Pages

Monday, May 31, 2010

Kenyataan Media LL4G


--

KENYATAAN MEDIA
Isnin 31hb Mei 2010

GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA

Perkembangan terkini flotila Lifeline4Gaza

1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.

2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal "Mavi Marmara". Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.

3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860(2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain
  • menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan,
  • menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan,
  • menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan
  • mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma.
Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia.

4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam.

5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.

6. Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama.

7. Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan.

8. Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.

9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan.

10. Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.

Zulkifli Mohd Nani
Pengerusi
Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi LL4G Malaysia

Saturday, May 29, 2010

Ketika Si Mu'min Redha

Kesabaran dan kecekalan untuk terus berada di atas kebenaran bukanlah suatu perkara yang mudah. Lagi-lagi dalam keadaan hidup kita yang hidup di zaman yang RasuluLlah sebutkan sebagai; zaman "pelahap-pelahap mengerumuni makanan". Ramai dari kalangan kita lemah imannya, bahkan ada juga yang kosong seperti buih di lautan.

Buih-buih yang terapung akan melambung apabila ombak melintas, dan akan kembali tenang apabila tiada apa yang memukulnya. Tetapi dalamnya tetap kosong dan tidak berisi, yang ada hanyalah udara yang memenuhi ruang kosong tersebut. Entiti ada, tetapi nilai tiada. Bila-bila masa sahaja boleh diletupkan. Keadaan ini hampir serupa keadaannya yang digambarkan oleh peribahasa Melayu; Bagai telur di hujung tanduk - sudah berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Dalam keadaan yang seperti ini, kesabaran yang tinggi merupakan taufiq daripada Allah kepada hamba-hambanya yang mulia agar mereka terselamat dari bermacam jenis gejala dan keruntuhan moral.

Orang-orang mu'min yang mempunyai jiwa-jiwa yang halus, sentiasa sahaja peka dan sensitif terhadap suasana mereka. Oleh kerana itu, mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk ber'uzlah syu'uriyah (pemisahan total secara perasaan/ma'nawi) agar mereka tidak larut di dalam kebejatan yang ada.

Walau bagaimanapun, orang-orang mu'min tetap manusia, dan manusia tetap melakukan kesalahan. Sedangkan para sahabat yang mulia, yang mendapat tarbiyah langsung dari RasuluLlah juga melakukan banyak kesalahan, apatah lagi mereka (baca: kita) yang hidup jauh dari zaman baginda SAW. Sudah pasti generasi ini lebih terbuka dan terdedah kepada kesalahan yang lebih banyak.

Namun melakukan kesilapan dan kesalahan, bukanlah sesuatu yang terlalu berat. Dosa tetap dosa, tetapi ada "dosa" yang lebih besar dari "dosa". Apekah?

Ia umpama seorang yang meninggalkan solat, dosanya adalah kerana dia meninggalkan solat sahaja. Tetapi suatu dosa yang lebih besar dari dosa tersebut ialah, dengan menafikan bahawa solat itu wajib. Dia berdosa disebabkan meninggalkan solat, dan bertambah dosa apabila menafikan syari'at Allah. Kufur hukumnya.

Namun, bagi orang-orang mu'min, mereka tidaklah seteruk itu. Mereka tetap melakukan segala kewajipan dan tanggungjawab seorang mu'min. Tetapi apabila mereka lemah, mereka harus berwaspada. Berwaspada agar tidak jatuh ke dalam lubang kehinaan.

Bilakah tibanya saat kehancuran dan kejatuhan bagi seorang mu'min?

"Ketika si mu'min mula redha dengan kema'siatan yang berlaku di sekelilingnya"

Saat itu hilanglah segala kepuasannya terhadap iman, lalu mulalah ia mengambil jalan-jalan yang lain.

Sabda Rasulullah SAW:
"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api."
(HR. Bukhari & Muslim)

Friday, May 28, 2010

Ucapan Perasmian Pejabat AQSA

Aqsa Syarif yang baru sahaja ditubuhkan untuk memimpin arus perdana di dalam isu Palestin telah memainkan peranan yang besar setakat ia ditubuhkan. Bermacam-macam projek besar telah dilancarkan, dan pelbagai siri ceramah Palestin telah diadakan secara besar-besaran, di bermacam-macam tempat di seluruh negara. Masyarakat pula menyambut Aqsa Syarif dengan penuh alu-aluan.

Berikut ini sedikit sebanyak latar belakang penubuhan Aqsa Syarif yang diceritakan oleh pengerusinya, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, di dalam ucapan perasmian pejabat baru Aqsa Syarif. Pada malam tersebut, beliau telah bertolak ke bumi Turkey untuk bersama-sama di dalam misi LL4G.



Thursday, May 27, 2010

Misi LifeLine4Gaza

Baru-baru ini, kita mengetahui bahawa terdapat wakil-wakil dari banyak negara yang menyertai Misi LifeLine4Gaza (LL4G). Antaranya ialah Malaysia sendiri yang diwakili oleh HALUAN, JIM, Aqsa Syarif dan lain-lain. AlhamduliLlah, walaupun Aqsa Syarif baru sahaja ditubuhkan, ia memainkan peranan yang sangat besar di dalam isu Palestin ini. Ia dapat bersama-sama dengan banyak lagi NGO dan pertubuhan lain dari seluruh pelusuk bumi untuk memecahkan blockade yang dikenakan pihak Zionis ke atas penduduk Palestin (Gaza). Mudah-mudahan usaha yang mulia ini berterusan dari masa ke masa, dan mudah-mudahan Aqsa Syarif dapat memimpin masyarakat Malaysia di dalam isu Palestin ini. Insya Allah!

Berikut ini adalah sebuah artikel yang tulis oleh wakil Aqsa Syarif yang turut menyertai misi LL4G, Syeikhuna Ir. Dr. Selamat Aliman.

--

Ir. Dr. Selamat Aliman
Wakil JIM & Aqsa Syarif

Assalamu'alaykum wbkt.

1. Terdapat beberapa soalan asas yang sering ditanya berhubung dengan penyertaan NGO Malaysia dalam Misi Flotilla Life Line for Gaza (LL4G), misi kemanusiaan ke Gaza. Berikut dicoretkan beberapa noktah yang insyAllah dapat memberi sedikit gambaran latarbelakang Misi LL4G ini.

2. Misi Kemanusiaan LL4G adalah inisiatif secara formal ke empat yang pernah dilakukan untuk membantu saudara-saudara kita di Gaza dalam menghadapi cengkaman ganas rejim zionis Yahudi. Misi-Misi ini diterajui oleh NGO-NGO dari seluruh dunia bagi memberi bantuan asas yang diperlukan oleh penduduk Gaza yang telah terkepung semenjak lebih 3 tahun yang lalu. Misi LL4G ini adalah misi terbesar melalui laut yang pernah diusahakan dan disertai oleh NGO-NGO dari lebih 50 negara, dari pelbagai latarbelakang agama dan bangsa. Peneraju dan pengendali utama Misi LL4G ini adalah IHH (Insan Hak ve Hurriyetleri Insani Yardim Vakfi), sebuah NGO terkemuka Turki dengan mendapat sokongan penuh Kerajaan Turki.

3. Misi LL4G melibatkan 9 buah kapal dengan 3 daripadanya dari Turki. Tiga buah kapal dari Turki ini akan belayar daripada pelabuhan Antalya menuju ke Laut Mediterranean di mana mereka akan bergabung dengan 6 buah lagi kapal di satu lokasi yang telah ditetapkan di sekitar perairan Cyprus, sebelum memulakan perjalanan menerobos sekatan tentera laut Israel menuju ke Gaza. Enam buah kapal berkenaan akan membawa bahan bantuan, termasuk bahan bangunan untuk membina semula bangunan sekolah, hospital dan perumahan yang dihancur-leburkan oleh Israel selama 23 hari serangannya di penghujung 2008 dan awal 2009.

4. Penglibatan NGO Malaysia dalam Misi LL4G ini terbahagi kepada dua iaitu (1) Gabungan lebih 50 NGO dari seluruh Malaysia di bawah kendalian IHH, dan (2) NGO di bawah kendalian Free Gaza Movement di mana Perdana Global Peace Malaysia adalah salah satu NGO berkenaan.

5. Bagi penyertaan di bawah kendalian IHH, setiap peserta perlu mengemukakan permohonan melalui koordinator negara masing-masing di mana HALUAN Palestin adalah koordinator bagi Malaysia. Pemilihan peserta perlu melalui saringan kesesuaian termasuk aspek keselamatan. Difahamkan terdapat kuota yang diperuntukkan bagi sesebuah negara atau organisasi bagi tujuan ini. Media dan penyertaan NGO mempunyai kuota berasingan.

6. Dalam Misi LL4G di bawah kendalian IHH ini, Malaysia diwakili oleh 6 NGO utama iaitu HALUAN, JIM, PACE, AQSA SYARIF, Yayasan Amal dan Muslim Care. Manakala dari segi bilangan peserta, HALUAN diwakili oleh 3 orang, JIM seorang yang juga mewakili PACE dan AQSA SYARIF, Yayasan Amal 1 orang, dan Muslim Care 1 orang. Selain itu, team media yang besama Misi LL4G Malaysia kendalian IHH adalah terdiri dari 5 orang iaitu 3 orang dari ASTRO AWANI dan 2 orang mewakili media dalaman HALUAN dan Akhbar Sinar. Dalam team media ini, 2 orang daripada mereka adalah aktivis HALUAN manakala seorang aktivis AQSA SYARIF.

7. Memandangkan Misi LL4G adalah misi kemanusiaan yang melibatkan penyaluran bantuan berbentuk material dan juga projek, sumbangan kewangan dari setiap peserta NGO adalah elemen penting dalam menetukan penyertaan dalam misi ini. Dalam hubungan ini JIM telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM200,000 melalui IHH untuk membeli pelbagai barangan dan peralatan yang diperlukan, dan seterusnya membawanya ke Gaza melalui Misi LL4G ini. Di samping itu, kutipan yang terkumpul melalui kempen intensif 48 jam yang berjumlah kira-kira RM200,000 juga insyaAllah akan disampaikan kepada sasaran-sasaran yang ditetapkan.

8. Media memainkan peranan penting dalam menjayakan Misi Lifeline 4 Gaza ini. Oleh itu setiap kumpulan akan berusaha untuk mendapatkan penyertaan media. Pada awalnya Misi LL4G di bawah kendalian IHH bercadang untuk membawa TV3 dalam kumpulan ini, namun di saat akhir pihak TV3 telah menarik diri dan difahamkan akan bersama kumpulan Free Gaza Movement. Usaha utuk mendapatkan khidmat Bernama TV juga mengalami kegagalan. Dengan inisiatif yang dijalankan oleh AQSA SYARIF, team LL4G ini akhirnya disertai oleh ASTRO AWANI. AQSA SYARIF adalah penaja utama dalam membawa ASTRO AWANI dalam Misi LL4G ini.

9. Semua peserta Misi LL4G di bawah kendalian IHH akan belayar di atas kapal Mavi Marmara, sebuah kapal penumpang yang boleh memuatkan seramai 1,080 penumpang. Namun bagi tujuan pelayaran ini, Mavi Marmara hanya akan membawa kira-kira 700 penumpang sahaja. Mavi Marmara yang telah berlepas dari Istanbul pada 24 Mei 2010 dalam satu majlis yang gilang gemilang kini telah berlabuh di Pelabuhan Antalya, Selatan Turki dan akan mengambil peserta misi sebelum berlepas ke Gaza. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pelepasan ke Gaza tertangguh untuk beberapa hari disebabkan oleh kelewatan pelepasan kapal dari Greece. Maklumat terkini membayangkan pelayaran ke Gaza insyaAllah akan berlepas pada 27 Mei 2010 selepas Zohor.

Selamat Aliman
Ahli Misi LL4G mewakili JIM/PACE/AQSA SYARIF

Antalya, Turki
26 Mei 2010

--
Beberapa berita berkenaan dengan misi tersebut:
  • Turki memohon supaya Zionis tidak menghalang armada "kebebasan" (klik)
  • Kapal konvoi keamanan bertolak hari ini (klik)
  • 'Armada Kemerdekaan': Kami akan tentang cubaan hentikan kami (klik)

Wednesday, May 19, 2010

Malam Galaksi Hidayah

Sesungguhnya Allah telah menyuruh kita untuk berlumba-lumba di dalam melakukan kebaikan; "Maka berlumba-lumbalah kamu di dalam melaksanakan kebaikan" (al-Baqarah, 2:148).

Kebaikan apakah yang lebih mulia daripada menyumbangkan sesuatu untuk Islam? Apatah lagi dengan harta dan jiwa yang ada pada diri kita?

"Wahai orang-orang yang beriman! Adakah kamu ingin agar aku tunjukkan kepada kamu sebuah perniagaan yang akan menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang pedih? (Iaitu dengan) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan kamu berjihad di atas jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui."
(as-Saff, 61:10-11)

Adakah ada kebaikan yang lebih besar selain dari menyelamatkan diri dari siksa api neraka, dan berusaha untuk memasuki syurga Allah?

"Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia telah berjaya..."
(Aali Imran, 3:185)

Maka siapakah yang tidak mahu berkejar-kejar menuju ke arah kejayaan?

Marilah kita memerhatikan apa yang telah kita bekalkan untuk hari esok...

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah dia bekalkan untuk hari esok (hari Akhirat). Bertaqwalah kepada Allah! Sesungguhnya Allah Maha Menegetahui apa yang kamu kerjakan"
(al-Hasyr, 59:18)

Jom berlumba-lumba menanam saham kita untuk ladang akhirat;

"Perumpamaan (infaq yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menginfaqkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, yang padan tiap-tiap bulir tersebut ada seratus benih (yang lain). Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Mengetahui"
(al-Baqarah, 2:216)

Jom menyumbang untuk bangunan Sekolah Menengah Islam Hidayah JB (website):

Leaflet bahagian depan.

Leaflet bahagian belakang.

Wednesday, May 12, 2010

Al-Qur'an Di Dalam Word

Seorang saudara yang saya kasihi telah berkongsi capaian ke sebuah laman web yang sangat bagus. Di laman web tersebut, ia menunjukkan langkah-langkah untuk menginstall sebuah aplikasi al-Qur'an yang di"embed" ke dalam Microsoft Word. Ia boleh digunakan untuk mengeluarkan apa-apa sahaja ayat dari al-Qur'an yang kita minta ia keluarkan, apa yang perlu para pengguna lakukan hanyalah memasukkan surah apa dan ayat mana yang ingin dipaparkan - ia akan memaparkannya.

Apa yang bagusnya untuk aplikasi ini ialah, para pengguna boleh copy-paste di dalam dokumen-dokumen yang memerlukan ayat-ayat al-Qur'an. Saya tak pasti sama ada ianya boleh digunakan untuk blog posts di blogger atau tidak, tetapi mungkin saya yakin ianya mampu dimanfaatkan dengan baik oleh sesiapa sahaja yang memerlukan penggunaan ayat al-Qur'an.

Selain daripada itu, ayat-ayat al-Qur'an yang disediakan juga mempunyai baris yang lengkap, termasuk tanda-tanda mad yang asas. Hal ini memudahkan lagi kerja-kerja orang yang ingin menulis ayat al-Qur'an dengan baris penuh.

Aplikasi yang sangat baik ini, jika digabungkan dengan online-application "search al-Qur'an" yang berada di bahagian penjuru atas blog ini, yang menggunakan sistem carian phonetical, ternyata mampu memberikan manfaat untuk para penulis sekalian. Lagi-lagi jika mereka hanya ingat sebutan ayat-ayat tanpa mengingati sumbernya dengan tepat.

Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa setiap individu bertanggungjawab untuk menyemak setiap ayat yang digunakan dari perisian tersebut. Pastikan setiap ayat yang digunakan tersebut bertepatan dengan hard-copy mashaf al-Qur'an yang ada di dalam tangan kita. Ini kerana, mashaf-mashaf yang kita miliki kebiasaannya telah diperiksa dan disahkan bebas dari kesalahan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Sedangkan perisian ini, saya tidak pasti sama ada ianya telah diperiksa atau belum.

Apa-apa halpun, gunakannya dengan baik, semoga kita mendapat manfaat yang besar daripadanya.

(Terasa seperti menulis review pula!)

.::Langkah-langkah::.

#0
Download dahulu perisian winrar. Boleh search di google. Cadangan; gunakan donwload.com

#1
Download perisian Qur'an di capaian ini - download.

#2
Extract files yang telah didownload.

#3
Tekan pada ikon aplikasi tersebut dan ikut sahaja arahan selanjutnya sehingga akhir proses installation.

#4
Buka Microsoft Word, dan pergi kepada tab "Add-ins".


#5
Di bawah pilihan al-Qur'an, pilih perkara yang ingin dipaparkan.


#6
Pilih ayat-ayat yang ingin dipaparkan.


#7
Akhirnya, ayat-ayat tersebut keluar.


Moga ini sedikit-sebanyak memberikan manfaat kepada semua.

Tuesday, May 11, 2010

Untukmu Palestina Tercinta!

Pada hujung minggu lepas saya sempat menghadiri Perhimpunan Perdana Palestin yang bertempat di stadium Melawati. Ini merupakan satu usaha yang baik untuk mempromosikan kesedaran umum tentang isu Palestin. Kita mengetahui bahawa isu ini bukan sahaja isu orang-orang Palestin, tetapi ia juga adalah isu ummah sejagat.

Saya mengucapkan jutaan tahniah buat para penganjur, yang di antaranya ialah HALUAN, JIM, ABIM, AQSA, dan lain-lain. Nampaknya isu Palestin ini telah menjalinkan hubungan yang baik di antara pelbagai jenis NGO tersebut. Moga mereka ini dapat terus-menerus bekerjasama pada masa-masa akan datang dalam usaha menyelesaikan masalah ummah, insya Allah.

Buat para peserta konsert, terutama dari kalangan pemuda, begitu semangat sekali anda melaungkan nasyid-nasyid bersama para munsyid (terutamanya Shoutul Harokah). Moga-moga semangat yang telah dikobarkan tersebut tidak tertinggal di dalam stadium tersebut. Ummah ini memerlukan para pemuda untuk menggerakkannya, dan ummah ini memerlukan orang-orang yang benar-benar beramal di dalam medan amal. Moga kita semua termasuk di dalamnya.

Sekiranya kita (pemuda) kebingungan tentang amal apakah yang harus dilakukan, saya merasakan artikel saya yang lalu bertajuk "Palestin dan Peranan Kita" mungkin dapat dimanfaatkan.

Akhirnya, moga kita semua termasuk dalam golongan orang yang beramal, insya Allah!

Nah sebuah video nasyid didedikasikan buat semua pemuda yang bersemangat!


Palestina Tercinta
Munsyid: Shoutul Harokah
(baca: Sowtul Harakah)

Untukmu jiwa-jiwa kami
Untukmu darah kami
Untukmu jiwa dan darah kami
Wahai al-Aqsa tercinta

Kami akan berjuang
Demi kebangkitan Islam
Kami rela berkorban
Demi Islam yang mulia

Untukmu, Palestina tercinta
Kami penuhi panggilanmu
Untukmu, al-Aqsa yang mulia
Kami kan terus bersamamu

Ya Rabbi, izinkanlah kami
Berjihad di Palestinamu
Ya Allah, masukkanlah kami
Tercatat sebagai syuhada'mu

Monday, May 10, 2010

Persepsi

Pandangan seseorang terhadap sesuatu itu terbina di atas persepsi. Persepsi pula terbina di atas dasar pengetahuan seseorang. Seandainya pengetahuan seseorang tersebut berkenaan dengan sesuatu itu terhad, bahkan sedikit, maka persepsinya pasti akan menjadi sangat berlainan jika dibandingkan sekiranya dia mempunyai pengetahuan yang banyak tentang sesuatu perkara tersebut.

Persepsi ini pula akan mempengaruhi cara seseorang berfikir dan bertindak, yang kemudiannya akan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada individu tersebut. Ini terutamanya bagaimana dia melihat orang lain, apakah perasaan dia apabila bersama-sama dengan orang yang tertentu, apa yang terbayang di pemikirannya apabila ternampak sahaja sekelompok individu yang tertentu, dan lain-lain.

Makanan Sangkaan

Persepsi kemudiannya menjadi makananan yang disuapkan kepada dzan (sangkaan, sebut: dzonn). Kadangkala dzan tersebut adalah betul, tetapi kebanyakan kali ianya hanya berpijak di atas perasaan dan kecenderungan seseorang terhadap sesuatu isu. Inilah yang telah disebutkan oleh Allah di dalam kitabNya yang suci: "...sesungguhnya pada sebahagian dzan itu terdapat dosa..." (al-Hujurat, 49:12).

Saya pernah membincangkan dalam bentuk yang lain di dalam post "Orang Buta & Kelebihan" tentang bagaimana kebenaran boleh menjadi terpesong hanya disebabkan persepsi. Kebenaran adalah Gajah, yang mempunyai kaki untuk berjalan, perut sebagai sebahagian dari badannya, dan belalai untuk digunakan untuk banyak tujuan. Namun orang-orang buta, telah membentuk persepsi mereka yang salah terhadap gajah dek kerana pengetahuan yang terhad yang ada pada diri mereka.

Kadangkala pengetahuan menjadi terhad kerana tahap kemampuan dan kematangan seseorang belum lagi mencapai tahap yang sepatutnya. Ada juga keadaan di mana pengetahuan menjadi terhad kerana keperluan menuntut agar kemaslahatan sesuatu pihak dapat dijaga. Bahkan mungkin juga keterhadan pengetahuan boleh berlaku dengan sebab-sebab yang lain.

Orang yang bijak

Orang yang bijak adalah orang yang tidak dengan cepatnya menghukum seseorang lantaran keterhadan pengetahuan yang ada padanya. Dia akan berusaha untuk memahami sebelum difahami (seek first to understand than to be understood).

Dalam keadaan-keadaan yang dia tidak mampu untuk memahaminya, dia akan mengambil keputusan untuk menggantungkan pendirian terhadap sesuatu isu, sehinggalah pengetahuan dan kefahaman datang kepadanya. Ini dengan tujuan menjauhi segala pra-sangka yang buruk.
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjauhi kebanyakan dari pra-sangka. Sesugguhnya sebahagian dari pra-sangka adalah dosa..." (al-Hujurat, 49:12).

Ataupun jalan yang lebih baik ialah, sentiasa sahaja dia menyangka dan sangkaan yang baik (husnu dzan). Lebih-lebih lagi terhadap orang-orang yang memang perlu disangka dengan sangkaan yang baik. Yakni mereka yang bukan dari golongan yang telah jelas kejahatannya, yang tidak boleh disangka dengan sangkaan yang baik lagi.

Betapa cantiknya kata-kata yang pernah disebutkan oleh 'Umar al-Khattab:
"Jangan menyangka buruk kata-kata yang keluar dari seorang akhi mu'min selagi mana kamu mampu mencari sebab baik (dia mengeluarkan kata-kata tersebut)"
(Ibnu Kathir)

Akhirnya Kita Adalah Ikhwah

Bukankah kita semua mu'min? Bukankah semua mu'min itu bersaudara?
"Hanyasanya orang mu'min adalah bersaudara (ikhwah)"
(al-Hujurat, 49:10)

Mari kita memelihara kekuatan jama'ah muslimin dengan kita sentiasa memelihara ukhuwah di antara kita.

Marilah kita bersama-sama maju di dalam medan ini!

"Ukhuwwah Teras Kegemilangan"

Saturday, May 8, 2010

Perutusan Pengerusi AQSA (Mei 2010)

Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus
Pengerusi Aqsa Syarif

Tiada yang layak mendapat setinggi pujian melainkan Allah S.W.T. Kasih dan sayang kita kepada Allah menyebabkan kita memilih untuk mengikut syariat Nabi Mohammad S.A.W. Lantaran itu kita sentiasa mendoakan baginda, ahli keluarga baginda. Sahabat baginda dan pengikut baginda sehingga hari kiamat.

Kezaliman Yahudi masih berterusan. Mereka melepaskan gas beracun ke terowong-terowong penyelamat, satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima akal yang waras. Apakah mereka mengaanggap saudara-saudara kita bagaikan tikus atau lipas yang layak untuk diperlakukan dengan sebegitu hina?

Namun bila merenung ayat yang saya percaya ramai yang telah menghafaznya, kita menereima hakikat semulajadi Yahudi. Allah telah menghukum mereka sedemikian rupa:

Dan Kami menyatakan kepada Bani Israel dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan Sesungguhnya kamu
akan berlaku sombong angkuh Dengan melampau"
(al-Isra’, 17:4)

Percayalah kezaliman yang mereka lakukan tidak berhenti setakat itu sahaja. Mereka akan bertindak lebih biadap apabila mereka semakin terdesak.

Allah telah mengatur percaturan hidup dengan penuh hikmah dan sebegitu seni. Surah al-Mulk yang menjadi wirid kita setiap malam, mengingatkan kehidupan ini bagaikan pentas ujian, siapakah yang paling elok amalannya di dunia ini.

Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)
(al-Mulk, 67:2)

Rupa-rupanya kita dan saudara kita masyarakat Palestin sama-sama sedang diuji. Mereka diuji dengan kepayahan berhadapan dengan Yahudi. Kita pula diuji, sama ada untuk membantu atau memerhatikan sahaja, atau lebih buruk untuk tidak mengambil tahu atau mengambi peduli.

Bayangkan suasana di Gaza yang sedang terkepung itu. Pada bila-bila masa boleh berlaku serangan dan letupan bom atau peluru berpandu. Di samping itu mereka juga terdedah kepada senjata pemusnah besar-besaran dan senjata yang diharamkan termasuk fosforus puteh yang amat mengazabkan bagi mangsa-mangsanya. Bayangkan apa yang tergambar dalam fikiran seorang kanak-kanak Palestin tentang masa depan mereka. Bandingkan pula dengan seorang kanak-kanak Malaysia yang gagal atau kecundang bukan kerana kepayahan hidup, tetapi kerana letih akibat kekenyangan.

Kedua-duanya masyarakat Malaysia mahupun masyarakat Palestin sedang diuji. Ketika saya ke perkhemahan Palestin samada di Jordan atau di Lubnan, saya melihat bangunan yang sempit dan berselirat dengan saluran air dan eletrik yang amat membahayakan keselamatan penghuni-penghuninya. Saya, isteri dan sahabat-sahabat dari Yaman yang berada di sana sesak nafas kerana kekurangan oksijen. Bayangkan hampir 60 tahun mereka hidup dan anak-anak mereka dibesarkan dalam suasana begitu.

Di perkhemahan Palestin, selepasa mereka hidup penuh sengsara semata-mata untuk ‘survive’ dan membesarkan anak-anak sehingga tamat pengajian di mana-mana university di dalam atau di luar Lubnan, ketahuilah mereka kemudiannya menghadapi pula larangan untuk menjawat 70 jenis pekerjaan di Lubnan.

Atas alasan kepentingan rakyat Lubnan, kerajaan Lubnan melarang warga Palestin untuk bekerja sebagai, doktor, jurutera, peguam dan 63 pekerjaan lainnya. Mereka tidak boleh memiliki tanah dan bangunan, tidak boleh memiliki syarikat perniagaan. Mereka tidak dibenarkan berkahwin dengan penduduk setempat. Kalau curi-curi berkahwin juga, anak-anak mereka tidak berhak untuk mewarisi harta peninggalan.

Namun bangsa yang diuji Allah ini tahan lasak. Bila bertemu dan ditanyakan mereka dari mana? Mereka dengan penuh rasa kemuliaan mengatakan "saya warga Palestin" yang tinggal samada di Lubnan atau Jordan atau Syria.

Saya tidak berhasrat untuk mengulas kejahatan Yahudi, kerana itulah sifat dan perangai semulajadi mereka seperti yang ditegaskan oleh al-Quran. AQSA SYARIF lebih berminat untuk membentang agenda amal kepada warga Malaysia supaya mereka melepasi ujian membantu saudara mereka dari warga Palestin.

Harta dan rezeki atau gaji yang Allah berikan setiap bulan kepada kita, sebenarnya ada hak mereka didalamnya. AQSA SYARIF membuka peluang untuk membantu anak-anak yatim dan keluarga miskin dari kalangan warga Palestin. Hari ini AQSA SYARIF mencapai sasaran 100 penajaan anak-anak yatim dari Palestin. Tahniah kepada warga Malaysia yang pemurah. Ini memberikan dorongan kepada AQSA SYARIF untuk terus membuka ruang amal bagi menetapkan sasaran berikutnya iaitu 200 anak yatim lagi.

Teruskan kempen kepada sesiapa sahaja yang anda temui untuk membantu anak-anak yatim yang merupakan masa depan bumi Palestin, Mereka hilang tempat pergantungan , hilang ayah untuk menjalani kehidupan penuh pancaroba di bawah penindasan dan kezaliman Yahudi Zionis.

Perancangan seterusnya ialah AQSA SYARIF sedang membuka projek menampung keluarga miskin di Palestin. Keluarga miskin ini ditinggalkan oleh suami atau ayah yang direnggut dari keluarga mereka oleh egim Zionis Israel dan dipenjarakan sehingga bertahun-tahun lamanya. Bahkan ada yang dijatuhkan hukuman penjara sehingga ratusan tahun. Akibatnya keluarga mereka terbiar tanpa pembelaan. Tanpa bantuan dan sokongan rakyat Malaysia, perjuangan mempertahankan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin yang diterajui oleh rakyat Palestin yang kini menderita akan terjejas. Oleh kerana itu seruan untuk membantu anak yatim dan keluarga miskin ini adalah seruan jihad yang tidak boleh diabaikan oleh umat Islam yang sedar tanggungjawab mereka untuk membela Masjid al-Aqsa dan membebaskan bumi suci Baitul Maqdis.

Aqsa Syarif membuka peluang ini kepada semua dengan sumbangan serendah USD10 untuk sekurang-kurangnya sebulan, untuk satu unit sesaham sumbangan bagi memenuhi satu lot sumbangan buat keluarga miskin yang memerlukan dari USD500 sehingga USD800 bagi menjalani kehidupan yang serba sederhana. Jumlah sebanyak hanya USD10 sebulan adalah amat rendah. Dengan cara berpakat dan berkongsi menaja sebuah keluarga miskin kita boleh menebus ketidakhdiran kita di sana untuk membantu mereka.

AQSA SYARIF membuka peluang ini kepada anda. Hebahkanlah kepada semua demi Masjidil Aqsa dan demi saudara kita di Palestin. AQSA SYARIF berpegang teguh dengan prinsipnya;

"SATU ringgit yang disumbangkan, SATU ringgit akan sampai ke Palestin"

Wassalam.

Ust. Hasanuddin Mohd Yunus
Pengerusi AQSA
Aqsa Syarif Berhad

Thursday, May 6, 2010

Memperingati Ulangtahun Nakbah ke-62

Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi ‘Cast lead’nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali.

Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang. Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.

Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 62. Peristiwa Nakbah atau ‘Malapetaka besar’ dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan ‘War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.

Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan. Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan ‘pre-emptive’ strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.

Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”

Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau ‘sektarianism’ samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif ‘muslim’ lawan ‘yahudi’ atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.

Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.

Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.

Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia.

Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2010 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan ‘hak’ dan ‘keselamatn’ Israel

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Palestine Centre of Excellence

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]