Pages

Thursday, November 26, 2009

'Idul-Adha Dalam Perspektif

Dalam beberapa minit lagi (sekarang sudah) 'Idul-Adhha akan tiba. Di dalam syari'at Islam, 'Idul-Adhha merupakan hari perayaan yang paling utama. Namun kemeriahan itu tidak dirasai di Malaysia, kecuali di Pantai Timur. Umat Islam lebih menantikan 'Idul-Fitri, menyambut dengan penuh razzamatazznya, malah berlebih-lebihan merayakannya sehinggakan sebulan pula, sedangkan 'Idul-Adhha sepi - cutipun hanya sehari sahaja.

Mungkinkah kerana pengaruh komersial dan media yang salah letak tempat, sehinggakan ramai yang tidak sedar kepentingan 'Idul-Adhha itu, lalu dianggap sebagai Hari Raya sampingan?

Kalaulah syi'ar bertakbir dijadikan ukuran, semasa 'Idul-Adhha kita disyari'atkan bertakbir selama empat hari penuh, iaitu daripada masuknya Maghrib menjelang 'Idul-Adhha itu sendiri, sehingga terbenam matahari hari Tasyrik ketiga. Di dalam keempat-empat hari ini ibadah Qurban dilaksanakan. Pada hari-hari ini jugalah ibadah Haji disempurnakan di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.

Sebaliknya, untuk 'Idul-Fitri, kita cuma disyari'atkan bertakbir lebih sedikit daripada separuh hari, iaitu sehingga dimulakan solat Hari Raya. Tentunya ini sudah cukup menjadi ukuran bagi mereka yang menilai.

Namun di sebalik itu, 'Idul-Fitri dikaitkan dengan ibadah puasa sebulan Ramadhan, yang disertakan dengan Tarawih di malam-malamnya. Sebulan berpuasa menahan diri, telah menjadi suatu "penyebab" sektor komersial "mengapi-apikan" ummah untuk merayakan sepenuhnya 'Idul-Fitri, seolah-olah sebagai balasan yang berpatutan di atas menjalani kesukaran berpuasa tersebut. Bagi 'Idul-Adhha, tiada "penyebab" yang nyata untuk itu.

Mungkin dari suatu perspektif, ini ada baiknya, kerana lantaran itu 'Idul-Adhha bebas daripada gejala-gejala yang negatif yang dikaitkan dengan musim perayaan. Tumpuan penuh dapat diberikan kepadanya sesuai dengan sifatnya sebagai perayaan keagamaan, dan suatu ibadah kepada ALlah s.w.t. jua. Namun, pada masa yang sama, masyarakat perlu disedarkan mengenai peri utamanya 'Idul-Adhha dalam Islam, dan memberikannya tempatnya yang sesuai.

Selamat berbuka puasa (Puasa Hari 'Arafah), dan Selamat Menyambut 'Idul-Adhha, iaitu 'Idul-Akbar! Semoga ALlah menerima semua 'amal 'ibadah kita, dan memberikan keberkatan dalam hidup kita.

Salam 'Idul-Adhha daripada kami sekeluarga,

Ainullotfi bin Abdul Latif - al-Fikri al-Lamburi
Murniati binti Mustafa
'Umayr Sayfurrahman bin Ainullotfi, Muhaini binti Mahusin,
. dan Mus'ab bin 'Umayr Sayfurrahman
'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi
'Asim 'Abdullah bin Ainullotfi
Ruqayyah Nuruliman binti Ainullotfi
Fathimah 'Azzahra' binti Ainullotfi
Zaynab Almardiyyah binti Ainullotfi

Wednesday, November 11, 2009

Taujih Ruhiyah

"Akhi, kadang-kadang kerana satu atau lebih hal, tiba-tiba ada perubahan yang drastik dalam kekuatan ruhiyah kita. Solat kita tidak khusyu', kaki kita berat melangkah ke masjid untuk solat berjamaah (terutamanya solat subuh), dan keghairahan berqiyamullayl kita melemah atau hilang secara total.

"Keinginan kita pada dunia pula meluap-luap. Kita jadi sukar untuk bersyukur dan bertaubat. Kita akrab dengan dosa. Kita tidak ingat kematian, bahkan kita hadir 'tanpa perasaan' ketika mendengar atau melihat kematian seseorang, atau juga ketika kita melalui perkuburan. Kita susah diingatkan dan beremosi apabila diberikan nasihat. Jiwa kita menjadi liar, dan mata kita 'kering', tidak ada titisan air mata yang disisakan. Juga masalah-masalah lain yang tidak kurang bahayanya.

"Akhi, perlunya ada ramuan dan taujih ruhiyah (pesanan rohani) untuk kita mengatasi masalah-masalah di atas dan menrjernihkan ruhiyah kita. Dan buku ini, insya Allah, dapat memandu Anda menyuburkan kekuatan ruhiyah Anda, dengan bahasa yang enak dibaca. Apalagi, buku ini diperkuat dengan gaya bahasa spiritual penulisnya yang mendalam, dilengkapi dengan kata-kata yang penuh dengan makna dan contoh kehidupan nyata generasi salaf."

Sebuah buku yang ditujukan khas buat para da'i yang melalui jalan yang sangat-sangat memerlukan bekalan. Thabat adalah satu kurniaan dan nikmat yang besar yang tidak akan dikurniakan tanpa kita mencari bekalan. Jadi, nah satu buku yang bagus untuk kita. Nah satu (actually dua) buku untuk kita membekalkan diri kita dengan ketaqwaan.
"Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah ketaqwaan"
(al-Baqarah, 2:197)

Taujih Ruhiyah
(Pesan-pesan Spiritual Penjernih Hati)

Jilid 1

Jilid 2

Bagi yang berada di kawasan Johor, dapatkannya di Nowfara Bookstore. Kalau tak, masih boleh cuba menghubungi mereka.

Tuesday, November 3, 2009

Nikmat Besar

Suatu ketika dahulu jahiliyah telah dihapuskan oleh risalah Islam yang lengkap yang telah dibawa oleh RasuluLlah SAW. Pada ketika itu masyarakat Arab berada dalam kejahilan yang amat sangat. Mereka merupakan satu kelompok yang telah kehabisan nilai moral mereka, melainkan segiliter dari kalangan mereka. Itupun merupakan kesan-kesan dari da'wah Nabi Isa AS yang telah lama, dan itupun risalah Nabi Isa adalah di negeri Filistin, bukan di tanah Arab. Nabi yang telah datang sebelum itu adalah Nabi Ismail, beberapa ratus tahun sebelum terutusny RasuluLlah.

Jahiliyah kini telah kembali berleluasa sehingga menjadi fitnah yang sangat-sangat besar. Sesetengah pihak berkata, "jahiliyyah sekarang adalah lebih teruk" kerana orang kuffar telah mempelajari dari kesilapan-kesilapan lalu mereka. Pantang dibiarkan Islam berkembang, ia pasti akan menghancurkan kegelapan jahliyyah dengan sinar cahayanya.

Mereka telah menyerang dari bermacam-macam sudut. Sudut pemikiran, sudut ketenteraan, sudut ekonomi, sudut politik dan juga sudut-sudut yang lain. Dengan hati yang penuh dengan rasa bangga, dan dengan hati yang penuh dengan rasa dengki terhadap kebenaran, mereka telah menyusun dan merancang sesama mereka agar sinar cahaya tidak akan kembali selama-lamanya.

Kesan dari itu, ramailah manusia yang terpengaruh dengan propaganda kuffar. Samaada mereka sedar mahupun tidak, samaada di pagi hari atau malam hari, atau apa jua keadaan yang lain, di atas nama kemajuan ramai individu yang telah terkorban nilai dan jati diri mereka. Serangan-serangan yang halus telah direncanakan dan telah dilaksanakan sehingga akhirnya ia menjadikan manusia mengikut arus ini.

Arus kebatilan yang deras mengalir ini telah menyebabkan manusia merosakkan diri mereka sendiri. Jika sebelum ini, terdapa satu pihak yang melaksanakan agar dunia menerima arus mereka, kini hampir semua masyarakat dunia mengalu-alukan arus tersebut, tanpa wujud di dalam dirinya perasaan sangsi walau sedikitpun.

Ramailah yang terlibat di dalam jahiliyah. Sama ada yang jahiliyah yang mereka sendiri buat ataupun yang dibuat oleh orang lain. Hati mereka telah bergelumang di dalamnya sehingga sinar cahaya dan jalan taufiq itu begitu susah untuk dikenal-pasti. Dan kemaksiatan itu menjadi biasa dan tidak janggal lagi. Jika ada pun perasaan janggal tersebut, terdetik di hatinya, "takpe-takpe, asalkan bukan aku yang buat.." atau "ah, tak kisah lah!"

Namun demikian, Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik bagi manusia. Dia menghendaki agar sinar cahaya ini tidak padam, walaupun kaum kuffar dan musyrikin membenci. Dia menghendaki agar risalah yang mulia ini sentiasa terpelihara dari awal pengutusannya sehinggalah ke hari kiamat. Tidak ada satu manusia pun yang dapat mengubah hakikat ini.

Maka, wujudlah di tengah-tengah kegelapan jahiliyah tersebut sinar cahaya yang menerangi. Wujudlah di tengah-tengah satu masyarakat yang bingung beberapa sosok yang agung. Sosok yang agung yang telah melalui proses takwin yang sempurna. Mereka membawa harapan kepada manusia di kala manusia telah kehilangan pedomannya.

Sosok-sosok yang mulia ini lantas telah bergabung sesama sendiri kerana yakin bahawa sinar yang terpancar-pancar pasti tidak akan mampu meruntuhkan kegelapan yang tersusun. usaha-usaha mereka telah dimulakan dengan mencari individu-individu besi, dan juga mereka yang mempunyai kecenderungan untuk bersama-sama dengan kelompak sinar ini.

Satu demi satu manusia dikeluarkan dari dunia jahiliyahnya. Sinar ini menghancurkan kegelapan yang ada di dalam hati manusia-manusia pilihan tersebut. Lalu mereka diproses pula dengan proses yang telah dilalui oleh generasi-generasi terdahulu. Mereka telah dicelup dengan acuan yang agung. Acuan Allah! Acuan siapakah yang lebih baik dari acuan Allah?

Program at-takwinud daaqiq (pembentukan yang rapi) telah dijalankan atas setiap individu besi tersebut sehinggakan mereka menjadi besi-besi yang telah digilap dengan baik. Lantas cahaya yang tersinar di atas mereka turut disinarkan ke atas manusia lain. Mereka pula menjadi al-muharrikun bersama-sama dengan pemancing-pemancing yang telah menangkap mereka.

Akan tetapi kerja ini tidak mudah.

Benar kerja ini tidak mudah!

Jelas sekali benar, bahawa kerja ini tidak mudah wahai penyinar cahaya sekalian!

Allah telah berjanji untuk tidak membiarkan manusia mengatakan bawah "aku telah beriman" sedang mereka belum lagi diuji.

Jelas bahawa kerja ini amat berat dan susah sekali.

Manusia besi yang telah digilap tadi kembali terjun ke dalam masyarakat untuk menarik mereka kepada cahaya yang telah mereka rasai kenikmatan dan kelazatannya. Tetapi disebabkan jahiliyah yang begitu melata, ditambah pula dengan janji syaitan bahawa;
"aku akan mendatangi mereka dari depan mereka, dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka", kadangkala jahiliyyah itu menempias di dalam hati.

Bagi para penyinar cahaya ini, mereka mempunyai hati yang sangat sensitif. Bagi setiap manusia, seteruk manapun sejarah mereka, pasti ia akan lekat sebagai satu sejarah. Ia tidak akan hilang selamanya, bahkan ia akan tertinggal sebgai sebuah bekas yang mendalam di dalam jiwa mereka. Walaupun mereka para du'at yang mulia, ia tetap membekas di dalam hati.

Cukuplah syaitan untuk menarik trigger yang menutupi bekas tersebut untuk mengembalikan manusia besi ini kepada zaman jahiliyyahnya. Cukuplah dengan menyebabkan terdetik di hati sahaja, pasti sudah cukup mengancam iman yang telah mekar di hati golongan du'at.

Kecundanglah seorang demi seorang dengan hasutan syaitan. Kecundanglah mereka.

Memang benar tugas ini adalah tugas yang berat.

Allah adalah sebaik-baik perancang. Dia tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Dia pasti sudah merancang dan menggariskan jalan-jalan yang boleh menyelamatkan diri manusia dari terkecundang. Dari futur dan tertipu dengan tipu daya syaitan sepertimana tertipunya Adam dan Hawa suatu ketika dahulu.

Lalu melalui RasulNya yang mulia (SAW), satu mesej yang jelas telah disampaikan. Kamu umpama kambing biri-biri. Serigala tidak akan menyerang kambing biri-biri melainkan yang telah keluar dari kumpulannya. Ketahuilah bahawa serigala itu adalah syaitan.

Melalui RasulNya, wajiblah berjamaah untuk memelihara iman. Namun jamaah ini bukan sebarang jamaah. Ia bukan sekadar dan semata-mata bersama. Ia bukan sekadar dan semata-mata manusia-manusia yang beriman duduk atau tinggal bersama-sama. Jika ia tidak disusuli oleh tindakan-tindakan memperbaiki iman, pasti jamaah tersebut adalah jamaah bersuka-ria orang beriman.

Jamaah yang di dalamnya bercakap kosong dan berbual perkara lagho. Jamaah yang di antara ahlinya menyimpan perasaan-perasaan yang tidak mahmudah. Jamaah yang di dalamnya, masing-masing hanya berjamaah dalam bentuk fizikal. Tidak. Jamaah ini tidak akan mampu menyelamatkan iman manusia besi dari kecundang kepada jahiliyah di sekelilingnya. Tidak sama sekali.

Sesungguhnya jamaah yang dapat menyelamatkan ahlinya adalah sebuah jamaah yang sentiasa ada di dalamnya elemen-elemen ta'lim, tazkiyah, bertegur dengan kebenaran dan kesabaran. Sehingga wujud jamaah yang terikat ruhnya dengan keimanan dan kecintaan kepada Allah. Kata-kata yang keluar dari mulut ahlinya adalah kata-kata yang basah; sentiasa sahaja membuat ahli yang lain teringat akan Allah. Sentiasa sahaja berbincang dan saling mengingatkan diri untuk memperbaiki.

Jika manusia lain berlawak bodoh sesama mereka, dan berketawa kerananya sehingga hati menjadi keras, maka manusia besi yang bersinar-sinar cahaya daripadanya sentiasa sahaja mengucapkan kalimah-kalimah yang membangkitkan iman dan mensucikan jiwa. Sehinggakan jiwa-jiwa ahli jamaah ini menjadi jiwa-jiwa yang tenang dan tidak kusut.

Jika manusia biasa sentiasa sahaja mengisi telinga mereka dengan lagu-lagu untuk memenuhkan kekosongan hati mereka, maka manusia besi adalah orang yang ayat-ayatNya menjadi hiburan dan penenang hatinya.

Jika manusia lain adalah orang-orang yang melawan fitrahnya, malam dihidupkan dengan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, maka manusia besi adalah manusia-manusia yang di malam hari mereka mengadu kepada Rabb mereka lantaran kelemahan mereka.

Mereka takut. Takut diuji dengan sedikit ujian lalu gagal. Mereka takut dikembalikan kepada keadaan jahiliyyah mereka yang telah membekas tersebut. Mereka takut dan mengharap, agar perasaan cinta kepada Rabbnya dan kepada RasulNya tidak ditarik balik. Mereka takut, jika ada dosa-dsao yang mereka lakukan menyebabkan usaha-usaha sinaran cahaya digantung pertolongannya dari Allah. Mereka takut, andaikata mereka tersungkur, mereka tersungkur selama-lamanya.

Mereka berharap agar dapat bersama-sama dengan orang-orang yang dapat mengingatkan mereka kepada Allah.

Dan berdoalah mereka kepada Allah Rabbul 'Izzah.
Dan bergantung haraplah mereka kepadaNya.

Mereka berharap agar mereka diberikan tawfiq dan hidayahNya, di dalam setiap urusan. Sama ada dalam urusan deen, dunia atau akhirat. Agar dikurniakan satu nikmat yang agung, thabat sehingga ke akhirnya.

"Dari kalangan orang-orang mu'min terdapat rijal-rijal yang telah membenarkan janji mereka terhadap Allah. Maka dari kalangan mereka ada yang telah menyempurnakan janjinya, dan ada pula yang menunggu-nunggu (giliran mereka pula). Dan tidaklah (yang menunggu-nunggu itu) mengubah janji mereka"
(al-Ahzab, 33:23)

Tidak ada apa yang dapat mengubah mereka. Sehingga Allah mengurniakan kemenangan kepada mereka dengan pertolongannya, dan hancurlah kegelepan kejahilan dengan datangnya sinar cahaya yang menyinari.

--

"YA Allah!
Sesungguhnya engkau tahu,
bahawa hati-hati ini,
telah berhimpun kerana cintakanMu,

telah bertemu kerana taat kepadaMu,

telah bersatu untuk menyeru kepadaMu,
telah berjanji untuk menolong syari'atMu,
maka,
pereratkanlah akan hubungannya,

kekalkanlah kemesraannya,
tunjukilah ia jalannya,

terangilah ia dengan cahaya rabbaniMu yang tidak kunjung malap,
dan lapangkanlah dada-dadanya dengan kemuliaan keimanan denganMu,
kecantikan tawakkal ke atasMu,
dan,
hidupkanlah ia dengan ma'rifahMu,

serta matikanlah ia dengan syahadah di atas jalanMu,
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Mawla,

dan sebaik-baik Nasir.

Ya Allah perkenanlah!"

Sunday, November 1, 2009

Satu Kalimah

...Sambungan...

Setelah RasuluLlah SAW menyebut kata-katanya itu, mereka semua berhenti sebentar dalam keadaan terpinga-pinga. Lantas Abu Jahal dengan segera bertanya kembali;
"Apa dia perkataan yang amat berfaedah tersebut? Demi bapamu, mudah sangat, kami boleh mengucapkannya dan sepuluh yang lain pun tidak mengapa..."

RasuluLlah SAW menjawab,
"Ucaplah 'La-ilaha illaLlah' di samping kamu menolak seluruh penyembahan-penyembahan yang lain."

Dengan itu mereka (para pemimpin tersebut) bertepuk tangan dan berkata kepada Muhammad:
"Wahai Muhammad! Kamu hendak kami jadikan tuhan-tuhan yang banyak itu satu Tuhan sahaja? Ini tidak boleh jadi! Ini adalah satu perkara yang menghairankan!"

Setelah itu mereka pun beredar dari RasuluLlah SAW. Setelah berlalunya kisah ini, Allah telah menurunkan beberapa ayat dari surah Sod;
Shaad, demi Al Quran yang mempunyai keagungan. Sebenarnya orang-orang kafir itu (berada) dalam kesombongan dan permusuhan yang sengit. Betapa banyaknya umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, lalu mereka meminta tolong padahal (waktu itu) bukanlah saat untuk lari melepaskan diri. Dan mereka heran karena mereka kedatangan seorang pemberi peringatan (rasul) dari kalangan mereka; dan orang-orang kafir berkata: "Ini adalah seorang ahli sihir yang banyak berdusta". Mengapa ia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat mengherankan. Dan pergilah pemimpin-pemimpin mereka (seraya berkata): "Pergilah kamu dan tetaplah (menyembah) tuhan-tuhanmu, sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki. Kami tidak pernah mendengar hal ini dalam agama yang terakhir; ini (mengesakan Allah), tidak lain hanyalah (dusta) yang diada-adakan.
(Sod, 38:1-7)

Persoalannya, bagaimanakah hanya sebuah kata-kata dapat menyatukan penduduk bumi? Lalu mereka menjadi ummah yang satu. Dipimpin oleh orang yang paling memahami al-Qur'an. Bagaimanakah ini boleh terjadi?

Lihatlah sejarah, dan kajilah ia...

Farag Najjar

Kebiasaannya saya tak suka mengambil dari blog orang lain untuk diletakkan di sini, tetapi pada kali ini (dan mungkin juga pada kali-kali yang lain), saya ingin merakamkan di blog ini sebuah kisah dan pengalaman hidup seorang tokoh da'wah. Kemungkinan besar ramai yang belum mengenali beliau sebelum ini. Oleh itu, nah saya bentangkan dan kongsikan pengalaman hidup seorang tokoh da'wah. Mudah-mudahan kita mendapat tempias-tempias ruh da'wahnya.

--
Syeikh Farag Najjar
5 Ramadhan 1341 - 19 Ramadhan 1430H
22 April 1923 - 9 September 2009M
Tokoh Ikhwanul Muslimin

Syeikh Farag Najjar ini pernah ditemuramah oleh wartawan al-Jazeera mengenai pengalaman dakwahnya yang begitu panjang, termasuk ketika masuk pilihanraya 2000 sebagai calon. Malangnya, slot berkenaan tidak dapat ditayangkan. Al-Jazeera mendakwa bahawa kelapan-lapan tape temuramah tu telah dicuri.

Selepas kejadian itu, Syeikh menceritakan bahawa pada satu hari seorang Proffesor dari sebuah Universiti di Amerika telah datang mencarinya di rumahnya. Proffesor itu berkata kepadanya: "Aku menjumpai kelapan-lapan tape itu di pejabat Kongress Amerika. Aku berkata pada diriku, aku mesti jumpa Farag Najjar dan mencari sebab kenapa kelapan-lapan tape ini ada di sini, dan siapa agaknya Farag Najjar?"

Apa istimewanya lelaki ini?

Dilahirkan pada tahun 1923 di Mayyit Khaqan, Bandar Syibin Kom, Mesir. Anak keempat dari lapan orang adik beradik di dalam sebuah keluarga yang sederhana. Ayahnya bekerja sebagi tukang kayu dan ibunya seperti mana-mana wanita Mesir, menumpukan sepenuh masa menjadi suri rumah mendidik anak-anak dan mengurus keluarga.

Seperti adik-beradiknya yang lain, beliau dididik dengan didikan agama sejak kecil. Kedua ibu bapanya menghantar mereka untuk menuntut ilmu dari kalangan ulama-ulama. Beliau menghafal al-Quran dan syair-syair Arab dari Syeikh Abdul Hamid Ghanim semasa kecil.

Mula mengikuti dakwah Ikhwan Muslimin sejak berusia 15 tahun setelah mengikuti beberapa tariqat sufi. Berbaiah dengan Hasan al-Banna ketika berusia 16 tahun pada tahun 1939.

Tidak dapat menyempurnakan persekolahan di peringkat menengah kerana kesempitan wang. Belajar secara tidak formal di rumah dan menumpukan dakwah Ikhwan sehingga berjaya menubuhkan cawangan Ikhwan di Mayyit Khaqan, kampungnya dan membawa penduduk di sana menjadi penyokong Ikhwan setelah sebelum ini mereka menyokong parti Wafd.

Terlibat dengan Nizam Khas Ikhwan (unit elit Ikhwan) pada tahun 1941 dan mengembangkannya sehingga wujud cawangan Nizam Khas di Manufiah, Qalyubiah, Gharbiah dan Kafr Syeikh. Beliau mengepalai Nizam Khas di kawasan-kawasan itu yang dipanggil Wasat Delta (keluasan gabungan beberapa negeri di Malaysia).

Seorang yang sangat aktif dan cekap melaksanakan tugasan sehingga Hasan al-Banna memintanya agar tidak berkahwin sehingga berumur 30 tahun setelah mereka mencari penggantinya. Di antara contoh kecekapannya adalah ketika Nizam Khas meminta beliau menyelinap masuk ke Parti Komunis Mesir untuk mendapatkan rahsia, beliau berjaya melakukannya dan mendapat kepercayaan dari Parti Komunis Mesir sehingga dilantik menjadi Sekretariat Parti Komunis Mesir cawangan Gharbiah. Beliau berjaya mematahkan usaha membunuh Hasan al-Banna oleh Parti Komunis Mesir.

Dipenjarakan pada Januari 1954 dan dikeluarkan dari penjara pada Mac 1954. Cuba untuk dipenjarakan buat kali kedua, tetapi Ikhwan memutuskan agar beliau lari untuk menjaga maklumat Ikhwan yang disimpannya. Bermula dari situ beliau hidup dalam pelarian selama 21 tahun, menyamar dan menyelinap tanpa dapat dikesan oleh rejim Jamal Abdul Nasir.

Menceritakan pengalamannya melarikan diri beliau berkata:

Pihak keselamatan datang ke rumahku buat kali pertama dan mengepungnya. Aku berkata kepada ibuku: “Sibukkan mereka untuk aku lari dari belakang.” Ibuku adalah seorang wanita yang buta huruf tetapi beliau mahir di dalam melarikan diri. Pihak keselamatan menyeru kami dan ibuku berkata kepada mereka: “Sabarlah sehingga penghuni rumah ini menyiapkan diri.” Ibuku memanggilku dan menyerahkan kepadaku semua emasnya untuk aku gunakan dalam pelarian. Aku melompat ke rumah jiran. Seekor anjing cuba menyerangku dan tuan rumah itu membunuh anjing itu. Beliau memberi aku pakaian dan aku kelar dri rumahnya memulakan perjalanan dari Januari 1954 sehingga Julai 1975.

Setelah itu aku berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Aku menetap bersama manusia yang tidak dikenali langsung sebagai anggota Ikhwan. Adakalanya aku bersembunyi di tengah-tengah manusia yang tidak berjambang dan tidak solat di masjid. Hidup mereka terlalu biasa. Kadang-kadang aku berehat di rumah Menteri Dalam Negeri kerana tidak ada sesiapa pun yang akan menjangka aku akan berada di situ. Adakalanya suasana mendesak aku tidur di kawsan perkuburan setelah tidak ada lagi kawasan yang aman untukku. Segala puji bagi Allah, tempoh itu berlalu dengan selamat tanpa aku tertangkap. Itu semua adalah kurniaan dari Allah.

Pihak keselamatan memberikan tekanan kepadanya agar beliau menyerahkan diri. Antaranya adalah dengan cara memaksa keluarganya memeluk Kristian dengan cara memaksa mereka pergi ke gereja. Tetapi beliau terus menyembunyikan diri kerana merasakan maslahat menjaga rahsia Ikhwan lebih besar dari keselamatan ahli keluarganya. Ayahnya meninggal dunia setelah 15 tahun beliau bersembunyi. Beliau tidak dapat menghadiri majlis pengkebumiannya dan berasa amat sedih.

Di antara cerita semasa beliau menyembunyikan diri adalah ketika beliau mendapat peluang menziarahi ahli keluarganya, pihak keselamatan mendapat maklumat lalu mengepung rumahnya dan menyerunya keluar. Beliau mengambil sarang lebah lalu membiarkan lebah-lebah menggigit mukanya sehingga bengkak. Beliau selamat keluar dalam keadaan muka bengkak di celah-celah pihak keselamatan tanpa dicam.

Ketika pengampunan umum diumumkan oleh Anwar Sadat kepada semua anggota Ikhwan, semua diampunkan kecuali beliau. Semua anggota Ikhwan keluar menzahirkan diri kecuali beliau yang terus bersembunyi untuk tempoh dua tahun seterusnya. Kemudian beliau meminta izin dari Omar Telmesani, Mursyid Am Ikhwan ketika itu untuk menzahirkan diri, lalu Omar Telemesani membenarkannya seminggu sesudah itu.

Setelah menzahirkan diri, beliau berkahwin dan dikurniakan lima cahaya mata. Beliau terlibat aktif di dalam menyusun semula Ikhwan cawangan Manufiah.

Beliau meninggal dunia pada 9 September yang lepas (bersamaan 19 Ramadhan) dan dikebumikan sehari selepasnya dengan dihadiri oleh ribuan orang Islam.

Moga-moga Allah menerima segala amalnya dan melahirkan pengganti seumpamanya untuk umat ini.
--
Sumber asal: Sentuhan Memori
Artikel tambahan: Ustaz Halim
--
Nota:
Artikel ini sebenarnya telah agak lama. Saja mau postkan.

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]