Pages

Wednesday, August 12, 2009

Fiqh Haraki Perang Uhud: Syura

Di dalam kisah Uhud yang telah saya bawakan sebelum ini, saya telah menceritakan tentang kisah-kisah yang berlaku sebelum terjadinya perang Uhud. Di dalam kisah tersebut, termasuk sebuah kisah bagaimana sesebuah keputusan itu dibuat, terutamanya di dalam konteks amal jama'i (amal berpasukan).

Sebelum peperangan Uhud, bahkan sebelum RasuluLlah SAW berhijrah ke Makkah lagi, ayat ini telah diturunkan:

Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.
(Syura, 42:38)

Al-Ustadz Sayyid Qutb di dalam menghuraikan ayat ini telah berkata:
"Ayat ini menunjukkan bahawa bersyura itu adalah satu sifat yang penting bagi seorang mu'min. Mereka dianggap telah menerima seruan Allah dengan melaksanakan solat dan zakat yang merupakan perintah-perintah dalam Islam. Tujuan ayat ini akan tercapai apabila musyawarah telah dilakukan, gambaran yang diberikan di sini seolah-olah kesempurnaan iman tidak dapat dicapai tanpa syura" (Fi Dzilalil Qur'an).

Tidak hairanlah mengapa ayat dari surah as-Syura itu telah diturunkan ketika fasa Makkah lagi; "...seolah-olah kesempurnaan iman tidak dapat dicapai tanpa syura". Dan kita mengetahui bahawa pada fasa Makkiyah, tarbiyah ditekankan pada aspek aqidah dan keimanan.

Pada saat-saat hampir bermulanya peperangan pula RasuluLlah SAW telah membuat musyawarah bersama para sahabatnya. Nabi yang mulia telah memberikan pandangannya dan menyatakan keberatannya untuk mempertahankan Madinah dari dalam. Lagi-lagi baginda sendiri telah bermimpi tentang berita buruk yang bakal berlaku. Namun akhirnya, keputusan telah dibuat agar tentera Muslimin menghadapi tentera Musyrikin di luar Madinah.

Ar-Rasul telah mendapat gambaran awal tentang kesudahan perang Uhud, dan atas sebab itu baginda telah memberikan cadangannya ketika bermesyuarat bersama sahabat-sahabat. Walaupun baginda seorang Rasul yang mulia, yang mana pandangan serta pendapatnya adalah ma'sum dari dosa, namun baginda tetap memilih keputusan yang telah disyurakan secara bersama. Boleh sahaja autoriti yang ada pada baginda, digunakan untuk membatalkan keputusan-keputusan hasil dari pandangan manusia biasa (sahabat). Tetapi baginda tidak melakukannya.

Setelah berlangsungnya peperangan Uhud, Allah telah menurunkan ayat ini:

"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya"
(Aali 'Imran, 3:159)

"Kejadian-kejadian yang berlaku di Uhud kemudiannya menunjukkan bahawa pendapat RasuluLlah SAW adalah lebih tepat dan benar. Walaupun demikian, selepas Uhud, Allah memerintah RasuluLah SAW memohon ampun bagi sahabat-sahabatnya, dan bermesyuwarah dengan mereka dalam urusan mereka." (Fi dzilalil Qur'an)

Ketika menghuraikan bahagian: "...Kerana itu maafkanlah mereka, mintalah keampunan buat mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan...", as-Syahid Sayyid Qutub mengatakan di dalam tafsir Fi Dzilalnya:
"RasuluLLah SAW memang berhak membatlkan keputusan syura itu, tetapi baginda teruskan juga keputusan itu walaupun beliau mengetahui wujudnya penderitaan-penderitaan, kerugian-kerugian dan pengorbanan-pengorbanan di sebaliknya, kerana menegakkan dasar syura dan mengajar jama'ah Muslimin dan mendidik umat Muslimin adalah lebih penting dari kerugian-kerugian yang bersifat sementara."

Beliau telah menyambung huraian ayat tersebut:
"Dengan ungkapan yang tegas 'Bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan' ini, Islam menetapkan dasar ini di dalam sistem pemerintahan walaupun Nabi Muhammad SAW sendiri yang mengendalikan teraju pemerintahan itu. Ini adalah satu nas yang tegas yang tidak memberi sebarang keraguan kepada umat Muslimin bahawa syura itu merupakan dasar asasi (pemerintahan Islam). Ia tidak boleh ditegakkan di atas dasar yang lain darinya."

"...Dan apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah kasihkan orang-orang yang bertawakkal."
(Aali 'Imran, 3:159)

"Tugas syura ialah memeriksa pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan, dan memilih salah satu dari pandangan-pandangan yang dikemukan itu. Apabila sampai ke tahap ini, maka berakhirlah peranan syura dan tiba pula peranan pelaksanaan, iaitu melaksanakan keputusan syura dengan tegas dan penuh azam serta bertawakkal kepada Allah. Di sini ia menghubungkan urusan itu dengan takdir Allah dan menyerahkan kepada kehendak Allah mengatur akibat-akibatnya mengikut bagaimana yang dikehendaki olehNya." (Fi Dzilalil Qur'an)

Memperoleh keputusan tidaklah sepenting proses mendapatkan keputusan. Lagi-lagi di dalam konteks amal jama'i. Di dalamnya ada keberkatan, ada rahmah, ada perasaaan tanggunjawab meluas, dan ada petunjuk dari Allah. Hal ini telah ditunjukkan oleh RasuluLlah dengan satu contoh yang sangat baik ketika peperangan Uhud. Bahkan itu hanya satu contoh sahaja di dalam banyak contoh yang boleh diambil dari sirah RasuluLlah SAW, seorang sahabat telah berkata: "Aku tidak pernah melihat orang yang paling sering bermesyuwarah dengan sahabatnya selain RasuluLlah (SAW)" (HR. Ahmad).

Sayyidina 'Umar telah mengeluarkan satu kata-kata yang cukup cantik:
"Tidak ada kebaikan bagi setiap keputusan yang tidak melalui mekanisma syura"
Bagaimana mungkin ketika kita mahu beramal jama'i dalam melaksanakan da'wah, tetapi kita tidak mengikuti sunnah baginda di dalam proses mendapatkan keputusan? Janganlah kita menjadi orang-orang yang tertipu dengan jawatan dan autoriti sehingga mengabaikan sunnah yang agung ini. Tidak lain, ia hanya membawa kepada ketidak-berkatan dalam amal, merosakkan jama'ah, dan menjadi punca pecah-belah serta perbalahan.

Sudahkah kita mengamalkannya?

2 comments:

+akufobia+ said...

kalau belum,mulakan sekarang?semoga kita mendapat terbaik dari setiap keputusan syura.

Mashizaki Keikan said...

know. understand. and execute.

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]