Pages

Thursday, June 10, 2010

Palestin, Demo dan Tanggungjawab Kita

Artikel di bawah ini pernah ditulis suatu ketika dahulu ketika krisis yang berlaku di Gaza pada akhir tahun 2008. Sejak kebelakangan ini, isu Freedom Flotilla kian dibincangkan di mulut masyarakat dunia. Malaysia juga tidak ketinggalan kerana terdapat aktivis-aktivis Malaysia yang turut serta di dalam kapal Mavi Marmara yang telah diserang oleh tentera Zionis. Semenjak itu juga, banyak negara dan banyak pihak telah menganjurkan demonstrasi jalanan, bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada negara haram Israel di atas tindakan kejam mereka membunuh sekurang-kurangnya 9 aktivis kemanusiaan. Mereka juga berdemonstrasi kerana kepungan yang telah dikenakan terhadap penduduk Gaza selama 4 tahun, semenjak Hamas memenangi pilihanraya pada tahun 2006 (kalau tak silap).

Namun demikian, di sana, ada segelintir manusia yang mungkin memperlekehkan amal demonstrasi ini. Dan mungkin juga ada yang menafikan keberkesanannya. Apa yang saya ingin katakan ialah, bahawa tugas seorang manusia adalah untuk beramal kerana Allah, bukan menilai amal orang lain. Saya juga ingin menekankan, bahawa kita harus menggunakan apa jua cara (dalam lingkungan syara') untuk menyebarkan kesedaran terhadap isu aqidah ini (Palestin). Namun pada masa yang sama, setelah itu harus diambil langkah-langkah seterusnya agar kita mampu mengoptimumkan tenaga masyarakat untuk menumbangkan Zionis (LAA).
--
(artikel bertarikh 9 Januari 2009 - telah diedit untuk disesuaikan dengan keadaan semasa)

BismiLlahirrahmanirahim,

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas khatimil ambiya', Muhammad SAW, dan mereka yang menempuh jalannya sehingga hari kiamat.

Firman Allah swt bermaksud, "Allah menetapkan, 'Sungguh Aku akan memenangkan (agama) Aku dan Rasul-rasulKu. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa" (Al-Mujadilah, 58:21). "Sesungguhnya Kami akan memenangkan Rasul-rasul Kami dalam kehidupan di dunia dan di hari dibangkitkan saksi-saksi" (Ghafir, 40:51). Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Akan terus dari umatku mereka yang terang-terang atas kebenaran. Tidak akan memudharatkan mereka oleh orang-orang yang memusuhi mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka dalam keadaan sedemikian". Sahabat bertanya, "Di manakah mereka?" Rasulullah saw menjawab, "Mereka di Jerusalem dan di sekeliling Jerusalem (Palestin)".

Wahai pembaca sekalian!

Semenjak 60 tahun yang lalu (1948H), bumi para ambiya' ini telah diambil secara kasar oleh zionis yang terlaknat. Lebih-lebih dalam keadaan yang dunia Islam tidak mempunyai sistem Khalifah tertegak di muka bumi. Dalam keadaan inilah musuh-musuh agama ini membuat kerosakan di bumi yang suci tersebut. Iaitu bumi yang terletaknya kiblat pertama umat Islam (Masjid al-Aqsa), dan bumi tempat RasuluLlah SAW bermi'raj (dinaikkan) ke langit ketika peristiwa Isra' dan Mi'raj. Dan semenjak 60 tahun itulah, bermacam-macam kezaliman ditimpa ke atas rakyat Palestin yang tinggal di dalam negara tersebut.

Baru-baru ini, kita digemparkan lagi dengan berita-berita terburuk yang sampai dari Gaza, Palestin. Kita telah mengetahui bahawa rejim Zionis telah melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap penduduk Palestin, yang telah bermula sejak 27 Disember 2008. Dan sehingga saat ini (artikel ditulis), sudah lebih daripada 520 orang yang telah dibunuh oleh rejim ganas zionis, dan beribu-ribu lagi yang telah dicederakan. Bahkan angka tersebut kian meningkat dengan mendadak dari masa ke masa.

Hal ini, dan keadaan umat Islam di seluruh dunia yang ditindas, jelas bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh RasuluLlah di dalam sebuah hadith daripada Thawban: "Akan datang suatu masa kamu akan dikerumuni oleh bangsa-bangsa seperti pelahap-pelahap mengerumuni makanannya". Sahabat bertanya: "Adakah disebabkan kami sedikit pada hari itu?" Baginda bersabda: "Bahkan kamu pada ketika itu banyak sekali! Akan tetapi kamu umpama buih seperti buih air bah. Dan Allah akan mencabut dari dada musuh kamu kegerunan terhadapmu. Dan Dia meletakkan di dalam hati kamu al-Wahnu" Sahabat bertanya: "Wahai RasuluLlah, apakah al-Wahnu?" Baginda bersabda: "Cintakan dunia dan bencikan kematian" (Abu Daud, Ibnu Majah).

Sesungguhnya hadith ini memberikan pengertian yang sungguh mendalam buat kita, ummah di akhir zaman. Kerana di dalam hadith ini RasuluLlah SAW telah menyebut beberapa faktor yang menyebabkan ummah ini lemah sehingga keadaan ini menimpa mereka:
  1. Kosongnya hati individu muslim dari iman yang mendalam. Ini dilihat dalam makna ketika Rasulullah mengumpamakan kita sebagai buih, yang wujud luaran sahaja. Dalamnya kosong sekosongnya. Andaikata luaran itu pecah, maka tiada lagilah individu muslim tersebut.
  2. Cintakan dunia. Betapa ramainya dari kalangan ummah ini yang dirinya disibukkan dengan urusan dunia sehinggakan hatinya berjaya dicengkam oleh urusan tersebut, dan sehingga hatinya merasa kecenderungan ke arah itu.
  3. Bencikan kematian merupakan petunjuk bahawa semangat jihad dan perjuangan telah hilang dari dada ummah. Ummah ini hilang kekuatannya dengan hilangnya semangat tersebut, dan kita umpama singa yang telah bertukar menjadi anak kijang.

Pembaca yang dihormati!

Kita hendaklah mengeluarkan diri kita dari keadaan yang hina ini sesegera mungkin. Jika tidak, dosa pasti akan menimpa ummah ini lantaran kezaliman yang tertimpa ke atas ahlinya di kawasan-kawasan tertindas. Sesungguhnya, saudara kita dari HAMAS dan gerakan jihad yang lain di Palestin, telah mewakili kita bagi menghadapi pertempuran ini dengan jiwa dan raga mereka. Seperti mana yang pernah disebutkan oleh Dr. Khalil al-Hayya: "AlhamduliLlah, Allah memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih bagi menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami dipilih oleh ALLAH bagi mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami supaya menentang musuh ALLAH dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa". Mereka mengorbankan segala apa yang mereka miliki untuk mempertahankan harta kepunyaan ummah. Dan mereka telah melakukannya sejak puluhan tahun yang lalu. Apabila peristiwa di Gaza tercetus, maka mereka jugalah kumpulan yang pertama menfinfaqkan diri mereka untuk melawan dan menentang musuh-musuh Allah.

Kita juga harus melakukan sesuatu, wahai saudara yang budiman! Dengan segala kemampuan dan kapasiti yang ada pada kita, kita harus bertindak dengan cepat untuk mengeluarkan ummah yang tenat ini dari ditindas secara berterusan. Kerana ummah ini umpama satu badan, jika kepala sakit nescaya seluruh badan akan terasa kesakitannya. Dan juga kerana kita ingat kepada sebuah sabda Nabi SAW: "Mu'min dengan mu'min umpama satu bangunan, sebahagiannya memperkukuhkan sebahagian yang lain" (Bukhari). Tetapi persoalannya, apa yang anda boleh sumbangkan? Apa yang boleh anda lakukan sebagai seorang mahasiswa?

Wahai ummah Muslimin! Wahai ummah yang kasih akan saudaranya!

Sesugguhnya kita harus melihat dalam dua perspektif; (1) Tindakan untuk kesan jangka masa pendek atau tindakan segera, dan juga (2) tindakan untuk kesan jangka masa panjang.

Untuk yang segera, yang boleh dilakukan dengan serta merta dan dapat dilihat kesannya dengan cepat ialah:
  1. Mengambil tahu update-update terkini berkaitan dengan isu Palestin dan Gaza. Baca dari sumber-sumber berita yang boleh dipercayai maklumatnya, seperti; aqsasyarif.com, pacemalaysia.net, palestinkini.info, palestine-info.com dan lain-lain. Jangan dengan mudah mempercayai maklumat dari media barat.
  2. Menyebar dan menyampaikan maklumat-maklumat yang tepat tersebut kepada seramai mungkin kenalan anda, dalam apa jua bentuk yang mudah bagi anda. Sekiranya anda mempunyai kelebihan mendesign poster, maka designlah dan sebarkanlah sehingga semua orang sedar dengan isu yang sedang berlaku ini.
  3. Sumbanglah apa-apa yang anda mampu berupa kewangan kepada NGO-NGO yang boleh dipercayai dan mempunyai track record yang bagus, seperti Aqsa Syarif, JIM dan HALUAN.
  4. Bersatu hati dengan semua golongan umat Tauhid ini, dan melupakan semua perselisihan hal furu' (cabang) - satu contoh yang baik telah ditunjukkan oleh pertubuhan-pertubuhan yang menganggotai solidariti LL4G.
  5. Bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai cita-cita dan hasrat yang sama.
  6. Memperbanyakkan doa kepada Allah khasnya buat saudara-saudara di Gaza, Palestin, dan buat ummah ini secara amnya. Selitkan di dalam doa-doa selepas solat anda; "Ya Allah, tolonglah saudara-saudara Muslimin kami di Gaza dan di juga di seluruh dunia".
  7. Memperbanyakkan taubat kepada Allah di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan, mudah-mudahan iman mudah mekar di hati, lalu terkeluarnya penyakit al-Wahnu yang RasuluLlah SAW sebut.
  8. Memboikot barang-barangan yang menyumbang dengan jelas dan terang kepada Zionis. Empat yang utama; (1) McD, (2) Loreal, (3) Nestle, dan (4) Coca Cola.

Untuk jangka masa panjang pula, agar ummah ini keluar dari keadaan ini selamanya:
  1. Berusaha mencari dan memahamkan diri dengan Deen yang mulia ini. Carilah kefahaman kerana "Barangsiapa yang Allah menghendaki dia memperoleh kebaikan, maka Dia memahamkan dia tentang deen" (HR. Syaykhan).
  2. Carilah dan bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan Islam yang dirasakan mampu mempercepatkan berlakunya hal (1) di atas.
  3. Bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan Islam yang mampu dengannya terdidik al-imanul 'amiq (keimanan yang mendalam), terlaksananya takwin daqiq (pembentukan yang rapi dan kemas) dan amal mutawassil (usaha dan amal yang berterusan). Kerana kita ingin agar ummah ini tidak lagi dizalimi selama-lamanya.
  4. Dan buat pertubuhan-pertubuhan Islam di bumi Malaysia ini, marilah kita bersama-sama memperkasakan da'wah dan tarbiyah. Agar pada masa hadapan, zionis dan musuh Allah yang lain tidak mampu untuk sentuh ummah ini walau sedikitpun insya Allah.

Wahai para pemuda ummah!

Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada semua pihak, tidak kira sama ada yang muda atau yang tua, agar kita secara bersama dan kolektif berusaha ke arah memperbaikkan ummah dalam jangka masa pendek dan panjang. Kerana tanggungjawab tersebut adalah tanggungjawab bersama. Saudara-saudara di Palestin telah menyelesaikan janji mereka kepada Allah, kini kita pula yang menunggu-nunggu dan tetap thabat di atas jalanNya: "Dari kalangan orang-orang beriman terdapat mereka yang benar janji mereka kepada Allah. Dari kalangan mereka ada yang telah Syahid. Dan sebahagian lagi masih menunggu dan mereka tidak mengubah sedikitpun janji mereka itu" (al-Ahzab, 33:23).

"Dan katakanlah: Beramallah kamu! Nescaya kelak Allah akan melihat amalan kamu, dan rasulNya beserta orang-orang yang beriman. Dan kamu akan dikembalikan kepada yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan yang nyata dan kamu akan dikhabarkan dengan apa yang kamu perbuat" (at-Taubah, 9:105).

'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]