Pages

Friday, April 10, 2009

Pemuda dan Kalimah Tayyibah

. . . . .

"Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah tayyibah seperti pohon yang baik? (Iaitu) akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah khabithah seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat (tegak) sedikitpun. Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki."
(Ibrahim, 14: 24-27)

Pemuda adalah golongan syabbab yang mengalir di dalam darahnya semangat yang membara untuk mencapai sesuatu yang diyakininya mulia. Selain mati syahid, cita-cita (dunia) apakah yang lebih baik dan agung dari mengharapkan dunia dan seisinya menerima kalimah Allah sebagai kalimah tertinggi? Tidak, tidak ada langsung cita-cita selain dari itu yang lebih mulia.

Dan disebabkan kemuliaan cita-cita ini, para syabbab pun menggerakkan tulang empat keratnya untuk mencapai apa yang diharapkan tersebut. Lalu usaha-usaha dilakukan, tenaga dicurahkan dan keringat dititiskan. Tetapi buat ramai orang dari golongan ini, ramai dari kalangan mereka yang suka dan bersikap ingin cepat melihat hasil dan hasilnya tindakan yang terhasil atau ideologi yang dipegang adalah ideologi perubahan yang cepat serta revolusi yang segera sedang jalannya masih lagi sangat panjang dan jauh perjalanannya.

Perumpamaan yang Allah berikan merupakan suatu perumpamaan yang agung! Dia mengatakan bahawa kalimah tayyibah (طيبة) itu umpama pohon yang tayyibah, yang akarnya kukuh dan batangnya munjulang ke langit. Ibn 'Abbas mengatakan bahawa kalimah tayyibah ini merupakan kalimah Laa ilaha illa Llah (لا إله إلا الله), dan diketahui apabila kalimah ini disebut ia datang dengan implikasinya sekali dan tuntutan-tuntutannya. Ia bukan sahaja kalimah yang disebut dalam bentuk lafzi sahaja dan semata-mata.

Akar yang mendalam menggambarkan betapa dalamnya keimanan yang tertanam di dalam hatinya sehinggakan ianya mampu mendapatkan makanan serta air walau dalam keadaan macamana sekalipun keadaan di atas tanah. Akar yang mendalam juga membantunya dalam mengukuhkan kedudukannya terutama apabila pohon tersebut dilewati angin ribut yang kuat lagi kencang, atau apa-apa sahaja daya yang menolaknya.

Dan akarnya yang mendalam datang pula dengan batang yang menjulang ke langit. Lalu tumbuh dari batangnya beratus-ratus ranting yang tumbuh daripada tiap-tiap satunya buah yang enak lagi sedap dimakan. Allah menyebut; "Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin tuhannya". Saya mengibaratkan batang tersebut sebagai aqidah yang kukuh, ranting-ranting tersebut sebagai amal dan buah sebagai hasil dari amal tersebut. Alangkah indahnya perumpamaan yang Allah berikan ini, buat orang-orang yang berfikir.

Aqidah kukuh yang terbina di atas keimanan yang mendalam akan menghasilkan amal yang berterusan dan hasilnya dirasai oleh semua di sekelilingnya sehinggakan ia juga menumbuhkan pohon-pohon yang seiring dengannya dan serupa dengannya.

Tetapi! Tetapi semua ini hanya akan berlaku setelah pohon tersebut ditanam dengan dengan benih keimanan yang pertama. Kemudiannya ia dipelihara dengan baiknya dengan disirami air, memberikan baja dan mendedahkan kepada cahaya matahari mengikut keperluannya. Hari demi hari dan proses demi proses dilakukan terhadap anak benih itu yang kemudiannya tumbuh menjadi anak pokok. Lalu ia membesar dan membesar menjadi sebuah pohon yang dewasa dan matang.

Lalang-lalang dan pohon-pohon "jahiliyyah" atau semak-samun ditebas dan sekeliling anak pokok tersebut dipastikan bersih dari sebarang lalang dan tumbuhan-tumbuhan "jahiliyyah" tersebut. Seandainya tidak dibersihkan, pembangunan dan pertumbuhan anak pokok-berguna tersebut mungkin terganggu atau lagi teruk, terbantut pertumbuhannya ke arah menjadi dewasa. Tanahnya pula digemburkan agar air dan udara mudah meresap ke dalam tanah dan bermacam-macam lagi tindakan yang perlu dibuat.

Buat buahnya pula, Hassan al-Banna pernah mengingatkan dengan keras dan tegas kepada ikhwan yang dirahmati Allah bahawa jangan dipetik buah sebelum ianya masak. Seandainya berlaku juga hal yang demikian, maka buah tersebut akan dibazirkan dan pemetiknya pula tidak mendapat manfaat daripada buah itu bahkan mungkin merasai kepahitan dan kemasaman sahaja.

Jadi akhirnya, perumpamaan yang sangat cantik ini memberikan kepada kita tiga kesimpulan yang hebat:
  1. Iman yang mendalam; suatu perkara asas yang diperlukan oleh setiap individu yang ingin dijadikan atau menjadikan dirinya sebagai bibit kebangkitan Islam. Tanpa keimanan yang mendalam cita-cita akan berubah menjadi angan-angan yang tidak berpijak di bumi nyata.
  2. Pembentukan yang rapi; adalah proses yang perlu dilalui sebelum mencapai tahap kematangan. Tanpa melalui pembentukan yang rapi seseorang itu akan cacat, dan bantut, bahkan mungkin membahayakan dirinya serta jamaah (dikhuatiri berlaku penyelewangan).
  3. Amal yang berterusan; akan memastikan bahawa iman itu sentiasa diperbaharui, manfaat sentiasa dicurahkan dan istiqamah itu wujud dalam individu-individu tersebut. Bahkan ia juga akan mempercepatkan lagi sampai kepada matlamat tanpa mengabaikan soal langkah yang harus dilalui terlebih dahulu.
Moga Allah mengurniakan kepada kita taufiq dan hidayahNya, insya Allah!

4 comments:

[Ab.ngah] said...
This comment has been removed by the author.
[Ab.ngah] said...

Alhamdulillah. Artikel untuk direnung kembali bersama.

Pemuda sememangnya mempunyai semangat yang tinggi, suatu aset yang bernilai untuk umat Islam. Dari zaman ke zaman telah menyaksikan kemunculan pemuda2 yang berani dalam memastikan ghayah (matlamat akhir) da'wah itu dapat dicapai.

Tetapi, sayang sekali, ramai juga pemuda yang ikhlas tapi dek teruja dengan semangat yang berkobar-kobar ingin memerangi segala kebatilan, melakukan amal ma'ruf nahi mungkar, maka tanpa sedar, pemuda-pemuda itu banyak yang menimbulkan luka-luka kepada da'wah itu sendiri. Habis ingin ditebas. Sampaikan yang baru mula merangkak sudah disuruh/mahu berlari, yang kawan disangka lawan, peluang yang terbentang menjadi ancaman yang berpanjangan..

Perjalanan da'wah itu panjang. Umurnya tidak diukur dengan umur penda'wah itu sendiri. Ingatkah kisah Ghulamul Da'wah? Adakah kita cuba telusi fiqh yang tersirat disebalik peristiwa yang diceritakan Allah SWT dalam AQ dan hadis Nabi SAW itu?

Ghayah perlu jelas, langkah perlu dirapi dan diperinci, barulah semangat itu tersalur secara bijak. Barulah peluru tidak terbazir begitu sahaja. Bak perumpamaan oleh Syeikh Muntalaq dalam Hambatan2 Da'wah, pendokong2 da'wah itu umpama air bah. Jika kita dapat membuat aluran2 untuknya mengalir, maka kita dapat mengambil manfaat darinya, tetapi jika kita gagal, maka tunggulah kebinasaan yang dibawanya.

WA. Salah silap bersama kita tegur secara sepatutnya.

P/s: Maaf 'Ammar, komen panjang sikit.

Mashizaki Keikan said...

mudah-mudahan dapat dimanfaatkan secara bersama.

kura-kura said...

salam wrt.

salam ziarah dari moscow.
syukran jazilan utk huraian nie.

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]