Pages

Sunday, August 16, 2009

Rukun Usrah

Sebelum ini saya telah menceritakan sedikit-sebanyak tentang usrah, sirahnya dan juga sejarahnya (lihat: Sejarah Usrah). Di dalam bahagian sirahnya, saya ada membicarakan tentang apa yang RasuluLlah SAW lakukan pada peringkat-peringkat awal permulaan da'wah Islam di Makkah. Iaitu tentang kejadian yang berlaku di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Kemudian saya juga telah membawa, di dalam bahagian sejarahnya, cerita secara ringkas bagaimana Hasan al-Banna (mujaddid kurun lepas) berijtihad tentang keperluan untuk mewujudkan sebuah sistem yang mampu membina rijal-rijal da'wah.

Ramai yang mungkin memahami dan meletakkan perspektif bahawa usrah itu adalah sebuah liqa' (perjumpaan) mingguan yang di dalamnya ada pengisian-pengisian. Dengan perspektif itu, selalunya berlaku kepincangan di dalam diri mereka, "Bukankah lebih baik kita pergi dengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz?". Di dalam kefahaman mereka, usrah tersebut umpama majlis-majlis ilmu tetapi dalam jumlah yang lebih sedikit jumlah pesertanya. Bahkan tidak lebih dari itu.

Apabila usrah dilihat seperti itu, maka ia tidak ubah seperti sebuah ceramah berskala kecil. Sesebuah usrah yang berfungsi seperti itu sahaja tidak mungkin mampu membina keperibadian muslim sehingga mereka menjadi rijal-rijal da'wah. Ia akan menjadi sebuah program yang gagal di dalam pendekatannya, tidak jelas di dalam matlamatnya, bahkan hanya merosakkan pandangan umum terhadap kalimah usrah.

Sesungguhnya, usrah adalah sebuah nizam (SISTEM). Manakala liqa' (perjumpaan) mingguan hanyalah salah satu daripada programnya. Andaikata sistem ini lemah, nescaya akan lemahlah sesebuah gerakan Islam yang menjadikan tarbiyah sebagai asasnya. Dan sesungguhnya, kita adalah satu saff yang meyakini bahawa method revolusi Islam wajib menjadikan tarbiyah sebagai asas. Al-Banna berkata: "Berusahalah supaya anda menjadi sebahagian daripada batu-bata yang baik dalam binaan Islam ini".

Untuk memperkuatkan sistem ini, Hasan al-Banna telah menggariskan tiga rukun. Lalu beliau berpesan kepada golongan yang meyakini fikrah ini dengan pesanan:
"Jagalah rukun-rukun ini. Cubalah sedaya-upaya merealisasikannya supaya hubungan ini wujud bukan sekadar kerana satu arahan, sebaliknya ada ruh di sebalik pelaksanaannya".

Rukun-rukun usrah:

(1) Ta'aruf

"Ini adalah rukun pertama. Kenal-mengenalilah antara satu sama lain dan wujudkanlah suasana kasih-sayang sesama kamu dengan roh Allah. Hayatilah nilai persaudaraan yang sebenar dan ideal sesama kamu. Berusahalah sedaya-upaya supaya kamu tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan hubungan kamu. Sentiasalah laksanakan ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith yang mulia. Sentiasalah merenungi ayat-ayat dan hadith-hadith berikut. Ingatlah firman Allah SWT:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara
(al-Hujurat, 49:10)
Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam)
(Aali 'Imran, 3: 103)

RasuluLlah SAW juga pernah bersabda:
Seorang mu'min dengan seorang mu'min yang lain ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.
(HR. Bukhari dan Muslim)
Seorang muslim adalah saudara seorang muslim yang lain, tidaklah dia menzaliminya dan tidaklah juga dia membiarkannya.
(HR. Mutafaqqun 'alayh)
Kasih-sayang, belas kasihan dan simpati sesama orang-orang yang beriman ibarat satu tubuh.
(2) Tafahhum

Inilah rukun kedua dalam sistem ini. Istiqamahlah di astas jalan yang benar. Laksanakanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan Allah. Nilailah diri kamu sehalus-halusnya; adakah kamu orang-orang yang taat atau orang yang derhaka.

Setelah itu hendaklah kamu nasihatkan saudara kamu jika kamu melihat ada kelemahan padanya. Hendaklah saudara menerima nasihat daripada saudara kamu dengan gembira dan senang hati. Berterima-kasihlah kepadanya kerana nasihatnya itu. Janganlah saudara yang memberi nasihat itu berubah hati walaupun sebesar kuman sekalipun terhadap saudara yang dinasihati. Janganlah sehingga dia merasakan saudaranya itu lebih rendah daripadanya atau dia merasakan dia lebih baik daripada saudaranya itu.

Kedudukan kasih-sayang yang dijalin kerana Allah adalah kedudukan yang tertinggi, selain itu nasihat itu sendiri adalah rukun agama ini: 'Agama adalah nasihat'. Semoga Allah memperkukuhkan hubungan sesama kamu dan Allah berikan kamu kekuatan untuk mentaatiNya. Semoga Allah menjauhkan kita semua daripada angkara tipu daya syaitan.

(3) Takaful

Ini adalah rukun ketiga. Hendaklah kamu saling bantu-membantu, pikullah tanggungjawab bersama-sama. Inilah tanda keimanan dan teras persaudaraan. Hendaklah kamu berjanji untuk saling bertanya khabar dan membuat kebajikan. Hendaklah kamu sentiasa bersedia membantu saudara kamu setiap kali diperlukan. Hayatilah sabda RasuluLlah SAW:
Jika salah seorang di antara kamu berjalan kerana mahi menunaikan keperluan saudaranya itu, (ia) adalah lebih baik daripada dia beriktikaf selama sebulan di masjid saya ini.
Sesiapa yang membawa kegembiraan kepada sebuah keluarga muslim, Allah akan memperlihatkan kepadanya ganjaran yang tidak kurang daripada syurga.

Allah menyatukan hati kamu dengan ruhNya, Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong."

(dan selebihnya ianya disebutkan di dalam Risalah Sistem Usrah, Hasan al-Banna)

Dalam proses untuk kita mencantikkan lagi sistem ini, setiap al-akh hendaklah sentiasa menyemak kewajipannya dalam aspek kerjasama. Penilaian perlu dibuat sejauhmana dia melaksanakan rukun-rukun ini. Kita ingin memperkuatkan saff kita, maka kita harus bermula dengan memperkuatkan usrah kita. Janganlah sekadar ianya menjadi satu rutin perjumpaan mingguan, umpama air yang tidak mengalir, lalu menjadi busuk dan membiakkan penyakit.

Ummah ini memerlukan kepada satu gerombolan pemuda, yang tinggi cita-citanya, yang kuat keazaman mereka, dan bersungguh-sungguh di dalam usaha mereka. Tetapi mereka perlu disusun dalam saff yang tersusun, dan diikat dengan ikatan yang kuat sesama mereka dan para syuyukh (orang-orang tua).

Kewujudan mereka membawa perubahan kepada dunia,
Sinar keimanan dari hati mereka menghancurkan kegelapan kejahilan,
Sehingga tidak terjadi lagi fitnah di muka bumi,
Dan ad-deen keseluruhannya adalah untuk Allah.

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]