Pages

Tuesday, November 3, 2009

Nikmat Besar

Suatu ketika dahulu jahiliyah telah dihapuskan oleh risalah Islam yang lengkap yang telah dibawa oleh RasuluLlah SAW. Pada ketika itu masyarakat Arab berada dalam kejahilan yang amat sangat. Mereka merupakan satu kelompok yang telah kehabisan nilai moral mereka, melainkan segiliter dari kalangan mereka. Itupun merupakan kesan-kesan dari da'wah Nabi Isa AS yang telah lama, dan itupun risalah Nabi Isa adalah di negeri Filistin, bukan di tanah Arab. Nabi yang telah datang sebelum itu adalah Nabi Ismail, beberapa ratus tahun sebelum terutusny RasuluLlah.

Jahiliyah kini telah kembali berleluasa sehingga menjadi fitnah yang sangat-sangat besar. Sesetengah pihak berkata, "jahiliyyah sekarang adalah lebih teruk" kerana orang kuffar telah mempelajari dari kesilapan-kesilapan lalu mereka. Pantang dibiarkan Islam berkembang, ia pasti akan menghancurkan kegelapan jahliyyah dengan sinar cahayanya.

Mereka telah menyerang dari bermacam-macam sudut. Sudut pemikiran, sudut ketenteraan, sudut ekonomi, sudut politik dan juga sudut-sudut yang lain. Dengan hati yang penuh dengan rasa bangga, dan dengan hati yang penuh dengan rasa dengki terhadap kebenaran, mereka telah menyusun dan merancang sesama mereka agar sinar cahaya tidak akan kembali selama-lamanya.

Kesan dari itu, ramailah manusia yang terpengaruh dengan propaganda kuffar. Samaada mereka sedar mahupun tidak, samaada di pagi hari atau malam hari, atau apa jua keadaan yang lain, di atas nama kemajuan ramai individu yang telah terkorban nilai dan jati diri mereka. Serangan-serangan yang halus telah direncanakan dan telah dilaksanakan sehingga akhirnya ia menjadikan manusia mengikut arus ini.

Arus kebatilan yang deras mengalir ini telah menyebabkan manusia merosakkan diri mereka sendiri. Jika sebelum ini, terdapa satu pihak yang melaksanakan agar dunia menerima arus mereka, kini hampir semua masyarakat dunia mengalu-alukan arus tersebut, tanpa wujud di dalam dirinya perasaan sangsi walau sedikitpun.

Ramailah yang terlibat di dalam jahiliyah. Sama ada yang jahiliyah yang mereka sendiri buat ataupun yang dibuat oleh orang lain. Hati mereka telah bergelumang di dalamnya sehingga sinar cahaya dan jalan taufiq itu begitu susah untuk dikenal-pasti. Dan kemaksiatan itu menjadi biasa dan tidak janggal lagi. Jika ada pun perasaan janggal tersebut, terdetik di hatinya, "takpe-takpe, asalkan bukan aku yang buat.." atau "ah, tak kisah lah!"

Namun demikian, Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik bagi manusia. Dia menghendaki agar sinar cahaya ini tidak padam, walaupun kaum kuffar dan musyrikin membenci. Dia menghendaki agar risalah yang mulia ini sentiasa terpelihara dari awal pengutusannya sehinggalah ke hari kiamat. Tidak ada satu manusia pun yang dapat mengubah hakikat ini.

Maka, wujudlah di tengah-tengah kegelapan jahiliyah tersebut sinar cahaya yang menerangi. Wujudlah di tengah-tengah satu masyarakat yang bingung beberapa sosok yang agung. Sosok yang agung yang telah melalui proses takwin yang sempurna. Mereka membawa harapan kepada manusia di kala manusia telah kehilangan pedomannya.

Sosok-sosok yang mulia ini lantas telah bergabung sesama sendiri kerana yakin bahawa sinar yang terpancar-pancar pasti tidak akan mampu meruntuhkan kegelapan yang tersusun. usaha-usaha mereka telah dimulakan dengan mencari individu-individu besi, dan juga mereka yang mempunyai kecenderungan untuk bersama-sama dengan kelompak sinar ini.

Satu demi satu manusia dikeluarkan dari dunia jahiliyahnya. Sinar ini menghancurkan kegelapan yang ada di dalam hati manusia-manusia pilihan tersebut. Lalu mereka diproses pula dengan proses yang telah dilalui oleh generasi-generasi terdahulu. Mereka telah dicelup dengan acuan yang agung. Acuan Allah! Acuan siapakah yang lebih baik dari acuan Allah?

Program at-takwinud daaqiq (pembentukan yang rapi) telah dijalankan atas setiap individu besi tersebut sehinggakan mereka menjadi besi-besi yang telah digilap dengan baik. Lantas cahaya yang tersinar di atas mereka turut disinarkan ke atas manusia lain. Mereka pula menjadi al-muharrikun bersama-sama dengan pemancing-pemancing yang telah menangkap mereka.

Akan tetapi kerja ini tidak mudah.

Benar kerja ini tidak mudah!

Jelas sekali benar, bahawa kerja ini tidak mudah wahai penyinar cahaya sekalian!

Allah telah berjanji untuk tidak membiarkan manusia mengatakan bawah "aku telah beriman" sedang mereka belum lagi diuji.

Jelas bahawa kerja ini amat berat dan susah sekali.

Manusia besi yang telah digilap tadi kembali terjun ke dalam masyarakat untuk menarik mereka kepada cahaya yang telah mereka rasai kenikmatan dan kelazatannya. Tetapi disebabkan jahiliyah yang begitu melata, ditambah pula dengan janji syaitan bahawa;
"aku akan mendatangi mereka dari depan mereka, dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka", kadangkala jahiliyyah itu menempias di dalam hati.

Bagi para penyinar cahaya ini, mereka mempunyai hati yang sangat sensitif. Bagi setiap manusia, seteruk manapun sejarah mereka, pasti ia akan lekat sebagai satu sejarah. Ia tidak akan hilang selamanya, bahkan ia akan tertinggal sebgai sebuah bekas yang mendalam di dalam jiwa mereka. Walaupun mereka para du'at yang mulia, ia tetap membekas di dalam hati.

Cukuplah syaitan untuk menarik trigger yang menutupi bekas tersebut untuk mengembalikan manusia besi ini kepada zaman jahiliyyahnya. Cukuplah dengan menyebabkan terdetik di hati sahaja, pasti sudah cukup mengancam iman yang telah mekar di hati golongan du'at.

Kecundanglah seorang demi seorang dengan hasutan syaitan. Kecundanglah mereka.

Memang benar tugas ini adalah tugas yang berat.

Allah adalah sebaik-baik perancang. Dia tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Dia pasti sudah merancang dan menggariskan jalan-jalan yang boleh menyelamatkan diri manusia dari terkecundang. Dari futur dan tertipu dengan tipu daya syaitan sepertimana tertipunya Adam dan Hawa suatu ketika dahulu.

Lalu melalui RasulNya yang mulia (SAW), satu mesej yang jelas telah disampaikan. Kamu umpama kambing biri-biri. Serigala tidak akan menyerang kambing biri-biri melainkan yang telah keluar dari kumpulannya. Ketahuilah bahawa serigala itu adalah syaitan.

Melalui RasulNya, wajiblah berjamaah untuk memelihara iman. Namun jamaah ini bukan sebarang jamaah. Ia bukan sekadar dan semata-mata bersama. Ia bukan sekadar dan semata-mata manusia-manusia yang beriman duduk atau tinggal bersama-sama. Jika ia tidak disusuli oleh tindakan-tindakan memperbaiki iman, pasti jamaah tersebut adalah jamaah bersuka-ria orang beriman.

Jamaah yang di dalamnya bercakap kosong dan berbual perkara lagho. Jamaah yang di antara ahlinya menyimpan perasaan-perasaan yang tidak mahmudah. Jamaah yang di dalamnya, masing-masing hanya berjamaah dalam bentuk fizikal. Tidak. Jamaah ini tidak akan mampu menyelamatkan iman manusia besi dari kecundang kepada jahiliyah di sekelilingnya. Tidak sama sekali.

Sesungguhnya jamaah yang dapat menyelamatkan ahlinya adalah sebuah jamaah yang sentiasa ada di dalamnya elemen-elemen ta'lim, tazkiyah, bertegur dengan kebenaran dan kesabaran. Sehingga wujud jamaah yang terikat ruhnya dengan keimanan dan kecintaan kepada Allah. Kata-kata yang keluar dari mulut ahlinya adalah kata-kata yang basah; sentiasa sahaja membuat ahli yang lain teringat akan Allah. Sentiasa sahaja berbincang dan saling mengingatkan diri untuk memperbaiki.

Jika manusia lain berlawak bodoh sesama mereka, dan berketawa kerananya sehingga hati menjadi keras, maka manusia besi yang bersinar-sinar cahaya daripadanya sentiasa sahaja mengucapkan kalimah-kalimah yang membangkitkan iman dan mensucikan jiwa. Sehinggakan jiwa-jiwa ahli jamaah ini menjadi jiwa-jiwa yang tenang dan tidak kusut.

Jika manusia biasa sentiasa sahaja mengisi telinga mereka dengan lagu-lagu untuk memenuhkan kekosongan hati mereka, maka manusia besi adalah orang yang ayat-ayatNya menjadi hiburan dan penenang hatinya.

Jika manusia lain adalah orang-orang yang melawan fitrahnya, malam dihidupkan dengan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, maka manusia besi adalah manusia-manusia yang di malam hari mereka mengadu kepada Rabb mereka lantaran kelemahan mereka.

Mereka takut. Takut diuji dengan sedikit ujian lalu gagal. Mereka takut dikembalikan kepada keadaan jahiliyyah mereka yang telah membekas tersebut. Mereka takut dan mengharap, agar perasaan cinta kepada Rabbnya dan kepada RasulNya tidak ditarik balik. Mereka takut, jika ada dosa-dsao yang mereka lakukan menyebabkan usaha-usaha sinaran cahaya digantung pertolongannya dari Allah. Mereka takut, andaikata mereka tersungkur, mereka tersungkur selama-lamanya.

Mereka berharap agar dapat bersama-sama dengan orang-orang yang dapat mengingatkan mereka kepada Allah.

Dan berdoalah mereka kepada Allah Rabbul 'Izzah.
Dan bergantung haraplah mereka kepadaNya.

Mereka berharap agar mereka diberikan tawfiq dan hidayahNya, di dalam setiap urusan. Sama ada dalam urusan deen, dunia atau akhirat. Agar dikurniakan satu nikmat yang agung, thabat sehingga ke akhirnya.

"Dari kalangan orang-orang mu'min terdapat rijal-rijal yang telah membenarkan janji mereka terhadap Allah. Maka dari kalangan mereka ada yang telah menyempurnakan janjinya, dan ada pula yang menunggu-nunggu (giliran mereka pula). Dan tidaklah (yang menunggu-nunggu itu) mengubah janji mereka"
(al-Ahzab, 33:23)

Tidak ada apa yang dapat mengubah mereka. Sehingga Allah mengurniakan kemenangan kepada mereka dengan pertolongannya, dan hancurlah kegelepan kejahilan dengan datangnya sinar cahaya yang menyinari.

--

"YA Allah!
Sesungguhnya engkau tahu,
bahawa hati-hati ini,
telah berhimpun kerana cintakanMu,

telah bertemu kerana taat kepadaMu,

telah bersatu untuk menyeru kepadaMu,
telah berjanji untuk menolong syari'atMu,
maka,
pereratkanlah akan hubungannya,

kekalkanlah kemesraannya,
tunjukilah ia jalannya,

terangilah ia dengan cahaya rabbaniMu yang tidak kunjung malap,
dan lapangkanlah dada-dadanya dengan kemuliaan keimanan denganMu,
kecantikan tawakkal ke atasMu,
dan,
hidupkanlah ia dengan ma'rifahMu,

serta matikanlah ia dengan syahadah di atas jalanMu,
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Mawla,

dan sebaik-baik Nasir.

Ya Allah perkenanlah!"

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]