Pages

Tuesday, December 22, 2009

Kekuatan Pertama: Iman

Beberapa ayat (102-104) di dalam surah Aali Imran memberikan satu tasawur yang cukup jelas tentang kerja-kerja da'wah; tentang persediaannya, matlamatnya, wahana-wahana yang diperlukan untuk memastikan bahawa da'wah dapat berjalan dengan baik, dan juga perkara-perkara yang mesti dilakukan untuk berda'wah.

Sesebuah jamaah da'wah tidak akan kuat tanpa memiliki di dalam dirinya dan ahlinya dua kekuatan yang agung.

Kekuatan yang pertama: Iman

"Wahai orang-orangyang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim (berserah diri kepadaNya)"
(Aali 'Imran, 3:102)

Permulaannya dimulai dengan ayat yang cukup cantik. Allah membawa kita supaya bertaqwa kepadaNya dengan sebenar-benar taqwa dan meninggalkan jalan-jalan yang lain dari jalan ketaqwaan. Sememangnya Allah menginginkan agar setiap hambaNya menuju kepadanya dengan menempuh satu jalan yang mulia agar dia dapat menjadi orang cukup mulia di sisiNya. Tidak lain, hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang mempunyai kemuliaan di sisi Allah SWT,

"...Sesungguhnya yang termulia dari kalangan kalian adalah yang paling bertaqwa dari kalanganmu."
(al-Hujurat, 49:13)

Dalam hal ini, kita juga ingat kepada sebuah mutiara kata dari RasuluLlah SAW yang cukup baik,

"Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susulilah kejahatan dengan hasanah (kebaikan) agar ia menghapuskan (dosa)nya, dan bergaulah dengan manusia dengan pergaulan (akhlaq) yang baik"
(HR Tarmizi dari Arbain an-Nawawi, hadith 18)

Kita telah dipesan agar menempuh jalan taqwa di mana sahaja kita berada kerana sememangnya jalan ketaqwaan merupakan jalan yang mendekatkan seorang hamba kepadaNya.

Selain dari itu, Allah telah berjanji bahawa jika seseorang hamba bertaqwa kepadaNya, Allah akan bersama-sama dengannya. Bagaimana mungkin orang yang bersama-sama dengan Allah terhalang dari mendapat rahmat dan pertolonganNya?

"Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan"
(an-Nahl, 16:128)

Bahkan Allah juga menjanjikan jalan keluar yang baik dari segala masalah yang dihadapi oleh mereka yang bertaqwa dari jalan yang tidak pernah disangka-sangkanya. Kerana di dalam amal da'wah, seorang hamba pasti akan menemukan 1001 macam masalah dari hal yang sebesar-besarnya sehinggalah kepada sekecil-kecilnya.
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan jalan keluar bagi mereka. Dan dia memberinya dari jalan yang tidak terlintas di hatinya"
(at-Talaq, 65:2-3)

Kemudian di dalam ayat yang sama, Alla telah memberikan satu arahan yang cukup jelas untuk dipegang dengannya.
"...janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim (berserah diri kepadaNya)"
(Aali Imran, 3:102)

Suatu ketika dahulu saya pernah menyangka, muslim yang dimaksudkan adalah orang-orang yang telah mengucapkan kalimah syahadah sahaja. Tetapi setelah melalui proses perbincangan yang lebih mendalam, saya mendapati bahawa muslim yang dimaksudkan ialah orang-orang yang telah menyerahkan keseluruhan dirinya kepada Allah tanpa mensisakan walau sedikitpun untuk dirinya sendiri.

Mereka (muslim yang bertaqwa) telah melakukan satu perniagaan dengan Allah dengan suatu perniagaan yang tidak akan rugi sama sekali:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min jiwa-jiwa mereka, dan harta-harta mereka, dengan syurga (yang kekal abadi). Mereka berperang (berjuang) di atas jalan Allah..."
(at-Tawbah, 9:111)

Mereka meyakini bahawa jika mereka menyerahkan keseluruhan diri mereka kepada Allah, ia adalah sebagai satu pinjaman yang baik buat diri mereka.

"Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah (berupa) pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah)? Maka Allah akan memperlipatkali gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepadaNyalah kamu dikembalikan."
(al-Baqarah, 2:245)

Jalan iman ini adalah satu jalan yang jelas matlamatnya, jika seseorang lemah asasnya ini nescaya matlamatnya pula akan menjadi kabur, sekabur pemandangan ketika turunnya kabus yang tebal.

Hanya setelah ayat ini, Allah membawa kita untuk memahami hakikat kedua yang diperlukan untuk menjadi satu umat yang terbaik. Jikalau seseorang itu gagal dalam hakikat yang pertama ini, bermakna hakikat-hakikat yang seterusnya tidak akan membawa apa-apa makna walau sedikit.

...bersambung...

nota: Tafsirnya boleh dilihat di dalam Fi Fdzilalil Qur'an oleh Sayyid Qutb.

6 comments:

Anonymous said...

dlm buku asas2 islam, pcik maududi mengumpamakan iman dengan benih pokok. benih yang tidak dijaga barangkali akan mempengaruhi pertumbuhan pokok tersebut, yakni islam seseorang itu tidak sempurna atas asbab kurangya mujahadah.

sama2 muhasabah diri...

Mashizaki Keikan said...

Perlunya agar semua orang memuhasabah dirinya balik; adakah aku telah cuba untuk mensettlekan diriku dalam hal ni??

snowss said...

Iman titik kekuatan kita. Kerana cara dakwah kita adalah 1. Iman yg mendalam, 2. Pembentukan yg rapi , 3. Kerja yang berterusan....

Mashizaki Keikan said...

Memang betul.

Tapi yang ana sebut ni adalah dalam konteks ingin membina kekuatan jamaah...

snowss said...

good focus...harap org yg baca got the point..

Mashizaki Keikan said...

hmm. betul.

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]