Pages

Saturday, December 26, 2009

Ujian Dunia

Kadangkala, di dalam kehidupan ini, Allah sengaja mendatangkan sesuatu perkara yang berupa kesulitan atau musibah. Dia sengaja mahu menguji hati hamba-hambaNya, sehinggakan hamba-hamba tersebut merasai kehilangan sesuatu dalam kehidupannya. Ada dari kalangan mereka yang kehilangan orang-orang yang tersayang. Ada pula yang kehilangan harta-hartanya, dan ada juga yang kehilangan anggotanya. Tapi apa yang pastinya, hamba-hamba Tuhan ini kehilangan sesuatu yang disayanginya.

Menjadi satu fitrah untuk manusia menyayangi beberapa perkara di dalam hidupnya. Apatah lagi hal ini telah disebutkan oleh Allah di dalam kitabNya yang mulia:
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)"
(Aali 'Imran, 3:14)

Kebiasaannya, ujian adalah menaikkan darjat seseorang. Jika seorang pelajar SPM, dia mengambil SPM, ia adalah untuk menaikkan darjatnya supaya dia bersedia pergi ke dunia luar yang lebih banyak dan hebat cabarannya. Jika seorang pelajar universiti, seseorang menduduki peperiksaan akhir semester adalah untuk membuktikan bahawa dia telah layak untuk pergi ke semester yang seterusnya bagi mengambil matapelajaran yang lebih susah.

Di dalam kehidupan juga begitu. Darjat manusia di sisi Allah diukur dari segi ketaqwaan mereka, dan ujian dunia hanyalah sebagai satu cara untuk melihat sejauh mana ketaqwaan seseorang hamba tersebut. Jika dia lulus di dalam ujian-ujian dunia tersebut maka semakin tinggilah darjatnya di sisi Allah. "Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu adalah yang paling bertaqwa darimu" (al-Hujurat, 49:13).

Apakah tanda dia lulus dalam ujian tersebut?

Mudah sahaja, iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka mengucapkan; "...Sesungguhnya kami datang dari Allah, dan kepadaNya tempat kami kemabli". Buat mereka ini Allah menjanjikan petunjuk buat mereka.
"Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(al-Baqarah, 2:156-157)

Mereka tidak menyalahkan Allah dengan sebab kehilangan-kehilangan tersebut dan mereka juga tidak mempersoalkan Allah; "mengapa aku, ya Allah?". Bahkan mereka yakin setiap perkara yang terjadi adalah sesuai dengan keizinanNya. Mereka terima dengan redhanya walaupun ada kerisauan-kerisauan yang timbul di dalam hati akibat dari musibah tersebut.

Apa yang pastinya, setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya dan kemungkinan Allah ingin menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik dari apa yang pernah ia miliki. Jika tidak di dunia pasti di akhirat. Paling tidak pun, dia ingin menjadikan musibah tersebut sebagai kaffarah (penghapus) dosa-dosa yang lalu... dengan kesabaran dan pengembalian diri kita kepadaNya dalam keadaan susah tersebut.

Juga apa yang pastinya lagi, Allah menawarkan sesuatu yang lebih baik dari barang-barang pinjaman dunia "milik kita" tersebut:
"Katakanlah: 'Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?' Untuk orang-orang yang bertaqwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal didalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya."
(Aali 'Imran, 3:15)

Adakah ada sesuatu yang lebih baik dari keredhaan Allah?

--
Buat Savvyku,

Jika doktor-doktor kereta tak mampu menyelamatkanmu
Maka sebaiknya engkau pergi dengan aman
Bersama-sama kita telah melalui bermacam-macam
Engkau telah membawaku ke tempat-tempat mulia
Dan ke program-program mulia

Mudah-mudahan Dia menggantikanmu
Dengan kenderaan yang boleh membawaku
Ke syurga pula dengan sahamnya...

13 comments:

Anonymous said...

Salaam..

Allah..ngapain begini akh?
habis 'renyuk' savvy itu?
Pemandunya?

Innalillah..muga dikurniakan ketabahan.

Unknown said...

hu.lepas ni mana tahu dapat bura' pula.dangdangdang.

nabilpotter said...

isk3...
semoga dalam keadaan sehat... :)

cahayalembut said...

salam akhi~ moga Allah gantikannya dengan yang lebih baik... ameen

sesaper said...

salam takziah dr geng BI@TDS...

Mashizaki Keikan said...

anon: dah accident, jadilah macam gitu. orang semua selamat, tapi kumbang hitam ni tak selamat la pulak.

acap: waah, memang best kalau gitu ye. tapi takde peluang laa, RasuluLlah je yang dapat.

cahayalembut: insya Allah. Amin!

budak2 BI@TDS: JZKK diucapkan...

agw&jkq said...

"Adakah sesuatu yang lebih baik dari keredhaan Allah?"

Sungguh, tak ada sesuatu apapun. Moga Allah senantiasa bersama kita & meredhai..

Mashizaki Keikan said...

Insya Allah...

buraq said...

Sabar itu indah, susah itu tarbiyyah. Moga kenderaan da'wah yang syahid ini dapat menjadi kenderaan tuannya di syurga kelak. InshaAllah ameen!

Mashizaki Keikan said...

Insya Allah, amin... Allahu yusahhilna!

M said...

alhamdulillah orang yg di dalam selamat walaupun kereta da remuk mcm tu. Ini pun ujian bg daie. Moga Allah memberi ganti yang lebih baik kerana org yg bertakwa pada Allah, Allah akan memberinya rezeki dari sumber yg tidak disangka-sangka.

Mashizaki Keikan said...

Mudah-mudahan...

Abu Khalid said...

Buggati Veyron

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]