Pages

Saturday, February 7, 2009

Ketulenan Hati

Sesungguhnya ini adalah satu peringatan, buat diri yang selalu lupa. Adakah kau ingat dirimu itu terlalu baik? Atau hatinya terlalu lembut? Atau imanmu sudah terlalu tinggi? Sehinggakan peringatan yang keras itu tidak menjadi keperluan lagi bagimu?

Fikirlah dan fahamilah dengan hati yang lembut...
Resapilah ruhnya..!

Wahai diri!

Sungguh!
Dirimu tidak selamat.

Kerana sang musuh azalimu sentiasa mempunyai keazaman yang tinggi dan tekad yang kuat untuk menumpaskanmu. Lagi-lagi ketika dia membuat perjanjian dan bersumpah di hadapan Tuhanmu, bahawa "Pasti aku menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus, kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dan dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan engkau tidak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur": (716-17).

Iblis yang zalim lagi dilaknat telah dari dahulu lagi berusaha untuk menyesatkan manusia. Adakah, wahai diri yang lena, engkau ingin termasuk golongan yang disesatkan itu? Lalu dengan kesesatan itu, engkau tidak mendapat sebarang petunjuk dari hidayah dan taufiqNya?

Tidak!
Jangan sesekali begitu!

Dan kemudiannya, tidak lagi!
Jangan sesekali begitu!

Jadilah olehmu orang yang ikhlas... Iaitu orang yang disebutkan oleh Iblis (sebagai pengecualian): "...melainkan hamba-hambaMu yang ikhlas" (15:40). Sungguh Iblis dan bala tenteranya tidak langsung berkuasa ke atas mereka yang ikhlas. Kerana sememangnya mereka tidak mempunyai kekuasan pun, melainkan kekuatan yang Allah berikan kepada mereka.

Ingatlah wahai diri!
Sesungguhnya hidupmu adalah dalam da'wah.
Tetapi kerjamu tidak memastikan apa yang engkau perbuat bakal diterima oleh Allah. Ingatlah tentang suatu kisah, tentang seorang sahabat Nabi yang telah berhijrah bersama-sama baginda SAW. Sahabat tersebut telah melakukan satu amal yang sungguh mulia, kerana beliau telah berhijrah dan secara langsung beliau tergolong dalam golongan muhajirin. Tetapi, disebabkan niatnya adalah untuk mengahwini seorang wanita yang dikasihinya maka apa yang diperoleh adalah berdasarkan apa yang diniatkan, "Sesungguhnya setiap amalan adalah dengan niat, dan setiap individu dinilai berdasarkan niatnya" (Bukhari dan Muslim).

Wahai diri, engkau mengetahui bahawa hijrah adalah suatu kemuliaan, dan penghijrah itu adalah orang-orang yang mulia, kerana Allah sering mengulang-ulang dan menyebut-nyebut tentang kaum muhajirin di dalam kitabNya yang Agung, "Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar, dan dari orang-orang yang mengikuti mereka dengan kebaikan, Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha terhadap Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungia-sungai. Mereka kekal di dalamnya, itulah kemenangan yang agung" (9:100). Tetapi, melakukan sesuatu yang disyari'atkan tidak menjamin amal itu diterima Allah.

Ketahuilah bahawa al-ikhlas adalah satu syarat yang penting agar amal yang dilakukan diterima Allah. Ketahuilah juga bahawa ianya haruslah selari dengan apa yang telah digariskan di dalam syari'at. Hanya dengan kedua-dua ini amalmu akan diterima kelak.

Wahai pemilik hati yang hidup!

Khalis adalah ketulenan.

Sebuah bekas madu yang dijual kepada orang, tetapi telah dicampur dengan air walau sedikit tidak disebut sebagai suatu yang khalis. Khalis ialah suatu keadaan apabila madu di dalam bekas tersebut benar-benar tulen dan tidak tercampur dengan walau sedikitpun bahan campuran yang lain, melainkan ianya hanya madu sahaja. Begitulah seperti yang digunakan dan difahami oleh orang Arab. Sesuatu itu tidak dinamakan khalis jika ia tidak tulen.

Begitu juga dengan niatmu. Niatmu perlu khalis kepada Allah. Sesungguhnya kemuliaan da'wah dan kebaikannya, tidak akan sampai kepada dirimu jika hatimu tidak dikhaliskan dari sebarang tujuan lain selain Allah. Juga hanya dengan penulenan yang hakiki engkau akan selamat di dalam peperangan abadi antara hamba-hamba Allah dengan kelompok syaitan.

Ketidak-ikhlasan adalah syirik, dan syirik adalah dosa yang sangat besar. "Sesungghnya Allah tidak mengampunkan dosa-dosa syirik, kecuali dosa-dosa yang selain dari itu..." (4:48). Tidak dinafikan bahawa syirik bahagian ini adalah syirik yang khafi atau tersembunyi. Yang kadangkala ada masanya engkau tidak sedar bahawa dirimu telah mensyirikkanNya, tetapi, wahai diri, berusahalah dan sentiasa perbaharui hatimu. Agar engkau sentiasa mendapat peliharaan Allah SWT dari syaitan yang dikeji.

Dan akhirnya, istiqamahlah engkau di dalam hidupmu dengan berpegang kepada kalimah ikhlas, bahawa "Tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruhnya". Seseorang yang ikhlas akan tetap beristiqamah dengan amalnya apabila dia diuji, dan perasaan syukur kepada Allah SWT akan berputik di hatinya jika ujiannya berupa kesenangan. Dengan demikian mudah-mudahan, wahai diri, ia menjadi petunjuk bagimu untuk mengetahui keikhlasan dirimu sendiri. Kerana Allah telah berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan; Tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka beristiqamah, maka tidak ada ketakutan ke atas mereka dan tidak mereka bersedih" (46:13).

Khallasu!
Tulenkanlah dirimu!

13 comments:

ibnu yazid said...

subhanallah akhi...

ikhlas..sungguh sukar utk mendapatkannya. smg trus istiqamah

Mashizaki Keikan said...

penulenan adalah satu proses, kita perlu berusaha ke arah idealisma... tak kira sama ada ianya susah atau senang.

Anonymous said...

tak mustahil nak dapat ikhlas tu kadang-kadang kene nangis..

baru rasa betullah masa r2j dulu ade sorang Pak ni selalu tanya

"ya,,kalau ikhla kenapa tak nangis"

tapi mungkin lain orang lain cara rasanya...

Mashizaki Keikan said...

sedikit sebanyak ana bersetuju dengan apa yang enti cakapkan itu. air mata yang mengalir memecah kekerasan hati yang selalu bercampur baur dengan ketidak-tulenan. Sehingga ia mampu membersihkan hati yang telah dicemari tersebut.

musafir said...

'air mata yang mengalir memecah kekerasan hati yang selalu bercampur baur dengan ketidak-tulenan.

erm..like it...and setuju..

and setuju juga dengan ibnuyazid

"ikhlas..sungguh sukar utk mendapatkannya."



p/s:ini adalah kaedah untuk bagi komen yang panjang.Just copy paste komen orang lain. Tapi ana IKHLAS tau, bukan copy je *sambil menangis-nangis ni....wuhaha..

Mashizaki Keikan said...

wallaweyh...

(T_T)

air mata...
menginsafi diri..

ibnu yazid said...

ermm...
musafir menangis...

cLoVer4miza said...

air mata tidak mengalir krn kerasnya hati..

semoga dijauhkan..

Mashizaki Keikan said...

er, maksud ana hati yang hitam lantaran banyak dosa.

Anonymous said...

Salam..maaf

Ana bukan nak komen atas artikel tu tapi nak mntak tolong sgt akh dapat huraikan sikit tentang wala' ngan sesebuah jemaah..
N kondisi sekarang yang banyak jemaah.. ana cuma nak tahu, mungkin akh dapat kongsi ilmu yang akh tahu pasal perkara ni..
Sbagai contoh, ada satu persatuan yang semua pelajar bernaung bawahnya.. n ada juga pelajar yang ikut jemaah laen sbagai tambahan, as yang ana faham kita perlu pada satu jemaah sbagai proses tarbyah diri n platform usha dakwah kita..
Tapi kat sini timbul isu ada yang kata xboleh ikut yang laen bila mana da brada bawah persatuan tu. Analoginya, persatuan tu Persatuan Pelajar n jemaah laen pula sbagai contoh JIM or ISMA...coz atas alasan persatuan tu da merangkumi semua, tarbiyah, kbajikan n laen2..Timbul pulak isu yang kata ini antara sebab perpecahan umat Islam...Boleh akh tolong komen..
Ana dengar talk n ana perlukan orang yang 'arif untuk jelaskan sama ada ape yang dikatakan tu betul oor x...
Asfah atas keserabutan or mengganggu dengan persoalan ni..Syukran kathir.

Mashizaki Keikan said...

Er, boleh email ana secara terus di... mashizaki(titik)keikan(di)gmail(titik)com?

Mashizaki Keikan said...

Sebenarnya saya masih belum mendapat email lagi berkaitan dengan hal itu.

Mashizaki Keikan said...

masih lagi tak dapat bendanya... hmm. ke dah dapat jawapan? (dah setahun tunggu)

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]