Pages

Wednesday, December 23, 2009

Kekuatan Kedua: Ukhuwwah

...Sambungan...

Hakikat yang kedua pula telah disebutkan dengan jelas dengan lafaz dan maksud:

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu pernah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."
(Aali 'Imran, 3:103)

Ayat ini mengingatkan kembali kepada sirah RasuluLlah SAW dan para sahabatnya. Bagaimana suatu ketika dahulu terdapat dua puak; Aus dan Khazraj, yang selalu berperang semenjak beratus-ratus tahun dahulu. Lalu ketika RasuluLlah SAW datang kepada mereka dengan membawa Islam, mereka telah menerima Islam dan telah menempuh jalan yang pertama yang telah disebutkan (jalan ketaqwaan).

Hanya atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allahlah yang telah menyebabkan mereka kemudiannya dipersaudarakan oleh RasuluLlah SAW sebaik sahaja RasuluLlah SAW sampai di Yathrib (sebelum Madinah ditukarkan nama) dalam peristiwa hijrah. Dengan itu, mereka yang dahulunya di tepi jurang neraka kerana pergaduhan, kebencian dan dendam kesumat di antara dua kaum ini, telah diselamatkan dengan tali Allah SWT yang membawa mereka ke arah syurga yang kekal abadi.

As-Syahid Sayyid Qutub dalam menghuraikan tentang ayat ini telah berkata di dalam Fi Dzilalil Qur'an:
"Kerananya (i.e. ukhuwwah fiLlah) dendam sejarah menjadi kecil, sentimen kesukuan menjadi hina, dan ambisi peribadi dan panji-panji golongan menjadi rendah. Maka, tersusunlah sebuah barisan yang berada di bawah kibaran panji-panji Allah yang Maha Tinggi."
Segala kepentingan-kepentingan diri dari mana-mana individu akan diletakkan di tepi untuk mengutamakan kepentingan umat, kerana perpecahan sangat hampir kepada kekufuran. Atas dasar iman, seseorang ingin melihat saudaranya sentiasa diislah dari semasa ke semasa, kerana dia juga suka untuk dirinya perubahan ke arah yang lebih baik.

"Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu, sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasihi untuk dirinya sendiri"
(HR. Bukhari & Muslim di dalam Arba'in Nawawi, hadith 13)

Atas dasar tersebut, seorang sahabat mu'min sentiasa sahaja berusaha untuk menambah baik sahabatnya yang lain. Jika dilihat kesilapan, maka dia menasihatinya dengan cepat, jika dia melihat kekurangan dia akan cuba untuk membantu menambah dari kekurangan tersebut, dan jika dia melihat kesalahan, dia akan cepat-cepat memperbetulkan sahabatnya. Dia tidak sanggup melihat sahabatnya berada dalam keadaan terkapai-kapai dengan kesalahannya.

Sentiasa sahaja berlaku di antara satu mu'min dengan mu'min yang lain, mencari titik pertemuan yang dapat menyatukan hati mereka. Bagi mereka, gelas adalah separuh penuh bukan separuh kosong. Mereka tidak menyimpan perasaan-perasaan buruk di dalam hati yang boleh bercambah menjadi penyakit yang lebih merbahaya; perpecahan. Sekiranya ada kesalah-fahaman maka mereka akan cuba untuk menyelesaikan dengan cepat kerana dikhuatiri membawa kepada penyakit yang lebih besar tersebut.

Mereka yang terjalin hatinya dengan jalinan ukhuwwah fiLlah yang tulen dan berjuang di atas jalanNya akan menjadi seperti satu bangunan yang kukuh:

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang di atas jalanNya dalam keadaan bersaf-saf, seumpama mereka itu sebuah binaan yang kukuh."
(as-Saff, 61:4)

Tidak mungkin seseorang boleh terhimpun di dalam saff perjuangan yang sama jika tidak mempunyai apa-apa nilai ukhuwwah di dalam hatinya.

Akhirnya ukhuwwah fiLlah yang tulen akan membawa ahlinya kepada memperoleh petunjuk dariNya. Hanya dengan petunjuk Allahlah akan menjadi mudah segala mehnah dan tribulasi kehidupan da'wah.

...bersambung...

nota: Bagi membaca dengan lebih detail, anda boleh membuka Fi Dzilalil Qur'an oleh Sayyid Qutub.

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]