Pages

Friday, April 23, 2010

Tahniah Buat Team Debat SMIH

Tahun lepas kumpulan BM menang, kini BA pula.

AlhamduliLlah menjadi kebanggaan kami, para Alumni Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) JB, dengan sebab kemenangan adik-adik kami di dalam pertandingan debat Bahasa Arab di IIUM tempoh hari. Tahniah diucapkan (baca:dituliskan) buat mereka.

Saya secara peribadinya bukan sekadar berbangga kerana kemenangan tersebut, tetapi juga atas beberapa sebab lain yang bersangkut-paut soal penguasaan bahasa Arab. Adik-adik ini telah menunjukkan satu contoh yang sangat baik bahawa jika kita bersungguh untuk menguasai bahasa Arab, dan sememangnya meletakkan usaha untuk mempelajarinya, seseorang itu akan mampu untuk berbicara di dalam bahasa tersebut.

Selain itu, mereka juga menjadi bukti yang hidup bagi membuktikan bahawa tidak mustahil untuk menguasai bahasa arab, tanpa pergi ke negara-negara Arab.

Saya juga sangat kagum dengan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh para asatizah SMIH dalam konteks ini. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa penatnya mereka di dalam memerah keringat dan peluh agar anak-anak murid mereka dapat menguasai bahasa Arab dengan baik. Moga Allah membalas jasa mereka dengan kebaikan yang banyak.

Mudah-mudahan juga, suatu hari nanti kita semua di sini (Malaysia) akan hidup di dalam satu suasana yang mana semua orang memahami apa yang dibaca dari al-Qur'an.

Berikut ini video bagi perlawanan debat peringkat akhir kumpulan Bahasa Arab:





Monday, April 19, 2010

Tidak Semudah Itu

Dunia Untuk Diperhatikan

Dunia ini sememangnya diciptakan oleh Allah SWT buat hamba-hambanya sebagai ayat (tanda-tanda) kekuasaan dan kerajaan Allah. Mana tidaknya, Dia-lah yang al-Malik (Yang Maha Memerintah - The Absolute Ruler) dan Dia jugalah al-Aziz (Yang Maha Perkasa - The One with Most Authority). Sehinggakan Dia menyebut di dalam kitabNya tentang satu golongan yang sentiasa sahaja memerhati tanda-tanda kekuasaanNya:

"Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan juga silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi ulul-albab (orang-orang yang yang berakal), (mereka ini) adalah orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk atau ketika mereka sedang berbaring, dan mereka sentiasa sahaja berfikir tentang penciptaan langit dan bumi, (lalu mereka berkata): Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan (semua) ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(Aali 'Imran, 3:190-191)

Manusia Pelupa

Manusia selalu sahaja lupa, bahkan mereka adalah jenis makhluk Allah yang sangat-sangat mudah lupa atau leka. Sehinggakan selalu sahaja tanda-tanda kekuasaan Allah itu berlalu begitu sahaja tanpa diambil perhatian dan diambil pengajaran yang sebaiknya daripadanya.

Kadang-kadang hal yang mudah dan simple boleh menjadi satu pengajaran yang sangat bermakna bagi seseorang. Tetapi kebanyakan manusia hanya teringat apabila sesuatu yang besar dan luar biasa berlaku di dalam hidupnya.

Itupun jika mereka ingat!

Sedangkan kebanyakan mereka tetap lupa dan alpa...

Mereka Orang-orang yang Sensitif

Orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang sensitif imannya. Mereka bukan orang-orang yang lali dan bebal, iaitu tidak memberikan apa-apa tindak balas terhadap persekitaran mereka. Bahkan mereka ini adalah orang-orang yang sangat-sangat sensitif, lebih-lebih lagi dalam hal-hal yang berkaitan dengan iman dan aqidah mereka.

Betapa mulianya seorang sahabat bernama Thabit bin Qays, di dalam kisahnya ketika turunnya ayat kedua dari surah al-Hujurat yang menyebut;

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, agar tidak dihapuskan (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari"
(al-Hujurat, 49:2)

Beliau merupakan seorang yang mempunyai suara yang kuat di dalam kaumnya. Sebaik ayat ini sampai kepadanya, beliau terus mengurung dirinya di dalam rumahnya sendiri. Apabila RasuluLlah SAW sedar "kehilangan" sahabat yang mulia ini, baginda memerintahkan agar disiasat sebab "kehilangan" tersebut.

Seorang sahabat yang l`ain telah datang ke rumahnya lalu bertanya kepada Thabit,
"RasuluLlah meresa kehilanganmu! Ada apa denganmu?"

Thabit dalam keadaan kepalanya tertunduk menjawab,
"Akulah orang yang mengalahkan suara RasuluLlah dan yang paling keras saat berbicara berdekatan baginda. Sehinggakan seluruh amalku terhapus, dan aku menjadi penghuni neraka!"

Apabila RasuluLlah mendengar berita ini, bagida telah bersabda (untuk disampaikan kepada Thabit), "Sesungguhnya kamu bukan dari ahli neraka, tetapi kamu adalah dari ahli syurga" (Ibnu Kathir).

Betapa sensitifnya jiwa mereka dalam hal-hal keimanan. Bahkan terdapat banyak lagi kisah para sahabat yang membuktikan betapa sensitifnya jiwa mereka.

Satu Hal Yang Mudah

Suatu pagi berlalu sedang ramai manusia sibuk dengan urusan pergi ke kerja. Saya berada di hadapan sebuah kedai & pusat servis Proton bagi menghantar kereta untuk diberikan sedikit servis. Jam masih awal. Kedai pun belum buka.

Sambil menunggu kedai dibuka tepat jam 8.30am, saya sempat memerhatikan pekerja-pekerja Proton sampai di premis berkenaan. Seorang demi seorang datang, dan masing-masingnya menaiki kenderaan sendiri.

Saya pelik, kerana tidak semuanya menggunakan produk Proton. Bahkan ada juga di antara mereka yang menggunakan produk Perodua (saingan Proton terbaik di Malaysia).

Nanti, apabila ada pelanggan yang datang masuk ke kedai untuk membeli kereta Proton, mereka akan ditanya, "Apa yang bagusnya Proton berbanding Perodua?" Lalu salesman tersebut akan menceritakan segala kelebihan yang ada pada kereta Proton tersebut dan dibandingkan dengan kereta Perodua atau yang seumpama dengannya.

Mudah sahaja di dalam arena bisnes. Seorang penjual tidak semestinya orang yang menggunakan produk tersebut.

Bahkan mungkin juga dia menggunakan produk syarikat saingan majikannya!

"Mudah saje" kata orang...

Da'wah Adalah Kejujuran dan Kebenaran

Tidak dinafikan lagi. Tiada siapa yang mampu menafikannya.

Da'wah tidak seperti bisnes, di mana promoter bisnes boleh mengatakan sesuatu walaupun dia sendiri kurang berkeyakinan dengan produk tersebut. Asalkan para pelanggan termakan dengan kata-kata manisnya sehingga menyebabkan mereka membeli produk tersebut. Apabila sudah beli, sudah selesai.

Da'wah tidak sesekali seperti itu.

Bahkan ia memerlukan orang-orang yang sangat yakin dengan jalan yang ditempuhinya itu. Tidak mungkin seseorang yang tidak meyakini jalan da'wah menyeru orang kepadanya sedangkan dia sendiri tidak berada di atasnya. Tidak mungkin.

Sikap seperti ini juga mestilah dijauhi oleh para du'at, agar da'wah berjaya mengesani hati para mad'u. Apa yang diucapkannya menjadi hujjah ke atasnya, dan manusia menilai mereka berdasarkan itu. Begitu cantik dan benarnya sebuah kata hikmah yang berbunyi, "lisan perbuatan adalah lebih kuat (kesannya) berbanding lisan percakapan".

Dalam konteks ini sendiri, Allah mengingatkan buat orang-orang yang beriman,

"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? Amat besar kemurkaan di sisi Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan."
(as-Saff, 61:2-3)

Atas dasar itu, seorang syeikh da'wah yang terdahulu telah menyebut satu himpunan kata-kata yang sangat ringkas tetapi padat dengan makna;

أصلح نفسك وادع غيرك
"Perbaiki dirimu dan serulah orang lain"

Moga Allah menerima segala amal kita.

Saturday, April 17, 2010

"I Prefer by Apache"

Pada 17 April 2004 pulanglah seorang syahid menemui Kekasih yang didambakan. Satu tribute untuk as-syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.

Kita sering tercari-cari siapakah di kalangan manusia pada hari ini yang pantas dijadikan contoh ikutan dalam perjuangan menegakkan kalimah al-Haq. Kita mahu mencontohi beliau baik dari sisi istiqamahnya, baik dari segi)thabatnya, baik dari segi jihad, kesungguhan dan pengorbanannya. Nah! Salah seorang dari insan yang pernah memiliki sifat-sifat ini ialah as-syahid Dr Abdul Aziz Rantisi. Pada 17 April 2004 ini genaplah enam tahun as-syahid meninggalkan kita semua. Beliau dibedil oleh helicopter Apache Zionis Israel dengan peluru berpandu Hellfire yang juga telah mengambil nyawa as-syahid Syeikh Ahmad Yassin dua puluh enam hari lebih awal.

Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah kerana menziarahi keluarga selepas waktu isya', beliau dengan hati penuh harap berkata "Semoga Engkau memasukkan kami ke dalam syurgamu Ya Allah. Inilah puncak harapanku..."

Tidak beberapa langkah dia meninggalkan rumah, kedengaranlah bunyi ledakan. Ternyata helicopter Apache telah siap menunggu dan menganugerahkan apa yang didambakan oleh as-syahid. "Ia adalah kematian samada dengan pembunuhan atau barah. Tidak ada yang berubah samada dengan Apache atau sakit jantung. Dan aku memilih Apache..."

Bukti bahawa as-syahid gembira dengan anugerah ini tergambar dari senyuman yang menguntum dari bibirnya dan darah yang terus mengalir setelah 24 jam beliau syahid yang menghamburkan bau harum kasturi. Semua yang hadir menziarahi jenazah as-syahid yang mulia melihat kebesaran Allah dan benarnya janji Allah dan Rasulnya.

"Jangan kamu menyangka mereka yang mati syahid itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki, hanya kamu tidak mengetahuinya"
Aali Imran, 3:169)

Pendirian as-Syahid Abdul Aziz Rantisi terhadap perjuangan, cintanya terhadap tanah-airnya bumi Palestin dan Baitul Maqdis yang suci telah sedia kita maklumi. Dia mengabdikan seluruh hidupnya untuk jihad dan untuk al-Quds. Inilah yang digambarkan oleh isteri as-syahid Ummu Muhammad, beliau adalah gambaran ayat Allah:

"Sesungguhnya tidak dijadikan manusia dan jin melainkan untuk menyembah Dia"
(az-Zariyat, 51:56)

Sebagaimana juga as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin yang mendahului beliau, Israel tidak pernah merasa aman dengan beliau yang tidak pernah mengenal erti mengalah dan lemah. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Palestin sekular yang siap untuk menggadaikan prinsip dan tanah air atas nama rundingan damai, as-Syahid Abdul Aziz Rantisi tidak pernah berganjak dari keyakinan bahawa bumi Palestin tidak mungkin ditukar ganti dengan apapun. Pilihan yang ada pada Israel hanya satu iaitu keluar dari bumi Palestin yang mereka jajah dan kembalikan hak rakyat Palestin yang mereka rampas. Jika mereka gagal untuk melakukan ini maka bersedialah untuk berhadapan dengan api jihad yang akan terus bersemarak membakar jiwa-jiwa para mukmin sehingga akhir.

Hasrat Zionis untuk melihat lumpuhnya HAMAS dengan terbunuhnya dua pemimpin utama dalam selang 4 minggu meleset sama sekali. Bahkan kematian dua tokoh ini menyuburkan lagi jihad di bumi Palestin dan kini setelah enam tahun kedua mereka meninggalkan kita, Palestin terus berdiri teguh berhadapan dengan segala macam kekuatan yang ditalakan dunia ke atas mereka. Bukan sahaja mereka diperangi oleh senjata-senjata terkini bahkan mereka dikepung dan di kelilingi oleh tembok-tembok kematian serta dikhianati pula oleh saudara-saudara seagama yang bersekongkol dengan musuh-musuh untuk mencengkam Gaza dan Tanah suci al-Quds. Inilah karamah yang terbit dari kehebatan as-syahid Syeikh Ahmad Yassin dan as-syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.

"Di belakang seorang lelaki yang agung pastinya seorang wanita yang mulia", demikianlah ungkapan yang disebut kepada isterinya Ummu Muhammad. Namun Ummu Muhammad segera menyanggah kata-kata ini. Sebaliknya beliau memuliakan ibu as-syahid yang mana di atas didikan kemuliaan dan kehebatan dari almarhumah ibunyalah lahir as-syahid Abdul Aziz Rantisi.

Beliau digambarkan oleh isterinya sebagai seorang suami, ayah dan datuk yang bukan sahaja melimpah dengan kasih-sayangnya terhadap isteri, anak-anak dan cucu-cucu bahkan kasih-sayang itu akan segera diluahkan sebaik sahaja ada ruang dan kesempatan. Bahkan ketika dikelilingi oleh tugasan yang banyak termasuk ketika melayan para tetamu dan wartawan beliau akan berhenti sebentar untuk menegur anak-anaknya dengan penuh kemesraan. Lantaran itu tidak seorangpun dari anak-anaknya dan cucu-cucu (14 orang semuanya) yang tidak merasakan kemesraan ayah dan datuk mereka sehingga mereka semua bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah as-syahid dalam perjuangan.

Kelembutan as-syahid terhadap keluarga digambarkan oleh Ummu Muhammad dalam satu pengalaman di mana beliau tersinggung peti televisyen sehingga pecah skrinnya. Beliau begitu bimbang kerana sekatan ekonomi tidak memungkinkan mereka menggantikan TV yang pecah itu. Tetapi as-Syahid yang melihat kebimbangan Ummu Muhammad telah memujuk beliau dan berkata "Qadarallah maa syafaa'a fa'al" (setiap sesuatu itu ada tempoh akhirnya). Semoga contoh-contoh kecil dari tokoh besar ini membekas di hati kita semua dan menjadikan kita berjiwa besar dan tidak terikat dengan dunia. Sesungguhnya membebaskan diri dari kesempitan dunialah yang menjadikan seseorang itu mendambakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ketegasannya di dalam perjuangan tidak dipersoalkan. Sewaktu as-syahid Abdul Aziz Rantisi diusir bersama 416 oarng pejuang oleh Israel di selatan Lubnan pada tahun 1992, beliau didatangi oleh seorang wartawan media barat mengajukan soalan ‘Kenapa HAMAS enggan iktiraf Israel’. Jawapan yang diberikan oleh as-syahid Abdul Aziz Rantisi meninggalkan wartawan tersebut sendiri kebibungan; "Israel yang mana? Israel 1948? Atau Israel 1967? Atau Israel 1981? Atau Israel 1993? Atau Israel 2000? Hakikatnya Israel adalah entiti palsu yang tidak punya sebarang sempadan yang hakiki. Bagaimana mengiktiraf sebuah Negara haram yang tidak punya sebarang ketentuan sempadan kerana ia didirikan di atas Negara orang lain yang dirampok dan dirampas semahunya dan sekehendak hati mereka".

Lantaran itu as-Syahid Abdul Aziz Rantisi berikrar, "Israel tidak akan mengenal keamanan, kami akan memerangi mereka sehingga Palestin dibebaskan, dibebaskan seluruhnya".

Inilah gambaran orang-orang beriman yang digambarkan oleh Allah SWT:
"…suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.…"
(al-Maidah, 5:54)

As-syahid Abdul Aziz Rantisi dilahirkan pada 23 Oktober 1947 berhampiran Jaffa (Yaffa) dan syahid pada 17 April 2004.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE

Friday, April 16, 2010

Persepsi dan Perubahan

Saya menulis "Mahmud 'Azzat dan rakan-rakan IM yang lain telah dibebaskan" di status MukaBuku saya sambil membuat capaian (link) ke laman Fikrah-Dakwah, sebuah laman web pro-Ikhwan Malaysia.

Tidak lama kemudian ayah saya menegur di status berkenaan di dalam ruangan komen, "Sheikh Mahmoud Ezzat (bukan Azzat), Timbalan Mursyid Am Ikhwan Muslimin". Salah rupanya nama yang saya tulis, saya pasti saya mendengar beliau sendiri (Dr. Mahmud 'Ezzat) yang memperkenalkan dirinya dengan "Mahmud 'Azzat" melalui dokumentari ringkas di Youtube:


Sampai sahaja di rumah, kena tegur lagi dengan ayah saya, "Mahmud 'Ezzat lah, bukan 'Azzat. Dia nak jugak tegakkan benang yang basah dia tu... Macamana kalau orang panggil 'Immar dan bukan 'Ammar?".

Isya'.

Selesai isya', saya berjalan menuju ke kereta. Di pertengahan jalan seorang arab telah bersalaman dengan saya. Lalu ditegurnya seperti kebiasaan pak-pak arab yang lainnya,

"Assalamu'alaykum"

"'alaykumussalam warahmatullah!"

"Owh? You speak arab?"

"Qalilan faqat..."

"Are you a UTM student?"

"Yes, I am from the mechanical engineering faculty"

"Owh, my friend here is also from the same faculty..."

"Yeah, I know him, but I don't think he knows me. By the way, where are you from?"

"I'm from Libya."

"Oh, the country north of Africa?"

"Yes, you seem to know about the arab world"

"Haha, boleh laa"

"You know the president of the country?"

"Hmm... Yes I know, but I don't quite remember his name"

"Well, he's quite famous you know... Gadafi"

"Ahh, yess... Gadafi, I know him"

"Hehe, anyway, nice meeting you..."

"Yes* by the way, what's your name?"

"(He said the name of a prophet), what's yours?"

"I'm 'Ammar"

"'Umar?"

Baru sahaja di rumah berbicara berkenaan nama Syeikh Mahmud 'Ezzat, dan ejaannya. Tiba-tiba sebaik sahaja selepas isya' diuji dengan dipanggil 'Umar, atau lebih tepat lagi orang tak tahu pun 'Ammar, dan dia menyebut 'Umar.

"No, 'Ammar... Do you know 'Ammar bin Yasir?"

"'Umar? I know 'Umar al-Khattab"

"Yes, he was the the second khalifah. But don't you know 'Ammar? 'Ammar bin Yasir?"

"err... There's a lot of sahabahs, I don't quite remember them."

"You don't know 'Ammar bin Yasir? He was one of the earliest sahabahs... The son of Sumayyah, the first syahidah. Don't you know him?"

"Well there are a lot of sahabahs..."

"Hehe, well then. Anyway, ilal liqa'..."

"Yeah, and don't forget my name... (He repeated his name)"

"Assalamu'alaykum"

"Wa'alykumussalam..."

--
Sememangnya menjadi satu masalah yang besar, apabila individu-individu muslim yang juga merupakan unit terkecil dari ummah muslim, tidak mengenali generasi terdahulu di dalam sirah deen (agama) mereka. Jika mereka tidak mengenal sirah generasi terdahulu, sudah pasti mereka juga tidak menyedari penyakit-penyakit yang sedang melarat menimpa ummah.

Suatu ketika dahulu, saya menyangka pak-pak arab yang datang ke Malaysia dengan tujuan menyambung pelajaran pada peringkat post-graduate adalah orang-orang yang arif tentang sirah bangsa mereka (baca: bangsa arab). Lagi-lagi mereka ini adalah dari kalangan orang-orang yang elit dari mereka. Sepatutnya mereka mengetahui perkara-perkara asas sirah seperti; siapakah 'Ammar bin Yasir, atau siapakah Bilal al-Habsyi, atau siapakah al-Arqam bin Abi al-Arqam.

Perkara ini membuatkan persepsi saya terhadap orang arab berubah, bahkan persepsi terhadap golongan elit berubah sama sekali. Neraca kefahaman terhadap deen bukanlah sejauh mana seseorang itu mencapai kelulusan akademik (Masters, Ph.D, dll), tetapi neraca kefahaman terhadap ad-deen itu diukur dengan sejauh mana seseorang itu ditarbiyah dengan pentarbiyahan yang sebenar.

Saya merasakan diri saya beruntung, kerana semenjak kecil lagi saya telah didedahkan untuk mengenali Islam, mengenali siapakah generasi terdahulu yang telah berjuang menegakkan Islam, dan apakah sumbangan-sumbangan mereka. Bahkan ramai dari kalangan budak-budak generasi yang sama, memiliki nama-nama yang mengingatkan kepada pahlawan-pahlawan Islam dari kalangan as-sabiqunal awwalun (yang terdahulu dan paling awal).

Kesemua ini adalah hasil usaha golongan yang saya kenali sebagai "Pakcik-makcik", mereka lebih saya muliakan berbanding dengan orang lain yang sebaya dengan mereka (setelah ibu bapa saya). Hasil titik peluh mereka; nurseri-nurseri dan tadika-tadika Islam didirikan. Kemudiannya hasil dari itu, sekolah-sekolah Islam pula dibangunkan. Sehinggakan sekarang, institusi-intitusi pendidikan ini (di bawah rangkaian Musleh) telah memainkan peranannya yang sangat besar di dalam pembangunan modal insan di Malaysia yang tercinta ini.

Berapa ramai manusia yang telah terkesan dengan sistem pendidikan yang komprehensif ini? Sudah tentu jumlahnya telah mencapai satu angka yang boleh dibanggakan. Tetapi bukan jumlah yang diinginkan, bukan jumlah sahaja yang diinginkan.

Yang diinginkan ialah lelaki-lelaki sejati (rijalul ummah) yang mampu membawa perubahan kepada masyarakat, di atas manhaj yang jelas, yang berpegang kepada sistem, dan bergerak secara kolektif (jama'i). Yang diinginkan adalah jiwa-jiwa yang bebas dari segala cengkaman jahiliyyah. Yang diinginkan ialah hati-hati yang suci bersih dan dipenuhi di dalamnya kitabuLlah yang agung.

Tanpa pentarbiyahan yang sebenar, tidak mungkin nasib sesebuah ummah itu mampu diubah. Bahkan jika ada perubahan pun, ia adalah perubahan yang tidak mampu bertahan lama. Betapa tepatnya kata-kata seorang syeikh;
"Sesuatu yang berubah ke arah kebaikan dalam tempoh satu malam, mungkin juga boleh berubah ke arah kejahatan dalam tempoh yang sama!"

Tuesday, April 13, 2010

Simpulan Ikatan-ikatan

Artikel ini adalah artikel terakhir daripada 6 siri. Sebuah artikel dari siri "Kembali Kepada Keaslian".

...sambungan...

Simpulan Ikatan-ikatan

Allah telah mengurniakan kepada kita aqal untuk kita berfikir. Hal ini sepertimana Nabi Ibrahim menggunakan aqalnya ketika mencari siapakah rabbnya:

"Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin."
(an-Nahl, 6:75)

Di dalam kisah tersebut, diceritakan bagaimana Nabi Ibrahim AS telah melihat beberapa perkara yang besar dan menganggapnya sebagai "tuhan"nya. Tetapi sebaik sahaja wujud sahaja tanda kelemahan maka segera ditolaknya "tuhan" tersebut. Sehingga akhirnya, baginda beriman dengan Allah SWT melalui fitrah yang telah Allah tetapkan ke atas manusia dan dengan bantuan petunjukNya.

Setiap manusia dituntut untuk berfikir, dan meneliti hujjah-hujjah yang dikemukan, sehinggakan dia berasa berpuas-hati dengan perbincangan, dan hanya setelah itu sahaja dia membuat keputusan. Orang-orang ulul-albab adalah orang-orang yang menggunakan pemikirannya pada tahap maksimum yang diselarikan dengan fitrah yang ada padanya, sehinggakan dia memperoleh jawapan-jawapan yang dicarinya.

"(Yakni) yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal (ulul albab)."
(az-Zumar, 39:18)

Hati pula adalah untuk meneguhkan lagi, bukan untuk membuat keputusan. Ia memainkan peranannya setelah keputusan dibuat.

"Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: 'Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati'. Allah berfirman: 'Belum yakinkah kamu?' Ibrahim menjawab: 'Aku telah meyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)'. Allah berfirman: '(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bagian dari bagian-bagian itu, kemudian panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera'. Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(al-Baqarah, 2:260)

Aqal membuat keputusan, hati meneguhkannya.

Keputusan dibuat di atas hujjah yang nyata, tanpa membuat keputusan-keputusan dengan emosi yang tidak menentu.

Kalam Akhir

Akhirnya kita kembali kepada Allah dan RasulNya di dalam setiap urusan kita, setiap perselisihan kita, dan setiap perbezaan kita. Kerana ketaqwaan itu adalah sebaik-baik bekalan buat orang-orang yang beraqal (ulul albab).

"...Berbekallah kamu, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai ulul albab!"
(al-Baqarah, 2:197)

Kita memahami bahawa "Islam itu adalah yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya" (hadith). Segala seruan, ajakan, dan proses mencenderungkan orang hendaklah dilakukan kepada Allah dan Islam, tidak kepada yang selain dari itu. Namun segala kelebihan yang ada pada satu-satu kaum tidak sama sekali diremehkan, bahkan diraikan di dalam Islam, tetapi ianya juga adalah dalam asas yang pertama tadi.

Setelah itu, beramallah kita dengan amal yang terbaik sehingga ke akhir hayat kita. Kelak ia akan diperlihatkan.

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serota orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"
(at-Taubah, 9:105)

Moga-moga Allah menerima amal kita di akhirat nanti insya Allah!

Saturday, April 10, 2010

Orang Buta & Kelebihan

Artikel ini adalah artikel ke-5 daripada 6 siri. Sebuah artikel dari siri "Kembali Kepada Keaslian".

...bersambung...

Tiga Orang Buta Dan Gajah

Pernah ada kisah tiga orang buta dengan seekor gajah. Masing-masing bernama Ahmad, Ali, dan Hamid. Masing-masing mengidap penyakit buta sehingga langsung tidak nampak walau sedikitpun, dan mereka sememangnya telah buta semenjak lahir.

Pada suatu ketika itu, mereka telah dibawa untuk berjumpa dengan seekor gajah. Ahmad telah memegang gajah tersebut di belalainya, Ali pula memegang kakinya, dan Hamid memegang perutnya. Semua dari mereka telah memegang di tempat-tempat yang berlainan.

Lalu Ahmad berkata, "Gajah ni macam ular!"
Tetapi Ali pula membangkang, "Eh, taklah. Gajah macam tiang lah..."
Hamid yang mendengar dua perumpamaan itu tergelak... "Laa, kamu berdua ni... Gajah macam dinding la. Takde rasa langsung macam ular atau tiang!"

Seseorang yang hanya duduk di dalam bilik hanya akan nampak biliknya sahaja, tetapi apabila dia keluar dari rumahnya dia akan dapat melihat beberapa rumah; rumahnya dan rumah jiran-jirannya. Walaubagaimanapun, pandangannya lebih mengufuk apabila dia berada di atas bukit yang tinggi. Seluruh taman dapat dilihat olehnya.

Betapa pentingnya melihat sesuatu itu menurut perspektifnya yang benar...

Kelebihan Terletak Di Mana?

Betapa banyaknya ayat dan hadith yang menceritakan tentang betapa tingginya Islam dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. Betapa banyaknya dalil yang membawa kefahaman bahawa Islamlah yang perlu diutamakan, dari hal yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada hal yang sebesar-besarnya seperti da'wah. Tidak mungkin da'wah kepada bangsa menjadi lebih utama dari da'wah kepada Allah dan Islam.

"Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya berbanding orang yang menyeru kepada Allah dan dia beramal soleh, serta berkata; Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri (kepada Allah)"
(Fussilat, 41:33)

Namun demikian, Islam tetap cantik. Walaupun dengan peninggian terhadap kedudukan Islam, nilai-nilai yang ada pada sesebuah kelompok, kaum, atau bangsa itu tidak langsung dianggap remeh, bahkan diraikan. Ini dengan syarat tidak melanggar syari'at yang telah Allah tetapkan. Suatu hadith yang cukup jelas menerangkan tentang hal ini ialah:
"Sebaik-baik mereka ketika jahiliyyah, sebaik-baik mereka juga ketika Islam. Apabila mereka memahami (deen)"
(HR. Bukhari)

Begitulah yang berlaku sepanjang sirah RasuluLlah SAW dan salafussoleh yang terdahulu.

Kita dapat melihat, kaedah peperangan menggunakan parit dari Farsi telah digunakan ketika perang Khandaq, hasil dari cadangan Salman al-Farisi.

Kita juga dapat melihat seorang Imam hadith yang terkenal yang datangnya dari negara Bukhara; yakni Imam al-Bukhari.

Kita juga telah mengetahui bahawa Sultan Muhammad al-Fateh yang berketurunan Turki menakluk kota Konstantinopel.
"Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera."
(HR. Ahmad)

Seorang tabi' tabi'in yang merupakan seorang bukan Arab, telah berjaya memimpin batalion tenteranya untuk menakluki sebagian dari Spain.

Maka tidak hairanlah jika syura para sahabat ketika ingin melantik khalifah (pengganti) RasuluLlah SAW yang pertama, mereka bersetuju untuk mengangkat seorang Quraisy sebagai ameer. Ini kerana kelebihan-kelebihan yang ada pada bangsa quraisy dalam kepimpinan, dan kehormatan diberikan oleh kabilah arab kepada bangsa tersebut. Di dalam qur'an juga Allah telah menyebut kurniaan-kurniaan yang Allah berikan kepada bangsa Quraisy. Di dalam hadith-hadith RasuluLlah SAW juga ada memuji tentang kelebihan yang ada pada Quraisy.

Begitulah adanya. Tetapi semua kelebihan tersebut adalah untuk tujuan Islam. Dan segala seruan yang dilaungkan adalah seruan kepada Islam. Tidak pernah berdakwah kepada ketuanan Quraisy.

Tidak pernah sama-sekali.

...bersambung...

Wednesday, April 7, 2010

Pak Hasan Mendefinisikan

Artikel ini adalah artikel ke-4 daripada 6 siri. Sebuah artikel dari siri "Kembali Kepada Keaslian".

...sambungan...

Al-Banna Meringkaskan

Di dalam risalah Da'watuna yang telah ditulis oleh al-ustaz Hasan al-Banna (atau ceramahnya), beliau telah meringkaskan permasalahan ini dalam ayat-ayat yang ringkas lagi padat. Sesiapa sahaja yang membaca risalah ini, pasti akan terbayang betapa ayat-ayat yang berada di dalam risalah tersebut adalah kefahaman al-ustaz secara komprehensif dan menyeluruh terhadap ayat-ayat al-Qur'an dan hadith. Antaranya:

Jika yang dimaksudkan dengan patriotisme dan nasionalisme adalah berikut:
  • Rasa rindu dan cinta kepada negara dan tanahair.
  • Keinginan untuk membebaskan negara dari penjajah dalam bentuk fizikal dan non-fizikal.
  • Pengukuhan hubungan rantau untuk kepentingan pembangunan lokal.
  • Penaklukan negara dan menguasai negara lain dengan deen Islam.
  • Berbangga dengan generasi silam untuk dijadikan contoh yang terbaik sehingga membangkitkan himmah (keinginan) yang tinggi memperjuangkan generasi kini.
  • Keluarga dan ummah adalah orang yang menerima layanan yang terbaik, dan orang yang paling utama dilimpahkan segala sumbangan dan jihad.
Maka, kesemuanya itu diterima dan benar di dalam Islam.

Tetapi jika patriotisme yang mereka maksudkan ialah memecah-belahkan ummah ini kepada beberapa puak yang saling bertelagah, saling berhasad-dengki, saling caci-mencaci saling tuduh menuduh dan saling dendam-mendendam, bersatu dan berpecah berlandaskan fahaman ciptaan manusia yang didorong oleh hawa nafsu, diatur oleh matlamat yang berbeza, digerakkan oleh fahaman yang hanya berlandaskan kepentingan peribadi, dalam masa yang sama pihak musuh mengambil kesempatan dengan menyemarakkan lagi api permusuhan, musuh memecah belahkan mereka dalam perkara yang sepatutnya mereka bersatu dan menyatu-padukan mereka dalam perkara yang tidak betul.....(sehingga akhir).

Patriotisme seperti ini adalah karut dan tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada para pendokong dan juga orang ramai.

Apa yang membezakan kita dengan mereka ialah kita meletakkan aqidah sebagai sempadan patriotisme kita. Sementara mereka meletakkan sempadan patriotisme mereka ialah sempadan geografi.

Manakala berkenaan dengan nasionalisme, jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri hingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanupulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri sepertimana yang pernah dilakukan oleh Jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih isitimewa berbanding bangsa-bangsa lain, maka maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggahan sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan. Tindakan ini sebenarnya membawa maksud memanupulasi semua bangsa manusia demi mencapai suatu yang tidak pasti, suatu yang bukan hakiki dan tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa.
"Allah telah membersihkan kamu dari nilai jahiliyah dan budaya berbangga dengan nenek moyang. Seluruh manusia berasal dari Adam, dan Adam daripada tanah. Tiada kemuliaan bagi orang Arab berbanding bukan Arab kecuali dengan ketaqwaan"
(Hadith RasuluLlah SAW)

...bersambung...

Sunday, April 4, 2010

Saling Mengenali

Artikel ini adalah artikel ke-3 daripada 6 siri dipostkan. Sebuah artikel dari siri "Kembali Kepada Keaslian".

...sambungan...

Berbangsa-bangsa Untuk Kenal

"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berkabilah-kabilah agar kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu adalah yang paling bertaqwa dari kamu. Sesunguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal"
(al-Hujurat, 49:13)

Al-ustadz Sayyid Qutub (rahimahuLlah) telah menerangkan tentang perihal ayat ini:
Wahai manusia, Zat yang menyerumu dengan seruan ini adalah Zat yang telah menciptakan kamu dari jenis lelaki dan wanita. Dia telah memperlihatkan kepadamu tujuan-tujuan dari menciptakanmu berkabilah-kabilah dan berbangsa-bangsa. Tujuannya bukan untuk saling bermusuhan, tetapi supaya harmonis dan saling kenal mengenal. Adapun perbezaan bahasa, warna kulit, perbezaan watak dan akhlaq, serta perbezaan bakat dan potensi merupakan keragaman yang tidak perlu menimbulkan pertentangan dan perselisihan. Namun, ianya adalah untuk mewujudkan kerjasama supaya bangkit dalam memikul segala tugas dan memenuhi segala keperluan.

Warna kulit, bangsa, bahasa, negara dan lainnya tidak ada dalam pertimbangan Allah. Di sana hanya ada satu timbangan untuk menguji seluruh nilai dan mengetahui keutamaan manusia; "Sesungguhnya yang paling mulia dari kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa dari kamu". Orang yang paling mulia secara hakiki adalah yang mulia menurut pandangan Allah. Dialah yang menilaimu berdasarkan pengetahuan dan berita, dengan pelbagai nilai dan timbangan; "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

Dengan demikian, berguguranlah segala perbezaan, gugurlah segala nilai. Lalu dinaikkanlah satu timbangan dengan satu penilaian. Timbangan inilah yang digunakan oleh manusia untuk menetapkan hukum. Nilai inilah yang harus dirujuk oleh manusia dalam menimbang/menilai.

Lalu al-ustaz Sayyid Qutub menyambung lagi...
Kemudian naiklah satu panji yang ditentukan agar semua orang dapat bernaung di bawahnya. Yakni panji ketaqwaan di bawah naungan Allah. Inilah panji yang dibawa oleh Islam untuk menyelamatkan umat manusia dari fanatisme bangsa, fanatisme daerah, fanatisme kabilah, dan fanatisme rumah. Semua ini merupakan kejahilan yang kemudian dikemaskan dalam berbagai bentuk dan dinamakan dengan pelbagai istilah. Semuanya merupakan kejahiliyahan yang tidak berkaitan dengan Islam.

Islam memerangi fanatisme jahiliyah ini serta segala macam bentuknya agar sistem Islam yang manusiawi dan global ini tegak di bawah satu panji; panji Allah. Bukan panji negara, bukan panji nasionalisme, bukan panji keluarga, dan bukan juga panji bangsa. Semua ini merupakan panji palsu yang tidak dikenal Islam.

RasuluLlah SAW bersabda:
"Kamu semua merupakan keturunan Adam dan Adam diciptakan dari tanah. Hendaklah satu kaum menahan diri dari berbangga dengan nenak-moynangya, atau jadilah kalian makhluq yang lebih remeh bagi Allah daripada ju'lan"
(HR. Abu Bakar al-Bazzar)

Berkenaan dengan fanatisme jahiliyah, ar-Rasul telah menyebut:
"Tinggalkanlah ia kerana ia merupakan bangkai" (HR. Muslim)

(Dipetik dari Tafsir Fi Dzilalil Qur'an - Sayyid Qutub)

Persoalan Yang Timbul?

Namun demikian, kita perlu melihat kepada apakah makna assobiyah yang dimaksudkan oleh ustaz Sayyid Qutub yang dibawa di dalam tafsir surah al-hujurat tersebut.

Saya mungkin berkata "Sepak" dengan maksud menendang, tetapi jika pembaca membaca "sepak" dan memahami tampar, bukankah itu penyebab perbezaan yang pertama? Hanya disebabkan berlainan definisi, perbincangan yang dilakukan langsung tidak masuk di antara satu sama lain. Saya menegakkan hujjah-hujjah saya berdasarkan definisi "Sepak" saya manakala para pembaca pula akan menegakkan hujjah-hujjah mereka berdasarkan definisi "Sepak" pembaca.

Jadi, dalam soal ini, mari kita meberi definisi terhadap asobiyah yang telah dimaksudkan oleh ustaz Sayyid Qutub. Sebuah hadith:
"Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadith) bertanya: 'Wahai Rasulullah, adakah dianggap ashobiyyah, puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya?' Jawab Baginda SAW: 'Tidak, tetapi asobiyah ialah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman'."
(HR. Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya)

Jadi jelas di sini bahawa asobiyah yang al-ustaz Sayyid Qutub maksudkan adalah asobiyah yang sama yang dimaksudkan oleh RasuluLlah SAW di dalam hadithnya tersebut. Asobiyah yang disebut tersebut bukanlah kecintaan kepada bangsanya.

...bersambung...

Thursday, April 1, 2010

Prinsip & Permulaan Bicara

Artikel ini adalah artikel ke-2 daripada 6 siri. Sebuah artikel dari siri "Kembali Kepada Keaslian".

...sambungan...

Prinsip Yang Jelas

"Terdapat suatu kisah di mana suatu ketika ahli-ahli bahasa tidak sependapat tentang jumlah rangkap syair Alfiyah bin Malik. Perselisihan yang timbul ini nampaknya tiada jalan penyelesaian sehinggalah suatu ketika ada seorang pakar bahasa membawakan sebuah naskhah Alfiyah bin Malik sambil berkata: 'Ini dia, kiralah jumlahnya!' Akhirnya mereka berjaya mencapai kata sepakat. Tindakan pakar tersebut berjaya menyelesaikan masalah mereka."
(dipetik dari Risalah "Adakah Kita Golongan Yang Bekerja?" oleh Hasan al-Banna)

Mari Kita Mula Berbicara

Saya teringat sebuah kisah di dalam sirah nabawi. Saat tersebut adalah ketika Abu Talib sudah mula sakit, sebagai akibat dari pemboikotan musyrikin Makkah ke atas Bani Mutallib dan Bani Hasyim. Al-Mala' (kepimpinan) musyrikin telah bertemu dan mengatakan, "Dahulu mereka membiarkannya sehinggakan apabila bapa saudaranya mati baru mereka hendak mengerjakannya".

Akhirnya mereka telah bersetuju untuk berjumpa RasuluLlah SAW untuk berunding buat kali terakhirnya sebelum kematian Abu Talib.

Apabila ar-Rasul, Abu Talib dan para pemimpin musyrikin berhimpun, Abu Talib menerangkan keinginan para pemimpin musyrikin tersebut. Beliau telah mengajak supaya kedua-duanya tidak menganggu satu sama lain. Mendengar hal ini, RasuluLlah SAW telah menjawab, "Apa pendapat kamu sekiranya aku mengemukakan kepada kamu satu perkataan yang apabila kamu ucapkannya kamu akan menguasai seluruh bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain akan tunduk kepada kamu?"

Kepimpinan Quraisy menjadi bingung lantaran persoalan tersebut. Mereka tidak mengetahui perkataan apakah yang begitu berkuasa sekali. Lalu Abu Jahal pun berkata: "Apa dia perkataan tersebut? Demi bapamu, mudah sangat! Kami boleh mengucapkannya dan sepuluh yang lain pun tidak mengapa"

Baginda SAW menjawab, "Ucaplah La-ilaha-illa-Llah di samping kamu menolak seluruh penyembahan-penyembahan yang lain"

Begitu hebat sekali kalimah yang dinyatakan ini. Sememangnya di dalam sirah tamadun Islam, hal ini telah terbuktikan, betapa luasnya jangkauan Islam sehinggakan pernah ada seorang khalifah (saya dah lupa namanya) yang berkata:

"Hai hujan, turunlah di mana sahaja di bumi ini, pasti ia akan sampai juga kepadaku" (atau seperti mana yang diucapkan).

...bersambung...

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]