Pages

Monday, August 31, 2009

Piawai Ramadhan

--
"Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu"
(al-Baqarah, 2:183)

"Baragnsiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, akan diampunakan dosa-dosanya yang telah lalu" (Bukhari dan lain-lain)

Kedua-dua ayat yang penuh bermakna. Satu dari Allah secara langsung dan terus, dan yang lagi satu pula dari RasuluLlah SAW, dalam keadaan kita meyakini bahawa setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya adalah diwahyukan. Begitu juga seluruh tindakannya.

Allah telah menurunkan ayat yang ringkas tetapi mempunyai makna yang sangat cantik. Ringkas kerana ianya sangat pendek, tetapi pada masa yang sama makna yang ingin disampaikan begitu besar sekali impaknya pada kehidupan seorang muslim. Mana tidaknya? Kerana Allah telah menjelaskan tentang satu jalan untuk mencapai ketaqwaan.

Jika sebelum ini, di dalam sebuah ayat yang selalu kita renung-renung secara bersama;
"...Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa darimu..." (49:13) membawa kepada kita meyakini bahawa ketaqwaan adalah nilai kita di sisi Allah, maka di dalam ayat surah al-Baqarah di atas pula ia menunjukkan kepada kita jalan untuk menuju kepada ketaqwaan tersebut.

Dalam erti kata lain, tujuan berpuasa ialah untuk memperoleh ketaqwaan.

Dalam proses untuk memperoleh ketaqwaan tersebut, ada amal-amal fizikal dan amal-amal hati yang harus dibuat. Jika amal fizikal, saya yakin sudah ramai yang mengetahui apa yang perlu dibuat, i.e. puasa, tilawah, tadarus, qiyamullayl dan lain-lain.

Tetapi amal fizikal ini adalah tidak berguna sekiranya hati tidak turut serta di dalam amal. Sehinggakan apa yang RasuluLlah SAW pernah sebut menjadi benar: "Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga?" (an-Nasa'i & Ibnu Majah).

Puasa mempunyai piawainya sepertimana juga semua ibadah yang lain. Secara khususnya, Ramadhan itu juga mempunyai piawainya. Hadith yang saya bawakan di atas telah menyebut tentang piawai yang ingin kita capai dari amal-amal pada bulan Ramadhan; Penuh keimanan (imanan) dan penuh keinsafan (ihtisaban).

Sekiranya kita membuat 20 rakaat tarawih atau ditambah sebanyak mana bilangan rakaat tarawih pun, apabila ianya tidak dibuat dengan penuh keinsafan dan keimanan, maka ia seolah-olah boleh dikatakan sebagai sia-sia. Jika kita membaca al-Qur'an sebanyak manapun, tetapi tidak mencapai piawai yang telah ditetapkan, maka ia tetap akan menjadi sia-sia. Umpama sami-sami yang membaca mantera tetapi tidak memahami maksud yang diucapkan.

Kedua-dua piawai ini pada akhirnya membawa seseorang kepada tujuan puasa; ketaqwaan. Ketaqwaan pula membawa kita kepada kemuliaan di sisi Allah.

Siapakah yang tidak ingin kemuliaan dariNya?

1 comment:

Unknown said...

memperbaiki amalan untuk meneladani piawaian yang DIA tetapkan.

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]