriktikaf selama sebulan di masjid saya ini.
Sesiapa yang membawa kegembiraan kepada sebuah keluarga muslim, Allah akan memperlihatkan kepadanya ganjaran yang tidak kurang daripada syurga.

Allah menyatukan hati kamu dengan ruhNya, Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong."

(dan selebihnya ianya disebutkan di dalam Risalah Sistem Usrah, Hasan al-Banna)

Dalam proses untuk kita mencantikkan lagi sistem ini, setiap al-akh hendaklah sentiasa menyemak kewajipannya dalam aspek kerjasama. Penilaian perlu dibuat sejauhmana dia melaksanakan rukun-rukun ini. Kita ingin memperkuatkan saff kita, maka kita harus bermula dengan memperkuatkan usrah kita. Janganlah sekadar ianya menjadi satu rutin perjumpaan mingguan, umpama air yang tidak mengalir, lalu menjadi busuk dan membiakkan penyakit.

Ummah ini memerlukan kepada satu gerombolan pemuda, yang tinggi cita-citanya, yang kuat keazaman mereka, dan bersungguh-sungguh di dalam usaha mereka. Tetapi mereka perlu disusun dalam saff yang tersusun, dan diikat dengan ikatan yang kuat sesama mereka dan para syuyukh (orang-orang tua).

Kewujudan mereka membawa perubahan kepada dunia,
Sinar keimanan dari hati mereka menghancurkan kegelapan kejahilan,
Sehingga tidak terjadi lagi fitnah di muka bumi,
Dan ad-deen keseluruhannya adalah untuk Allah.

Wednesday, August 12, 2009

Fiqh Haraki Perang Uhud: Syura

Di dalam kisah Uhud yang telah saya bawakan sebelum ini, saya telah menceritakan tentang kisah-kisah yang berlaku sebelum terjadinya perang Uhud. Di dalam kisah tersebut, termasuk sebuah kisah bagaimana sesebuah keputusan itu dibuat, terutamanya di dalam konteks amal jama'i (amal berpasukan).

Sebelum peperangan Uhud, bahkan sebelum RasuluLlah SAW berhijrah ke Makkah lagi, ayat ini telah diturunkan:

Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.
(Syura, 42:38)

Al-Ustadz Sayyid Qutb di dalam menghuraikan ayat ini telah berkata:
"Ayat ini menunjukkan bahawa bersyura itu adalah satu sifat yang penting bagi seorang mu'min. Mereka dianggap telah menerima seruan Allah dengan melaksanakan solat dan zakat yang merupakan perintah-perintah dalam Islam. Tujuan ayat ini akan tercapai apabila musyawarah telah dilakukan, gambaran yang diberikan di sini seolah-olah kesempurnaan iman tidak dapat dicapai tanpa syura" (Fi Dzilalil Qur'an).

Tidak hairanlah mengapa ayat dari surah as-Syura itu telah diturunkan ketika fasa Makkah lagi; "...seolah-olah kesempurnaan iman tidak dapat dicapai tanpa syura". Dan kita mengetahui bahawa pada fasa Makkiyah, tarbiyah ditekankan pada aspek aqidah dan keimanan.

Pada saat-saat hampir bermulanya peperangan pula RasuluLlah SAW telah membuat musyawarah bersama para sahabatnya. Nabi yang mulia telah memberikan pandangannya dan menyatakan keberatannya untuk mempertahankan Madinah dari dalam. Lagi-lagi baginda sendiri telah bermimpi tentang berita buruk yang bakal berlaku. Namun akhirnya, keputusan telah dibuat agar tentera Muslimin menghadapi tentera Musyrikin di luar Madinah.

Ar-Rasul telah mendapat gambaran awal tentang kesudahan perang Uhud, dan atas sebab itu baginda telah memberikan cadangannya ketika bermesyuarat bersama sahabat-sahabat. Walaupun baginda seorang Rasul yang mulia, yang mana pandangan serta pendapatnya adalah ma'sum dari dosa, namun baginda tetap memilih keputusan yang telah disyurakan secara bersama. Boleh sahaja autoriti yang ada pada baginda, digunakan untuk membatalkan keputusan-keputusan hasil dari pandangan manusia biasa (sahabat). Tetapi baginda tidak melakukannya.

Setelah berlangsungnya peperangan Uhud, Allah telah menurunkan ayat ini:

"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya"
(Aali 'Imran, 3:159)

"Kejadian-kejadian yang berlaku di Uhud kemudiannya menunjukkan bahawa pendapat RasuluLlah SAW adalah lebih tepat dan benar. Walaupun demikian, selepas Uhud, Allah memerintah RasuluLah SAW memohon ampun bagi sahabat-sahabatnya, dan bermesyuwarah dengan mereka dalam urusan mereka." (Fi dzilalil Qur'an)

Ketika menghuraikan bahagian: "...Kerana itu maafkanlah mereka, mintalah keampunan buat mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan...", as-Syahid Sayyid Qutub mengatakan di dalam tafsir Fi Dzilalnya:
"RasuluLLah SAW memang berhak membatlkan keputusan syura itu, tetapi baginda teruskan juga keputusan itu walaupun beliau mengetahui wujudnya penderitaan-penderitaan, kerugian-kerugian dan pengorbanan-pengorbanan di sebaliknya, kerana menegakkan dasar syura dan mengajar jama'ah Muslimin dan mendidik umat Muslimin adalah lebih penting dari kerugian-kerugian yang bersifat sementara."

Beliau telah menyambung huraian ayat tersebut:
"Dengan ungkapan yang tegas 'Bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan' ini, Islam menetapkan dasar ini di dalam sistem pemerintahan walaupun Nabi Muhammad SAW sendiri yang mengendalikan teraju pemerintahan itu. Ini adalah satu nas yang tegas yang tidak memberi sebarang keraguan kepada umat Muslimin bahawa syura itu merupakan dasar asasi (pemerintahan Islam). Ia tidak boleh ditegakkan di atas dasar yang lain darinya."

"...Dan apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah kasihkan orang-orang yang bertawakkal."
(Aali 'Imran, 3:159)

"Tugas syura ialah memeriksa pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan, dan memilih salah satu dari pandangan-pandangan yang dikemukan itu. Apabila sampai ke tahap ini, maka berakhirlah peranan syura dan tiba pula peranan pelaksanaan, iaitu melaksanakan keputusan syura dengan tegas dan penuh azam serta bertawakkal kepada Allah. Di sini ia menghubungkan urusan itu dengan takdir Allah dan menyerahkan kepada kehendak Allah mengatur akibat-akibatnya mengikut bagaimana yang dikehendaki olehNya." (Fi Dzilalil Qur'an)

Memperoleh keputusan tidaklah sepenting proses mendapatkan keputusan. Lagi-lagi di dalam konteks amal jama'i. Di dalamnya ada keberkatan, ada rahmah, ada perasaaan tanggunjawab meluas, dan ada petunjuk dari Allah. Hal ini telah ditunjukkan oleh RasuluLlah dengan satu contoh yang sangat baik ketika peperangan Uhud. Bahkan itu hanya satu contoh sahaja di dalam banyak contoh yang boleh diambil dari sirah RasuluLlah SAW, seorang sahabat telah berkata: "Aku tidak pernah melihat orang yang paling sering bermesyuwarah dengan sahabatnya selain RasuluLlah (SAW)" (HR. Ahmad).

Sayyidina 'Umar telah mengeluarkan satu kata-kata yang cukup cantik:
"Tidak ada kebaikan bagi setiap keputusan yang tidak melalui mekanisma syura"
Bagaimana mungkin ketika kita mahu beramal jama'i dalam melaksanakan da'wah, tetapi kita tidak mengikuti sunnah baginda di dalam proses mendapatkan keputusan? Janganlah kita menjadi orang-orang yang tertipu dengan jawatan dan autoriti sehingga mengabaikan sunnah yang agung ini. Tidak lain, ia hanya membawa kepada ketidak-berkatan dalam amal, merosakkan jama'ah, dan menjadi punca pecah-belah serta perbalahan.

Sudahkah kita mengamalkannya?

Tuesday, August 11, 2009

Ghazwah Uhud: Dari Satu Sudut

Peperangan Uhud merupakan satu kisah yang sangat penting di dalam sirah RasuluLlah. Kerana di dalam sirah tersebut, terdapat banyak pengajaran yang perlu diambil oleh seorang penggerak da'wah mahupun seorang individu muslim yagn biasa. Marilah kita menyoroti kisah yang berlaku dan mengambil pengajaran darinya.

Sebelum Peperangan

Hasil daripada maklumat risikan al-Madinah, RasuluLlah SAW bersama penduduk Madinah mengetahui di mana tapak perkhemahan orang-orang kafir Quraisy Makkah. Kafir Quraisy telah keluar dari kampung halaman mereka untuk memerangi kaum muslimin sebagai tindak balas dari kekalahan mereka ketika di Badar.

Mengetahui kemaraan tentera musyrikin ini, RasuluLlah SAW telah memanggil anggota Majlis Syura Tertinggi Ketenteraan Islam bagi membincangkan pendirian mereka terhadap kemaraan tentera musyrikin. Lalu Baginda SAW telah menceritakan kepada mereka tentang mimpi yang dilihatnya: "Demi Allah! Sesungguhnya daku telah bermimpi sesuatu yang baik. Aku melihat seekor lembu jantan disembelih, mata pedangku menjadi sumbing, dan aku memasukkan kedua tanganku ke dalam baju besi." Apa yang dimaksudkan oleh RasuluLlah ialah; lembu jantan sebagai para sahabatnya yang terbunuh, pedang yang sumbing sebagai salah seorang ahli keluarganya terbunuh, dan baju besi sebagai "al-Madinah".

RasuluLlah juga telah mengutarakan pandangannya untuk tidak keluar dari Madinah, bahkan mempertahankannya dari dalam. Sekiranya kaum musyrikin berkhemah di tempat mereka berkhemah sekarang bermakna mereka telah mengambil yang buruk, dan jika menyerang Madinah maka kaum muslimin akan menanti mereka di lorong-lorong masuk Madinah.

Walaubagaimanapun, sekumpulan para sahabat yang tidak menyertai peperangan Badar telah meminta dengan penuh bersungguh-sungguh dan bersemangat kepada RasuluLlah SAW agar membawa peperangan di luar Madinah. Mereka telah mengeluarkan satu kata-kata yang dapat membayangkan ketekadan mereka untuk keluar berjihad:
"Wahai RasuluLlah, sememangnya kami mengharapkan hari yang seumpama ini dan kami sentiasa berdoa kepada Allah. Nah! Allah telahpun membawa hari itu untuk kami, di mana perjalanannya tidak jauh dari sini. Semua ini Allah memperdekatkannya. Ayuh! Keluarlah wahai RasuluLlah untuk bersemuka dengan musuh Allah dan janganlah biarkan mereka melihat kita sebagai orang-orang yang pengecut!"
Bapa saudara baginda iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib telah mengepalai kumpulan yang bersemangat ini. Lalu disebabkan bilangan mereka yang ramai dan semangat mereka yang tinggi, RasuluLlah SAW akhirnya menerima pandangan mereka: "Demi Tuhan yang telah menurunkan ke atasku al-Kitab, aku tidak akan makan sebarng makanan hinggalah aku membelas mereka dengan pedangku ini di luar Madinah."

Setelah mengeluarka kata-kata tersebut, baginda bersama-sama dengan kepala pasukan tentera muslimin telah menyusun strategi mereka.

Selepas Peperangan

Ternyata di dalam peperangan Uhud ini, kaum muslimin ditimpa musibah yang besar. Sejumlah 70 orang sahabat telah menemukan kesyahidan. Empat darinya terdiri dari golongan Muhajirin dan bakinya pula dari pihak Ansar yang mulia. Di antara orang-orang Muhajirin yang syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan Mus'ab bin 'Umayr. Musibah yang melanda tersebut adalah disebabkan beberapa faktor yang tidak akan diceritakan di sini.

Walaubagaimanapun, musibah yang melanda tersebut bukan bermakna kekalahan tentera Muslimin, namun ia merupakan titik pengajaran dan pembelajaran yang praktikal oleh Allah buat kaum Muslimin supaya kaum Muslimin tidak melakukan kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan ketika perang Uhud.

Bersambung...

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]