Pages

Friday, March 6, 2009

Pemikiran Yang Lemah

Kejatuhan ummah yang gagah perkasa telah berlalu selama 85 tahun. Jatuhnya ia ketika mana jatuhnya sistem khalifah Islam. Payung yang memayungi ummah dari taghut yang melata. Dan setelah itu, kembalilah taghut berleluasa di bumi Tuhan, sehingga manusia merasai kesan dari hasil tangan mereka sendiri;
"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)"
(ar-Rum, 30:41)

Ummah yang dahulunya singa juga telah berjinak-jinak dengan menjadi anjing rumah yang patuh kepada tuannya. Lalu dengan demikian itu, kehinaan demi kehinaan ditimpa ke atas mereka. Singa yang kenyang perutnya dengan sampah sarap, lalu melayan tuannya tersebut walaupun si tuan berhasrat mencabut kesemua taring dan kukunya, sebelum ia sedar dari khayalan yang mengasyikkan. Kosongnya hati dari keimanan dan lemahnya pemikiran dari wawasan yang jauh menambahkan lagi penyakit yang membarah di dalam diri si singa.

Suatu ketika dahulu ummah ini seringkali diserang secara fizikal oleh para musuhnya yang dengki terhadapnya. Tetapi, malangnya serangan-serangan fizikal tersebut tidak berjaya mengalahkan satu batallion yang tidak takut mati dan izzah dalam memperjuangkan deennya yang mulia. Mati ia menang dengan memperolehi syahid, hidup ia meneruskan perjuangan menegakkan kalimah Allah agar menjadi kalimah yang tertinggi. Kedua-duanya merupakan kemenangan yang dijanjikan Allah.

Setelah berfikir panjang, lalu mereka melancarkan pula perang pemikiran (al-Ghazwah al-Fikriyah). Untuk mencabut keyakinan dan kecintaan ummah kepada jihad dan mengisi kekosongan tersebut dengan hal-hal duniawi yang remeh lagi temeh. Dan akhirnya, dengan melaksanakan perancangan mereka, mereka telah berjaya. Sehingga kini ramai dari kalangan ummah yang suatu ketikanya bangga dengan kemuliaan deen mereka telah diracuni pemikirannya dengan hal-hal yang lemah. Lalu wawasan hidup mereka beralih dari menegakkan kalimah Allah kepada berbincang hal-hal taghut, dan semangat juang mereka terganti dengan kecintaan kepada dunia.

Adalah satu hal yang susah dan memerlukan mujahadah yang tinggi, buat para pencinta Islam zaman moden untuk ber'uzlah pemikiran dan hati dari dicemari dengan kekotoran taghut yang menempias. Mana tidaknya, berjalan selangkah sahaja sudah pasti akan menemui taghut dalam bentuknya yang tersendiri. Berjalan lagi selangkah, seseorang itu pasti akan terjumpa dengan taghut yang berlainan. Begitu dasyat sekali suasana zaman ini, sehinggakan seorang muslim yang sejati pasti akan terceroboh hak asasinya setiap hari. Namun, tiada siapa yang tahu atau sedar tentang pencerobohan yang zalim ini, apatah lagi pejuang hak asasi pendusta dari kalangan pejuang taghut.

Dalam ber'uzlahnya jiwa dan pemikiran dari tahgut yang melata, tidak boleh tidak para pencinta deen pasti akan bergaul dengan keadaan sekelilingnya dan berinteraksi dengannya. Bahkan tertanam kukuh di hatinya, perasaan dan keimanan yang membuak-buak untuk menarik semua orang yang dikasihinya agar selamat dari kegelapan taghut. Umpama seorang yang menyedari bloknya terbakar sedang sahabat-sahabatnya yang lain sibuk dibuai mimpi di alam khayalan. Lalu mereka disimbah dengan air dan tubuh mereka
disentak agar mereka menyedari keadaan yang meruncingkan tersebut. Tindakan yang pertama ini penuh dengan keyakinan bahawa tanpa menyedarkan sahabat-sahabat tersebut, segala usaha untuk menyuruh menyelamatkan diri pasti akan menjadi sia-sia.

Walaubagaimanapun, terkadang dalam usaha menyimbah air dan menyentak tubuh tersebut, para penggerak (al-muharrikun) bukan sahaja diuji dari luar (dengan kepananasan bahang api atau tempias-tempias jahilyyah), bahkan juga dari dalam. Kerana Iblis yang dilaknat telah bersumpah dengan nama Tuhan Yang Maha Agung bahawa:
"Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, daku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)"
(al-A'raf, 7:16-17)

Lalu orang yang baik-baik, telah diuji hati mereka dan terkadang ada yang sedikit terlarut di dalam serangan taghut hati. Di dalam kerja-kerjanya yang mulia, ia merasakan dirinya ekslusif dan berbeza dengan orang lain. Ia merasakan bahawa ia lebih mulia dari kelompok yang perlu dikejutkan. Ia merasa bahawa pertolongan dan hidayah Allah pasti akan datang melalui tangan mereka. Tetapi mereka lupa kepada satu ayat dari Qur'an yang agung:
"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Pemurah (ar-Rahman) itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan"
(al-Furqan, 25:63)

Atau adakalanya hati mereka dilarutkan dengan perhiasan dunia yang menawan lagi cantik:
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)"
(Aali Imran, 3:14)

Lalu dengan perhiasan-perhiasan dunia tersebut, keimanan dan hatinya kadang terlarut dengan urusan-urusan tersebut. Terkadang apa yang ada di dalam hati disebut di mulut, dan akhirnya menjadi perbualan al-muharrikun. Hati, yang bersifat sensitif, pasti sedikit sebanyak terlarut di dalam propaganda syaitan dan Iblis yang dilaknat. Dan wawasan agung mereka untuk menjadikan kalimatuLlahi hiyal ulya (kalimah Allah yang tertinggi) pasti dicemari dengan titik-titik hitam yang merosakkan dan karat yang membahayakan. Ditambah pula lagi dengan interaksi dan pendedahan fizikal para pencinta Islam terhadap taghut yang melingkari sekelilingnya. Ia menjadi pemangkin kepada titik permulaan rosaknya hati.

Dalam keterlarutan tersebut, ada yang langsung gugur. Bukan gugur dengan kemenangan seperti yang Allah sebutkan:
"Di kalangan orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur (syahid). Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (kesyahidannya) dan mereka tidak (sedikitpun) mengubah (janjinya untuk tetap terus-menerus berjuang di atas jalanNya)"
(al-Ahzab, 33:23)

Tetapi gugur dengan penuh penyesalan dan kerugian. Sedang ada pula dari kalangan mereka lantas tersentak dari dibuai mimpi-mimpi dan khayalan kosong mereka. Lalu mereka kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali, dalam keadaan yang bersegera dan penuh pengharapan, agar Allah mengampunkan dirinya atas ketidaktulenan hatinya di dalam melaksanakan tugas yang begitu mulia:
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa...Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui"
(Aali 'Imran, 3:133,135)

Buat ikhwah dan akhawat yang dikasihi Allah...

Sedang hati merasa enak berada di atas jalan da'wah, hisablah hati dan keimananmu. Tanyalah ia, "mengapa kamu suka di sini?" Andaikata jawapannya ialah Allah dan Rasul, nescaya antum berada di atas jalan yang benar. Tetapi persoalannya, adakah jawapan tersebut keluar dari hati yang merasai kemanisan iman yang mendalam atau ia hanya kata-kata kosong yang menjawab soalan agar diri berada bersama-sama dengan kafilah da'wah ini?

Sungguh, satu perkara yang ana pelajari dari pengalaman diri sendiri... "Bahawa cinta adalah suatu perasaan yang tidak dibuat-buat, bukan juga disebut-sebut semata, tetapi ia adalah satu perasaan yang mendorong melakukan apa sahaja demi cintanya". Ana pernah ditanya oleh seorang ikhwah, "Jawablah dengan suara hati antum, antum cintakan Allah dan Rasul tak?" Lalu diri ini tidak tahu bagaimana ingin menjawab, kerana cinta adalah perasaan yang dapat dirasai dengan hati, tetapi pada saat itu, perasaan tersebut seperti tiada. Andaikata kita menjawab "ya" nescaya kita menipu diri sendiri, tetapi andaikata tidak... Apakah yang akan dikatakan orang? Itulah satu dilema yang pernah dialami satu ketika dahulu. Terfikir juga, kadangkala kita terasa kita membuat da'wah kerana Allah dan Rasul, tetapi apabila amal tersebut dilaksanakan, tidak terbit langsung perasaan manisnya beramal. Adakah ini dinamakan cinta?

Buat diri yang selalu sibuk...

Engkau jangan dilarutkan dengan urusan-urusan remeh, mesikipun ia datang dari saudara yang engkau kasihi. Janganlah dengan alasan bermesra engkau melarutkan hatimu dengan taghut yang halus dan tersembunyi. Kerana sesunguhnya setiap taghut adalah jahiliyyah dan setiap jahiliyyah adalah tertolak. Ingatlah olehmu pesanan seorang syeikh, lonjakan da'wah tidak akan berlaku sekiranya hatimu masih ada karat-karat jahiliyyah. Ia hanya akan berlaku dengan pemisahanmu secara total dari jahiliyyah!

Sambutlah seruan Tuhanmu dan masuklah di bawah naungan Qur'an yang Furqan...

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya, dan janganlah kamu mengkuti jejak langkah syaitan!"
(al-Baqarah, 2:208)

19 comments:

Anonymous said...

jazakallah...ubat hati dikala ini

Mashizaki Keikan said...

mudah-mudahan manfaatnya meluas. walaubagaimanapun, ubat hati yang terbaik tetap qur'an...

masih kagum dengan sayyid qutb, kerana jiwa dan perasaannya yang halus, dia dapat menyelami al-Qu'ran dengan taufiq Allah. Lalu ditulisnya sebuah tafsir dengan judul Fi Dzilalil Qur'an. Betapa tajuk tersebut sangat mempunyai maksud kepada penulisnya. Dan betapa kita juga harus merasai perasaan yang sedemikian di dalam hidup kita. Iaitu perasaan berada di bawah naungan al-Qur'an.

~masih mencari-cari lagi perasaan tersebut~
"...barang yang hilang dari mukmin, pungutlah ia di mana sahaja kamu perolehinya..."

Anonymous said...

yup..betul..ubat hati yang terbaik adalah al-Quran...walaupun seseorang itu tidak ada kefahaman tentang al-Quran, namun dengan mukjizat yang ada pada al-Quran itu, bisa membuatkan pembacanya beroleh kedamaian...

mencari pengubat hati keseterusnya...
nasihat dari sahabat yang soleh..

Mashizaki Keikan said...

Seperti mana yang selalu dibuat oleh sahabat-sahabat RasuluLlah... Ana teringat sebuah hadith, yang seorang sahabat pergi berjumpa dengan RasuluLlah lalu dimintanya nasihat, katanya: "Nasihatilah aku wahai RasuluLlah" Lalu RasuluLlah SAW bersabda: "Jangan engkau marah" dan diulangi pertanyaan tersebut beberapa kali, (tetapi) RasuluLlah SAW (masih lagi) bersabda: "Jangan engkau marah" (an-Nawawi, hadith 40)

Anonymous said...

apa yang nak dimaksudkan dari hadith tersebut?

Mashizaki Keikan said...

Dalam konteks ini, ana suka membawa ianya dari sudut seorang sahabat meminta nasihat, lalu diberikan oleh sahabatnya yang kasih kepadanya.

Ukhuwwah yang sebenar adalah ukhuwwah yang berlandaskan iman dan islam.

Anonymous said...

nta dah memiliki tafsir sayd Qutub tersebut? Ana masih mencari tafsir ibnu Kathir...tapi xtau nk dapatkan di mana...atau mungkin ada softcopy nya ke ek

Mashizaki Keikan said...

ana hanya ada yang juz 30. beli yang ditranslate dari english punya. dapatkannya di badan bookstore, angsana, jb. atau dapatkan satu set dengan nowfara bookstore. ada linknya di tepi blog ana tu.

Mashizaki Keikan said...

btw, sebelum baca fi dzilal al-qur'an... baca dulu buku: "Pengantar Fi Dzilal" oleh dr apa ntah. Check di nowfarabookstore.blogspot.com

permata said...

"Ingatlah olehmu pesanan seorang syeikh, lonjakan da'wah tidak akan berlaku sekiranya hatimu masih ada karat-karat jahiliyyah. Ia hanya akan berlaku dengan pemisahanmu secara total dari jahiliyyah!"

Jazakallah atas peringatan..

Anonymous said...

salam takzim dan ziarah.................

Mashizaki Keikan said...

Seorang syeikh lain telah mengingatkan kami dengan suatu mafhum dari hadith:
"Sesungguhnya hati itu berkarat, hilangkanlah karat-karat tersebut dengan zikiruLlah, tilawah al-Qur'an dan mengingati mati"

Betapa indahnya kata-kata dan ingatan syeikh tersebut kepada kami...

Anonymous said...

Alhamdulillah.. hati mula tersentak.

Dah lama xbaca post nta dan Alhamdulillah, hari ni Allah gerakkan hati ana utk baca, rupanya ada teguran dr Dia melalui nta..

JZKK..


~sangat memerlukan teguran sebegini~

Mashizaki Keikan said...

Ramai sungguh yang suka menjadi hamba Allah yang anonymous ye...

"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan kami jadikan bagi kamu puak-puak dan berbangsa-bangsa, agar kamu saling bertaaruf..." (al-Hujurat, 49:13)

Anonymous said...

ana pun kadang-kadang lebih suka jadi anonymous...sesuai untuk waktu tertentu..

tapi mesti tuan blog nak tahu sapa..

Mashizaki Keikan said...

ada lah kebenarannya di situ... tapi kadang-kadang kesian kepada tuan rumah.




Anyway, tak kisah pun.

istiazah said...

Kejatuhan khilafah islamiyah telah lama berlalu dan sehingga kini masih belum ada negara Islam yng sebenar2nyer tertegak dimuka bumi ini. jadi kitalah yng bertanggujawab untuk berjuang demi mencapai khilafah islamiyah. bermula di tempat dan kawasan masing2. Berdasarkan waqi' masing2. Kita di Malaysia haruslah berjuang tuk tegakkan ISlam di Malaysia. Mula2 negara islam, barulah seterusnya dunia Islam.
Setiap individu muslim tidak boleh melepaskan dirinya daripada memperjuangkan ISLAM di mana mereka berada. Kewajipan ini ialah FARDHU AIN. Ini bermakna sesiapa yang meninggalkan tugas ini hukumnya adalah berdosa.


At-Taubah 81. Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut perang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata: "Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini." Katakanlah: "Api neraka jahannam itu lebih sangat panas(nya)" jika mereka mengetahui.

Wallahua'lam

Mashizaki Keikan said...

menjadi tanggungjawab setiap orang mu'min untuk memastikan deen ini kembali tertegak. tetapi ia harus melalui jalan yang digariskan dengan jelas garis panduan jalan yang harus ditempuhi tersebut. dalam hal ini, hasan al-banna, dengan taufiq Allah, telah menggariskan satu garis panduan umum berkait rapat dengan tahapan-tahapan amal kita untuk mengembalikan kegemilangan ummah...

kita bukan sekadar ingin menegakkan daulah dan khalifah... tetapi kita juga ingin agar Islam menjadi al-Ustaziyatul 'Alam...
"...sehingga tidak terjadinya lagi fitnah di muka bumi..."

Mashizaki Keikan said...

aku tulis untuk diriku supaya aku tak jadi lemah...

ingatlah wahai diri!

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]