Pages

Friday, December 25, 2009

Tanggungjawab Yang Berat

Kekuatan yang ada tanpa disalurkan ibarat sebuah Buggati Veyron berkuasa kuda 1001hp tetapi tersadai di dalam garaj 24-7. Suatu barang yang mempunyai potensi yang sangat besar tetapi tidak digunakan adalah sebuah barang yang sia-sia. Orang tidak dapat mendapat manfaat darinya dan dia juga tidak mampu untuk menyalurkan manfaat kepada orang.

Seorang sahabat pernah bercakap, "Orang-orang yang dah lama ikut usrah tapi tak bawak usrah macam air yang bertakung. Lama-kelamaan dia akan jadi busuk." Mana tak busuknya air tersebut? Alga akan mula membiak, dan bermacam-macam jenis bakteria akan menjadikan air yang bertakung tersebut sebagai habitatnya. Jentik-jentik pun mula membiak di situ. Akhirnya dia menjadi busuk sehingga air tersebut tidak dapat dimanfaatkan oleh sesiapa yang lain kecuali mikroorganisma yang berbahaya.

--

Ayat 102 dari surah Aali 'Imran telah membawa kita memahami bahawa kekuatan yang pertama datangnya dari kekuatan iman dan ketaqwaan kepada Allah. Tanpa ketaqwaan dan penyerahan diri yang total kepada Allah, tidak mungkin seseorang itu boleh mendapat kekuatan yang pertama; iman. Segala-galanya harus berpaksikan kepada Allah SWT tanpa menyisakan walau sedikitpun untuk dirinya sendiri, sehinggakan jiwa-jiwa menjadi jiwa-jiwa yang rabbani.

Ayat yang ke-103 pula membawa seseorang kepada mengerti hakikat keperluan ukhuwwah fiLlah. Tanpa ikatan hati yang kuat di antara seorang mu'min dengan seorang mu'min yang lainnya, maka tidak mungkin terbina kekuatan jamaah yang mampu menuju ke arah matlamat yang Maha Suci; Allah. Allah juga telah mengingatkan kepada orang-orang mu'min (kita), bahawa sebelum Islam sampai kepada kita, kita berada di tepi jurang neraka lantaran ketidak-satuan dan perpecahan. Hanya dengan nikmat iman dan Islamlah Allah telah menyatukan hati kita. Dia telah menjadikan segala hal yang lain kecil pada pandangan kita, yang utama adalah iman.
"Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu sehingga dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasihi untuk dirinya sendiri"
(Syaiykhan dari Arbain an-Nawawi, hadith ke-13)

Dua kekuatan ini sebenarnya diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab yang mulia, iaitu tanggungjawab menjadi khalifah di muka bumi, "Dan apabila Tuhanmu berkata kepada para mala'ikat: Sesungguhnya Aku ingin menjadikan seorang khalifah di muka bumi!" (al-Baqarah, 2:30). Khalifah dalam erti kata memastikan bahawa hakimiyah Allah terlaksana di muka bumi dan mengajak penduduknya kepada memperhambakan diri kepada Allah.

"Hendaklah ada dari kalanganmu, segolongan yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah dari kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang berjaya."
(Aali 'Imran, 3:104)

Bukan mudah tanggungjawab yang begitu mulia ini. Tidak semua yang mampu memikulnya, apatah lagi orang-orang yang sanggup memikul beban yang begitu berat ini. Begitulah yang Allah telah gambarkan di dalam beberapa ayat yang pertama diturunkan;

"Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat"
(al-Muzzammil, 73:5)

Da'wah.

Ia bukan sekadar menyampaikan (tabligh). Ia bukan sekadar mengajar (ta'lim) sahaja. Bahkan ia adalah segala perbuatan yang mencenderungkan manusia ke jalan Allah dengan penuh hikmah, dan dengan pengajaran yang baik, serta berdebat dengan mereka dalam keadaan yang terbaik, sehinggakan mereka kufur kepada taghut dan beriman kepada Allah SWT, agar mereka dikeluarkan dari kegelepan-kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam yang satu.

Ia adalah satu perbuatan yang sangat seni, yang tidak mungkin difahami oleh manusia yang sumber kekuatannya kekeringan; tidak bertaqwa kepada Allah dan tidak ada walau sedikitpun nilai ukhuwwah di dalam dirinya.

Iman akan memperkuatkan pergantungan kepada Allah sedangkan ukhuwwah adalah bagi membina kekuatan jamaah. Tidak mungkin para da'i mampu melaksanakan tugas yang berat ini dengan mengharungi jalan kehidupan dalam keadaan berkeseorangan. Tidak mungkin da'wahnya menjadi syumul melainkan dengan adanya kekuatan jama'i.

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
"Apa yang tidak mungkin dengannya menjadi sempurna perkara wajib, melainkan ianya turut menjadi wajib." (Kaedah syara')
Di dalam konteks amal jama'i, terdapat ramai da'i agung yang telah membentangkan fiqhnya melalui pengalaman-pengalaman mereka yang berharga. Bahkan mereka telah menggabungkan mutiara pengalamannya dengan kefahaman yang benar terhadap perjalanan sirah RasuluLlah SAW. Kata-kata mereka telah diabadikan di dalam beberapa buku Fiqh Da'wah. Lalu mereka kembali hidup di dalam generasi sesudah mereka, benarlah janji Allah SWT:

"Dan janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang berjuang di atas jalan Allah (itu) mati, bahkan mereka hidup!"
(Aali 'Imran, 3:169)

As-Syeikh Mustafa Masyhur (1921-2002), seorang da'i kontemporeri (rahimahuLlah), telah mengeluarkan satu mutiara kata yang sangat cantik:
"Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufiq dari Allah SWT. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah SAW menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan aqidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini."
(Jalan Dakwah: Di Antara Keaslian dan Penyelewangan)

Ya, ia adalah satu tugas yang sangat berat.

Seseorang tidak akan mampu memikulnya melainkan dengan kekuatan. Tidak mungkin kekuatan itu dengan berkeseorangan. Sudah pasti ia memerlukan kekuatan jamaah yang mampu di dalamnya menghidupkan kekuatan yang kedua. Dengan kekuatan iman, jamaah mereka terpandu dengan taufiq Allah ke arah matlamat yang jelas, dan ke arah kemenangan yang besar.

Tiada daya dan upaya melainkan dari Allah semata-mata.

Dan tidak akan kalah orang-orang yang mendapat pertolongan Allah.

Allahu yusahhil lana umuurana!

Note: credit to http://www.supercars.dk/ for the Bugatti Veyron picture.

2 comments:

snowss said...

Quote kata2 dr sebuah buku...
"Kerelaan kita mengemban amanat dakwah untuk Allah dan penerimaan kita akan tugas dakwah setelah para nabi menambah beban berat kita sbg pengikut Rasullullah dan memperbesar amanat yang ada di pundak kita. Hal ini membuat kita lebih siap harus menerimanya sbg amanat.Kita harus lebih giat menjalankan tugas dan harus lebih tenang dalam melakukannya.

Mashizaki Keikan said...

??

Buku mana..?

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]