Pages

Sunday, November 6, 2011

Qurban 01: Hari Yang Mulia & Sirah


Hari Yang Mulia

Hari ini merupakan satu hari yang mulia. Bahkan bukan satu hari sahaja, hari kemuliaan ini sebenarnya selama tiga hari! Jika dibandingkan, hari 'Eidul Fitri hanya sehari sahaja bertakbir berbanding dengan 'Eidul Adha yang bertakbir sehingga hari ketiga. Bagi kita sebagai umat Islam dan bangsa yang beriman, ia merupakan ulang tahun mengingati kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS.

Suatu ketika, apabila kaum Aus dan Khazraj menyambut hari perayaan mereka, RasuluLlah menyaksikan;
Dari Anas bin Malik, Nabi datang ke Madinah dan melihat mereka merayakan dua hari kebesaran. Baginda bertanya, "Apakah dua hari ini?" Mereka menjawab, "Kami biasa merayakan dua hari ini pada zaman jahiliyyah" RasuluLlah SAW bersabda "Allah telah menggantikannya dengan dua hari yang lebih baik; 'Eidul Fitri dan 'Eidul Adha" (HR. Abu Daud)
Jika kaum Aus dan Khazraj yang begitu mulia di sisi Nabi SAW, mempunyai perayaan yang tidak lagi hebat dari kedua hari ini, apatah lagi kita pada zaman sekarang yang telah jauh dari zaman RasuluLlah. Perayaan-perayaan kita yang selain dari Eidul Adha dan Eidul Fitri sudah tentu termasuk dalam kategori yang lebih rendah.

Mengapa hari ini, iaitu hari Qurban, termasuk dalam hari yang sangat penting dalam Islam? Mengapa tidak hari-hari yang lain? Mengapa bukan hari kelahiran kita? Atau hari ulang tahun baru? Atau apa sahaja hari yang mendapat cuti di Malaysia? Mengapa hari Qurban ini sangat penting di dalam Islam?

Menyelusuri Sejarah

Sesuatu hakikat pada masa kini tidak mempunyai makna yang mendalam tanpa kita memahami sejarahnya. Begitu juga dengan ibadah Qurban, ianya tidak menjadi sesuatu yang bermakna tanpa kita mengetahui sirah di sebaliknya. Tanpa memahami sirahnya, penyembelihan yang dilakukan pada hari Raya 'Eidul Adha akan menjadi umpama penyembelihan-penyembelihan yang biasa, atau mungkin juga menjadi sekadar satu adat yang biasa dilakukan menjelang hari Raya 'Eidul Adha. Oleh itu penting bagi setiap dari kita, untuk memahami dan menghayati peristiwa di sebalik ibadah Qurban.

Sebenarnya peristiwa qurban telah wujud dari zaman Nabi Adam AS. Iaitu apabila kedua-dua anaknya Habil dan Qabil diminta untuk melaksanakan qurban. Kita mengetahui bahawa Habil telah diterima qurbannya, manakala Qabil tidak. Namun bagi kita, di dalam pensyari'atan ibadah Qurban yang dilaksanakan sehingga kini, ia bermula semenjak zaman Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim merupakan seorang manusia yang telah digelar sebagai "KhaliluLlah" iaitu kekasih Allah, kerana kecintaan dan ketaatan kepada Rabbnya.

"Iaitu (Tuhan) yang telah menciptakan daku, lalu Dia menunjukkan daku (jalan hidayah).
Dan yang telah memberikan daku makan dan minum.
Dan yang apabila daku sakit, Dia menyembuhkan (daku).
Dan yang akan mematikan daku, kemudiannya Dia menghidupkan (kembali).
Dan yang amat ku ingini mengampunkan kesalahanku pada hari pembalasan"
(as-Syu'ara', 26:78-82)

Baginda merupakan seorang yang di dalam jiwanya penuh perasaan kasih sayang, sehinggakan bapanya yang kufur kepada Allah tetap dilayan dengan baik, bahkan didoakan keampunan buatnya sehingga datang perintah Allah untuk berhenti berdoa. Sifat ini, apatah lagi kepada anaknya yang dikurniakan Allah pada lewat usianya;
"Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan pada usia tuaku, Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (dan memperkenan) doa. Wahai Tuhanku, jadikanlah daku dan zuriat keturunanku dari kalangan orang-orang yang menunaikan solat, wahai Tuhan kami, perkenankanlah!" (Ibrahim, 14:39-40)
Dalam keadaan demikian, Baginda telah bermimpi menyembelih anaknya Ismail. Seorang anak yang soleh, yang diperolehinya ketika usia tuanya, dan setelah sekian lama Baginda berdoa agar dikurniakan zuriat. Ia merupakan satu perintah yang cukup menduga hati Baginda. Dalam keadaan demikian pula, Ibrahim AS telah mengkhabarkan kepada anaknya, Ismail, yang baru mencecah usia baligh, untuk bertanyakan pandangannya.

Nabi Ibrahim bertanya bukan untuk mencari keputusan lain, tetapi untuk menegaskan bahawa perintah Allah itu mesti dilaksanakan. Takdir Allah pula menentukan bahawa anaknya, Ismail memberikan jawapan yang sungguh menakjubkan. Kisah ini tercatat di dalam firman Allah SWT:

Maka apabila anak itu sampai (pada umur mampu) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab, "Wahai bapaku! Lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar!" (as-Saffat, 37:102)
Perjuangan seorang bapa ini telah mendapat sokongan dari anaknya yang soleh. Bahkan si anak berusaha membantu bapanya di dalam melaksanakan arahan Allah. Segala perkara di dunia ini menjadi kecil apabila datangnya suruhan Allah untuk Baginda AS melaksanakan sesuatu. Lantas suruhan tersebut dipenuhi!

...bersambung...

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]