Pages

Saturday, October 8, 2011

Hamnah binti Jahsyin


Jika anda pernah membaca tentang dakwah RasuluLlah SAW pra-hijrah ke Madinah, sudah tentu anda mengenali seorang peribadi mulia yang bernama Mus'ab bin 'Umayr. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang mulia dan telah menjadi utusan RasuluLlah SAW ke Madinah sebelum berhijrahnya Baginda ke sana. Sesiapa yang telah membaca sirah kehidupan Mus'ab bin 'Umayr pasti akan merasa kagum dengan tokoh ini. Mana tidaknya, dengan takdir Allah dan usahanya, begitu ramai penduduk Yahthrib tertarik kepada Islam dan memeluk Islam. Dengan usahanya jugalah, terbinanya asas-asas pertama yang penting dakwah Islamiyah di Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah).

Namun begitu, di sebalik peribadi yang hebat lagi mulia sudah tentu ada penyokong yang kuat di belakangnya. Kita jarang mendengar tentang golongan ini. Banyak di dalam sirah kita hanya disajikan dengan kisah para sahabat. Maka saya ingin membawa para pembaca merenungi sebuah peribadi yang menjadi tunggak penting di dalam kehidupan Mus'ab bin 'Umayr; Hamnah binti Jahsyin - isteri merangkap zaujah Mus'ab.

"Isteri cerdik yang solehah,
Penyejuk mata, 
Penawar hati,
Penajam fikiran,

Di rumah ia isteri,
Di jalanan kawan,
Di saat kita buntu,
Dia penunjuk jalan..."

Seseorang yang Allah inginkan kebaikan baginya, maka tidak ada sesiapa dapat menghalanginya. Takdir Allah menentukan bahawa kaum kerabat Hamnah berada di dalam kebaikan apabila mereka semua memeluk Islam di peringkat awal da'wah Islam. Bertambah lagi kebaikan kerabat ini apabila RasuluLlah SAW mengahwini Zaynab binti Jahsyin yang merupakan salah seorang adik-beradik Hamnah. Dengan kelebihan ini, Hamnah sentiasa sahaja menggunakan peluang yang ada untuk mencontohi akhlaq dan tingkah laku Ummuhatul Mu'minin.

Walaupun beliau bukan seorang lelaki, ia tidak langsung menghalang beliau dari turut serta di dalam peperangan. Tercatat di dalam sejarah bahawa Hamnah pernah terlibat di dalam perang Uhud bersama-sama dengan Ummu Sulaim dan 'A'isyah, memberikan air kepada pasukan yang kehausan dan merawat mujahidin yang terluka.
"Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada'. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim" (Aali Imran, 2:140)
Uhud bukanlah satu kemenangan buat tentera muslimin, bahkan ramai dari kalangan para sahabat RasuluLlah SAW gugur sebagai syuhada'. Antaranya bapa saudara Hamnah, saudaranya, dan suaminya yang tercinta.

Pada saat-saat kesedihan ini, RasuluLlah SAW berkata kepadanya, "Wahai Hamnah! Bersabarlah" Hamnah bertanya, "Buat siapa wahai RasuluLlah?" RasuluLlah menjawab, "Buat bapa saudaramu (dari ibu, yakni) Hamzah" Hamnah menjawab, "InnaliLlahi wa-inna ilayhi raji'un, selamatlah dia telah memperoleh syahadah."

RasuluLlah berkata lagi kepadanya, "Wahai Hamnah! Bersabarlah" Hamnah bertanya, "Buat siapa wahai RasuluLlah?" RasuluLlah menjawab, "Buat saudara lelakimu" Hamnah menjawab, "InnaliLlahi wa-inna ilayhi raji'un, selamatlah dia telah memperoleh syurga."

Akhirnya, RasuluLlah berkata lagi kepadanya, "Wahai Hamnah! Bersabarlah" Hamnah bertanya, "Buat siapa wahai RasuluLlah?" RasuluLlah menjawab, "Buat suamimu Mus'ab bin 'Umayr" Hamnah menjerit mendengar jawapan RasuluLlah dan berpaling sambil menjawab, "Alangkah sedihnya..."

RasuluLlah SAW bersabda, "Sesungguhnya seorang suami itu bagi seorang isteri memiliki nilai dan kedudukan yang tidak dimiliki oleh orang lain."

Hamnah merupakan seorang yang tegar dan tetap bersabar dengan ujian Allah, namun ia tidak menghalangnya untuk terus mengikuti gerakan-gerakan jhad di jalan Allah. Beliau turut menyertai RasuluLlah di dalam peperangan Khaibar.
"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka ucapkan; inna liLlahi wa-inna ilayhi raji'un. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." (al-Baqarah, 2:126-127)
Rujukan: 70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad SAW, 2010.

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]