Pages

Wednesday, February 24, 2010

Berangkatlah kamu!

"Wahai orang-orang yang beriman..."

Hatiku menjadi fokus apabila mendengar frasa ini, satu ayat yang cukup lembut lagi jelas. Ditujukan buat mereka yang beriman, apakah aku tak termasuk orang yang beriman?

Tidak, aku mesti berusaha memasukkan dan menggabungkan diriku di dalam kelompok ini...

"...mengapa apabila dikatakan kepada kamu, 'Berangkatlah kamu (untuk berjuang di jalan Allah)!' kamu merasa keberatan?"

Mana taknya? Terdetik sahaja di hati atau terlintas sahaja di pemikiran, "aku ingin rehat sebentar dari kerja-kerja ini", maka bermulalah kefuturan...

Dari satu maksiat yang sangat-sangat kecil, ia membawa kepada perkara-perkara lain yang lebih besar. Lalu ia mengakar sehinggakan diri menjadi benar-benar berat.

"Apakah kamu redha dengan kehidupan dunia berbanding akhirat?"

Ya Allah! Apakah dunia yang hina ini menjadi tujuanku? Menjadi matlamatku? Dunia yang dengannya banyak sekali manusia dilalaikan dari mengingatimu? Apakah dunia ini dapat dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi? Dengan balasannya yang kekal abadi?

Tidak sama sekali!

Aku tidak boleh redha dengan kehidupan dunia berbanding akhirat...
Maharnya terlalu mahal untuk aku bayar, aku tidak sanggup!

Rupa-rupanya...
"Padahal tidaklah kehidupan hidup di dunia berbanding akhirat melainkan ghurur"

Dunia berbanding akhirat ibarat fatamorgana; tidak wujud melainkan sekejap sahaja. Tidak lain ia hanya satu tempat mengumpul bekalan, tanpa melupakannya walau sedikitpun. Dan juga tanpa mengizinkannya mengakar di dalam hati. Ia di tangan untuk menjadi bekalan kita di sana...

"Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia telah berjaya!" (3:185)

Ya Allah! Masukkanlah kami dalam kelompok yang berjaya...

Tuesday, February 16, 2010

Ciri Pemuda

Hasan al-Banna ketika memberi ucapan


Wahai sekalian pemuda...


Sesuatu fikrah itu akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat terhadap fikrah yang didokong tersebut, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha merealisasikannya. Keempat-empat asas ini, iaitu keimanan (keyakinan), keikhlasan, semangat dan amal adalah sifat-sifat istimewa para pemuda.

Sebabnya ialah, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, dan asas amal ialah keazaman yang membara. Setiap sifat ini tidak berada pada sesiapa kecuali pada para pemuda.

Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap fikrah ada pendokong panjinya.

"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami menambah buat mereka huda (petunjuk)"
(al-Kahfi, 18:13)

Sunday, February 7, 2010

Gambar-gambar MI Kelab Iqra'

Merakam keindahan suasana majlis ilmu, "...para malaikat melabuhkan sayapnya..." (hadith)

Laporan bergambar Majlis Ilmu: Hidup Indah Bersama Islam (Kesyumulan Islam) yang telah dianjurkan pada 5hb Februari yang lalu. Bersama-sama di dalam majlis ini ialah Ustaz Zahazan Mohamed selaku penceramah undangan yang dibawa khas dari Kuala Lumpur.

Suasana di luar MSI sebelum bermula majlis

Banner program Majlis Ilmu

Para MT KI dan JK program beserta Badan Perunding KI menyambut Ustaz Zahazan

Para hadirin yang hadir untuk menambah kefahaman

Hadirat juga apa kuranya, para srikandi Islam.

"Adik-adik sekalian..."

Satu sudut dari atas

Para pendengar yang khusyu' mendengar penyampaian ustaz Zahazan

al-Akh Presiden bersama Badan Perunding KI, En. Baharin Mesir

Suasana di luar masjid setelah habis

Gambar-gambar yang lebih lanjut boleh didapati di Picasaweb Iqra'.

Sumber: Blog Kelab Iqra' UTM.

Wednesday, February 3, 2010

Dasar Persamaan

Realiti Masa Kini

Namun demikian, secara realitinya kadangkala kita melihat orang-orang yang satu aqidah tidak dapat bersatu sesama mereka. Bahkan bukan sekadar tidak bersatu, malahan berbalahan sesama mereka! Pilu dan sedih kita melihat keadaan seperti ini. Sudah tentu terdapat suatu masalah yang besar, yang berpunca dari satu punca yang tertentu.

Ketidak-satuan hanyalah merupakan satu simptom. Umpama sebuah iceberg, simptom iceberg tersebut hanyalah sebuah pulau ais yang kecil yang kelihatan di atas air sedangkan di dalam air tersebut terdapat ketulan ais yang sangat-sangat besar. Besarnya berklai-kali ganda berbanding dengan apa yang kelihatan di atas air. Puncanya datang dari 'somewhere'.

Jika kita telah mengatakan bahawa aqidah yang betul mampu menyatukan manusia, maka sekiranya aqidah ini rosak atau mempunyai cemaran-cemaran, ia akan membawa kepada kerosakan kesatuan dan mula menunjukkan simtom-simtomnya. Sekurang-kurangnya sedikit. Yang sedikit tersebut akan membuak menjadi banyak, dan ianya akan berterusan sehinggakan berlakunya perpecahan.

Hikmah Yang Diajarkan; Langkah Pertama

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."
(al-Hujurat, 49:13)

Perbezaan memang merupakan satu benda yang pasti akan berlaku. Ia sememangnya tidak dapat dielakkan. Pasti ada sahaja benda yang membezakan kita dengan orang lain. Sehinggakan di dalam ayat di atas pun Allah menggambarkan betapa wujudnya perbezaan di antara manusia.

Walaubagaimanapun, Dia telah mengajarkan kepada kita satu hikmah yang begitu releven buat kita. Iaitu dengan mengajarkan kepada kita supaya kita kembali kepadanya. Bertaqwa di dalam setiap urusan hidup. Kita semua tidak mulia di sisiNya selagi tidak ada nilai ketaqwaan di dalam diri kita.

Begitu jugalah halnya ketika Allah ingin menyatakan tentang ummah yang terbaik, Dia telah memulakannya dengan ayat ketaqwaan;
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan sepenuhnya menyerah diri (kepada Allah)"
(Aali Imran, 3:102)

Hikmah Yang Diajarkan; Langkah Kedua

Perbezaan-perbezaan yang kecil itu adalah sangat-sangat kecil. Tetapi akan menjadi besar sekiranya mata hanya memandang kepada benda-benda kecil tersebut. Umpama seseorang dewasa yang tinggi berdiri di kalangan kanak-kanak. Dia akan kelihatan tinggi. Tetapi apabila dia berdiri disebelah pokok-pokok, apalah sangat ketinggian si lelaki 'tinggi' tersebut berbanding dengan ketinggian pokok?

Apabila kita melihat sebuah gelas yang berisi dengan air seperti di dalam gambar, apakah yang pertama terbayang di benak fikiran kita?

Sebuah gelas yang (1) separuh kosong atau sebuah gelas yang (2) separuh penuh?

Jika jawapan kita adalah yang pertama, maka berhati-hatilah. Namun jika jawapan kita adalah yang kedua, bagus.

Kita sepatutnya mengajar diri kita melihat kepada kebaikan yang ada pada seseorang. Kebaikan yang dapat menyatukan di antara satu sama lain. Apabila terdapatnya kecenderungan mencari titik persamaan, akan bermulalah permulaan kesatuan.

Jangan disebabkan kita hanya menumpu kepada segala perbezaan, ia menghalang kita dari bersatu sebagai satu umat.

Bersatulah dalam hal-hal yang thawabit (tetap).

Masih Lagi Berbeza

Jika masih lagi terdapat perbezaan yang tidak dapat dielakkan, maka jalan yang terbaik adalah supaya masing-masing saling menghormati pandangan satu sama lain. Kemudiannya masing-masing melapangkan dada masing-masing, dan mengucapkan salama.

Masing-masing tidak cuba untuk meruntuhkan yang lainnya. Tetapi masing-masing berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai tujuan masing-masing (yang masih terbatas di dalam batasan syara').

Kita mengharapkan agar suatu masa nanti kita akan bersatu juga. Jika tidak di dunia, insya Allah di akhirat nanti di dalam syurga Allah yang sangat luas.
"Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, yaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkann itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus."
(al-Baqarah, 2:213)

Bertemu Atas Dasar Persamaan

Dua orang manusia bertemu di atas dasar persamaan.

A terjumpa B di pasaraya kerena mereka mempunyai persamaan aktiviti pada pagi tersebut. Kedua-duanya ingin membeli bekalan makanan seminggu untuk rumah masing-masing. Walaupun jika kedua-duanya tidak berjumpa pun sebelum ini, mereka bertemu di pasaraya di atas dasar persamaan, walaupun ia merupakan persamaan yang lemah.

C dan D hanya berjumpa ketika bermain bola petang-petang. Mereka dipertemukan di atas dasar ingin beriyadhah/bersukan. Ketika permainan bola tersebut, mereka bukan main lagi bersungguh-sungguh bekerjasama di dalam satu pasukan untuk menumpaskan pihak lawan. Seolah-olah mereka telah lama mengenali satu sama lain.

Namun, sebaik sahaja mereka berpisah, mereka akan lupa kepada orang-orang yang telah dipertemukan atas tujuan tadi, dan akan beralih pula kepada sahabat-sahabatnya yang lain yang dipertemukan di atas tujuan-tujuan lain yang sama; umpama study, dan lain-lain.

Semakin banyak persamaan yang ada di antara dua orang, maka semakin kuat pula hubungan mereka.

Merenungi Sirah Nabawiyah

Dalam hal ini, saya teringat sebuah kisah di dalam sirah nabawi. Saat tersebut adalah ketika Abu Talib sudah mula sakit, sebagai akibat dari pemboikotan musyrikin Makkah ke atas Bani Mutallib dan Bani Hasyim. Al-Mala' (kepimpinan) musyrikin telah bertemu dan mengatakan, "Dahulu mereka membiarkannya sehinggakan apabila bapa saudaranya mati baru mereka hendak mengerjakannya".

Akhirnya mereka telah bersetuju untuk berjumpa RasuluLlah SAW untuk berunding buat kali terakhirnya sebelum kematian Abu Talib.

Apabila ar-Rasul, Abu Talib dan para pemimpin musyrikin berhimpun, Abu Talib menerangkan keinginan para pemimpin musyrikin tersebut. Beliau telah mengajak supaya kedua-duanya tidak menganggu satu sama lain. Mendengar hal ini, RasuluLlah SAW telah menjawab, "Apa pendapat kamu sekiranya aku mengemukakan kepada kamu satu perkataan yang apabila kamu ucapkannya kamu akan menguasai seluruh bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain akan tunduk kepada kamu?"

Kepimpinan Quraisy menjadi bingung lantaran persoalan tersebut. Mereka tidak mengetahui perkataan apakah yang begitu berkuasa sekali. Lalu Abu Jahal pun berkata: "Apa dia perkataan tersebut? Demi bapamu, mudah sangat! Kami boleh mengucapkannya dan sepuluh yang lain pun tidak mengapa"

Baginda SAW menjawab, "Ucaplah La-ilaha-illa-Llah di samping kamu menolak seluruh penyembahan-penyembahan yang lain"

Persamaan Yang Kuat

Sememangnya benar, seseorang itu dipertemukan di atas dasar kesamaan di dalam tujuannya. Apabila tujuannya kecil dan bersifat sementara, maka pertemuan mereka pula hanyalah pertemuan yang sementara sahaja. Bahkan pertemuan-pertemuan ini hanya bersifat fizikal sahaja tanpa diikat dengan sebarang ikatan hati.

Hanya aqidah yang satu sahaja yang mampu untuk menyatukan segala perbezaan yang wujud di dunia ini. Walaupun kadang-kadang kita melihat orang-orang kafir, mereka mengaku bersatu, dan memang secara fizikalnya bersatu, tetapi pada hakikatnya mereka tidak bersatu. "Kamu menyangka mereka bersatu sedangkan hati mereka berpecah-belah" (59:14).

Aqidah yang satu, yang beriman kepada Tuhan yang satu, Yang Maha Esa. Tujuan yang akan sentiasa kekal selama-lamanya tanpa hilang di telan zaman walau sedikitpun. Tidak akan dibinasakan oleh masa, walau berjuta-juta tahun. Tuhan ini tetap wujud, dan kewujudannya adalah kekal. Selagi mana tujuan ini wujud, selagi itulah kesamaan/persamaan akan wujud, juga selagi mana seseorang itu beriman dengan aqidah yang satu.

Di saat manusia semua melihat kepada warna kulit, perbezaan bahasa, sempadan negara, dan kelainan kebudayaan, aqidah ini mengajarkan erti kesamaan;
"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan. Dan Kami telah menjadikan kamu berpuak-puak dan berkabilah-kabilah, agar kamu saling kenal-mengenal di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"
(al-Hujurat, 49:13)

Tidak ada tujuan lain selain dari Allah yang mampu menyatukan seluruh penduduk bumi.

--
nota: Bahagian sirah nabawi diambil dari ar-Raheeq Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman Mubarakfuri

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]