Pages

Tuesday, October 27, 2009

Soalan Yang Agung

Zaman pada ketika itu merupakan zaman-zaman yang kaum kerabat RasuluLlah ditekan oleh kaum-kaum Quraisy yan lainnya. Zaman pada ketika itu masih lagi pada zaman Makkah. Kaum Quraisy telah melancarkan pemboikotan secara besar-besaran terhadap Bani Hashim dan Bani al-Mutallib, yang menyebabkan akhirnya Abi Talib yang sudah tua dan menjangkaui umur lapan puluh tahun ditimpa penyakit yang agak berat.

Lalu terdetik sesama pembesar-pembesar Quraisy yang lainnya satu prasangka; kamu hanya menunggu Abu Talib mati sebelum mengenakan siksa yang berat kepada Muhammad, atau dalam erti kata lain, kamu adalah orang-orang yang tiada kehormatan dan pengecut!

Pimpinan Quraisy yang terdiri dari Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, Abu Jahal bin Hisyam, Umaiyah bin Khalaf dan Abu Sufian bin Harb telah pergi bertemu dengan Abu Talib bagi membincangkan perihal da'wah Muhammad. Mereka telah meminta agar Abu Talib meminta anak saudaranya itu menghentikan da'wah ar-Rasul dengan mengatakan:
"Cuba engkau minta daripadanya, dan beliau boleh membuat syarat untuk kami, dan beliau pula harus menerima sesuatu dari kami, supaya beliau boleh berhenti mengecam kami dan kami pun boleh berhenti menentangnya, dan hendaklah beliau membiarkan kami dengan agama kami, dan sebaliknya (juga) kami membiarkan beliau dengan agamanya"
Perbincangan tersebut telah memaksa Abu Talib untuk pergi menemui RasuluLlah SAW dan dia telah menyampaikan hasrat para pimpinan Quraisy kepada Muhammad. Walaubagaimanapun, permintaan ini telah dibalas dengan sebuah pertanyaan yang sangat besar:
"Apa pendapat kamu sekiranya aku kemukakan kepada kamu satu perkataan yang apabila kamu ucapkannya kamu akan menguasai seluruh bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain akan tunduk kepada kamu?"
Apakah satu kalimah yang sangat agung tersebut?

Bersambung...

Wednesday, October 21, 2009

Ikhlas II

Hati (baca: qalb) adalah satu organ yang sangat sensitif. Di situlah letaknya segala perasaan terhadap kehidupan, dan di situ jualah pusat segala amal hati. Sekiranya baik daging ini, maka baiklah seluruh jasad, tetapi jika rosak, maka rosaklah yang lainnya pula.

Sebelum ini kita mungkin mengenali da'wah melalui individu-individu yang ada di dalamnya. Mereka memancarkan sinar mereka sehingga ianya mengesani hati kita. Kadangkala sebab untuk kita terikat dengan da'wah bukan disebabkan da'wah sangat, tetapi lebih kepada orang yang berada dalam da'wah.

Sebelum ini mungkin kita tertarik kepada perwatakan, kepakaran, dan kearifan mereka. Mungkin juga kita tertarik disebabkan kehebatan mereka berbincang berkenaan deen dengan kita. Dan mungkin juga kita tertarik dengan sebab kata-kata iman yang keluar dari mulutnya, sehinggakan seandainya kita berada bersama-sama dengannya sahaja, keimanan bertambah dan ketenangan menyubur di jiwa.

Tetapi apabila kita melalui jalan ini, kita semakin mengenali, kita semakin memahami, dan kita semakin mengerti. Kita diproses dengan proses yang unik dengan melalui program yang jelas permulaannya, jalannya dan hala tujunya. Kita mengikuti usrah dan sistemnya, daurah dan perbincangannya, mukhayyam dan peraturan-peraturannya, dan bermacam-macam lagi wasilah yang lain. Kesemua ini dalam rangka untuk mendidik hati yang dahulunya jahil, dan kemudian kita menjadi mengerti. Kesemua ini semata-mata untuk ditarbiyah dengan tarbiyah rabbaniyah.

Kefahaman itu membuatkan kita berusaha untuk mengikhlaskan diri... Jika dahulu kita terikat dengan orang-orang da'wah, kini kita berada di sini kerana da'wah itu sendiri. Jika orang yang memperkenalkan da'wah kepada kita tiada lagi, maka kita tetapkan akan terus berada di atas jalan ini. Jika dahulu kita dida'wahkan, kini kita perlu menda'wah orang lain, dengan penuh keihklasan dan bersungguh-sungguh, tanpa mengenal jemu dan lelah.

Akhirnya Allah mengurniakan kepada kita kemanisan iman yang tidak diberikan melainkan kepada orang-orang yang ikhlas. Akhirnya juga Allah mengurniakan kepada kita satu kelebihan ke atas orang lain, iaitu pengurniaan thabat di jalan amal ini. Kita tetapkan akan beramal di atas jalan amal ini, dengan melalui maratibnya walau apapun yang terjadi. Dan kita tetap bersama-sama dengannya tanpa mengubah janji kita walau sedikitpun...

Dan kita sentiasa menunggu-nunggu giliran kita.

"Di antara orang-orang mu'min ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu. Dan mereka tidak sedikitpun mengubah (janjinya)"
(al-Ahzab, 33:23)

Kamu juga harus menunggu-nunggu giliranmu!

Friday, October 16, 2009

Tiupkan Ruh Perjuangan!

Setiap kali saya melawat blog seorang ikhwah tu, pasti saya akan terdengar nasyid ini dinasyidkan. Dengan gaya dan rentaknya yang penuh bersemangat, memang orang-orang yang macam saya sangat suka. Saya memang jenis orang yang tidak berapa suka nasyid-nasyid tempatan kerana bak kata ayah saya; "Nasyid kat Malaysia ni semonel belaka!"

Bahkan seorang ikhwah dari seberang pernah mengatakan maksud yang lebih kurang sama; "Nasyid-nasyid di Malaysia ni lembik, tak bersemangat... Banyaknya berunsurkan cinta sahaja. Tiada soal perjuangan. Nah dengarkan lagu ini!" Lalu dipasangnya sebuah nasyid Jihad dari tanah airnya... "Saat langit berwarna merah saga, dan kerikil perkasa..."

Nah, saya dedikasikan sebuah nasyid perjuangan untuk ikhwah sekalian! Tanpa melupakan bahagian untuk diriku sendiri... Nah, moga engkau terus thabat!



Munsyid: Izzatul Islam
Penulis: Saya tak pasti

Menapaki langkah langkah berduri
Menyusuri rawa lembah dan hutan
Berjalan di antara tebing curam
Semua dilalui demi perjuangan

Letih tubuh di dalam perjalanan
Saat hujan dan badai merasuki badan
Namun jiwa harus terus bertahan
Karena perjalanan masih panjang

Kami adalah tentara Allah
Siap melangkah menuju ke medan juang
Walau tertatih kaki ini berjalan
Jiwa perindu syahid tak akan tergoyahkan

Wahai tentara Alloh bertahanlah
Jangan menangis walau jasadmu terluka
Sebelum engkau bergelar SYUHADA
Tetaplah bertahan dan bersiap siagalah!

--
Ya Allah tiupkan ruh perjuangan dalam hati kami..!

Nota: Jangan dengar lagu ni sampai lupa untuk membaca al-Qur'an, sumber utama kekuatan hati kita.

Wednesday, October 14, 2009

Pandangan Terhadap KI dan Ahlinya


Assalamu’alaykum warahmatuLlah wabarakatuh!

AlhamduliLlah kita bersyukur kepada Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar kita, nabi Muhammad yang merupakan penghulu sekalian ambiya’ dan juga penutup para Rasul. Juga kepada kaum keluarga baginda, sahabat-sahabatnya serta barangsiapa yang mengikuti mereka dengan ihsan sehingga hari kiamat.

Sebelum memulakan bicara, saya ingin membacakan sepotong ayat dari al-Qur’an:


"Kamu telah dijadikan sebaik-baik ummah yang telah dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, maka yang demikian itu lebih baik bagi mereka. Dari kalangan mereka ada yang beriman dan kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasiq"
(Aali ‘Imran, 3:110)

Saya juga berasa senang untuk membawakan sebuah hadith nabi SAW kepada ikhwah dan akhawat sekalian:

عن عبد الله بن عمر - رضي الله عنهما - أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:
"كلكم راعٍ وكلكم مسؤول عن رعيته. الإمام راعٍ ومسؤول عن رعيته، والرجل راعٍ في أهله وهو مسؤول عن رعيته، والمرأة راعية في بيت زوجها ومسؤولة عن رعيتها، والخادم راعٍ في مال سيده ومسؤول عن رعيته."
"Setiap dari kamu adalah pemimpin dan setiap dari kamu bertanggunjawab atas kepimpinannya. Seorang imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

‘Amma ba’du!

AlhamduliLlah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan keizinannya kita dapat sampai ke akhir tahun 2009 ini. Dan sampainya kita ke sini setelah kita melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang tahun tersebut. Adakalanya Allah memberikan kepada kesenangan dan kemudahan ketika melakukan tugas, dan ada pula masa-masa yang kita lalui memerlukan kita untuk banyak bersabar dan bersabar. Tetapi akhirnya segala tugas yang dilakukan adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah, sama ada ianya berat atau ringan.

Saya telah membacakan kepada ikhwah dan akhawat sekalian sepotong ayat yang sangat releven buat kita sepanjang masa. Iaitu sepotong ayat yang meyebut bahawa: “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan kamu juga beriman dengan Allah.” Ayat ini menggambarkan satu tasawur yang cukup jelas bagi kita, bahkan sekiranya kita mengambil ia dalam konteksnya yang penuh (yakni dengan mengambil maksud dari ayat 102 hingga 110), kita akan melihat dari perspektif yang cukup jelas tentang tujuan kita, apa yang harus kita lakukan dan bagaimana untuk kita sampai ke tujuan kita. Kejelasannya umpama melihat bulan purnama pada malam yang gelap geilta dan tiada awan.

Allah telah mengingatkan kepada kita bahawa tujuan hidup kita adalah untuk menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepadaNya, dan Dia juga telah meletakkan satu piawai ketaqwaan di dalam hal ini; dengan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Hal ini jelas disebutkan di dalam ayat:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim (sepenuhnya menyerah diri kepada Allah tanpa menyimpankan walau sedikitpun untuk diri sendiri)”
(Aali ‘Imran, 3:102)

Tetapi masalahnya, adakah boleh mencapai darjat ketaqwaan tersebut dengan begitu sahaja? Dari tidak mempunyai apa-apa, tiba-tiba terus mendapat sesuatu yang sangat besar? Tanpa melalui jalannya yang betul? Tidak sama sekali! Segala matlamat yang benar wajib diperoleh atau dicapai melalui jalannya yang betul. Jadi, untuk memastikan kita dapat mencapai dan bergerak ke arah darjat ketaqwaan tersebut, Allah telah menyatakan bahawa; “hendaklah ada dari kalangan kamu yang mengajak kepada kebaikan…” (3:104). Hal ini diingatkan sekali lagi (3:110) dengan menyatakan pula bahawa kita adalah ummah yang terbaik sekiranya kita melakukan tiga perkara ini; (1) menyuruh kepada ma’ruf, (2) mencegah kemungkaran dan (3) beriman kepada Allah.

Malangnya, ramai dari kalangan manusia hanya melihat hal “menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada memungkaran” dari perspektif yang sempit. Sedangkan kita, harus melihatnya dari perspektif yang sangat luas. Apa yang saya cuba maksudkan di sini ialah kita harus mengetahui apakah ma’ruf yang paling besar dan apakah kemungkaran yang paling besar. Kemudian yang keduanya ialah kita harus mengetahui jalannya pula untuk melaksanakan kedua-dua perkara tersebut.

Apakah ma’ruf yang paling besar? Ia adalah menanamkan kalimah Allah agar ia menjadi yang tertinggi di dalam hati manusia. Dan apakah pula kemungkaran yang paling besar? Ia adalah perbuatan mensyirikkan Allah. Kita mengetahui bahawa syirik ialah mempersekutukan Allah dalam apa-apa hal sekalipun, sama ada dalam hal yang jelas lagi nyata seperti menyembah makhluk lain, dan juga dalam hal yang tersembunyi, mempercayai tentang khurafat dan yang seumpama dengannya. Dari definisi ini, kita dapat katakana bahawa perbuatan mencegah daripada kemungkaran yang terbesar ialah usaha untuk membuang dan menghancurkan segala syirik yang wujud, di dalam hati mahupun yang zahir.

Persoalannya, bagaimana kita ingin melakukan kesemua hal yang telah saya sebut tadi? Tidak boleh tidak ianya harus melalui satu proses pembentukan yang rapi.

Ikhwah dan akhawat yang ana kasihi!

Program apakah yang dengannya kita dapat melakukan proses pembentukan yang rapi tersebut? Ia adalah dengan melalui segala program tarbiyah dengan penuh bersungguh-sungguh dan berusaha juga untuk mentarbiyah orang lain. Dalam konteks ini, Kelab Iqra’ telah menjadikan tarbiyah sebagai jalan utama kita.

Tarbiyah ialah satu proses pembentukan keperibadian muslim sehingga mecapai sepuluh cirinya. Ia adalah memperbaiki (islah) diri sendiri sehingga seseorang itu memiliki aqidah yang sejahtera, ibadah yang betul, akhlak yang mantap, kuat tubuh badan, mampu berdikari, mampu bermujahadah melawan nafsu, keluasan fikrah, teratur dalam urusan, sangat menjaga waktu dan bermanfaat buat yang lainnya. Inilah sepuluh ciri yang kita harapkan dapat dibentuk dalam setiap ahli Kelab Iqra’.

Dalam hal ini, Kelab Iqra’ telah menjadikan usrah atau halaqah al-Qur’an sebagai tunjang tarbiyah. Tanpa mengikuti usrah, kita meyakini bahawa segala usaha-usaha yang lain akan menjadi sia-sia, atau setidak-tidaknya dikhuatiri amal-amal Islami yang dilaksanakan tidak mampu untuk dijadikan sebagai amal yang konsisten.

Walaubagaimanapun, hanya mengikut usrah sahaja adalah sangat-sangat tidak mencukupi. Ia umpama sebuah rumah yang hanya ada kerangkanya sahaja tanpa ada dinding atau atau atapnya. Bagi melengkapkannya, dinding harus dibuat dan atap harus dibina. Seandainya tiada kedua-dua elemen ini, maka tidak lengkaplah rumahnya. Begitu juga tarbiyah, usrah sahaja tidak mencukupi kita memerlukan kepada program-program sokongan yang lain untuk memenuhi keperluan tarbiyah. Tanpa program-program sokongan yang lain tersebut tarbiah tidak akan sempurna.

Maka atas dasar ini, Kelab Iqra’ telah menganjurkan banyak program pada tahun 2009 untuk menampung keperluan yang mendesak ini. Antaranya ialah, program Kem Semayam Ukhuwah Mahasiswa (KESUMA), Kem X-REK (Ekspidisi Mahasiswa Kental), Kursus Pemantapan Fasilitator (KPF), Bengkel Pengurusan Organisasi (BPO), Kem Generasi al-Qur’an (GenQ) dan lain-lain.

Kita juga menunjukkan komitmen untuk tidak mengorbankan aspek tarbiyah di dalam kerja-kerja dan tindakan-tindakan Kelab Iqra’. Seandainya ada perkara-perkara yang mendatang secara tiba-tiba yang memerlukan tindakan daripada Kelab Iqra’, maka aspek program tarbawi Kelab Iqra’ lah perkara pertama yang akan dilihat dan dinilai.

Namun demikian, hanya mengikuti program sahaja masih tidak mencukupi. Ia umpama pepetah arab yang mengatakan; ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah. Ilmu yang apabila tidak diamalkan dengannya, ia umpama sepohon pokok yang diharapkan buahnya tetapi ia tidak berbuah. Akhirnya semua orang yang mengikuti usrah dan program-program sokongan yang lain perlu turut bekerjasama di dalam menjayakannya; sebagai seorang penggerak yang aktif. Bagaimana mungkin kalimah Allah ditegakkan di muka bumi tanpa ada usaha yang dibuat? Maka benarlah kata-kata RasuluLlah SAW yang diriwayatkan oleh ad-Daylami:
“Bukanlah al-Iman itu dengan angan-angan dan bukanlah juga dengan perhiasan. Tetapi ia adalah apa yang diqrarkan di dalam hati dan dibenarkan dengan amal”

Akhirya, apa yang diharapkan ialah supaya kita sama-sama berganding bahu untuk terus menerus beristiqamah dengan jalan amal ini. Saya ingatkan kembali bahawa kita perlu jelas dengan matlamat kita untuk mengejar darjat ketaqwaan. Kemudian jalan yang harus ditempuhi ialah jalan yang melakukan amar ma’ruf nahi mungar. Bagaimana untuk melaksanakannya ialah melalui program-program tarbiyah, yang mana tunjangnya adalah usrah. Tetapi medan cakap tidak sama dengan medan amal, maka semua ahli dituntut untuk bekerja apabila sudah sampai masanya untuk dia bekerja. Kita harus bekerja dengan ikhlas, kerana pada akhirnya Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat amalan kita pada hari akhirat kelak.


“Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah at-Tawbah, 9:105)

Sekian dari saya. Aqulu qawli haza astaghfiruLlah li walakum.

Assaalamu’alaykum warahmatuLlahi wabarakatuh!

Presiden Kelab Iqra’ 2009
Kelab Iqra’ UTM
(Beberapa ketika sebelum meletak jawatan)

Sunday, October 11, 2009

Saff Kepimpinan Kelab Iqra' Tahun 2010

Tahniah buat saff pemipinan terbaru Kelab Iqra'! Sesungguhnya tugas da'wah ini bukanlah satu tugas yang mudah, ia memerlukan kesabaran yang banyak serta keazaman yang kuat. Tanpanya, pasti antum mudah kalah dengan mehnah dan tribulasi yang bakal menjelang.

Dan jangan lupa juga tugas utama antum, bahawa membentuk manusia menjadi seorang muslim yang sejati ialah amal qawiy antum. Walau di sisi manapun antum berada, antum harus membina individu-individu yang mampu memahami fikrah ini melalui bidang tersebut.

Moga-moga Allah memberikan kepada kita semua, taufiq dan hidayahNya agar da'wah kita berkembang dengan subur dan cepat di bumi UTM. Allahummahdina ya Allah!

Majlis tertinggi tahun 2009, kini menjadi para mantan.Belakang: Ahmad Mustafa Din, Mohd Hafiz Mohd Noor, Abd Adzim Abd Razak, Mohd Hafiz Mahyuddin, 'Ammar Taqiyuddin Ainullotfi, Mohamad Amir Imran Mohd Hasly, Mohd Rahiesyam Mohammad, Muhammad Aiman Fadzillah
Depan: Amira Mohamad, Nurul Nazihah Bakeri, Tasneem Nasharudin, Faizah Abd Razak, Norbaizura Yaso, Nur Izyani Dzulkipli, Nurul Iman Abdul Jalil, Rawaida Hamzah@Ahmad, Nurul Sa'adah Yusof

Barisan Majlis Tertinggi yang baru untuk tahun 2010.

Presiden:
Ahmad bin Mustafa Din

Timbalan:
Mohamad Amir Imran bin Mohd Hasli
Nur Izyani binti Dzulkipli

Setiausaha:
Azizi bin Johari
Izzah Atiqah binti Norkhair

Bendahari:
Mohd Hafiz bin Mohd Noor
Tasneem binti Nasharudin

Yang lain-lain belum ditentukan lagi. Bakal ditentukan di dalam perjumpaan barisan MT yang baru. Moga da'wah di bumi UTM semakin rancak dipergiatkan..!


Maklumat lanjut: Kelab-Iqra.blogspot.com

Wednesday, October 7, 2009

Tadarruj dan Peneguhan Hati


Seseorang pasti belajar berjalan dahulu sebelum berlari.
Seseorang pasti belajar berlari dahulu sebelum merempit kereta...

Lihatlah kepada dunia dan seisinya!

Di sana kamu melihat alam yang terbentang luas, dengan sistemnya yang sangat cantik. Matahari memberikan manfaat kepada bumi dan kehidupan apa yang ada padanya. Bulan dan bintang menerangi malam dan menjadi petunjuk buat pelayar di lautan, dan bumi yang terhampar luas mempunyai isi perut yang sarat dengan manfaat yang mampu sampai kepada manusia.

Burung-burung yang berkicauan di pagi hari dan petangya. Ayam berkok-kok lalu mengejutkan orang untuk beribadah kepadaNya. Lebah yang beterbangan di sana-sini menyimpan ubat yang manis di perutnya. Dan segala apa yang dikatakan sebagai makhluk yang dapat dilihat atau yang tersembunyi.


Segala-galanya melalui satu proses bertahap sebelum mencapai kesempurnaan dalam bentuknya, masing-masing melalui jalan yang telah ditetapkan sebelum berfungsi dengan fungsinya yang sempurna. Umpama buah epal yang sudah masak, ditunggu sahaja masanya untuk dipetik lalu dimanfaatkan kemanisannya.

Begitulah hakikat fitrah. Iaitu fitrah yang telah diftrahkan ke atas makhlukNya. Semuanya perlu melalui tahapan-tahapannya.

Jadi, tidak hairan mengapa manusia juga bersifat begitu... Tidak lain, ini hanyalah satu fitrah yang telah diftrahkan.

Sebelum pandai berlari, sudah tentu perlu belajar berjalan. Sebelum pandai berjalan, sudah tentu perlu belajar merangkak atau "berenang" dahulu. Dan begitulah seterusnya.

Dalam apa jua aspek pembelajaran, sama ada tarbiyah fardiyah, akademik, atau aspek-aspek praktikal, semuanya perlu melalui prosesnya yang bertahap.

Allah juga telah menjadikan sebagai satu sunnah tahapan; apabila manusia melalui umurnya, beban yang dipertanggungjawabkan ke atas bahunya semakin besar. Jika dahulu, dia seorang bayi yang tidak kisah langsung urusan orang lain, apabila dia sudah cukup dewasa, dia pula perlu menjadi pemimpin kepada keluarganya. Tetapi tidak terhenti sekadar itu, dia perlu menjadi pemimpin kepada masyarakat, negara dan dunia. Bebanan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Walaubagaimanapun, bebanan tersebut tidak sampai melebihi kemampuan seseorang, kerana Dia tidak membebankan seseorang melainkan dengan kadar kemampuannya (2:286).

Namun demikian, segala langkah yang tergesa-gesa untuk memetik buah sebelum masak pasti akan mendatangkan kemasaman dan kerosakan. Umpama seorang manusia yang tidak sabar melihat kecantikan kupu-kupu, dia membantu kupu-kupu tersebut keluar dari kepompongnya. Lalu kupu-kupu tersebut menjadi lemah dan cacat; tidak mampu terbang ke mana-mana.

Maka ketika orang-orang jahil dan kufur bertanya kepada baginda SAW:
"Mengapa tidak diturunkan al-Qur'an sekaligus?"

Lalu Allah menjawab:


"(yang) demikian itu supaya Kami memperkuatkan hatimu dengannya. Dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar)"
(al-Furqan, 25:32)

Kadangkala prosesnya agak lambat dan panjang. Bersabarlah dan beramallah kamu dengan sebenar-benar jihad.

Sesungguhnya Allah ingin memperteguhkan hatimu!

Note: Credit to www.murphyswildkingdom.com for universe's picture.

Monday, October 5, 2009

Ikhlas


Keilkhlasan bukan sesuatu yang mudah diperoleh. Ia adalah sesuatu yang perlu dilatih untuk ia mengakar di dalam hati. Sifat yang tidak mengakar di dalam keikhlasan hanya akan membawa kepada futur dalam amal. Kebarangkalian untuk thabat adalah tipis.

Tetapi apabila keikhlasan diperoleh, maka akan terhasillah orang-orang yang hebat dan mempunyai keperibadian yang bersinar. Cahaya keimanan jelas kelihatan pada peribadi tersebut, sehinggakan syaitan sekalipun tidak akan mampu untuk mempengaruhi mereka ini.

Mana tidaknya? Syaitan hanya mampu menyerang dan membisikkan ke jahatan ke dalam hati manusia. Tetapi hati golongan yang ikhlas adalah tulen dan tidak bercampur-baur dengan sesuatu apa yang lain. Tujuan mereka hanya Allah, dan keinginan mereka adalah untuk menjadi kalimahNya kalimah yang tertinggi.

Hati yang soleh pasti akan mensolehkan seluruh anggotanya yang lain, dan hati yang rosak pasti akan merosakkan yang lainnya pula.

Lihatlah peribadi 'Umar, seorang sahabat yang menerima tarbiyah langsung daripada RasuluLlah. Baginda pernah bersabda:
Demi diriku di tangan-Nya, tidak ada suatu pun jejak langkah perjalanan yang ditemui oleh syaitan melainkan syaitan akan memanjangkan langkahnya (untuk mendapatkan yang empunya jejak langkah), melainkan jejak langkahmu.
(HR. Bukhari & Muslim daripada Saad Abi Waqqas)

Bukankah pada generasi mereka terdapat contoh yang terbaik?

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]