Pages

Wednesday, October 14, 2009

Pandangan Terhadap KI dan Ahlinya


Assalamu’alaykum warahmatuLlah wabarakatuh!

AlhamduliLlah kita bersyukur kepada Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar kita, nabi Muhammad yang merupakan penghulu sekalian ambiya’ dan juga penutup para Rasul. Juga kepada kaum keluarga baginda, sahabat-sahabatnya serta barangsiapa yang mengikuti mereka dengan ihsan sehingga hari kiamat.

Sebelum memulakan bicara, saya ingin membacakan sepotong ayat dari al-Qur’an:


"Kamu telah dijadikan sebaik-baik ummah yang telah dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, maka yang demikian itu lebih baik bagi mereka. Dari kalangan mereka ada yang beriman dan kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasiq"
(Aali ‘Imran, 3:110)

Saya juga berasa senang untuk membawakan sebuah hadith nabi SAW kepada ikhwah dan akhawat sekalian:

عن عبد الله بن عمر - رضي الله عنهما - أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:
"كلكم راعٍ وكلكم مسؤول عن رعيته. الإمام راعٍ ومسؤول عن رعيته، والرجل راعٍ في أهله وهو مسؤول عن رعيته، والمرأة راعية في بيت زوجها ومسؤولة عن رعيتها، والخادم راعٍ في مال سيده ومسؤول عن رعيته."
"Setiap dari kamu adalah pemimpin dan setiap dari kamu bertanggunjawab atas kepimpinannya. Seorang imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

‘Amma ba’du!

AlhamduliLlah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan keizinannya kita dapat sampai ke akhir tahun 2009 ini. Dan sampainya kita ke sini setelah kita melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang tahun tersebut. Adakalanya Allah memberikan kepada kesenangan dan kemudahan ketika melakukan tugas, dan ada pula masa-masa yang kita lalui memerlukan kita untuk banyak bersabar dan bersabar. Tetapi akhirnya segala tugas yang dilakukan adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah, sama ada ianya berat atau ringan.

Saya telah membacakan kepada ikhwah dan akhawat sekalian sepotong ayat yang sangat releven buat kita sepanjang masa. Iaitu sepotong ayat yang meyebut bahawa: “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan kamu juga beriman dengan Allah.” Ayat ini menggambarkan satu tasawur yang cukup jelas bagi kita, bahkan sekiranya kita mengambil ia dalam konteksnya yang penuh (yakni dengan mengambil maksud dari ayat 102 hingga 110), kita akan melihat dari perspektif yang cukup jelas tentang tujuan kita, apa yang harus kita lakukan dan bagaimana untuk kita sampai ke tujuan kita. Kejelasannya umpama melihat bulan purnama pada malam yang gelap geilta dan tiada awan.

Allah telah mengingatkan kepada kita bahawa tujuan hidup kita adalah untuk menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepadaNya, dan Dia juga telah meletakkan satu piawai ketaqwaan di dalam hal ini; dengan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Hal ini jelas disebutkan di dalam ayat:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim (sepenuhnya menyerah diri kepada Allah tanpa menyimpankan walau sedikitpun untuk diri sendiri)”
(Aali ‘Imran, 3:102)

Tetapi masalahnya, adakah boleh mencapai darjat ketaqwaan tersebut dengan begitu sahaja? Dari tidak mempunyai apa-apa, tiba-tiba terus mendapat sesuatu yang sangat besar? Tanpa melalui jalannya yang betul? Tidak sama sekali! Segala matlamat yang benar wajib diperoleh atau dicapai melalui jalannya yang betul. Jadi, untuk memastikan kita dapat mencapai dan bergerak ke arah darjat ketaqwaan tersebut, Allah telah menyatakan bahawa; “hendaklah ada dari kalangan kamu yang mengajak kepada kebaikan…” (3:104). Hal ini diingatkan sekali lagi (3:110) dengan menyatakan pula bahawa kita adalah ummah yang terbaik sekiranya kita melakukan tiga perkara ini; (1) menyuruh kepada ma’ruf, (2) mencegah kemungkaran dan (3) beriman kepada Allah.

Malangnya, ramai dari kalangan manusia hanya melihat hal “menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada memungkaran” dari perspektif yang sempit. Sedangkan kita, harus melihatnya dari perspektif yang sangat luas. Apa yang saya cuba maksudkan di sini ialah kita harus mengetahui apakah ma’ruf yang paling besar dan apakah kemungkaran yang paling besar. Kemudian yang keduanya ialah kita harus mengetahui jalannya pula untuk melaksanakan kedua-dua perkara tersebut.

Apakah ma’ruf yang paling besar? Ia adalah menanamkan kalimah Allah agar ia menjadi yang tertinggi di dalam hati manusia. Dan apakah pula kemungkaran yang paling besar? Ia adalah perbuatan mensyirikkan Allah. Kita mengetahui bahawa syirik ialah mempersekutukan Allah dalam apa-apa hal sekalipun, sama ada dalam hal yang jelas lagi nyata seperti menyembah makhluk lain, dan juga dalam hal yang tersembunyi, mempercayai tentang khurafat dan yang seumpama dengannya. Dari definisi ini, kita dapat katakana bahawa perbuatan mencegah daripada kemungkaran yang terbesar ialah usaha untuk membuang dan menghancurkan segala syirik yang wujud, di dalam hati mahupun yang zahir.

Persoalannya, bagaimana kita ingin melakukan kesemua hal yang telah saya sebut tadi? Tidak boleh tidak ianya harus melalui satu proses pembentukan yang rapi.

Ikhwah dan akhawat yang ana kasihi!

Program apakah yang dengannya kita dapat melakukan proses pembentukan yang rapi tersebut? Ia adalah dengan melalui segala program tarbiyah dengan penuh bersungguh-sungguh dan berusaha juga untuk mentarbiyah orang lain. Dalam konteks ini, Kelab Iqra’ telah menjadikan tarbiyah sebagai jalan utama kita.

Tarbiyah ialah satu proses pembentukan keperibadian muslim sehingga mecapai sepuluh cirinya. Ia adalah memperbaiki (islah) diri sendiri sehingga seseorang itu memiliki aqidah yang sejahtera, ibadah yang betul, akhlak yang mantap, kuat tubuh badan, mampu berdikari, mampu bermujahadah melawan nafsu, keluasan fikrah, teratur dalam urusan, sangat menjaga waktu dan bermanfaat buat yang lainnya. Inilah sepuluh ciri yang kita harapkan dapat dibentuk dalam setiap ahli Kelab Iqra’.

Dalam hal ini, Kelab Iqra’ telah menjadikan usrah atau halaqah al-Qur’an sebagai tunjang tarbiyah. Tanpa mengikuti usrah, kita meyakini bahawa segala usaha-usaha yang lain akan menjadi sia-sia, atau setidak-tidaknya dikhuatiri amal-amal Islami yang dilaksanakan tidak mampu untuk dijadikan sebagai amal yang konsisten.

Walaubagaimanapun, hanya mengikut usrah sahaja adalah sangat-sangat tidak mencukupi. Ia umpama sebuah rumah yang hanya ada kerangkanya sahaja tanpa ada dinding atau atau atapnya. Bagi melengkapkannya, dinding harus dibuat dan atap harus dibina. Seandainya tiada kedua-dua elemen ini, maka tidak lengkaplah rumahnya. Begitu juga tarbiyah, usrah sahaja tidak mencukupi kita memerlukan kepada program-program sokongan yang lain untuk memenuhi keperluan tarbiyah. Tanpa program-program sokongan yang lain tersebut tarbiah tidak akan sempurna.

Maka atas dasar ini, Kelab Iqra’ telah menganjurkan banyak program pada tahun 2009 untuk menampung keperluan yang mendesak ini. Antaranya ialah, program Kem Semayam Ukhuwah Mahasiswa (KESUMA), Kem X-REK (Ekspidisi Mahasiswa Kental), Kursus Pemantapan Fasilitator (KPF), Bengkel Pengurusan Organisasi (BPO), Kem Generasi al-Qur’an (GenQ) dan lain-lain.

Kita juga menunjukkan komitmen untuk tidak mengorbankan aspek tarbiyah di dalam kerja-kerja dan tindakan-tindakan Kelab Iqra’. Seandainya ada perkara-perkara yang mendatang secara tiba-tiba yang memerlukan tindakan daripada Kelab Iqra’, maka aspek program tarbawi Kelab Iqra’ lah perkara pertama yang akan dilihat dan dinilai.

Namun demikian, hanya mengikuti program sahaja masih tidak mencukupi. Ia umpama pepetah arab yang mengatakan; ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah. Ilmu yang apabila tidak diamalkan dengannya, ia umpama sepohon pokok yang diharapkan buahnya tetapi ia tidak berbuah. Akhirnya semua orang yang mengikuti usrah dan program-program sokongan yang lain perlu turut bekerjasama di dalam menjayakannya; sebagai seorang penggerak yang aktif. Bagaimana mungkin kalimah Allah ditegakkan di muka bumi tanpa ada usaha yang dibuat? Maka benarlah kata-kata RasuluLlah SAW yang diriwayatkan oleh ad-Daylami:
“Bukanlah al-Iman itu dengan angan-angan dan bukanlah juga dengan perhiasan. Tetapi ia adalah apa yang diqrarkan di dalam hati dan dibenarkan dengan amal”

Akhirya, apa yang diharapkan ialah supaya kita sama-sama berganding bahu untuk terus menerus beristiqamah dengan jalan amal ini. Saya ingatkan kembali bahawa kita perlu jelas dengan matlamat kita untuk mengejar darjat ketaqwaan. Kemudian jalan yang harus ditempuhi ialah jalan yang melakukan amar ma’ruf nahi mungar. Bagaimana untuk melaksanakannya ialah melalui program-program tarbiyah, yang mana tunjangnya adalah usrah. Tetapi medan cakap tidak sama dengan medan amal, maka semua ahli dituntut untuk bekerja apabila sudah sampai masanya untuk dia bekerja. Kita harus bekerja dengan ikhlas, kerana pada akhirnya Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat amalan kita pada hari akhirat kelak.


“Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah at-Tawbah, 9:105)

Sekian dari saya. Aqulu qawli haza astaghfiruLlah li walakum.

Assaalamu’alaykum warahmatuLlahi wabarakatuh!

Presiden Kelab Iqra’ 2009
Kelab Iqra’ UTM
(Beberapa ketika sebelum meletak jawatan)

17 comments:

+akufobia+ said...

(KESUMA),Kem X-REK,(KPF),(BPO),(GenQ)+lainlain ni untuk ahli je ke open untuk semua?lalala.(saja tanya.)

Mashizaki Keikan said...

Ada yang untuk ahli, dan ada yang untuk semua... Sebenarnya apa-apa program yang kami anjurkan kebanyakannya sesiapa boleh join. Tapi akhirnya, bergantung kepada orang yang nak join tu.

+akufobia+ said...

aa.tu yang best nak dengar tu kan.

Miss Mawa said...

xdapat pulak dengar speech ni kalo tak sebab ada progrm kat pagoh. Tp xpela, dapat gak tau intipatinye. Membaca lebih senang=)

+akufobia+ said...

mendengar akan lebih melekat di hati.

Mashizaki Keikan said...

Mawaddah: Owh? Ha'ah ek... Hari tu nti tak datang AGM... Apa yang penting dapat point2 yang hendak disampaikan. Moga2 bermanfaat! (^_^)

Acap: Akan lebih melekat di ingatan laa. Sebab ada lebih dari satu kaedah input. Ditambah pulak dengan body language.

+akufobia+ said...

aa.double melekat jika di hati.(betul ke?)

Mashizaki Keikan said...

tak paham..?

+akufobia+ said...

aa.mana yang paling bagus,melekat di hati@ingatan?(arghh.)

Mashizaki Keikan said...

Hmm... Tak penting pun dalam konteks ni, asalkan dapat faham dan cuba implement dalam bentuk amal.

UMMU HAFSIN said...

btol3..yg pntg kne faham dn kene amalkn..

ilmu tnpa amal ibarat pohon yg tdak brbuah...

Mashizaki Keikan said...

Satu pepetah arab yang sangat cantik. Satu-satunya pepatah arab yang hafal ketika sekolah dan masih ingat lagi dalam bentuk yang asli...

Tetapi masalahnya yang datang lepas tu, apakah benda yang kita nak kena faham?

UMMU HAFSIN said...

banyak sangat benda sebenarnya. walaupun banyak benda yang dah dipelajari masa sekolah2 dlu. tp still kene byk mncari.

tyme skolah2 dlu, smuanya teori je. praktikal yg btol2nye masa dh msuk u dn slps itu.. wktu 2 baru ALLAH nk uji sama ada kita amalkn @pun x ilmu yg kta dh ada....

+akufobia+ said...

belajarnya kita lepas habisnya sesi pembelajan.belajar untuk mempraktikkan.keke.

Mashizaki Keikan said...

there is a process of:
(1) getting
(2) giving
(3) recharging

tak semua yang dapat di sekolah teori semata-mata. kalau tak rugilah.

+akufobia+ said...

ada yang praktikal.macam,PJK.kakaka.ada lagi,KH,science+experiment berlambak.aa.(ye ke?)

Mashizaki Keikan said...

haa
buat lawak...

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]