Pages

Monday, November 14, 2011

Seni Tarbiyah


"Tarbiyah itu merupakan satu seni..." (WHWE, 2009)

Itulah kata-kata seorang naqib kepada kami ketika kami duduk bersama dengannya di dalam sebuah liqa' usari. Ia merupakan satu kata-kata yang lahir dari pengalaman berkecimpung di dalam medan da'wah sekian lamanya. Bukan sekadar secara pengajaran, tetapi juga secara praktikal terlibat di dalam da'wah. Di dalam kesenian itu jugalah terdapat kesenian pendidikan jiwa.

Bukan mudah untuk mendidik jiwa dan hati untuk menjadi baik, apatah lagi untuk menjadi seorang yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia sudah tentu memerlukan kebijaksanaan dan usaha yang luar biasa bagi melahirkan manusia-manusia yang beriman dan berjuang di atas jalan Allah. Inikan lagi pertolongan dan pergantungan kepada Allah, ia sudah tentu lebih diperlukan lagi.

Di dalam pendidikan jiwa dan ruh ini pula terdapat kehalusan di dalam metodologinya. Bermacam-macam program dan aktiviti dirancang dan dilaksana. Kesemuanya tidak lari dari dari tujuan mendidik setiap individu secara objektif. Ia bukan sekadar sebuah program yang dilaksanakan lantaran mahukan kemegahannya, atau sebuah program yang dilaksanakan kerana mengharapkan keramaian menghadirinya, atau apa jua bentuk kebesaran yang tidak ada nilai kualitinya. Setiap program atau aktiviti itu pasti dijalankan dengan objektif tarbawinya yang jelas. Ia pasti akan dijalankan dengan tujuan membina sebuah peribadi yang memiliki sepuluh ciri individu muslim. Inilah yang diajar oleh seorang ustaz pengubah dunia, al-ustaz Hasan al-Banna.

Hasil daripada tarbiyah ini, lahir insan-insan yang mempunyai jiwa dan hati yang peka. Lahirlah perasaan di dalam hati mereka untuk berusaha istiqamah dengan kebaikan yang mereka lakukan. Orang-orang terdahulu dari kalangan mereka telah pergi memenuhi jemputan Allah, dalam keadaan tidak berubah dari prinsip dan peribadi mulia mereka;
"Dari kalangan orang-orang mu'min terdapat para rijal yang telah benar terhadap janji mereka kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur (syahid). Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu (giliran mereka), sedang mereka tidak mengubah (janji mereka tersebut)" (al-Ahzab, 33:23)
Perasaan ini menjadikan mereka berusaha mengamalkan wirid harian, pagi dan petang untuk memastikan ruhnya tidak kering mahupun kurus. Perasaan ini mendorong insan-insan ini untuk beramal dengan zikir-zikir yang ma'thur daripada RasuluLlah SAW di samping mentadabbur ayat-ayat al-Qur'an serta membacanya. Zikir-zikir ini telah dihimpun oleh ustaz Hasan al-Banna di dalam risalah al-Ma'thuratnya.

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]