Pages

Saturday, September 5, 2009

Pemahaman Mengenai Sejarah

Syeikh Sa'id Ramadhan al-Buti
penulis buku Fiqh Sirah (Kefahaman Sirah)
Sirah yang dihuraikan dalam konteksnya

Salah satu daripada sumber rujukan penting bagi seorang dai (pendakwah) ialah pengalaman mereka yang terdahulu dan rentetan sejarah yang menyertainya. Pengalaman-pengalaman ini begitu berharga sekali dalam memberikan kita suatu penilaian terhadap kes-kes yang telah berlaku, dan bagaimana sikap dan tindakan tertentu memberikan kesan terhadap apa yang terjadi sesudahnya.

Lantaran daripada kepentingan faktor sejarah inilah fikrah ini telah meletakkan di dalam manhaj tarbiyyah kita satu kedudukan yang penting bagi Sirah Nabawiyyah, iaitu jalan perjuangan ar-Rasul s.a.w. dan juga pemahaman terhadap perjuangan as-Sabiqun al-Awwalun. Tidak cukup itu, kita menekankan juga pengkajian Fiqh as-Sirah, yang bukan sahaja membawa cerita apa yang telah berlaku, tetapi mengupas tentang kenapa dan bagaimana ar-Rasul s.a.w. mengambil sesuatu tindakan, dan apa pengajaran yang dapat kita ambil daripadanya. Lantaran daripada kefahaman inilah kita telah menetapkan manhaj perjuangan kita. Begitu juga, apabila kita melalui bab tajdid Islami, tentu kita teringat bagaimana kita mempelajari sejarah para mujaddid zaman silam, dan menganalisis mengenai kekuatan dan kelemahan setiapnya, yang kesemuanya telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada kebangkitan Islam masa kini.

Beberapa Noktah Penting

Di dalam kita memahami sejarah, tentunya beberapa noktah penting harus kita pertekankan dahulu.

Pertamanya, tentunya kita harus memastikan kesahihan sumber yang membawa sejarah itu. Di zaman ini, kita akan fahami kejadian yang sama daripada pelbagai perspektif, adakalanya bertepatan dengan apa yang sebenarnya berlaku, sementara yang lain hanyalah merupakan khayalan atau lagenda yang ditokok-tambah semata-mata untuk menyedapkan jalan cerita. Walaupun ada kalanya lagenda ini begitu nyaman sekali buat hati kita - lantaran menyebelahi pihak kita - ini bukanlah sumber kita.

Kadangkala suatu cerita yang disampaikan melalui beberapa orang satu demi satu akan berubah menjadi cerita yang sama sekali tak ada kena mengena dengan cerita asalnya. Untuk ini saya teringat satu contoh, satu cerita seorang yang terjatuh di dalam parit lalu basah kuyup, kemudiannya ditolongi oleh seorang anggota polis yang kebetulan lalu di situ dengan keretanya, menjadi kisah ianya kena tangkap basah, lalu tersebarlah ke serata kampung... Tambahan pula cerita jenis "skandal" ni, lebih laris lagi...

Keduanya, kita harus juga memahami latarbelakang terjadinya sesuatu peristiwa itu. Mengetahui semata-mata satu kejadian secara tersendiri acapkali tidak membawa makna terhadap apa yang sebenarnya berlaku. Kisah Aurangzeb merampas kuasa daripada ayahnya Jahangir akan ternampak zalim dan tidak mengenang budi ayah pada kebanyakan orang, tambahan apabila ia mencampakkan ayahnya sendiri ke dalam penjara. Tetapi kiranya kita mengetahui bahawa Maharaja Mogul si-ayah itu zalim dan tidak mengikut lunas Islam, maka kita lebih mudah memahami kenapa ianya perlu dilaksanakan. Begitu juga dalam memahami hadis ar-Rasul s.a.w. kita harus memahami risalah Nubuwwah itu sendiri terlebih dahulu, yakni apakah tujuan kebangkitan baginda, baharulah setiap hadis akan menjadi kena pada tempatnya. Tidaklah kita terlalu memberatkan beberapa aspek tertentu (yang disebutkan dalam hadis juga) meninggalkan pokok risalah itu sendiri. Tidaklah kita jadi, seperti pepatah Inggeris, "cannot see the forest, for the trees".

Ketiganya, sejarah juga hendaklah difahami daripada kacamata aqidah dan fikrah itu sendiri. Penilaian dan penafsiran sesuatu kejadian yang sama akan berbeda kiranya ia dipandang oleh seorang Mu`min, seorang Komunis, seorang Kapitalis atau seorang Majusi. Malah dalam Islam sendiri, penilaiannya akan juga berbeda kiranya ia diperhatikan oleh seorang yang terbawa dengan pemikiran "tasawwuf" dan batiniyyah, seorang yang memahami Islam sebagai agama dalam pengertiannya yang sempit sahaja, seorang yang melihat Islam sebagai satu set hukum-hakam fiqh semata-mata, atau seorang yang beramal dengannya sebagai satu sistem yang syumul dan sempurna.


Terlebih penting, kita hendaklah memandang sejarah yang lampau itu dengan cara yang adil untuk mengetahui kebenaran, bukan sahaja kebenaran dalam konteks apa yang telah berlaku, tetapi juga kebenaran sebagai satu matlamat dan sasaran perjuangan kita.

--

Dalam konteks perjuangan kita ini, kita juga harus memahami rentetan sejarah yang melibatkan gerakan dan fikrah kita, agar tidak disalah fahamkan oleh kita sendiri atau disalahtafsirkan oleh yang lain. Rentetan ini penting dalam meneguhkan keyakinan kita kepada manhaj perjuangan ini. Sepertimana yang saya sebutkan tadinya: prinsip fiqh as-sirah begitu sentral sekali dalam manhaj tarbiyyah kita.

Ainullotfi bin Abdul Latif
al-Fikri al-Lamburi
(Blog: Click! Multiply: Click!)

3 comments:

Lotfi al-Fikri said...

More of Abah's posts at

http://lotfialfikri.blogspot.com/

Mashizaki Keikan said...

owh... abah dah aktifkan blog abah rupanya... nanti angah link.

Unknown said...

ho.bila baru diketahui.haha.takpe.senyum.nanana.

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]