Pages

Sunday, November 1, 2009

Farag Najjar

Kebiasaannya saya tak suka mengambil dari blog orang lain untuk diletakkan di sini, tetapi pada kali ini (dan mungkin juga pada kali-kali yang lain), saya ingin merakamkan di blog ini sebuah kisah dan pengalaman hidup seorang tokoh da'wah. Kemungkinan besar ramai yang belum mengenali beliau sebelum ini. Oleh itu, nah saya bentangkan dan kongsikan pengalaman hidup seorang tokoh da'wah. Mudah-mudahan kita mendapat tempias-tempias ruh da'wahnya.

--
Syeikh Farag Najjar
5 Ramadhan 1341 - 19 Ramadhan 1430H
22 April 1923 - 9 September 2009M
Tokoh Ikhwanul Muslimin

Syeikh Farag Najjar ini pernah ditemuramah oleh wartawan al-Jazeera mengenai pengalaman dakwahnya yang begitu panjang, termasuk ketika masuk pilihanraya 2000 sebagai calon. Malangnya, slot berkenaan tidak dapat ditayangkan. Al-Jazeera mendakwa bahawa kelapan-lapan tape temuramah tu telah dicuri.

Selepas kejadian itu, Syeikh menceritakan bahawa pada satu hari seorang Proffesor dari sebuah Universiti di Amerika telah datang mencarinya di rumahnya. Proffesor itu berkata kepadanya: "Aku menjumpai kelapan-lapan tape itu di pejabat Kongress Amerika. Aku berkata pada diriku, aku mesti jumpa Farag Najjar dan mencari sebab kenapa kelapan-lapan tape ini ada di sini, dan siapa agaknya Farag Najjar?"

Apa istimewanya lelaki ini?

Dilahirkan pada tahun 1923 di Mayyit Khaqan, Bandar Syibin Kom, Mesir. Anak keempat dari lapan orang adik beradik di dalam sebuah keluarga yang sederhana. Ayahnya bekerja sebagi tukang kayu dan ibunya seperti mana-mana wanita Mesir, menumpukan sepenuh masa menjadi suri rumah mendidik anak-anak dan mengurus keluarga.

Seperti adik-beradiknya yang lain, beliau dididik dengan didikan agama sejak kecil. Kedua ibu bapanya menghantar mereka untuk menuntut ilmu dari kalangan ulama-ulama. Beliau menghafal al-Quran dan syair-syair Arab dari Syeikh Abdul Hamid Ghanim semasa kecil.

Mula mengikuti dakwah Ikhwan Muslimin sejak berusia 15 tahun setelah mengikuti beberapa tariqat sufi. Berbaiah dengan Hasan al-Banna ketika berusia 16 tahun pada tahun 1939.

Tidak dapat menyempurnakan persekolahan di peringkat menengah kerana kesempitan wang. Belajar secara tidak formal di rumah dan menumpukan dakwah Ikhwan sehingga berjaya menubuhkan cawangan Ikhwan di Mayyit Khaqan, kampungnya dan membawa penduduk di sana menjadi penyokong Ikhwan setelah sebelum ini mereka menyokong parti Wafd.

Terlibat dengan Nizam Khas Ikhwan (unit elit Ikhwan) pada tahun 1941 dan mengembangkannya sehingga wujud cawangan Nizam Khas di Manufiah, Qalyubiah, Gharbiah dan Kafr Syeikh. Beliau mengepalai Nizam Khas di kawasan-kawasan itu yang dipanggil Wasat Delta (keluasan gabungan beberapa negeri di Malaysia).

Seorang yang sangat aktif dan cekap melaksanakan tugasan sehingga Hasan al-Banna memintanya agar tidak berkahwin sehingga berumur 30 tahun setelah mereka mencari penggantinya. Di antara contoh kecekapannya adalah ketika Nizam Khas meminta beliau menyelinap masuk ke Parti Komunis Mesir untuk mendapatkan rahsia, beliau berjaya melakukannya dan mendapat kepercayaan dari Parti Komunis Mesir sehingga dilantik menjadi Sekretariat Parti Komunis Mesir cawangan Gharbiah. Beliau berjaya mematahkan usaha membunuh Hasan al-Banna oleh Parti Komunis Mesir.

Dipenjarakan pada Januari 1954 dan dikeluarkan dari penjara pada Mac 1954. Cuba untuk dipenjarakan buat kali kedua, tetapi Ikhwan memutuskan agar beliau lari untuk menjaga maklumat Ikhwan yang disimpannya. Bermula dari situ beliau hidup dalam pelarian selama 21 tahun, menyamar dan menyelinap tanpa dapat dikesan oleh rejim Jamal Abdul Nasir.

Menceritakan pengalamannya melarikan diri beliau berkata:

Pihak keselamatan datang ke rumahku buat kali pertama dan mengepungnya. Aku berkata kepada ibuku: “Sibukkan mereka untuk aku lari dari belakang.” Ibuku adalah seorang wanita yang buta huruf tetapi beliau mahir di dalam melarikan diri. Pihak keselamatan menyeru kami dan ibuku berkata kepada mereka: “Sabarlah sehingga penghuni rumah ini menyiapkan diri.” Ibuku memanggilku dan menyerahkan kepadaku semua emasnya untuk aku gunakan dalam pelarian. Aku melompat ke rumah jiran. Seekor anjing cuba menyerangku dan tuan rumah itu membunuh anjing itu. Beliau memberi aku pakaian dan aku kelar dri rumahnya memulakan perjalanan dari Januari 1954 sehingga Julai 1975.

Setelah itu aku berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Aku menetap bersama manusia yang tidak dikenali langsung sebagai anggota Ikhwan. Adakalanya aku bersembunyi di tengah-tengah manusia yang tidak berjambang dan tidak solat di masjid. Hidup mereka terlalu biasa. Kadang-kadang aku berehat di rumah Menteri Dalam Negeri kerana tidak ada sesiapa pun yang akan menjangka aku akan berada di situ. Adakalanya suasana mendesak aku tidur di kawsan perkuburan setelah tidak ada lagi kawasan yang aman untukku. Segala puji bagi Allah, tempoh itu berlalu dengan selamat tanpa aku tertangkap. Itu semua adalah kurniaan dari Allah.

Pihak keselamatan memberikan tekanan kepadanya agar beliau menyerahkan diri. Antaranya adalah dengan cara memaksa keluarganya memeluk Kristian dengan cara memaksa mereka pergi ke gereja. Tetapi beliau terus menyembunyikan diri kerana merasakan maslahat menjaga rahsia Ikhwan lebih besar dari keselamatan ahli keluarganya. Ayahnya meninggal dunia setelah 15 tahun beliau bersembunyi. Beliau tidak dapat menghadiri majlis pengkebumiannya dan berasa amat sedih.

Di antara cerita semasa beliau menyembunyikan diri adalah ketika beliau mendapat peluang menziarahi ahli keluarganya, pihak keselamatan mendapat maklumat lalu mengepung rumahnya dan menyerunya keluar. Beliau mengambil sarang lebah lalu membiarkan lebah-lebah menggigit mukanya sehingga bengkak. Beliau selamat keluar dalam keadaan muka bengkak di celah-celah pihak keselamatan tanpa dicam.

Ketika pengampunan umum diumumkan oleh Anwar Sadat kepada semua anggota Ikhwan, semua diampunkan kecuali beliau. Semua anggota Ikhwan keluar menzahirkan diri kecuali beliau yang terus bersembunyi untuk tempoh dua tahun seterusnya. Kemudian beliau meminta izin dari Omar Telmesani, Mursyid Am Ikhwan ketika itu untuk menzahirkan diri, lalu Omar Telemesani membenarkannya seminggu sesudah itu.

Setelah menzahirkan diri, beliau berkahwin dan dikurniakan lima cahaya mata. Beliau terlibat aktif di dalam menyusun semula Ikhwan cawangan Manufiah.

Beliau meninggal dunia pada 9 September yang lepas (bersamaan 19 Ramadhan) dan dikebumikan sehari selepasnya dengan dihadiri oleh ribuan orang Islam.

Moga-moga Allah menerima segala amalnya dan melahirkan pengganti seumpamanya untuk umat ini.
--
Sumber asal: Sentuhan Memori
Artikel tambahan: Ustaz Halim
--
Nota:
Artikel ini sebenarnya telah agak lama. Saja mau postkan.

6 comments:

musafir said...

AlhamduLillah..cukup bermakna dalam menghidupkan kembali hati-hati yang kering macam aku ni agar kembali kuat bekerja.

Mashizaki Keikan said...

Kena basahkan balik... Ambik baldi yang penuh dengan iman, simbah hati tu. (astaghfiruLlah x3)...

Kita sama-sama nak kena kaji laa, macamana depa buat da'wah dengan berkesan.

Anonymous said...

salam..
mantap sungguh!!

terbakar semangat rasa..

Betapa pentingnya seseorang itu dalam sesebuah organisasi bergantung kepada tanggungjawab yang dipikulnya

Tapi... orang2x ni jelas fikrah mereka...
Bergerak untuk Islam, bukan untuk organisasi...
Sebab itu sanggup berkorban

Nak jadi mantap..Tapi usaha tak cukup lagi..
Dush!!

Mashizaki Keikan said...

Bergantung pada tanggungjawab yang dipikul? Ha.. Tak paham.

Orang-orang yang telah jelas fikrah mereka, mereka bergerak untuk ISlam dan mereka juga bergerak untuk organisasi mereka.

balad said...

ohoh..betol2..
kalau sheikh ni x bergerak untuk organisasi takkanlah beliau berusaha betol2 utk jaga rahsia organisasi

hehe..fikrahku masih sedang dimantapkan... dan masih belom mantap sepenuhnya... kne mantapkan ni

InsyaAllah~

Mashizaki Keikan said...

Bagus... bagus... mantapkan fikrahmu...

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]