Pages

Thursday, December 17, 2009

Perkataan yang Memberi Tasawurnya

"Okay, angah ada teka-teki. Siapa pandai dia jawab..."

"Teka-teki? Hmm, macam best je..."

"Apa benda yang kita ada tapi orang lain yang guna?"

"NAMA!!!"

"Yeah, bijak..."

--
Dr. Jumaah Amin Abdul Aziz
Seorang tokoh terkenal Ikhwanul Muslimin

Nama?

Nama adalah satu barang yang penting buat seseorang. Dia sendiri memang jarang menggunakannya, akan tetapi orang lain banyak pula menggunakan nama kita sendiri. Hanya dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja kita menggunakan nama kita, seperti mengisi borang dan mentaarufkan diri dalam satu sesi perkenalan. Jarang sekali kita jumpa orang yang menggunakan namanya sebagai kata ganti diri untuk dirinya sendiri, kecuali beberapa kerat manusia.

Nama adalah beberapa belas huruf yang digabungkan di dalam dua atau tiga perkataan ini, walaupun kita jarang menggunakannya ia adalah satu barang yang kita miliki yang sangat penting. Siapakah kita jika kita tidak mempunyai nama? Bagaimanakah sejarah dapat mencatat tentang diri kita jika termasuk dalam orang-orang yang tidak mempunyai nama?

Tiba-tiba buku-buku sejarah boleh ternukil di dalamnya seperti berikut:
"Seseorang itu telah menduduki peperiksaan SPM, lalu dia mendapat keputusan yang sangat memberansangkan. Dengan keputusannya yang cemerlang itu, seseorang telah berjaya mengharumkan nama sekolahnya."
Bukankah pelik bunyinya? Seseorang? Seseorang yang mana?

Dalam Hadith

Sahabat-sahabat nabi (SAW), apabila meriwayatkan hadith-hadith yang berkaitan dengan keaiban seseorang, mereka tidak menyebut nama di dalam hadith yang diriwayatkannya. Apa yang biasanya mereka lakukan adalah dengan menyebut, Si Fulan bin Si Fulan, atau mereka hanya menyebut "seseorang". Untuk menyembunyikan keaiban, mereka hanya menyebut basic features seseorang tersebut seperti, "seorang perempuan" dan lain-lain.

Tetapi bagaimana pula jika kita melakukan perkara yang baik? Sudah tentu nama itu memainkan peranannya yang penting. Lagi-lagi jika perkara tersebut dibuat atas nama Allah, seperti berdakwah.

Dalam pandangan Ikhwan

Ikhwanul Muslimin, sebuah gerakan da'wah kontemporeri yang terbesar dan tertua, telah meletakkan namanya sebagai salah satu perkara tetap di dalam jamaah tersebut. Berkata Dr. Jumaah Amin di dalam buku "Metod Pemikiran al-Banna; Di Antara Tetap dan Perubahan":
"Nama jamaah adalah simbol bagi fikrah, sejarah dan tasawurnya. Hanya dengan menyebut namanya akan terbayang di fikiran kita apakah fikrah yang dibawa, apakah tasawur yang diseru, siapakah rijal-rijal yang memikul fikrah itu, bagaimanakah sejarahnya sejak ditubuhkan dan apakah peristiwa-peristiwa yang dilalui, penuh dengan jihad, pengorbanan, keperitan dan ketokohan individunya."
Ya, seperti yang disebutkan oleh Dr. Jumaah Amin, nama adalah sebagai satu simbol yang dapat menggambarkan tentang seseorang, atau sesuatu entiti, yang sebaik sahaja kita sebutkan sahaja namanya sahaja, tergambar dengan jelas di fikiran siapakah orang itu atau apakah entiti tersebut.

Nama-nama Yang Hebat

Kita sebutkan sahaja nama-nama yang besar di dalam sejarah Islam, seperti Abu Bakr as-Siddiq, 'Umar al-Khattab, Uthman bin 'Affan dan 'Ali bin Abi Talib, maka kita akan dapat membayangkan sosok-sosok da'i yang hebat yang telah menyumbang dengan banyak pada saat-saat awal kedatangan Islam. Juga orang-orang pertama yang telah memimpin ummah dengan penuh irsyad.

Sesiapa sahaja dari kalangan para sahabat baginda SAW, apabila kita sebut sahaja namanya, akan terbayang di fikiran tentang sejarah dan sumbangan mereka terhadap Islam. Masing-masing dengan karekteristik yang berbeza di antara satu sama lain.

Satu Fitrah

Sememangnya menjadi satu fitrah. Orang akan mengenal manusia lain dengan nama. Nama itulah yang akan memberikan gambaran yang unik terhadap seseorang. Tanpa nama, seseorang hanya akan disebut sebagai "seseorang" dan bentuk sebutan yang umum ini akan menyebabkan manusia boleh lupa tentang seseorang.

Nama Sahaja Tiada Apa

Namun demikian, nama sahaja tidak penting. Ini adalah kerana nama hanya sebagai satu sandaran untuk mengenali orang lain. Perwatakan seseorang dan perbuatan-perbuatannyalah yang akhirnya memberikan sesebuah nama gambarannya. Jika hanya nama yang baik seperti para sahabat, tetapi perangai teruk seperti Firaun atau Haman, orang akan menilai berdasarkan apa yang kita perbuat. Bahkan perbuatan tersebut akan mencemarkan pula namanya. Jika hanya ada nama sahaja tanpa diiringi dengan amal-amal yang benar, maka nama tersebut akan menjadi sia-sia.

Kita dituntut untuk beramal, tetapi beramal secara bijak. Nama adalah perlu untuk masyarakat mengenali kita, kerana mereka akan menilai berdasarkan nama yang kita ada. Nama tanpa amal ibarat sebuah buih yang mempunyai bentuk, tetapi isinya kosong.

Maka beramallah kamu!

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]