Pages

Monday, January 9, 2012

Harakah Mencapai Kemenangan


Sepuluh tahun sebelum tahun kebangkitan, satu dunia telah digemparkan dengan peristiwa 11 September, di mana dunia menyaksikan kedua-dua menara World Trade Centre (WTC) di New York telah dilanggar oleh kapal terbang, dan kedua-duanya runtuh. Kejadian yang menggemparkan dunia tersebut juga telah diiringi dengan satu kejadian yang hampir serupa yang berlaku di Pentagon, pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS). Tidak lama selepas kejadian tersebut, Presiden Bush mengisytiharkan perang terhadap Afghanistan pada bulan Oktober 2001, dengan alasan langkah pertama memerangi Terrorism, dan juga dengan alasan untuk mendapatkan Usamah bin Laden dan kumpulan al-Qaedanya. Bahkan peperangan tidak sekadar terhenti di situ, ia lanjut sehingga terjadinya peperangan Iraq  pada bulan Mac 2003. Semenjak dari peristiwa 11 September, dan dengan peranan propaganda media barat, kebanyakan masyarakat barat telah dikuasai pemikiran mereka dengan Islamafobia (takutkan Islam). Musuh-musuh Allah telah merancang untuk menjatuhkan Islam, namun mereka hanya mampu merancang, sedangkan sebaik-baik perancang adalah Allah.

Allah telah menentukan bahawa tahun 2011 merupakan satu tahun kebangkitan di beberapa negara utama umat Islam. Kita dapat menyaksikan bahawa gerakan-gerakan Islam di sana telah memainkan peranan yang besar dalam revolusi yang telah menjatuhkan rejim diktator. Ia telah bermula dengan negara Tunisia, diikuti negara-negara lain seperti Mesir, Libya, Yemen, Syria (baca: Suria), Maghribi dan lain-lain. Sejarah juga telah mencatatkan bahawa pada tahun 2006, Hamas di Palestin telah berjaya memenangi pilihanraya umum di negara tersebut dengan satu kemenangan yang besar, dan sehingga kini mereka tetap terus memimpin ummah di Gaza dengan amanah yang diberikan. Negara Turki juga tidak ketinggalan di dalam proses kebangkitan negara-negara Islam. Kita mendapati bahawa kesemua kebangkitan dan thaurah (َالثَّوْرَة) ini tidak terpisah daripada takdir dan kehendak Allah SWT.

Justice and Development Party (Maghribi), Ennahda Party (Tunisia), Hamas (Palestin), Freedom and Justice Party (Mesir), Partai Keadilan Sejahtera (Indonesia), Reform Party (Yemen), AKP (Turki) dan bahkan banyak lagi, merupakan antara parti-parti yang dipelopori oleh pejuang-pejuang Islam untuk membawa keadilan dan pembangunan di dalam masyarakat. Namun, bagi negara-negara yang lain, yang ingin turut serta di dalam kebangkitan ummah, bagaimana caranya untuk kita mencapai kemenangan?

Setiap pihak pasti ada teorinya, dan mereka masing-masing akan memperjuangkan teori apa yang mereka fahami dan pegang. Namun secara asasnya, berikut ini merupakan teori yang praktikal bagi mencapai kemenangan - matlamat gerakan;

(1) Mengharapkan Kemenangan Dari Allah Semata-Mata

Kemenangan dan pertolongan tidak datang melainkan dari Allah semata-mata. Pada asasnya, sesebuah gerakan yang mengharapkan kemenangan hendaklah meletakkan segala pergantungan dan pengharapan terhadap kemenangan kepada Allah. Barangsiapa yang meletakkan pengharapan tersebut kepada sesuatu yang selain daripadaNya, nescaya mereka tidak akan berjaya memperolehinya. Sesuatu kemenangan di sisi Islam hanya disandarkan kepada Allah, tidak selain dariNya. Inilah satu hakikat yang telah ditekankan oleh Allah di dalam al-Qur'an. Nah lihat bagaimana banyaknya ayat-ayat Allah yang menyebut tentang pertolongan (ُالنَّصْر) dan kesemuanya disandarkan kepadaNya;
"Dan tidak ada pertolongan melainkan dari sisi Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Aali Imran, 3:126)
"Dan tidak ada pertolongan melainkan dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (al-Anfal, 8:10)
"Sekiranya Allah menolong kamu maka tidak ada yang dapat mengalahkan kamu" (Aali Imran, 3:160)
"Dan Allah paling mengetahui musuh-musuh kamu, cukuplah Allah sebagai wali dan cukuplah Allah sebagai penolong" (an-Nisa', 4:214)
"Apabila datangnya pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu melihat manusia berbondong-bondong memasuki deen Allah, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat." (an-Nasr, 110:1-3)
Carilah segala an-nasr di dalam al-Qur'an dan sudah pastinya anda akan menjumpai bahawa ia dinisbahkan kepada Allah.

Sesungguhnya kejayaan-kejayaan kecil yang diperolehi kita masa kini, hanyalah suatu hadiah dari Allah. Bahkan ia merupakan hakNya sama ada ingin memberikan hadiah tersebut atau tidak. Satu kesalahan yang biasanya berlaku ialah terlalu memberikan tumpuan kepada method dan kurangnya pergantungan kepada Allah. Kesannya ialah, usaha yang banyak namun kejayaan-kejayaaan yang diperoleh adalah sedikit.

Apakah pilar-pilar bagi mendapat pertolongan Allah? Ia tidak lari dari apa yang disebutkan di bawah:
  • Keikhlasan kepada Allah yang tidak bercampur-baur dengan sesuatu apa yang lain.
  • Tawakkal yang benar kepada Allah dan kepercayaan pengurniaan pertolongan Allah. Termasuk dalam erti kata tawakkal yang benar ialah pergantungan yang diiringi perasaan yang kuat terhadap Allah bahawa kemenangan tidak mungkin tercapai melainkan dengan izinNya serta mengharapkan Allah mengurniakan kemenangan dan pertolonganNya. Pergantungan yang bukan hanya meniti di bibir-bibir sahaja.
  • Doa yang penuh pengharapan dan keinginan. Doa yang tidak hanya menjadi rutin bacaan, tetapi diiringi dengan ruh dan hubungan Allah.
  • Ketaqwaan kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. 
  • Memperbanyakkan pengabdian kepada Allah dengan solat dan zikir. Melaksanakan solat dengan penuh khusyu', menambah yang wajib dengan yang sunat, mendirikan malam dengan tahajjud dan witir, menjadikan ratib di bibir ingatan kepada Allah, bertaubat kepadanya berkali-kali dalam sehari.

(2) Saf Yang Kukuh

Untuk mencapai matlamat dan cita-cita Islam, sesebuah gerakan tidak boleh tidak memerlukan kepada barisan saf yang kukuh. Kekuatan saf akan bergantung kepada;
  • Nidzam dan manhaj yang jelas lagi tersusun. Sebuah organisasi yang kukuh pasti mempunyai matlamat yang jelas dan kerangka umum terhadap jalan yang perlu ia lalui bagi mencapai matlamat. Strukturnya tersusun dan tidak berterabur. Sistem usrah adalah satu sistem yang dapat memastikan perkara ini di dalam sesebuah gerakan Islam. Perancangan yang rapi yang merangkumi target jangka masa pendek, objektif jangka masa sederhana, dan matlamat jangka masa panjang. Pembahagian tugas dan kerja yang sesuai agar tiada ahli yang menganggur atau terlalu terbeban. Syura yang mengikat untuk melaksanakan amal-amal qawi yang terhala. Dan pemantauan yang berterusan serta muhasabah. Manhaj yang jelas di dalam pembinaan ahli. Apa yang paling penting ialah pengambilan sumber manhaj dari al-Qur'an, Sunnah Nabawiyah dan golongan salafussoleh yang terawal.
  • Kepimpinan yang dipercayai lagi ditaati. Kepimpinan yang berwibawa dan mempunyai karekteristik kepimpinan. Berwawasan jauh serta bijaksana di dalam penyusunan strategi. Orang yang dipercayai dalam deennya dan keseluruhan hidupnya. Arahan-arahannya dipatuhi dan dilaksanakan dengan cara yang terbaik. 
  • Para pengikut yang mempercayai dan mentaati. Mereka meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada kepimpinan mereka, serta mentaati arahan-arahan atau keputusan syura yang telah diputuskan. Mereka bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan apa yang patut dilaksanakan. Disatukan dengan tiga ikatan; fikrah (kefahaman, pemikiran), 'athif (perasaan, kebersamaan), dan tanzim (organisasi). Mereka bersatu di dalam ketiga-tiga perkara ini, dan tidak berpecah.
Apatah lagi, jika kemenangan itu datangnya dari Allah seperti yang disebutkan sebelum ini, sudah tentu golongan yang melakukan apa yang Allah sukai pasti akan lebih mudah memperolehi pertolongan dan kemenangan darinya. Ketahuilah bahawa Allah mencintai orang-orang yang berjuang di dalam saf yang kukuh;
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang di atas jalanNya bersaf-saf seperti binaan-binaan yang kukuh" (as-Saff, 61:4)

(3) Amal Yang Penuh Dengan Kesungguhan

Amal perlu sentiasa mengiringi niat yang baik kerana tanpanya sesuatu kebaikan itu tidak akan menjadi nyata. Namun amal yang dilaksanakan hendaklah dilaksanakan dalam keadaan yang terbaik dan dengan penuh kesungguhan, bukan hanya sekadar melepaskan bato' di tangga. Beramal seakan-akan mengetahui bahawa kejayaan akan datang tidak lama lagi, dan disamping meyakini bahawa pertolongan Allah adalah sangat dekat;
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan memasuki syurga? Sedangkan belum datang lagi kepadamu sepertimana orang yang terdahulu sebelum kamu; (yakni) mereka ditimpa kesusahan, kemudharatan dan kedudukan mereka diguncangkan; sehinggakan Nabi beserta orang-orang yang beriman yang bersamanya bertanya, 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?' Bahkan pertolongan Allah adalah sangat-sangat dekat" (al-Baqarah, 2:214)
Syeikh Mustafa Masyhur pernah menyebutkan bahawa di da'wah terdapat tiga wahana;
  • Keimanan yang mendalam kepada fikrah dan risalah.
  • Pembentukan yang rapi lagi halus.
  • Amal yang berkesinambungan dan berterusan.
Amal juga merupakan satu elemen penting yang sentiasa mengiringi keimanan;
"Kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran" (al-'Asr, 103:3)
"Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka ganjaran yang tidak terputus-putus" (al-Insyiqaq, 84:25)
"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka ganjaran yang tidak berkurang" (at-Tin, 95:6)
Tanpa amal, tidak lengkap atau sempurna iman seseorang. Kerana amal membenarkan keimanan yang tersembunyi di dalam hati.
"Bukanlah keimanan itu dengan berangan-angan dan bermimpi-mimpi akan tetapi ia adalah apa yang diiqrarkan di dalam hati dan dibenarkan dengan amal" (HR. Dailami)
Kesimpulan

Kemenangan itu milik Allah secara mutlak. Tanpa kehendak dan izinNya, nescaya seseorang atau sesuatu kumpulan itu tidak akan selama-lamanya memperolehi kemenangan yang hakiki. Sesebuah harakah sangat-sangat perlu mempunyai saf yang tersusun, kerana musuh-musuh Islam sentiasa merancang dan merencana bagi menumpaskan Islam. Kebaikan yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kejahatan yang tersusun. Apatah lagi, usaha yang penuh dengan kesungguhan itu merupakan salah satu syarat mendapat kemenangan dan pertolongan dari Allah. Ketiga-tiga merupakan elemen yang sangat penting bagi sesebuah harakah da'wah untuk mencapai targetnya. Tidak boleh tidak, ia tidak lari dari keaslian ini.

Semoga ikhwah dan akhawat dapat berada di atas keaslian jalan ini.

2 comments:

Ckin Kembaq said...

insyaAllah.. ^_^

Anonymous said...

"Dan Allah paling mengetahui musuh-musuh kamu, cukuplah Allah sebagai wali dan cukuplah Allah sebagai penolong" (an-Nisa', 4:214)

Ada sedikit pembetulan...sepatutnya (an- Nisa'4:ayat 45).

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]