Artikel ini adalah artikel ke-5 daripada 6 siri. Sebuah artikel dari siri "Kembali Kepada Keaslian".
...bersambung...Tiga Orang Buta Dan GajahPernah ada kisah tiga orang buta dengan seekor gajah. Masing-masing bernama Ahmad, Ali, dan Hamid. Masing-masing mengidap penyakit buta sehingga langsung tidak nampak walau sedikitpun, dan mereka sememangnya telah buta semenjak lahir.
Pada suatu ketika itu, mereka telah dibawa untuk berjumpa dengan seekor gajah. Ahmad telah memegang gajah tersebut di belalainya, Ali pula memegang kakinya, dan Hamid memegang perutnya. Semua dari mereka telah memegang di tempat-tempat yang berlainan.
Lalu Ahmad berkata, "Gajah ni macam ular!"
Tetapi Ali pula membangkang, "Eh, taklah. Gajah macam tiang lah..."
Hamid yang mendengar dua perumpamaan itu tergelak... "Laa, kamu berdua ni... Gajah macam dinding la. Takde rasa langsung macam ular atau tiang!"
Seseorang yang hanya duduk di dalam bilik hanya akan nampak biliknya sahaja, tetapi apabila dia keluar dari rumahnya dia akan dapat melihat beberapa rumah; rumahnya dan rumah jiran-jirannya. Walaubagaimanapun, pandangannya lebih mengufuk apabila dia berada di atas bukit yang tinggi. Seluruh taman dapat dilihat olehnya.
Betapa pentingnya melihat sesuatu itu menurut perspektifnya yang benar...
Kelebihan Terletak Di Mana?
Betapa banyaknya ayat dan hadith yang menceritakan tentang betapa tingginya Islam dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. Betapa banyaknya dalil yang membawa kefahaman bahawa Islamlah yang perlu diutamakan, dari hal yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada hal yang sebesar-besarnya seperti da'wah. Tidak mungkin da'wah kepada bangsa menjadi lebih utama dari da'wah kepada Allah dan Islam.
"Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya berbanding orang yang menyeru kepada Allah dan dia beramal soleh, serta berkata; Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri (kepada Allah)"
(Fussilat, 41:33)
Namun demikian, Islam tetap cantik. Walaupun dengan peninggian terhadap kedudukan Islam, nilai-nilai yang ada pada sesebuah kelompok, kaum, atau bangsa itu tidak langsung dianggap remeh, bahkan diraikan. Ini dengan syarat tidak melanggar syari'at yang telah Allah tetapkan. Suatu hadith yang cukup jelas menerangkan tentang hal ini ialah:
"Sebaik-baik mereka ketika jahiliyyah, sebaik-baik mereka juga ketika Islam. Apabila mereka memahami (deen)"
(HR. Bukhari)
Begitulah yang berlaku sepanjang sirah RasuluLlah SAW dan salafussoleh yang terdahulu.
Kita dapat melihat, kaedah peperangan menggunakan parit dari Farsi telah digunakan ketika perang Khandaq, hasil dari cadangan Salman al-Farisi.
Kita juga dapat melihat seorang Imam hadith yang terkenal yang datangnya dari negara Bukhara; yakni Imam al-Bukhari.
Kita juga telah mengetahui bahawa Sultan Muhammad al-Fateh yang berketurunan Turki menakluk kota Konstantinopel.
"Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera."
(HR. Ahmad)
Seorang tabi' tabi'in yang merupakan seorang bukan Arab, telah berjaya memimpin batalion tenteranya untuk menakluki sebagian dari Spain.
Maka tidak hairanlah jika syura para sahabat ketika ingin melantik khalifah (pengganti) RasuluLlah SAW yang pertama, mereka bersetuju untuk mengangkat seorang Quraisy sebagai ameer. Ini kerana kelebihan-kelebihan yang ada pada bangsa quraisy dalam kepimpinan, dan kehormatan diberikan oleh kabilah arab kepada bangsa tersebut. Di dalam qur'an juga Allah telah menyebut kurniaan-kurniaan yang Allah berikan kepada bangsa Quraisy. Di dalam hadith-hadith RasuluLlah SAW juga ada memuji tentang kelebihan yang ada pada Quraisy.
Begitulah adanya. Tetapi semua kelebihan tersebut adalah untuk tujuan Islam. Dan segala seruan yang dilaungkan adalah seruan kepada Islam. Tidak pernah berdakwah kepada ketuanan Quraisy.
Tidak pernah sama-sekali.
...bersambung...