Pages

Friday, November 30, 2012

Pelopor atau Pengikut?


Kita hidup dalam dunia yang menyaksikan banyak perubahan. Jika kita hanya melihat di Malaysia, mungkin kita tidak akan nampak banyak, tetapi jika kita melihat di dunia secara amnya, perubahan yang berlaku terlalu banyak. Namun Malaysia juga tidak terlepas dari arus perubahan. Orang berkata kita beruntung kerana kita lahir dalam sebuah negara yang aman lagi sentosa. Orang berkata bahawa kita beruntung kerana di dunia Malaysia kita ini, ramai yang menikmati macam-macam kesenangan. Tetapi jika kesenangan ini membuatkan kita lalai, kita telah mengeluarkan diri kita dari realiti dunia yang sedang berubah sekarang.

Ummah kita telah menyaksikan satu detik hitam di dalam sejarahnya. 1924 adalah satu tahun empayar khalifah secara rasminya dijatuhkan. Selepas itu, sistem khalifah dipadamkan habis dari muka bumi. Turki yang asalnya merupakan pusat kerajaan khilafah ‘Uthmaniyah telah kemudiannya menjadi sebuah negara yang secular di bawah Kamal Ataturk. Negara-negara Islam yang ada berpecah belah dari asalnya; kesatuan di bawah khalifah yang satu. Perasaan kebangsaan dan semangat perkauman ditiup oleh musuh-musuh Islam sehinggakan negara-negara Islam menjadi terpisah-pisah di antara satu sama lain, bahkan melemahkannya. Umat Islam dipimpin oleh tentera. Ramai pemimpin negara Islam adalah dari kalangan mereka yang berada di dalam tentera, dan mereka memimpin dengan menggunakan kuku besi. Ramai umat Islam yang menerima kesannya. Ramai yang terbunuh di tangan pemimpin yang beragama Islam ini sendiri.

Kini, setelah 88 tahun, masih lagi tiada sistem khalifah yang wujud. Masih banyak negara umat Islam yang tertindas; Afghanistan, Iraq, Syria, Palestin, Sudan, Somalia, Yemen, Pakistan, dan bermacam-macam lagi. Kebanyakannya negara-negara yang ditimpa bermacam-macam masalah yang telah dimulakan oleh barat. Kesusahan dan kemiskinan – barat mencuri kekayaan negara, pembunuhan beramai-ramai seperti di Palestin dan Syria. Bermacam-macam masalah sosial. Bermacam-macam masalah konflik identiti. Dan bahkan terperangkapnya negara di dalam perangkap ekonomi yang berasaskan sistem riba’.

Namun setelah 88 tahun ini juga, telah banyak usaha yang dilakukan oleh orang-orang yang ikhlas untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan ummahnya. Imam Hassan al-Banna, seorang reformer, telah mengasaskan gerakan al-Ikhwanul Muslimun (IM) pada tahun 1928 di Mesir. Beliau telah memulakan usaha ini bagi mengembalikan sistem khalifah ke tempat asalnya; memegang kepimpinan dunia. Semenjak dari penubuhan IM pada tahun 1928, IM telah melakukan bermacam-macam usaha dan telah membentangkan kepada ummah ideanya, pendekatannya, dan jalan-jalannya yang praktikal untuk mengembalikan Islam ke tempatnya. Dengan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh dan ikhlas yang dilakukan oleh anggota-anggota IM, IM kini mempunyai cawangan di seluruh dunia dengan sistem yang begitu tersusun. Juga setelah 88 tahun mengorak langkah di bumi Mesir, IM telah menghadiahkan seorang ahlinya kepada rakyat Mesir sebagai Presiden Mesir – Dr. Muhammad Mursi.

Di kawasan India dan Pakistan pula, Ustaz Abul A’la al-Maududi, juga seorang reformer, telah memulakan kerja dakwahnya sekitar era kejatuhan khalifah ‘Uthmaniyah dan pada 1940 Ustaz al-Maududi telah menubuhkan Jamaatil Islami (JI) di India-Pakistan. Usaha-usaha yang telah dilakukan juga sama seperti IM, walaupun Ustaz al-Maududi tidak berjumpa dengan pengasas jamaah IM. Idea-idea yang dibentangkan dan pendekatan-pendekatan yang diambil adalah hampir serupa jika tidak sama dengan IM. Disebabkan usaha-usaha dari JI ini, ramai masyarakat muslim di kawasan India-Pakistan telah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Begitu juga dengan di Turki, tempat terakhir khilafah Islam. Walaupun Kamal Ataturk telah melakukan bermacam-macam usaha memaksa masyarakat muslim Turki untuk membuang nilai-nilai Islam dari hidupnya, Allah tetap memelihara agamanya dengan adanya orang-orang seperti Badiuzzaman Sa’id Nursi. Usaha-usaha yang telah beliau lakukan bersama-sama orang-orang yang bersama-sama dengannya berjuang demi menegakkan semula ajaran Islam yang tulen. Hasilnya, kita dapat melihat Turki, walaupun ia masih lagi sebuah negara yang sekular, tetapi ia telah menjadi sebuah model negara muslim (nota: bukan negara Islam) era baru. Kemajuan yang dipacainya, melalui kepimpinan Rajab Tayyib ar-Ridhwan (Recep Tayyip Erdoğan), telah menjadikan Turki sebuah negara yang sangat-sangat pesat perkembangan ekonominya. Bahkan jika dinilai dari aspek-aspek yang lain, Turki juga boleh menjadi contoh negara muslim yang maju.

Setelah 88 tahun jatuhnya khalifah, kita juga telah melihat banyak negara-negara umat Islam yang telah beralih tangan kepimpinannya; dari kepimpinan diktator dan kuku besi kepada kepimpinan rakyat. Mesir, Tunisia, Libya, Maghribi, dan Yemen. Namun masih ada lagi yang masih dalam usaha dibebaskan dari tangan-tangan diktator – Syria. Usaha-usaha dari para reformis seperti Imam Hassan al-Banna, Abul A’la al-Maududi, Syeikh Badiuzzaman Said Nursi, dan bermacam-macam lagi telah mula kelihatan buahnya. Jika dahulu, ramai yang akan mengatakan bahawa ini adalah satu jalan yang mustahil, namun berkat kegigihan dan kejelasan visi para reformer ini, buah dakwah mereka telah mula kelihatan. Paling tidakpun, bunganya telah kelihatan.

Namun, selagi mana khalifah Islam tidak tertegak di atas muka bumi, selagi itu kerja mereka ini tidak selesai. Bahkan walaupun setelah adanya khalifah Islam, kerja-kerja yang dilakukan oleh IM, JI, dan lain-lain tetap perlu dilakukan demi menjadikan Islam sebuah ustaz kepada alam. Manusia seluruhnya merujuk kepada Islam dalam segala macam masalah dan persoalan. Dakwah Islam tetap akan berjalan sehinggalah Allah mendatangkan kiamat.

Kemenangan yang besar semakin hampir dengan kita, namun tiada siapa yang tahu bila ia akan datang. Inilah yang disebutkan oleh Allah: “Dan sesuatu yang selain dari itu yang kamu (orang-orang yang beriman) suka kepadanya – pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir” (as-Saff, 61:13) “Apakah kamu mengira kamu akan memasuki syurga? Sedangkan belum datang lagi kepada kamu ujian seperti golongan yang sebelum kamu? Mereka ditimpa ujian, kesusahan, dan kedudukan mereka digoncang, sehinggakan Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya mengatakan: Bilakah datangnya pertolongan Allah? (Ketahuilah) bahawa pertolongan Allah itu dekat” (al-Baqarah, 2:214).

Apakah kemenengan yang besar? Apabila orang berbondong-bondong kembali kepada Islam kerana tertegaknya semula sistem khilafah Islam. Tertegaknya semula Negara Islam dalam konteks yang sebenar, yang dipimpin oleh khalifah, yang berjalan di atas manhaj nabi. Lihatlah kepada sebuah hadith nabi SAW:

Dari Nu'man bin Basyir katanya, “Suatu ketika kami sedang duduk-duduk di Masjid Nabawi SAW dan Basyir itu adalah seorang yang tidak banyak cakap. Datanglah Abu Tha'labah lalu berkata, “Wahai Basyir bin Saad, adakah kamu hafaz hadis Rasulullah SAW tentang para pemerintah?” Huzaifah (RA) lalu segera menjawab, “Aku hafaz akan khutbah baginda (SAW) itu.” Maka duduklah Abu Tha'labah Al-Khusyna (untuk mendengarkan hadis berkenaan). Maka kata Huzaifah (RA), Nabi (SAW) telah bersabda, “Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu seperti yang Dia kehendaki, kemudian Allah pun mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan yang berjalan menurut cara Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah ia berlaku. Kemudian diangkat-Nya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlakulah pula Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah). Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah berlakunya. Kemudian Dia mengangkatnya seperti yang Dia kehendaki mengangkatnya. Kemudian berlakulah Zaman Pemerintah Yang Zalim (Diktator). Maka berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya. Kemudian berlakulah pula Zaman Kekhalifahan yang berlaku menurut cara Zaman Kenabian.” Kata Huzaifah (RA), “Kemudian baginda SAW diam.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Juzuk 4, halaman 273. Juga terdapat di dalam Kitab As-Silsilatus Sahihah, Jilid 1, hadis nombor 5)

Khilfah atas cara zaman kenabian akan berlaku semula setelah berlalunya zaman pemerintah yang zalim (diktator). Kepimpinan diktator telah hampir habis zamannya, yang akan datang pula khilafah atas minhaj nubuwwah. Ia merupakan janji Allah yang pasti datang, samada kita bersedia atau tidak secara peribadi. 

“Dan mengapa kamu tidak menginfaqkan harta kamu di jalan Allah, padahal milik Allah semua pusaka langit dan bumi? Tidak sama orang yang menginfaqkan (hartanya di jalan Allah) di antara kamu dan berperang sebelum al-Fathu (pembukaan). Mereka lebih tinggi darajatnya daripada orang-orang yang menginfaqkan (hartanya) dan berperang selepas itu. Dan Allah menjanjijkan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.” (al-Hadid, 57:10).

Tidak sama orang yang menyumbang dan memberikan tenaganya sebelum al-fath (kemenangan yang besar) dengan orang yang turut menyumbang dan memberikan tenaganya selepas al-fath. Sudah tentu orang yang berusaha gigih sebelum kemenangan mendapat ganjaran dan kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah. Perhatikan sebuah kisah di zaman RasuluLlah SAW tentang seorang sahabat RasuluLlah. Selepas peperangan Badar, RasuluLlah SAW telah mengajak Zuljausyan az-Zahabi RA untuk menyertai Islam dan menjadi pelopor (pioneers) Islam.

Baginda bersabda: “Mahukah kamu menjadi seorang dari angkatan pelopor pertama di dalam urusan itu (urusan menegakkan deen)?”
Dia berkata: “Tidak”
Baginda bersabda: “Apakah yang menahan kamu dari memasuki Islam?”
Dia menjawab: “Aku telah melihat kaummu mendustakan kamu, mengusir kamu dan memerangi kamu. Tengoklah nanti. Jika kamu mengalahkan mereka, aku beriman kepadamu dan aku akan mengikutimu. Jika mereka mengalahkan kamu, aku tidak akan mengikutmu”
Setelah beliau memasuki Islam selepas melihat kemenangan Islam di Makkah, dia sentiasa berdukacita dan menyesal tidak sudah kerana tidak segera memeluk Islam ketika diajak oleh RasuluLlah SAW.
(Tabaqat Ibnu Saad, Juzu’ 6, ms. 47)

Namun persoalan yang timbul pula ialah; kita pula bagaimana? Adakah kita mahu tengok dan lihat? Ikut sahaja mana yang menang. Jika Islam menang nanti, kita akan menyertai. Jika tidak, saya tetap akan sibuk dengan kerja harian saya.

Atau kita mahu bersama-sama menyumbangkan tenanga dan keringat sebelum datangnya kemenangan Islam? Lalu Allah berikan salah satu dari dua kemenangan – merasai al-fathu (kemenangan Islam yang besar) atau mati syahid di dalam berusaha mencapai fathu.

Jawapannya ada pada anda!

1 comment:

hanifmenhad said...

Alhamdulillah, entri yang baik

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]