Pages

Thursday, December 11, 2008

Kita I

Siapakah kita?
Apakah identiti kita?
Kenapa kita berada di sini?
Apa tujuan kita hidup?

Begitu banyak persoalan yang timbul di benak dada seseorang yang mencari-cari identitinya. Atau mungkin juga seseorang itu tidak langsung bertanya, bahkan hanya menerima apa yang telah disebut-sebut oleh nenek-moyang mereka kepada mereka. Atau hanya mengikut budaya dan uruf tempatan. Dan bermacam-macam lagi ragam manusia yang dijadikan di muka bumi ini.

Mari kita sama-sama mendefinisikan "Kita". Kita adalah seorang manusia yang berketurunan Melayu, yang lahir di tengah-tengah masyarakat Melayu, dan tumpahnya darahnya di atas negeri dan tanahair Malaya. Darah yang mengalir di dalam setiap salur darah yang ada di dalam individu-individu ini, adalah darah Melayu. Itupun jika anda merupakan seorang Melayu atau dari rumpun-rumpunnya yang bermacam-macam.

Kita berbangga dengan Melayu dan perjuangannya, kerana merekalah tuan asal tanah Malaya ini. Kita berbangga dengan bangsa ini, kerana ia adalah satu bangsa yang mulia. Kita harus mempertahankan bangsa yang mulia ini dari diceroboh oleh orang lain, dan juga harus mempertahankan tanahair dari dijajah secara tidak sedar oleh bangsa-bangsa yang mendatang. Kita telah berada di sini sejek Parameswara datang ke negeri ini, sekitar 600 tahun yang lalu.

Kita berbangga dengan keris, yang merupakan senjata bangsa ini dan juga ia merupakan sesuatu yang melambangkan kehebatan bangsa ini. Tidak ada yang dapat mengalahkan bangsa ini, terutamanya dari kalangan bangsa-bangsa pendatang.

Siapakah mereka yang datang dan kemudiannya ingin meliberasi negeri ini? Siapa?

...

Eh, eh... Silap... silap... Kita bukan bangsa Melayu sekarang. Kita bangsa Malaysia. Kerana telah berlaku asimilasi di antara kaum-kaum di negeri ini. Kita adalah sebahagian dari bangsa yang baru ini. Yang telah wujud sejak sekitar zaman-zaman awal penubuhan Malaysia, atau dahulunya Malaya. Kita berbangga dengan bangsa ini. Lihat sahaja di bumi ini, kita telah mencapai kecemerlangan dalam bermacam-macam aspek.

Kita mempunyai bangunan berkembar petronas, yang tingginya mencakar langit. Kita mempunyai masjid-masjid megah yang berdiri di atas darat mahupun air. Kita mempunyai pusat-pusat peranginan yang bertaraf dunia. Dan baru-baru ini, salah seorang ahli bangsa ini, telah sampai ke bulan. Apa lagi yang diperlukan? Negara M.A.J.U? Kita sedang bergerak ke arah itu dengan wawasan 2020. Lagi?

Kita berbangga dengan bangsa ini, yang telah menunjukkan kecemerlangannya dan telah membuktikan kehebatannya di mata dunia.

...

Ye ke? Tapi, satu persoalan timbul selepas itu; apa yang saya nak dari bangsa ini? Apa manfaatnya selepas melalui kematian?

...

Tapi hakikatnya, berbangganya kita dengan bangsa itu tidak mendatangkan banyak faedah secara realiti dunia mahupun secara hakiki di sisi Allah. Apa yang ada dengan bangsa? Tidak ada apa kelebihannya beriman dengan kelebihan yang diwar-warkan dalam sesuatu bangsa. Kerana kita adalah lebih mulia dari itu. Kita mulia disebabkan Allah mengatakan kita mulia. Itupun jika kita ingin termasuk dalam kalangan yang Allah sebutkan itu; "Dan bagi Allah al-'izzah, dan RasulNya beserta orang-orang yang beriman, akan tetapi orang-orang munafiq tidak mengetahui" (63:8).

Kita adalah satu bangsa yang merentasi warna kulit, yang tidak menilai seseorang dengan rupa parasnya semata, atau ciri fizikalnya, atau kecantikan paras rupa sesuatu puak itu. Kita adalah satu bangsa yang merentasi keterbatasan warna, kesempitan kaum, dan keterhadan sempadan geografi, kerana kita adalah bangsa yang disatukan atas dasar tauhid kepada Allah. Kita adalah satu bangsa yang keluasannya termasuk segala makhluk yang telah menyerahkan dirinya kepada Rabb yang Maha Pencipta, kerana K.I.T.A. adalah muslim.

Bukankah kita telah memberikan penyaksian di hadapan Allah suatu ketika dahulu?
"'Bukankah Aku tuhan kamu?' Mereka berkata,'Bahkan, kami menyaksikan'" (7:172). Sudah tentu kita tak ingat, kerana memang tabiat manusia yang pelupa. Tetapi Dia kembali mengingatkan kepada kita dengan mendatangkan petunjukNya, al-Qur'an.

Di dalamnya... Allah mengingatkan kita kepada dua peranan utama manusia:
  1. "Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah (kepadaKu)" (51:56).
  2. "Dan apabila Tuhanmu berkata kepada para malaikat, 'Sesungguhnya Aku ingin mencipta di muka bumi Khalifah'" (2:30).

1 comment:

olyn said...

berbanggalah kerana 'kita' seorng muslim!!

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]