Pages

Monday, November 7, 2011

Qurban 02: Kita Pada Hari Ini

...sambungan...


Kita Pada Hari Ini

Kisah Nabi Ibrahim AS yang begitu bermakna menjadikan kita sentiasa ingin menjadikan Baginda sebagai qudwah (ikutan) dalam kehidupan kita. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Baginda dan sokongan padu yang diberikan oleh anaknya merupakan satu contoh tauladan yang sangat hebat. Ruh yang ditunjukkan itulah yang ingin diambil dan dihayati di dalam kehidupan seharian, apatah lagi pada hari yang mulia ini, iaitu Hari 'Eidul Adha.

'Eidul Adha ini disebut di dalam sebuah hadith Nabi SAW daripada al-Barra' bin Azib:
Aku mendengar RasuluLlah SAW berkhutbah, Baginda bersabda, "Perkara pertama yang perlu dilakukan pada hari ini ialah mendirikan solat dan selepas itu kamu menyembelih haiwan qurban; dan sesiapa yang melakukan ini berjalan di atas sunnahku" (HR Bukhari)

Menjadi sunnah Nabi SAW untuk melaksanakan qurban apabila tiba 'Eidul Adha, maka dituntut ke atas setiap umatnya yang berkemampuan untuk berusaha sedaya upaya agar ibadah Qurban itu dapat dilaksanakan sesudah selesai solat raya.

Ternyata RasuluLlah SAW memberikan penekanan terhadap ibadah Qurban dengan menyebut bahawa "sesiapa yang melakukan ini berjalan di atas sunnahku". Dan ternyata juga bahawa ia bukan sekadar satu upacara penyembelihan binatang, bahkan ia membawa makna yang lebih dari itu.

Tuntutan terhadap melaksanakan ibadah Qurban ini merupakan satu latihan buat kita untuk memupuk keimanan yang sejati kepada Allah SWT. Keimanan yang tidak tergoyah dengan tipu daya dunia. Keimanan yang tidak bersulamkan benang-benang Iblis dan hasutan syaitan. Keimanan yang tidak berbelah bahagi seperti yang disebutkan di dalam ayat berikut:
"Hanyasanya orang-orang yang beriman itu adalah; orang-orang yang beriman dengan Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan berjuang (jihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar" (al-Hujurat, 49:15)
Kisah Nabi Ibrahim juga mendidik kita melatih sifat pantas di dalam melaksanakan arahan Allah, sifat "sami'na wa-ato'na" (kami dengar dan kami taat). Jika Allah memerintahkan hambaNya untuk menginfaqkan hartanya, maka dengan pantas si hamba menginfaqkan sebahagian hartanya;
"Dan bersegeralah kamu kepada mendapat keampunan Tuhanmu, serta syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan buat orang-orang yang bertaqwa. Iaitu mereka yang menginfaq dalam keadaan senang mahupun susah, menahan marah, dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan" (Aali Imran, 3:133-134)
"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjuanglah dengan harta dan jiwa kamu di atas jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (at-Taubah, 9:41)
Adakalanya, hati terasa tidak suka untuk melaksanakan arahan Allah, tetapi padanya terdapat kebaikan bagi manusia. Pada ketika yang lain pula, manusia suka untuk melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan arahan Allah, sedangkan tiada kebaikan padanya. Ini merupakan sebahagian dari hakikat manusia yang pasti ada rintangan-rintangan untuk melaksakan kebaikan. Oleh itu, tidak dapat tidak, sifat pengorbanan yang disebut-sebut itu hendaklah dilatih sedikit demi sedikit, diiringi dengan penguatan iman di dalam hati.

...bersambung...

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]