Pages

Tuesday, November 11, 2008

Peringkat Perkembangan Da'wah RasuluLlah

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan berita kematian tiga orang pencari syahid dari negara jiran. Hasil dari itu, ia telah mencetuskan pelbagai jenis reaksi dari bermacam-macam jenis pihak. Buat saudara-mara mereka yang menjadi mangsa kes pengeboman Bali pada tahun 2002, mereka menerima keputusan tersebut dengan mengatakan 'kini keadilan telah terlaksana'. Dan umum mengetahui bahawa ramai dari kalangan mereka adalah berwarganegara Australia.

Tetapi bagi mereka yang menjadi pengikut atau penyokong atau juga simpati kepada tiga orang tersebut, reaksi mereka lebih kepada kecewa, sedih dan marah. Kecewa dan sedih kerana kerajaan menghukum mereka yang 'berjuang kerana agamanya', dan marah kerana juga disebabkan sebab yang sama.

Beberapa sahabat dan juga rakan turut meluahkan perasaan mereka berkaitan dengan kejadian ini. Mereka mengiringi luahan perasaan dengan puji-pujian, dengan mengatakan bahawa mereka bertiga telah mati sebagai syuhada'. Saya, saya telah terkejut dengan berita kematian tersebut. Mana tidaknya, saya pernah membaca latar belakang Imam Samudra yang ditulis sendiri ketika beliau dipenjarakan. Sedikit sebanyak ada kekaguman dengan mengetahui siapakah sebenarnya sang 'mujahid' ini. Al-Fatihah buat mereka bertiga. Mudah-mudahan Allah menerima amal mereka.

Walaubagaimanapun, saya tidak ingin hanya berhenti setakat di situ, di mana ramai selalu berhenti. Tetapi saya suka untuk kita mengambil beberapa pengajaran dan ibrah dari apa yang berlaku supaya kita dapat menyusun langkah-langkah yang lebih baik di dalam jalan da'wah ini. Di sini bukanlah saya ingin mempersoalkan keikhlasan apa yang dibuat oleh ketiga-tiga orang yang dihukum tersebut, bahkan saya sangat-sangat mengkagumi semangat mereka untuk mencari syahid. Kerana RasuluLlah SAW pernah bersabda:
"Barangsiapa yang mati sedang dia tidak pernah berperang dan dia tidak pernah berniat untuk berperang, maka dia mati di atas salah satu cabang kemunafiqan"
(an-Nawawi)

Dan juga saya tidak lupa kepada satu hadith yang lain:

"Ditanya kepada Rasulullah SAW tentang seorang lelaki yang berperang kerana mahu dikenali sebagai pahlawan, seorang lagi berperang untuk dikenali sebagai seorang yang berjasa mempertahankan bangsa / kabilahnya dan yang seterusnya untuk menunjukkan kehebatannya (riya`), yang mana satukah dikira sebagai berjuang fisabilillah? Maka Rasul saw menjawab: Barangsiapa yang berperang semata-mata untuk meninggikan kalimah Allah (Islam) maka mereka adalah fi sabilillah."
(Bukhari & Muslim)

Jadi saya tidak mahu menafikan kesungguhan beberapa golongan tersebut untuk meninggikan kalimah Allah dengan cara yang mereka faham sebagai cara yang terbaik. Itu adalah ijtihad mereka. Tetapi di dalam post ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang beberapa perkara yang berkait rapat dengan hal ini. Dan saya mendapati perkongsian ini, mungkin menjadi agak panjang. I hope you could bare with me until the end, insya Allah!

--

Da'wah telah bermula dari seorang individu ketika mana baginda SAW ber'uzlah di gua hira'. Pada saat-saat tersebut telah tertanam di dalam dirinya untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara yang merosakkan dari anasir masyarakat jahiliyyah. Jibril AS telah membawa wahyu yang pertama buat khatimil ambiya' ini, yang umum mengetahui bahawa ayat tersebut adalah beberapa ayat dari surah al-'Alaq. Kemudian setelah turunnya wahyu yang pertama yang menyuruh Nabi untuk membaca (Iqra'!), maka turun lagi sesudah itu beberapa siri ayat-ayat yang lain yang mana kesemua ayat-ayat tersebut merupakan ayat-ayat yang pendek lagi mempunyai kesan yang mendalam dari segi makna-maknanya.

Dan bermula dari titik permulaan yang pertama tersebut da'wah Islam telah berkembang, dari seorang diri (hanya RasuluLlah SAW), kepada orang-orang terdekat dari segi hubungan, kepada kaum kerabatnya dan sehinggalah kepada peringkat daulah Islam ketika mana RasuluLlah SAW menjadi pemimpin negara tersebut. Kemudiannya ia telah berkembang dan berkembang lagi sehingga pada zaman 'Abbasiyyah, tamadun ini telah mencapai kemuncaknya.

Tetapi secara ringkasnya, berdasarkan ar-Raheeq al-Makhtum (oleh Syeikh Mubarakfuri) perkembangan Islam pada zaman ar-Rasul adalah seperti berikut:
  1. Fasa Makkah (selama hampir 13 tahun)
  2. Fasa Madinah (selama 10 tahun)
Dan kita boleh bahagikan fasa Makkah kepada beberapa peringkat lagi:
  1. Da'wah secara rahsia: Yang berlangsung selama 3 tahun.
  2. Da'wah secara terang di Makkah: Bermula dari permulaan tahun ke-4 sehingga akhir tahun ke-10 nubuwwah.
  3. Da'wah secara terang yang merentasi sempadan Makkah: Ia bermula dari akhir tahun ke-10 nubuwwah hingga saat hijrah RasuluLlah SAW ke Madinah.
Selain dari mengkategorikan dalam bentuk yang sedemikian, kita juga boleh menilai perkembangan da'wah tersebut dari sudut yang lain. Saya boleh katakan, apa yang berlaku di atas tersebut adalah pendekatan yang RasuluLlah buat (berdasarkan wahyu dan perintah dari Allah dengan tanda-tandanya yang tertentu) untuk menyebarkan Islam. Sedang isi dan kefahaman yang diambil darinyalah yang patut diambil pengajaran dan diaplikasi mengikut kesesuaian suasana sekarang, dengan melihat kepada tanda-tanda yang disebut di dalam sirah. Kategorinya:
  1. Penjernihan dan pembinaan asas yang kukuh: Kekuatan aqidah.
  2. Pengikatan dan penyambungan hubungan: Kekuatan kesatuan.
  3. Pemantapan kekuatan fizikal: Kekuatan jundiyyah dan 'askariyyah.
Pada peringkat awal perkembangan Islam, kita tidak mempunyai apa-apa kekuatan langsung. Yang ada hanya kekuatan yang ada pada individu, tetapi tidak sebagai jamaah. Kita tidak memiliki sebuah daulah, kita tidak mempunyai sebuah watan, dan kita juga tidak mempunyai apa-apa perundangan yang kompleks, melainkan beberapa. Antara ayat-ayat pertama yang turun kepada RasuluLlah SAW adalah ayat-ayat yang bertujuan membina asas kekuatan yang pertama, yang bakal diperlukan sebagai bekal untuk jalan yang sangat jauh dan berliku ini. Kita dapat melihat antara ayat yang turun:
"Wahai orang-orang yang berselimut (Muhammad)! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil, (iaitu) separuhnya atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari (seperdua) itu, dan bacalah al-Qur'an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa), dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan yang panjang. Dan sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepadaNya dengan sepenuh hati."
(al-Muzammil, 73:1-8)

Kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Allah benar-benar telah mengatakan "Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa)" agar ia menjadi bekalan yang sangat baik bagi mereka yang ingin membawa tugas yang sangat berat; "kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu". RasuluLlah SAW yang merupakan murobbi agung selepas Allah SWT pun memerlukan bekalan, apatah lagi kita. Sudah tentu kita memerlukan bekalan yang lebih hebat.

Juga pada peringkat awal-awal Islam dibawa, ayat-ayat al-Qur'an banyak berkisar tentang beberapa persoalan asas kemanusian; (1) Siapakah tuhanku? (2) Apa tujuan hidupku? (3) Ke mana akan ku pergi selepas ini? (4) Apa yang terjadi dengan amal aku ketika hidup? (5) Siapakah Nabi Muhammad? (6) Bagaimana aku boleh menyerah diri kepada yang Maha Berkuasa? Dan bermacam-macam lagi persoalan-persoalan yang asas, yang Allah jawab satu persatu di dalam ayat-ayat Makiyyah. Gaya dan corak ayat tersebut, yang pendek-pendek, tetapi padat dengan isi, memberikan kesan yang mendalam buat generasi pertama Islam.

Pada awal da'wah Makkiyyah dijalankan ia berlaku secara fardi (individu). Risalah Islam itu sampai melalui usaha individu. RasuluLlah SAW berjaya menda'wah Abu Bakr yang kemudiannya dithabat sebagai as-Siddiq, dan melalui tangan sahabat yang mulia ini pula datangnya sahabat-sahabat lain yang hebat seperti ‘Uthman bin ‘Affan Al-Umawi, Az-Zubair bin ‘Awwam Al-Asadi, ‘Abdur Rahman bin ‘Awf, Sa‘d bin Abi Waqqas, Az-Zuhri dan Talhah bin ‘Ubaidullah At-Tamimi. Kesemua mereka ini diajak memasuki Islam kerana pengajaknya mempunyai keyakinan bahawa mereka akan memeluk deen yang mulia ini. Dan daripada sinilah berkembangnya da'wah Islam sehinggakan ia tidak dapat lagi berjalan secara rahsia setelah tiga tahun berlalu.

Kemudian apabila perintah turun kepada RasuluLlah SAW untuk membawa mesej Islam kepada kaum kerabatnya (26:214), maka RasuluLlah SAW telah mengumpulkan orang di bukit Safa. Lalu baginda menyeru: "Wahai Bani Fahr dan Bani 'Adi! Jikalau aku mengkhabarkan kepada kalian tentang kemaraan tentera berkuda di lembah ini, untuk menghancurkanmu, adakah kamu akan mempercayaiku?" Lalu mereka menjawab: "Ya, kami tidak pernah didustai olehmu!" RasuluLlah sambung: "Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi peringatan dari azab yang pedih!" Dengan lantangnya Abu Lahab menolak, dan ketika itu jugalah Allah menjawab kelantangan Abu Lahab tersebut dengan surah al-Lahab; "Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasalah dia!" (111:1).

Setelah peristiwa tersebut berlalu, kata-kata RasuluLlah SAW di bukit Safa masih terngiang-ngiang di telinga kaum kuffar dan seluruh pelusuk Makkah. Sehinggalah apabila turunnya satu perintah Allah yang jelas:
"Maka sampaikanlah (Muhammad) secara terang-terangan segala yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang yang musyrik"
(al-Hijr, 15:95)

Pada saat ini jugalah mula penentangan secara besar-besaran oleh Kafir Quraisy. Dan umat Islam mula merasai tekakanan dari tindakan kuffar. Beberapa sahabat diseksa dan ditindas dengan keadaan yang begitu teruk sekali. Antara nama-nama yang popular dari kalangan mereka adalah seperti keluarga Yasir, dan kisah Bilal bin Rabah. Tetapi jarang sekali kita mendengar tentang kisah seorang sahabat yang bernama Khabbab al-Arrat.

Khabbab al-Arrat merupakan seorang tukang besi dan juga merupakan salah seorang sahabat yang paling awal masuk Islam. Pernah suatu ketika beliau disiksa oleh kaum kuffar dengan suatu siksaan yang dasyat, Dr. Asri menceritakan bagaimana Khabbab dicucuh sebahagian badannya ke dalam api yang digunakannya untuk meleburkan besi. Hasil daripada itu masaklah sebahagian dari tubuhnya. Lalu beliau pergi mengadu kepada RasuluLlah SAW seperti yang diceritakan di dalam sebuah hadith riwayat al-Imam Bukhari:
Khabbab berkata: Kami telah mengadu kepada RasuluLlah (SAW, berkaitan dengan keadaan kami) ketika baginda sedang bersandar dan berselimut di bawah banyangan Ka'bah. Kami berkata: 'Bolehkah tuan berdoa agar Allah menolong kita?' Baginda bersabda: 'Terdapat dari kalangan orang sebelum kamu (dari orang-orang beriman), yang ditangkap, sebuah lubang digali dari untuknya dan dia dimasukkan ke dalamnya. Lalu sebilah gergaji dibawa dan diletakkan di kepalanya, dan badannya di gergaji sehingga terpisah dua. Dagingnya disikat menggunakan sikat besi, (yang demikian itu menyebabkan) dagingnya tertanggal dari tulangnya. Tetapi, walaupun demikian, hal tersebut tidak menyebabkan dia keluar dari agamanya. Demi Allah! Deen ini (Islam) akan disempurnakan (dan dimenangkan) sehinggakan seorang pengembara yang berjalan dari San'a ke Hadramaut tidak takut sesiapa melainkan kepada Allah, dan mungkin akan bimbang serigala yang mengganggu kambingnya. Akan tetapi, (wahai Khabbab!) kamu adalah seorang yang gopoh-gapah!'
(Bukhari)

Kita dapat melihat bagaimana tegasnya RasuluLlah SAW di dalam hal ini. Di dalam suatu riwayat yang lain yang juga dari al-Imam Bukhari, riwayat tersebut menceritakan bagaimana merah padamnya muka RasuluLlah SAW lantaran marah kepada Khabbab al-Arat kerana bertanyakan soalan yang seperti itu. Bagaimana tidaknya? RasuluLlah SAW menceritakan tentang seksa yang lagi dasyat yang menimpa kaum yang sebelumnya tetapi mereka tetap dengan deen mereka yang mulia.

Pada saat tersebut, RasuluLlah belum diperintahkan oleh Allah SWT untuk melawan balik orang-orang kafir Quraisy, terutamanya mereka yang banyak melakukan penindasan. Kita dapat melihat banyak sabda Nabi kepada para sahabat berupa kata-kata perangsang dan penyubur sifat sabar di dalam diri, seperti kepada Bilal bin Rabah dan keluarga 'Ammar bin Yasir. Apa sebabnya mereka (umat Islam) tidak melawan balik; sebabnya ialah kerana mereka tidak mempunyai kekuatan pada saat tersebut, dan Allah lebih mengetahui akan hal tersebut. Perintah untuk pergi berperang tidak diturunkan sehinggalah sesudah hijrah.

Satu kata-kata yang cukup memberi kesan kepada amal kita ialah apabila ar-Rasul SAW menyebut dengan tegas kepada Khabbab al-Arat, "...akan tetapi engkau adalah gopoh-gapah!" dengan wajah baginda yang merah padam. Jangan disebabkan kita bertindak melulu, untuk memerangi golongan kuffar ketika kita tidak mempunyai kekuatan, mereka menindas kita dengan lebih dasyat lagi. Tambahan, mereka mempunyai alasan yang teguh untuk memerangi kita. Orang yang belum sampai lagi hidayah kepada dia akan mengatakan: Padan muka kepada kamu, kaum yang lemah yang tidak mengerti ukuran baju sendiri.

Fasa yang berlaku bermacam-macam jenis pembersihan dan kejernihan itu berlalu dengan kesan yang bermacam-macam. Ada yang gugur sebagai syuhada' kerana mempertahankan deen yang mereka yakin dengannya. Ada pula yang berjaya melalui saat-saat getir tersebut dengan penuh kesabaran dan keikhlasan, walaupun ada yang mengadu kepada RasuluLlah seperti Khabbab. Tetapi apa yang pastinya ialah ujian-ujian tersebut merupakan wasilah untuk mereka meningkatkan keimanan & ketaqwaan kepada Allah SWT. Ia menapis sisa-sisa jahiliyyah yang ada di dalam hati para sahabat yang awal-awal memeluki Islam.

Setelah berlalunya fasa penjernihan & pembinaan asas yang kukuh, RasuluLlah SAW telah diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah. Dan di sana baru terjadinya fasa yang kedua, iaitu fasa kesatuan; fasa yang mempersaudarakan golongan 'Aus dan Khazraj, dan golongan Muhajirin dan Ansar. Sejarah membuktikan bahawa walaupun sesuatu pihak itu sudah lama mempunyai dan menyimpan dendam dengan pihak yang lain, aqidah akhirnya dapat menyatukan hati mereka. Begitulah dalam kes 'Aus dan Khazraj. Dan pada saat-saat pertama berada di Madinah, RasuluLlah SAW telah menysusun langkah membina Daulah Islam yang pertama. Antaranya ialah dengan usaha membina Masjid Nabawi.

Secara rinkasnya, setelah sebuah Daulah Islamiyah yang pertama ditubuhkan, dan hanya setelah itu, barulah datangnya perintah Allah untuk berperang.

"Diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dizalimi. Dan sungguh, Allah Maha Berkuasa menolong mereka itu."
(al-Hajj, 22:39)
--

Saya hanya akan berhenti sekadar di situ.

Di bawah ini beberapa kesimpulan:
  1. Jalan da'wah ini adalah jalan yang sangat panjang, dan umur jalan ini tidak diukur dengan jangka hayat seseorang yang berada di atas jalan tersebut. Matinya mereka tidak akan memberhentikan jalan da'wah walau sedikitpun; kerana Allah telah berfirman: "Di antara orang-orang mu'min ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu. Dan mereka tidak sedikitpun mengubah (janjinya)" (al-Ahzab, 33:23).
  2. Islam adalah deen yang dinamik. Untuk melakukan sesuatu tindakan yang besar (yang memberi kesan kepada ummah), ia mengambil kira bermacam-macam aspek. Sebagai contohnya, ketika zaman Makkah, tidak disyari'atkan perang kerana fasa tersebut adalah fasa membina kekuatan. Andaikata perang dilancarkan dalam keadaan ummah yang lemah, maka dengan mudah Islam itu dapat dihapuskan. Sedangkan ketika perang Badr al-Kubra RasuluLlah SAW pernah berdoa: "Ya, Allah! Jika kumpulan ini (tentera Muslim) kalah pada hari ini, engkau tidak akan lagi disembah selamanya!" Ia menunjukkan betapa walaupun Allah telah menjanjikan sesuatu, segala perkara ada sebab dan musababnya.
  3. Pembinaan asas yang kukuh di dalam setiap individu muslim merupakan perkara pertama yang dilakukan oleh RasuluLlah SAW. Baginda menjernihkan fikrah, menanam keimanan dan memastikan sahabat-sahabatnya beramal dengan asas-asas tersebut. Bilangan orang yang mempunyai asas yang kukuh juga memainkan peranan yang penting, kerana RasuluLlah SAW pernah bersabda: "12,000 orang tidak akan dikalahkan disebabkan jumlah mereka yang sedikit". Seteleh mengumpul dan membina asas yang kukuh dalam setiap orang yang berminat, ke dalam Islam, di Makkah ketika itu, barulah baginda diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah. Madinah pula, tidak ketinggalan dalam membina asas mereka yang kukuh, dengan kisah kedatangan beberapa orang dari Madinah, dan kisah Bai'ah Aqabah yang pertama dan kedua. Merekalah yang kemudiannya memastikan pembinaan asas tersebut berjalan di Madinah sebelum penghijrahan ar-Rasul ke sana. Asas yang kukuh inilah yang akan memastikan nafas yang panjang di dalam da'wah dan pencegahan dari sebarang bentuk penyelewangan. Kerana RasuluLlah SAW telah memarahi Khabbab dengan sangat marah lantaran bersikap tergopoh-gapah. Jangan disebabkan sikap gopoh-gapah tersebut, ia menjadi musabab kaum kuffar menghalang peluang-peluang da'wah yang terbuka sebelum melakukan tindakan melulu tersebut.
  4. Islam mengajar supaya kita bersabar dan bergaul dengan manusia untuk membawa mereka kepada Islam. Ini lebih-lebih lagi dalam keadaan ummah kita sekarang yang lemah dan ramai lagi dari ahlinya yang ditimpa penyakit cintakan dunia bencikan kematian. Kita harus bermula dengan membina dan mendidik ummah dari asasnya, dan tidak bertindak melulu menghukum mereka lantaran dosa yang mereka lakukan disebabkan kejahilan mereka. Ini disebut di dalam sebuah hadith: "Seseorang yang bergaul dan bersabar dengan manusia lebih baik dari yang tidak bergaul dan tidak bersabar dengan mereka" (HR. Tarmizi).
  5. Setelah terbinanya asas yang kukuh, umat Islam dari seluruh dunia disatukan di bawah satu sistem. Dan setelah terjalinnya hubungan yang kuat sesama muslim yang telah berbai'ah kepada khalifah, dan hanya setelah itu barulah kita berpindah ke fasa seterusnya, iaitu fasa kekuatan fizikal. Kerana kita sendiri meyakini dan mengimani bahawa di dalam al-Qur'an terdapat begitu banyak ayat yang menyuruh kita untuk pergi berjihad. Dan pada ketika itulah apabila seruan Jihad dikumandangkan oleh Khalifah, maka mudah-mudahan Allah memasukkan kita dalam golongan orang yang pertama-tama menyahut seruannya. Tetapi sebelum hal itu terjadi, hendaklah kita: "Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki..." (al-Anfaal, 8:60).
  6. Dan akhir sekali, marilah kita beramal dan berusaha untuk membawa ummah kita ke arah fasa yang seterusnya. Kerana sesungguhnya, orang yang hanya mengasihani mereka yang telah syahid tetapi tidak melakukan apa-apa hanyalah orang yang telah tertipu dengan kecantikan kata-kata dan angan-angan. Kerana RasuluLlah SAW pernah bersabda: "Bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi ia adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan 'amal". Maka bermulalah kita dengan usaha pertama yang dilakukan oleh RasuluLlah, iaitu memberi kefahaman kepada masyarakat tentang deen yang mulia ini. Mudah-mudahan ada keberkatan yang sangat baik di dalam mengikuti contoh yang mulia ini.
--
Nota kaki:
  1. Maklumat berkaitan dengan sirah RasuluLlah SAW kesemuanya diambil daripada kitab sirah ar-Raheeq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyur Rahman Mubarakfuri.
  2. Apa-apa kesilapan yang terdapat di dalam artikel ini, harap dapat dimaklumkan kepada saya secepat mungkin. Mudah-mudahan orang tidak terfaham lain.
  3. Jika ada istilah atau frasa yang tidak dapat difahami boleh bertanya soalan-soalan yang berkaitan. Semoga sedikit sebanyak kita dapat berkongsi idea dan pandangan. WaLlau a'lam bissawab!
--
Artikel-artikel berkaitan:

4 comments:

Anonymous said...

Jalan da'wah ini adalah jalan yang sangat panjang, dan umur jalan ini tidak diukur dengan jangka hayat seseorang yang berada di atas jalan tersebut. Matinya mereka tidak akan memberhentikan jalan da'wah walau sedikitpun; kerana Allah telah berfirman: "Di antara orang-orang mu'min ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu. Dan mereka tidak sedikitpun mengubah (janjinya)" (al-Ahzab, 33:23)....ayat ini T-T

Mashizaki Keikan said...

Sememangnya ayat yang memberi kesan kepada kita, untuk terus thabat dan teguh di atas jalan ini. Insya Allah!

Anonymous said...

pada hemat nta, sebenarnya, sekarang ini ummah di dalam fasa apa?

Mashizaki Keikan said...

Kita sekarang masih berada dalam fasa membina kekuatan. Sekurang-kurangnya itulah yang ana perhatikan.

"Janganlah sambutan orang ramai itu menyibukkan kamu dari menyusun barisan-barisan kamu dari dalam dengan menyediakan para pejuang yang mampu menghadapi segala kesusahan dan bertahan di dalam ujian" -Syed Qutb, dipetik dari Muntalaq-

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]