Pages

Wednesday, February 3, 2010

Bertemu Atas Dasar Persamaan

Dua orang manusia bertemu di atas dasar persamaan.

A terjumpa B di pasaraya kerena mereka mempunyai persamaan aktiviti pada pagi tersebut. Kedua-duanya ingin membeli bekalan makanan seminggu untuk rumah masing-masing. Walaupun jika kedua-duanya tidak berjumpa pun sebelum ini, mereka bertemu di pasaraya di atas dasar persamaan, walaupun ia merupakan persamaan yang lemah.

C dan D hanya berjumpa ketika bermain bola petang-petang. Mereka dipertemukan di atas dasar ingin beriyadhah/bersukan. Ketika permainan bola tersebut, mereka bukan main lagi bersungguh-sungguh bekerjasama di dalam satu pasukan untuk menumpaskan pihak lawan. Seolah-olah mereka telah lama mengenali satu sama lain.

Namun, sebaik sahaja mereka berpisah, mereka akan lupa kepada orang-orang yang telah dipertemukan atas tujuan tadi, dan akan beralih pula kepada sahabat-sahabatnya yang lain yang dipertemukan di atas tujuan-tujuan lain yang sama; umpama study, dan lain-lain.

Semakin banyak persamaan yang ada di antara dua orang, maka semakin kuat pula hubungan mereka.

Merenungi Sirah Nabawiyah

Dalam hal ini, saya teringat sebuah kisah di dalam sirah nabawi. Saat tersebut adalah ketika Abu Talib sudah mula sakit, sebagai akibat dari pemboikotan musyrikin Makkah ke atas Bani Mutallib dan Bani Hasyim. Al-Mala' (kepimpinan) musyrikin telah bertemu dan mengatakan, "Dahulu mereka membiarkannya sehinggakan apabila bapa saudaranya mati baru mereka hendak mengerjakannya".

Akhirnya mereka telah bersetuju untuk berjumpa RasuluLlah SAW untuk berunding buat kali terakhirnya sebelum kematian Abu Talib.

Apabila ar-Rasul, Abu Talib dan para pemimpin musyrikin berhimpun, Abu Talib menerangkan keinginan para pemimpin musyrikin tersebut. Beliau telah mengajak supaya kedua-duanya tidak menganggu satu sama lain. Mendengar hal ini, RasuluLlah SAW telah menjawab, "Apa pendapat kamu sekiranya aku mengemukakan kepada kamu satu perkataan yang apabila kamu ucapkannya kamu akan menguasai seluruh bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain akan tunduk kepada kamu?"

Kepimpinan Quraisy menjadi bingung lantaran persoalan tersebut. Mereka tidak mengetahui perkataan apakah yang begitu berkuasa sekali. Lalu Abu Jahal pun berkata: "Apa dia perkataan tersebut? Demi bapamu, mudah sangat! Kami boleh mengucapkannya dan sepuluh yang lain pun tidak mengapa"

Baginda SAW menjawab, "Ucaplah La-ilaha-illa-Llah di samping kamu menolak seluruh penyembahan-penyembahan yang lain"

Persamaan Yang Kuat

Sememangnya benar, seseorang itu dipertemukan di atas dasar kesamaan di dalam tujuannya. Apabila tujuannya kecil dan bersifat sementara, maka pertemuan mereka pula hanyalah pertemuan yang sementara sahaja. Bahkan pertemuan-pertemuan ini hanya bersifat fizikal sahaja tanpa diikat dengan sebarang ikatan hati.

Hanya aqidah yang satu sahaja yang mampu untuk menyatukan segala perbezaan yang wujud di dunia ini. Walaupun kadang-kadang kita melihat orang-orang kafir, mereka mengaku bersatu, dan memang secara fizikalnya bersatu, tetapi pada hakikatnya mereka tidak bersatu. "Kamu menyangka mereka bersatu sedangkan hati mereka berpecah-belah" (59:14).

Aqidah yang satu, yang beriman kepada Tuhan yang satu, Yang Maha Esa. Tujuan yang akan sentiasa kekal selama-lamanya tanpa hilang di telan zaman walau sedikitpun. Tidak akan dibinasakan oleh masa, walau berjuta-juta tahun. Tuhan ini tetap wujud, dan kewujudannya adalah kekal. Selagi mana tujuan ini wujud, selagi itulah kesamaan/persamaan akan wujud, juga selagi mana seseorang itu beriman dengan aqidah yang satu.

Di saat manusia semua melihat kepada warna kulit, perbezaan bahasa, sempadan negara, dan kelainan kebudayaan, aqidah ini mengajarkan erti kesamaan;
"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan. Dan Kami telah menjadikan kamu berpuak-puak dan berkabilah-kabilah, agar kamu saling kenal-mengenal di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"
(al-Hujurat, 49:13)

Tidak ada tujuan lain selain dari Allah yang mampu menyatukan seluruh penduduk bumi.

--
nota: Bahagian sirah nabawi diambil dari ar-Raheeq Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman Mubarakfuri

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]