Pages

Thursday, March 12, 2009

Generasi al-Qur'an Yang Unik جيل قرأني فريد

جيل قرأني فريد
--
Sebenarnya tajuk ini telah dibawa oleh as-Syahid Sayyid Qutb di dalam bukunya "Ma'alim fit Tariq" atau "Petunjuk Sepanjang Jalan" atau "Milestone". Beliau merupakan orang yang sama yang telah menulis "Tafsir Fi Dzilalil Qur'an", iaitu sebuah tafsir yang telah memberikan banyak manfaat kepada ummah ini khasnya buat para penggerak da'wah yang bercita-cita menanam iman di dalam setiap individu dan menegakkan Islam sebagai addeen yang mulia di muka bumi ini.

Sebaik sahaja kita mendengar atau terbaca tajuk yang diberikan, sudah pasti akan timbul di benak fikiran kita beberapa soalan yang sangat dasar mengenai tajuk tersebut: Siapakah generasi yang unik ini? Bilakah mereka muncul? Kenapakah mereka disebut sebagai generasi yang unik? Di samping lain-lain persoalan yang munkgin timbul yang juga sangat berkait rapat dengan tajuk ini; Generasi al-Qur'an yang Unik.

Seseorang yang perasaannya bergelojak dengan semangat ingin tahu sudah tentu akan bertanya satu soalan yang sangat asas: Kenapa unik??? Sudah tentu unik mempunyai banyak cara penafsirannya. Kereta yang unik adalah kereta yang sangat menonjol berbanding dengan kereta lain, dan ia mempunyai ciri-ciri yang tidak boleh diperolehi pada kereta-kereta lain. Rumah yang unik mempunyai rekaciptanya yang tersendiri, dengan konsep yang telah diberikan oleh para arkiteknya yang kreatif. Manakala individu yang unik pula adalah individu yang pelik dan sangat lain daripada yang lain, tidak kiralah samada ianya dari segi perangainya, perwatakannya atau apa jua yang melambangkan kelainan buat individu tersebut.

Bagi generasi yang unik, terutamanya sebuah generasi al-Qur'an, mereka adalah unik kerana sebelum zaman mereka tidak pernah munculpun satu kelompok seperti mereka. Begitu juga zaman sesudah mereka, dan sehinggalah ke hari ini. Generasi yang seumpama generasi al-Qur'an ini tidak pernah muncul lagi sesudah berlalunya zaman mereka. Sifat-sifat dan karakteristik yang ada pada generasi awal tersebut tidak pernah muncul di dalam satu kelompok yang ramai yang boleh disebut sebagai generasi, wakaupun di dalam sejarah telah terbukti bahawa adanya orang-orang yang menepati ciri-ciri generasi al-Qur'an ini. Namun mereka hanya wujud dalam bentuk fardi (sendiri).

Siapakah mereka? Sudah tentu merekalah sahabat-sahabat RasuluLlah SAW, yang Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah... "Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar" (at-Taubah, 9:100) ...iaitu mereka yang terdiri dari kalangan Muhajirin dan Ansar.

Tetapi apakah yang menjadikan mereka sebagai satu generasi yang unik? (Iaitu) generasi yang lain daripada yang lain..? Adakah boleh generasi ini kembali dibina dan diwujudkan dalam keadaan semasa kita yang sangat mencabar? Adakah mungkin hal ini berlaku? Untuk itu, marilah kita melihat kepada faktor-faktor terbinanya sebuah generasi al-Qur'an yang unik.

Jika kita melihat kepada sumbers-sumber dari kedua-dua golongan ini, iaitu golongan kita dan golongan sahabat, al-Qur'an masih lagi terpelihara seperti dahulunya. As-Sunnah dari RasuluLlah SAW juga masih terpelihara, dengan sirahnya yang sangat terperinci, yang telah dibuat oleh banyak ulama'. Tetapi mengapakah pada hari ini, generasi kita ini belum lagi menjadi sebuah generasi al-Qur'an? Apakah yang membezakan kita dengan mereka lagi selain dari hal-hal di atas?

Penilitian yang sedikit, akan membawa kita kepada menyedari sesuatu. Iaitu pada zaman tersebut wujudnya peribadi RasuluLlah SAW di dalam mendidik dan membentuk generasi para sahabatnya dengan Qur'an yang Mulia, dan zaman kita pula tiadanya ar-Rasul. Tetapi adakah ini boleh menjadi satu alasan buat kita? Andaikata begitu, mengapa pula Allah telah berjanji akan memelihara agamaNya sehingga hari Qiyamat? Bukankah Islam itu syumul dari segi zaman? Bukankah Allah juga telah berjanji akan memberikan pertolongan dan kemenangan kepada deen ini apabila tiba masanya? Bukankah ar-Rasul juga telah menyebut bahawa Islam ini akan kembali menjadi al-Ustaziyatul 'Alam apabila tiba masanya nanti? Seandainya peribadi RasuluLlah SAW itu menjadi prasyarat kepada mendapat pertolongan dan kemenangan dari Allah SWT, nescaya Allah pasti akan menjadikan sebuah agama lain yang sifatnya sesuai sepanjang zaman sehingga hari akhirat. Tetapi tidak begitu, Dia telah menjadikan deen ini sebagai deen yang terakhir dan telah berjanji akan memeliharanya sehingga hari Qiyamat.

Disebabkan wujudnya peribadi RasuluLlah SAW tidak menjadi faktor kepada boleh wujudnya generasi ini, marilah kita melihat kembali kepada sumber yang diambil oleh generasi sahabat sehinggakan mereka boleh menjadi begitu hebat sekali.

Sesungguhnya generasi yang mulia ini, telah mengambil dari al-Qur'an sepenuhnya. Kehidupan mereka adalah al-Qur'an sedangkan sunnah ar-Rasul bertujuan menjelaskan dan menghuraikan tentang sumber yang pertama tersebut. Dalam konteks ini, kita ingat kepada sebuah jawapan yang diberikan oleh Ummul Mu'minin A'isyah RA apabila ditanya tentang apakah khuluq (kelakuan dan perjalanan hidup) RasuluLlah, lalu beliau menjawab: "Adalah khuluq RasuluLlah, al-Qur'an" (an-Nasa'i).

Walaubagaimanapun, sesetengah pihak mungkin akan mengeluarkan pertanyaan atau lebih kepada persoalan, "Memanglah mereka hanya merujuk kepada al-Qur'an, hanya itu sahaja yang ada di sisi mereka..." Janganlah kita lupa bahawa pada ketika itu, telah ada dua tamadun besar yang mengelilingi semenanjung arab, iaitu tamadun Parsi dan Rom. Pada masa yang sama, agama samawi dari Yahudi dan Nasrani juga telah sampai ke tanah arab tersebut. Sehinggakan pada satu ketika 'Umar al-Khattab telah datang berjumpa dengan RasuluLlah dalam keadaan di tangannya ada sehelai naskhah Taurat, dan apabila RasuluLlah ternampak sahaja helaian tersebut baginda dengan pantasnya memarahi 'Umar: "Demi Allah sekiranya Nabi Musa masih hidup bersama-sama kamu sekarang pun, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku!" (al-Hafidz Abu Ya'la dari sumber asal: Jabir).

Dapatlah kita perhatikan bahawa generasi yang awal ini, telah disusun programnya dengan program pendidikan al-Qur'an sehinggakan mereka hanya mencedok dan mengambil sumber panduan dari al-Qur'an semata-mata. Lebih-lebih lagi pada peringkat awal perkembangan mereka. Tidak ada pilihan lain selain Allah (melalui al-Qur'an) dan Rasul.

Sekarang, sebenarnya sumber tersebut telah bercampur baur. Betapa ramainya orang Islam yang mengaku dirinya muslim sedang hidupnya bersumberkan nilai-nilai taghut yang dicedok dari barat dan sekutunya? Betapa ramai orang yang juga mengaku telah mengambil Islam sepenuhnya tetapi pada hakikatnya mereka telah mencedok pemikiran mereka dari sumber-sumber yang selain dari Islam? Sehinggakan pada hari ini, kita telah melihat sistem-sistem yang kononnya Islamik sebenarnya tidak ada asasnya langsung di dalam Islam.

Kita juga dapat perhatikan pada zaman sekarang ini, betapa ramainya orang yang telah menjadikan al-Qur'an sebagai sumber utama mereka. Namun mereka masih gagal menjadi seperti generasi yang terdahulu. Seperti contoh; wujudnya para saintis yang telah beriman dengan al-Qur'an, lalu mereka menjadikan ayat-ayat di dalam al-Qur'an sebagai sumber kajian mereka. Ada sahaja tentang ayat Allah yang ingin dikaji mereka. Tetapi mereka masih tidak menjadi seperti generasi yang pertama itu. Atau wujudnya kelompok yang telah menjadi al-Qur'an sebagai bahan bacaan mereka pada setiap hari, tetapi walau satu ayatpun mereka tidak fahami. Atau wujudnya satu kumpulan yang lain, yang mengambil sumber penetapan hukum-hukum dari dalam al-Qur'an tetapi mereka masih tidak menjadi seperti generasi para sahabat yang pertama. Mengapakah hal ini boleh terjadi?

Ini terjadi kerana lainnya tujuan mereka ketika mendekati al-Qur'an berbanding cara para sahabat melihat dan mendekati al-Qur'an. Apakah yang membezakan? Para sahabat dahulunya telah mendekati sumber yang agung ini dengan tujuan untuk beramal dengannya. Di dalam diri mereka sentiasa ada perasaan belajar untuk melaksanakan. Cukuplah dengan beberapa ayat dari al-Qur'an yang mereka hafaz tetapi mereka beramal sepenuhnya dengan itu. Mereka juga turut merasakan bahawa al-Qur'an merupakan arahan langsung dari Allah SWT tentang sesuatu urusan peribadi mereka. Ada sahaja peristiwa yang mereka lakukan yang kemudiannya peristiwa tersebut menjadi sebab nuzul sesuatu ayat.

Sikap dan perasaan yang cukup istimewa terhadap al-Qur'an ini menyebabkan beban yang asalnya berat menjadi ringan. Perlaksanaan arahan-arahan dari al-Qur'an secara berperingkat-peringkat membantu di dalam menjadikan al-Qur'an sebati dengan darah daging mereka. Sehinggalah sampai satu tahap, generasi para sahabat ini bole dianggap sebagai Qur'an yang hidup yang berjalan di muka bumi. Hasil dari ini, panduan dan petunjuk dari al-Qur'an tidak hanya tinggal sebagai teori-teori yang tidak berguna yang tersimpan di dalam mashaf atau lembaran-lembaran yang berhabuk, atau juga otak yang penuh dengan pengetahuan, tetapi ia berjaya diterjemahkan di dalam bentuk yang praktikal dan benar-benar bergerak.

Pada akhirnya, satu lagi perkara yang sangat membezakan generasi Qur'aniy ini berbanding dengan generasi yang lain ialah sikap mereka terhadap jahiliyyah. As-Syahid Sayyid Qutb menyebut: "Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah; dan sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada. Dia merasakan bahawa segala sesuatu di zaman jahiliyah dahulu adalah kotor dan tidak sesuai dengan ajaran Islam". Seseorang yang sudah membersihkan diri pasti akan merasa jijik untuk kembali mengotorkan diri dalam keadaan mengetahui kekotoran tersebut. Jika timbul sahaja di hati mereka keinginan atau kerinduan kepada jahiliyyah yang telah mereka tinggalkan, akan terbit dari hati yang suci bersih tersebut perasaan bersalah dan rasa berdosa. Lalu mereka mengembalikan diri mereka kepada al-Qur'an dan petunjuknya, untuk diikuti dan dilaksanakan.

Walaupun demikian, mereka tetap bergaul dan berinteraksi dengan manusia lain. Perpisahan yang berlaku bukanlah perpisahan fizikal tetapi merupakan perpisahan prinsip dan aqidah, perasaan dan keimanan, dan juga perpisahan hati dari dicemari oleh cemaran taghut. Berinteraksinya mereka dengan jahiliyyah sehingga berjaya membawa kebenaran cahaya Islam ke dalam hati manusia, sehinggakan manusia benar-benar terkeluar dari kegelapan dan kesempitan kezaliman (taghut). Da'wah yang mereka lakukan menepati satu himpunan kata-kata yang sangat berhikmah:
"Menyeru manusia kepada Allah SWT dengan penuh hikmah dan contoh teladan yang baik serta berbantahan dengan cara yang terbaik, sehinggakan mereka kufur kepada taghut dan beriman kepada Allah, untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan kejahilan kepada cahaya Islam"
Daripada generasi inilah lahirnya mereka yang mampu membawa perubahan kepada dunia. Daripada generasi inilah Islam berjaya ditegakkan. Dan generasi ini jugalah yang RasuluLlah sebutkan sebagai "Khilafah di atas manhaj Nubuwwah" (Ahmad). Apakah kita tidak mahu mengambil dari generasi ini contoh dan ikutan? Agar kita juga menjadi generasi al-Qur'an yang kedua, dan yang unik pula pada zamannya? Kerana janji Allah adalah benar, dan RasuluLlah SAW juga adalah benar; bahawa akan datang nanti satu generasi yang menegakkan: "Khilafah di atas manhaj Nubuwwah" lagi sekali (hadith penuh). Ketahuilah bahawa zamannya telah dekat, dan ianya semakin menghampiri. Ia membezakan seseorang adalah samada dia termasuk atau ditinggalkan dari kelompok ini, "Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman." (as-Saff, 61:13).

Rumusan:
  1. Generasi para sahabat adalah satu generasi Qur'ani yang unik. Ini adalah kerana belum pernah wujud generasi seumpama itu sebelum dan selepas zamannya. Ciri-ciri yang ada pada mereka mungkin datang dalam bentuk individu, tetapi ia tidak sebanyak generasi para sahabat pada satu-satu masa yang tertentu.
  2. Ciri generasi al-Qur'an yang pertama adalah pengambilan sumber hanya dan semata-mata dari al-Qur'an. Ia ditafsirkan oleh as-Sunnah an-Nubuwwah untuk mendapatkan penjelasan yang lebih jelas. Sumber ini tidak dicampur-baurkan dengan mana-mana sumber lain. Ia bertujuan membentuk individu-individu yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya, dan murni jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Ilahi yang
    terkandung dalam al-Qur'anul Karim. Bermulanya proses percampuran sumber hidayah, adalah bermulanya kerosakan yang halus (aqidah) di dalam sesebuah generasi.
  3. Ciri yang kedua pula adalah berkaitan dengan cara pendekatan dengan al-Qur'an; belajar al-Qur'an untuk melaksana arahannya di dalam kehidupan seharian. Ini kerana tujuan utama al-Qur'an diturunkan adalah sebagai peringatan dan panduan buat orang yang menginginkan kebenaran. Ia bukan sebuah kitab yang perlu dibaca semata-mata setiap hari, atau sebuah kitab teori yang tersimpan di almari, atau apa jua tujuan yang selain dari diterjemahkan di dalam kehidupan seharian sebagai cahaya dan petunjuk ke jalan yang lurus.
  4. Ciri yang terakhir pula ialah meninggalkan jahiliyyah secara menyeluruh. Bagaimana mungkin al-Qur'an mampu menjadi petunjuk buat hati yang mempunyai pemangkin kekaratan? Bagaimana mungkin hati yang penuh dengan jahiliyyah mampu diisikan dengan cahaya dan petunjuk yang nyata? Sudah tentu perlunya proses pembuangan segala perkara jahiliyyah yang pernah dilakukannya. Sebarang lintasan hati untuk kembali membuat perkara jahiliyyah tersebut akhirnya akan menerbitkan dari hati yang suci perasaan bersalah dan berdosa. Lalu sebelum melakukan dosa tersebut, diri telah kembali bertaubat kepada Allah.
  5. Kita ingin mengembalikan generasi al-Qur'an, dan kita ingin menjadi sebahagian dari mereka yang berusaha dengan bersusah-payah untuk mengembalikan generasi yang gemilang ini. Jika kita tidak bersama-sama dengan mereka, kita pasti akan ditinggalkan. Sedangkan janji Allah tetap benar dan tidak berubah, bahawa kemenangan sudah dekat. Ayuh masuklah ke dalam kelompok ini! Dan bersama-sama mendapat kemenangan yang hakiki.

3 comments:

Abu Ubaidah said...

Generasi sahabat hanya berkiblatkan kepada Allah....

dalam ceramah ustaz salam die ade tambah.. antaranya iailah: Al-Quran ini diturunkan sewaktu sahabat2 berjuang untuk Islam.. So sape nak faham Al-Quran "pure" seperti para sahabat perlu berjuang dan hidup sepenuhnya dalam perjuangan Islam...

Anonymous said...

http://rasuldahri.com/web/index.php?option=com_content&task=view&id=6&Itemid=6
siapakah orang ini?

Mashizaki Keikan said...

sebab apa tanya???

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]