Pages

Saturday, August 22, 2009

Pesta Agung

Di kala umat akhir zaman, dalam keadaan jahiliyah berleluasa, kehancuran menjadi nyata akibat perbuatan manusia sendiri. Ramai dari mereka yang telah menzahirkan kehancuran dan kerosakan mereka. Dengan rasa 'izzah tanpa ada sebarang rasa bersalah di dalam hati. Fitrah hati mereka telah diubah kepada ketidak-fitrahan lantaran kekotoran jiwa dan kekerasan hati mereka. Mereka tidak lagi peka dengan fitrah yang telah difitrahkan ke atas mereka.

Lalu berlakulah wabak sosial. Dalam wabak sosial tersebut, mereka sangka mereka sedang bergembira, tetapi satu azab yang sangat pedih sedang mengintai-intai tidak jauh dari situ. Menunggu-nunggu sahaja masa kedatangannya, dengan arahan dari Allah SWT. DikataNya sahaja "JADI!" maka hancur binasalah satu kaum, tidak tersisa lagilah walau seorangpun. Namun Dia menangguhkannya.

Keadaan yang begitu teruk itu terlalu berleluasa, sehingga ramai menyangka bahawa "inilah arus utama!". Barangsiapa yang tidak mengikut arus utama ini, pasti akan ditinggalkan oleh dunia. Pasti mereka akan dianggap "kolot" oleh golongan-golongan "terkini". Mana-mana manusia yang berpegang kepada Islam juga diannggap kolot, lalu mereka menjadi golongan minoriti; pada sangkaan orang ramai.

Tetapi sebenarnya, sangkaan mereka telah tersilap! Jauh sekali dari kebenaran yang nyata. Keadaan yang sebaliknya berlaku sepanjang masa:

"Apakah selain dari deen Allah yang mereka cari, sedangkan bagiNya telah menyerah (aslama) segala apa yang ada di langit dan di bumi? Sama ada dalam keadaan taat atau terpaksa, dan hanya kepadaNyalah mereka kembali"
(Aali 'Imran, 3:83)

Segala-galanya telah tunduk dan patuh. Segala-galanya telah islam. Yang tinggal hanya manusia dan jin, dengan persoalan "Adakah mereka juga ingin menyertai jamaah yang terbesar ini?" Lalu merekalah yang membuat keputusan sendiri.

Segala sesuatu yang selain dari jin dan manusia bersujud menghadapkan wajah mereka kepada Allah:

"Dan bagi Allahlah bersujudnya apa yang ada di langit dan bumi, dalam keadaan taat atau terpaksa, juga bayang-bayang mereka, pada waktu pagi dan petang"
(ar-Ra'd, 13:15)

"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah dan tiada satu kejadianpun melainkan seluruhnya bertasbih kepada Allah"
(al-Isra', 17:44)

Bertasbihnya mereka umpama berada mereka di dalam satu pesta yang agung. Satu pesta yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pesta yang lain. Walau sebesar mana keHEBOHan pesta tersebut yang dianjurkan oleh manusia, pesta ini jauh lebih besar. Walaupun manusia berbondong-bondong datang ke pesta-pesta HEBOH, dengan angka yang berpuluh-puluh ribu atau lebih, dengan anak dan bini, pesta HEBOH manusia tidak dapat mendekati langsung (dari segi bilangan) pesta yang Agung ini.

Ia adalah PESTA IBADAH yang disertai oleh seluruh makhluk, sama ada yang berada di langit atau di bumi, atau yang ada di antara keduanya. Kesemuanya telah menyertai Pesta Ibadah ini. Para malaikat dengan jumlahnya yang berjuta-juta mentasbihkanNya sepanjang masa. Ada yang rukuk, ada yang sujud, dan ada pula yang bertawaf mengelilingi 'arasy Allah 'Azza wa Jalla. Burung-burung berkicauan pada pagi hari dan petang hari tanda bertasbihnya mereka kepada Allah. Pokok-pokok berdiri tegak, megah di dalam hutan rimba. Bayang-bayangnya menyejukkan bumi. Harimau dan singa mengaum pada siang hari, kesemuanya mentasbihkan Allah, dalam bahasa yang tidak difahami oleh manusia. Kelompok manusia yang dianggap kecil tadi telah, dengan tiba-tiba, menjadi kelompok terbesar.

Lalu Allah wujudkan Ramadhan, untuk menjadi pemangkin kepada manusia untuk menyertai Pesta Agung ini. Di dalamnya ada bermacam-macam nikmat dan rahmat. Yang diketahui dan tersembunyi, dari perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (qurrata a'yun) bagi orang-orang yang bertaqwa.

Marilah kita menyertai Pesta yang terbesar ini.
Marilah kita bersama-sama di dalam PESTA IBADAH...

Semarakkan RamadhanMU..!

p/s: Ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf dari semua orang. Andaikata ada hutang-piutang dari segi zahir dan batinnya, maka harap dapat tuntut atau maafkan... Mudah-mudahan Ramadhan ini, dapat mengembalikan kita kepada fitrah.

-"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu" (HR. Bukhari dll)-

4 comments:

Unknown said...

pesta yang tibatiba je orang yang kurang bacaan qurannya ketika hari biasa berlumbalumba nak khatamkannya.yang kurang sujudnya di sepertiga malam berpenatlelah melawan nafsu mengantuk untuk menyempurnakannya.semoga kita di niat yang lurus.

Mashizaki Keikan said...

haa~ satu pesta yang berterusan, dan bukan sahaja pada bulan Ramadhan... Tetapi juga pada bulan-bulan yang lain. Ramadhan hanya sebagai pemangkin.

Ibadah yang bukan sekadar ibadah khusus, tetapi sebenarnya di dalam menyerahkan seluruh hidup untuk Allah...

yusufjaafar said...

Manusia memang lumrah sering terikut-ikut. Sebab itulah ilmu itu penting kerana ilmu bukan bersifat ikut-ikutan, tetapi bersifat kebenaran.

Mereka yang terikut-ikut ini tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap sesuatu. Jadi mereka merasakan majoriti itu adalah kebenaran sedangkan kebenaran tidak berpihak kepada majoriti atau minoriti.

Semoga dirahmati Allah...

yusufjaafar.wordpress.com

Mashizaki Keikan said...

Ya, memang betul...

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]