Pages

Wednesday, April 22, 2009

Love is nurtured...

Sebenarnya saya telah menulis artikel ini di dalam Bahasa Inggeris. Tetapi memandangkan sejak masuk ke universiti ini, kita sering dilatih untuk menulis technical report di dalam BI. Jadi disebabkan itu, BI saya dalam bentuk penulisan telah menjadi sedikit seperti penulisan laporan. Ia tidak lagi seperti dahulu ketika zaman sekolah, ayat-ayat BI yang power itu berada di hujung jari.

Apa-apa hal pun, jika anda membaca sahaja tajuk, anda mungkin akan menyangka ia ada kena-mengena dengan tajuk saya yang sebelum ini; BM. Tetapi sebenarnya, saya tak berhasrat untuk mempanjangkan perbicaraan dalam soal itu.

Marilah kita melihat kepada beberapa perkara yang mudah untuk dilakukan agar hati dan jiwa kita, dapat diisi dengan perasaan cinta kepada Allah. Kerana sesungguhnya Allah telah berkata:

"Dan dari kalangan manusia ada orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari qiyamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat siksaanNya (nescaya mereka akan menyesal)."
(al-Baqarah, 2:165)

Bukankah kita orang-orang yang beriman?

Beberapa perkara tersebut telah saya dengar dalam sebuah ceramah yang disampaikan di Amerika oleh seorang syeikh, dalam proses membedah Madarij as-Salikin. Kesemuanya ada sepuluh:
  1. Membaca al-Qur'an. "...kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah..." (39:23). Ia umpama kita membaca surat-surat cinta dari sang kekasih. Bahkan al-Qur'an menjadi suatu petunjuk yang agung ke arah menggapai cintaNya yang hakiki. (10:57-58).
  2. Memperbanyakkan amalan nawafil (perkara-perkara sunat yang sangat-sangat digalakkan). "...Dan tidaklah hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan nawafil sehinggalah Aku mencintainya..." (Bukhari, Hadith 38 dari Hadith 40 an-Nawawi).
  3. Memperbanyakkan zikir kepada Allah. Kadangkala hati kita bermula dari kosong, tetapi apabila banyak disebut-sebut tentang seorang itu, hati kita menjadi cenderung kepadanya. Lagi-lagi sebutan-sebutan tersebut merupakan puji-pujian. Jika ini berlaku terhadap hamba-hamba Allah, apatah lagi perasaan kepada Allah SWT jika kita sering berzikir kepada Allah. Apalah salahnya kita mengucapkan tasbih, tahmid, dan takbir sebanyak 33 kali setiap kali selepas solat (hadith)? Bukankah ia hanya mengambil masa dua minit sahaja?
  4. Mencintai apa yang Allah suruh kita mencintai dan membenci apa yang Allah suruh kita benci. Dengan membuat hal ini, ia akan meluruskan hati dan membersihkannya dari keinginan-keinginan kepada kufr, fusuq, dan 'isyan. "tetapi Allah menjadikan kamu 'cinta' kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan" (49:7).
  5. Mempelajari nama-nama Allah dan sentiasa merenung maksud setiap nama tersebut. "Allah itu memiliki sembilan puluh sembilan nama yang bagus. Barang siapa yang mampu menghafalnya, maka dia akan masuk syurga..." (Bukhari).
  6. Merendahkan diri serta hati kepada Allah SWT. "Dan hamba-hamba ar-Rahman adalah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri..." (25:63).
  7. Memikirkan dan merenung nikmat-nikmat Allah ke atas kita. Kadangkala sambil berjalan, mungkin juga sambil duduk, dan dalam sesetengah keadaan sambil berbaring. "...dan sekiranya kamu menghitung nikmat-nikmat Allah (ke atasmu), nescaya kamu tidak akan mampu (kerana terlalu banyak)" (14:34).
  8. Berqiyamullayl. Untuk setiap cinta ada pengorbanannya, untuk setiap pengorbanan ada kemanisannya. Dan sesungguhnya, untuk setiap qiyamullayl pasti terasa kedekatan hubungan dengan Allah, kerana Dia lebih dekat kepada hambaNya pada dua pertiga malam. "Mereka bangun dari tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafqahkan apa-apa rezeki yang Kami berikan" (32:16).
  9. Berada bersama-sama dengan orang-orang yang mencintai Allah. Mudah-mudahan kita mendapat sekurang-kurangnya tempias cinta yang Allah curahkan buat hamba-hambaNya yang soleh tersebut. Seperti halnya seorang yang bergaul dengan penjual minyak wangi pasti akan mendapat sedikit baunya, sedang orang yang bersama-sama dengan tukang besi pasti akan mendapat percikan-percikan apinya (kisah dari hadith).
  10. Menjauhi segala perkara yang menghalang kita dari Allah SWT. Selalunya ia adalah perkara-perkara yang haram. Tetapi buat mereka yang biasa menjauhi perkara haram, hal-hal yang harus juga boleh menjadi halangan dari mengingati Allah SWT. Sebagai contoh, blogging sehingga tidak pergi solat berjamaah (astaghfiruLlah wana'uzubiLlah min zaalik).
Demikian beberapa perkara yang dapat menimbulkan bahkan membentuk (nurture) rasa cinta kepada Allah SWT. Ia adalah beberapa hal yang mudah, tetapi di dalam kemudahan tersebut betapa ramai yang masih lagi kegersangan dari kecintaan kepada Allah. Lalu mereka mencari cinta yang lain dengan melalui jalan yang batil. Tidak terlepas juga mereka kononnya berada di atas jalan da'wah. Moga cinta antum kepada Allah adalah cinta yang tulen, bukan hanya disebut-sebut semata-mata.

Apa-apa hal pun, kita sentiasa ingat:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah aku. Nescaya Allah akan mencintaimu dan Dia mengampunkan bagimu dosa-dosamu. Dan Allah adalah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Aali 'Imran, 3:31)

Pada akhirnya kita hanya perlu mengikut sunnah RasuluLlah SAW jika kita ingin mencintai Allah dan dicintaiNya.

Sudahkah anda mengikutinya?

Berakhirnya Agenda Zionis


Tekan pada gambar untuk maklumat lanjut.
Click on the picture for more information.

Anjuran: Aman Palestin dan Pembina.

Wednesday, April 15, 2009

Apabila Engkau Telah Berazam...

"Apabila engkau telah berazam, maka bertawakkallah ke atas Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal"
(Aali 'Imran, 3:159)

Buat ikhwah dan akhawat, serta para pejuang di universiti...

Selamat menghadapi peperiksaan duniaMu.

Monday, April 13, 2009

ERAT '09

Khas buat lepasan SPM, STPM dan STAM 2008; program ini khas untuk anda!

EKSPRESI REMAJA AMBANG IPT
-- ERAT '09 --

Forum: Persimpangan Cinta dan Cita-Cita | Ayuh Kenal Yuk! | Latihan Dinamika Kumpulan | Presentasi: Eksplorasi Menara Ilmu | Ceritera Sukses: Resipi Kejayaan Mahasiswa Muslim | Tafakur Alam Rimba! | Cergas Cetus Cerdas | Malam Nurani Intepretasi Seni | R&R Kerjaya dan IPT | Forum: Langkah Menuju Jaya | Ceritera Sukses: Misi Agung Mahasiswa Muslim |dan banyak lagi!

Tarikh:
24 April - 26 April 2009 (Jumaat - Ahad)


Lokasi:

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Rebutia D'Perkasa Camp


Anjuran:

Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma)

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Yuran:

RM 30 sahaja!


Di antara testimoni peserta:

"Bagi saya program ini menyeronokkan kerana telah berjaya membuka hati saya kepada kepentingan hidup secara Islam dan nikmat Islam yang cukup cantik dan tersusun." -- Mohd Harith Kamaludin, Kolej Mara Seremban

"Program ini menyeronokkan... Boleh dilihat pada pengisian program ini penuh dengan ilmu. Selain itu, jemputan penceramah luar juga menunjukkan program tersebut tidak diabaikan dan mendapat sambutan ramai. Aktiviti yang dijalankan juga dapat menarik remaja." -- Ihsan Alwi, Kolej Matrikulasi Pahang

"Saya sudah mencubanya, anda bila lagi?" -- Harith Md Nasir, UTM Kuala Lumpur

Untuk maklumat lanjut, sila klik; www.eksplorasimenarailmu.blogspot.com

Friday, April 10, 2009

Pemuda dan Kalimah Tayyibah

. . . . .

"Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah tayyibah seperti pohon yang baik? (Iaitu) akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah khabithah seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat (tegak) sedikitpun. Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki."
(Ibrahim, 14: 24-27)

Pemuda adalah golongan syabbab yang mengalir di dalam darahnya semangat yang membara untuk mencapai sesuatu yang diyakininya mulia. Selain mati syahid, cita-cita (dunia) apakah yang lebih baik dan agung dari mengharapkan dunia dan seisinya menerima kalimah Allah sebagai kalimah tertinggi? Tidak, tidak ada langsung cita-cita selain dari itu yang lebih mulia.

Dan disebabkan kemuliaan cita-cita ini, para syabbab pun menggerakkan tulang empat keratnya untuk mencapai apa yang diharapkan tersebut. Lalu usaha-usaha dilakukan, tenaga dicurahkan dan keringat dititiskan. Tetapi buat ramai orang dari golongan ini, ramai dari kalangan mereka yang suka dan bersikap ingin cepat melihat hasil dan hasilnya tindakan yang terhasil atau ideologi yang dipegang adalah ideologi perubahan yang cepat serta revolusi yang segera sedang jalannya masih lagi sangat panjang dan jauh perjalanannya.

Perumpamaan yang Allah berikan merupakan suatu perumpamaan yang agung! Dia mengatakan bahawa kalimah tayyibah (طيبة) itu umpama pohon yang tayyibah, yang akarnya kukuh dan batangnya munjulang ke langit. Ibn 'Abbas mengatakan bahawa kalimah tayyibah ini merupakan kalimah Laa ilaha illa Llah (لا إله إلا الله), dan diketahui apabila kalimah ini disebut ia datang dengan implikasinya sekali dan tuntutan-tuntutannya. Ia bukan sahaja kalimah yang disebut dalam bentuk lafzi sahaja dan semata-mata.

Akar yang mendalam menggambarkan betapa dalamnya keimanan yang tertanam di dalam hatinya sehinggakan ianya mampu mendapatkan makanan serta air walau dalam keadaan macamana sekalipun keadaan di atas tanah. Akar yang mendalam juga membantunya dalam mengukuhkan kedudukannya terutama apabila pohon tersebut dilewati angin ribut yang kuat lagi kencang, atau apa-apa sahaja daya yang menolaknya.

Dan akarnya yang mendalam datang pula dengan batang yang menjulang ke langit. Lalu tumbuh dari batangnya beratus-ratus ranting yang tumbuh daripada tiap-tiap satunya buah yang enak lagi sedap dimakan. Allah menyebut; "Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin tuhannya". Saya mengibaratkan batang tersebut sebagai aqidah yang kukuh, ranting-ranting tersebut sebagai amal dan buah sebagai hasil dari amal tersebut. Alangkah indahnya perumpamaan yang Allah berikan ini, buat orang-orang yang berfikir.

Aqidah kukuh yang terbina di atas keimanan yang mendalam akan menghasilkan amal yang berterusan dan hasilnya dirasai oleh semua di sekelilingnya sehinggakan ia juga menumbuhkan pohon-pohon yang seiring dengannya dan serupa dengannya.

Tetapi! Tetapi semua ini hanya akan berlaku setelah pohon tersebut ditanam dengan dengan benih keimanan yang pertama. Kemudiannya ia dipelihara dengan baiknya dengan disirami air, memberikan baja dan mendedahkan kepada cahaya matahari mengikut keperluannya. Hari demi hari dan proses demi proses dilakukan terhadap anak benih itu yang kemudiannya tumbuh menjadi anak pokok. Lalu ia membesar dan membesar menjadi sebuah pohon yang dewasa dan matang.

Lalang-lalang dan pohon-pohon "jahiliyyah" atau semak-samun ditebas dan sekeliling anak pokok tersebut dipastikan bersih dari sebarang lalang dan tumbuhan-tumbuhan "jahiliyyah" tersebut. Seandainya tidak dibersihkan, pembangunan dan pertumbuhan anak pokok-berguna tersebut mungkin terganggu atau lagi teruk, terbantut pertumbuhannya ke arah menjadi dewasa. Tanahnya pula digemburkan agar air dan udara mudah meresap ke dalam tanah dan bermacam-macam lagi tindakan yang perlu dibuat.

Buat buahnya pula, Hassan al-Banna pernah mengingatkan dengan keras dan tegas kepada ikhwan yang dirahmati Allah bahawa jangan dipetik buah sebelum ianya masak. Seandainya berlaku juga hal yang demikian, maka buah tersebut akan dibazirkan dan pemetiknya pula tidak mendapat manfaat daripada buah itu bahkan mungkin merasai kepahitan dan kemasaman sahaja.

Jadi akhirnya, perumpamaan yang sangat cantik ini memberikan kepada kita tiga kesimpulan yang hebat:
  1. Iman yang mendalam; suatu perkara asas yang diperlukan oleh setiap individu yang ingin dijadikan atau menjadikan dirinya sebagai bibit kebangkitan Islam. Tanpa keimanan yang mendalam cita-cita akan berubah menjadi angan-angan yang tidak berpijak di bumi nyata.
  2. Pembentukan yang rapi; adalah proses yang perlu dilalui sebelum mencapai tahap kematangan. Tanpa melalui pembentukan yang rapi seseorang itu akan cacat, dan bantut, bahkan mungkin membahayakan dirinya serta jamaah (dikhuatiri berlaku penyelewangan).
  3. Amal yang berterusan; akan memastikan bahawa iman itu sentiasa diperbaharui, manfaat sentiasa dicurahkan dan istiqamah itu wujud dalam individu-individu tersebut. Bahkan ia juga akan mempercepatkan lagi sampai kepada matlamat tanpa mengabaikan soal langkah yang harus dilalui terlebih dahulu.
Moga Allah mengurniakan kepada kita taufiq dan hidayahNya, insya Allah!

Monday, April 6, 2009

Telah datang kepadaMu..!

Wahai sekalian manusia! Telah datang kepadamu mau'idzah dari Tuhanmu, penawar apa yang ada di dada, huda, dan juga rahmah bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah: Dengan kurniaan Allah dan rahmatnya, hendaklah dengan itu mereka bergembira (kerana) yang demikian itu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.
(Yunus, 10:57-58)

Kisah 1

Gambar hiasan semata-mata.

Tatkala seorang anak ingin berkahwin dan masanya pun sudah hampir untuk dia berakad nikah, lalu bapanya yang berada berdekatan dengan si anak memanggilnya,
"Angah, maih sini. Abah nak pesan sesuatu untuk angah sebelum kahwin..."

Lalu si anak mendekati bapanya dengan penuh ketaatan akan permintaan si bapa tersebut,
"Ya, abah. Angah dengar ni..."

Si anak langsung meletakkan sepenuh perhatian kepada kata-kata yang bakal dikeluarkan dari seorang bapa yang telah melalui pengalaman dan mempunyai pengetahuan yang lebih dalam hal hidup berbaytul muslim. Dia cuba menyelami segala maksud yang cuba di sampaikan oleh si bapa agar dia memperoleh bekalan dan manfaat yang besar dalam perjalanan hidup baru yang bakal ditempuhinya.

Kisah 2

Seorang anak telah mendengar sebuah pesanan dari sang ibu yang juga merupakan seorang doktor pakar,
"Angah, mama nak ingatkan supaya jaga tubuh badan tu. Minum air banyak-banyak supaya air tersebut dapat meneutralkan banyak toksin dalam badan. Nanti boleh menjauhkan diri dari penyakit."

Si anak yang bukan langsung seorang ahli dalam perbutan lalu mengambil nasihat yang penuh dengan makna tersebut,
"Ok, mum!"

Bagaimana mungkin seorang anak yang bukan ahli dalam bidang perubatan boleh menolak nasihat doktor pakar dalam hal-hal kepakaran si ibu?

--

Ayat yang cantik di atas telah menggambarkan kepada kita betapa besarnya kurniaan yang Allah berikan kepada kita dari al-Qur'anul Karim. Betapa dengan ayatNya yang berbunyi, "...telah datang kepada kamu mau'idzah dari Tuhanmu..." telah benar-benar menyentuh hati seorang mu'min. Dia membenarkannya dengan perasaan dan ruh yang hadir di dalam jiwanya, dan juga di dalam tindakannya.

Kisah 1 menggambarkan mau'idzah dari seorang bapa, yang apabila dia ingin menasihat si anak, si anak tersebut langsung duduk dengan penuh perhatian untuk mengambil pengajaran dan bekalan. Yang demikian adalah perasaan yang ada pada nasihat seorang bapa, yang telah membesarkan anak-anaknya, memberikan nafkah lahir dan batin, mendidik dari kecil dan telah memberikan bermacam-macam bakti lagi terhadap si anak.

Jika perasan dan ruh yang hadir untuk memperhatikan nasihat si bapa adalah dengan sedemikian rupa, apatah lagi perasaan menerima mau'idzah dari Rabbnya yang Maha Mulia, Maha Mengasihi lagi Maha Latif. Seseorang mu'min yang hidup hatinya pasti akan benar-benar memperhatikan dengan penuh perhatian terhadap apa yang disampaikan di dalam al-Qur'an.

Lalu dengan itu, "gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya" (39:23)... Kegentaran dan ketakutan kepada Allah tersebut mengubati hatinya dari sebarang ketidak tulenan, dari sebarang penyakit yang bersarang di dadanya. Mungkin ada nifaq, mungkin ada syirik, mungkin ada hasad dan lain-lainnya. Tetapi ketakutan tersebut dengan cepatnya menyebabkan terkeluarnya segala penyakit yang ada di dada. Kegementaran itu dengan cepatnya disusuli pula oleh perasaan tenang yang meliputi hati mereka "kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah" (39:23).

Sesungguhnya, kesan yang mendalam dari al-Qur'an terhadap kehalusan jiwa seorang mu'min menyebabkan ianya menjadi huda petunjuk baginya. Dalam keadaan yang manusia sudah hilang hala tuju dan pedoman hidup, mereka bepegang kepada satu hakikat yang agung yang telah diturunkan oleh Allah. Ia menjadi hidayah yang membimbing mu'min tersebut ke arah cahaya kebenaran, sekaligus mengeluarkan dirinya dari kegelapan jahiliyyah. Tetapi ia hanya menjadi memberi petunjuk buat sesiapa yang Dia kehendaki, "yang demikian itu huda Allah, Dia memberikannya kepada siapa yang Dia kehendaki" (39:23).

Dari petunjuk yang agung ini, Allah telah melimpah-limpahkan "...rahmat buat orang-orang mu'min". Dari keadaan yang harus bersusah payah mencari-cari tujuan hidup, lalu bingung dan menjadi gila kerananya, Dia memberikan kasih-sayang dan rahmatNya, dengan memberikan tujuan hidup yang jelas kepada manusia. Ini tidak lain dan tidak bukan hanya semata-mata untuk menyelamatkan para hambaNya dari azab yang sangat pedih. Tetapi akhirnya hanya orang mu'min sahaja yang mengambil tujuan tersebut di dalam hidup mereka.

Ini adalah satu "...kurniaan Allah..." yang sangat besar kerana kurniaan tersebut merangkumi rahmat dan belas kasihanNya terhadap hamba-hamba yang beriman. Maka dengan itu, orang-orang mu'min bergembira, bergembira kerana mereka meyakini bahawa janji Allah adalah yang paling benar dari yang benar, "...dan siapakah yang lebih menjaga janji berbanding Allah?" (9:111). Dia meyakini bahawa petunjuk yang Allah berikan adalah "lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan".

Allah telah menjanjikan buat mereka syurga yang agung.

"Ya Allah, jadikanlah hati ini rindu kepada syurgaMu!
Ya Allah, jadikanlah hati ini rindu kepada keharuman wangiannya!"

Note: Kisah 1 dan 2 adalah rekaan semata-mata. Yang penting adalah huraian ayat dari surah Yunus, 10:57-58. Harap maklum. (^_^)v

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]