Pages

Sunday, November 16, 2008

Forward Membuta Tuli

Jangan engkau tulis!

Atau engkau forwardkan!

Saya menjadi marah, dan berang. Hati terasa bagai nak terbakar. Kerana ini merupakan satu penghinaan. Tetapi perkara tersebut seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita yang berteknologi tinggi, terutamanya dari kalangan remaja dan pemuda.

Saya hairan dengan beberapa kalangan. Maaf, silap. Saya hairan dengan banyak dari kalangan pemuda kita, yang sibuk mengforwardkan mesej-mesej yang mereka dapat dari kawan-kawan mereka. Ada yang mempunyai isi kandungan yang baik dan ada yang mempunyai isi kandungan yang buruk, atau lebih tepat lagi tidak membawa apa-apa faedah.

Saya menghargai satu sikap yang ada pada mereka yang suka mengforwardkan mesej-mesej tersebut, kerana mereka ini mempunyai keinginan yang tinggi untuk berkongsi sesuatu yang mereka rasa penting dan sesuatu yang mereka begitu terkesan dengan mesejnya. Mereka ingin agar orang-orang yang rapat dengan mereka turut melihat sesuatu isu itu seperti mana mereka melihat isu tersebut. Maka ini adalah sesuatu yang baik, sekurang-kurangnya dari sudut ini lah.

Tetapi jika dinilai dari aspek-aspek yang lain, saya rasa, anda (jika anda terjebak dengan gejala ini) harus berhati-hati! Saya katakan anda harus berhati-hati! Kerana RasuluLlah SAW pernah bersabda di dalam sebuah:
"Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun"
(Muslim)

Jadi jika mesej yang terbawa di dalam mesej yang anda forwardkan itu baik, maka insya Allah apa yang anda akan dapat adalah kebaikan. Tetapi seandainya tidak, maka anda akan dapat yang sebaliknya. Kerana saya meyakini, kebanyakan orang yang mendapat mesej tersebut akan juga mengforwardkannya kepada beberapa orang yang lain. Dan ia berterusan, dan berterusan, dan berterusan sehinggalah... Saya pun tidak tahu bila. Maka berhati-hatilah. Tetapi itu hanya suatu perkara yang kecil jika dibandingkan dengan yang seterusnya.

Di dalam beberapa mesej baik, atau kadang-kadang juga termasuk yang mengarut, yang tidak ada kena mengena langsung dengan sesuatu yang disandarkan kepada RasuluLlah SAW, dari segi perbuatannya, atau perkataannya, atau juga taqrirnya (sesuatu yang RasuluLlah tidak mengendorse atau menafikannya), saya mendapati ada sepotong hadith yang sangat masyhur dengan kita: "Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat" (Bukhari). Hadith tersebut diletakkan biasanya diletakkan di akhir mesej-mesej atau email-email tersebut, yang diforwardkan tersebut. Lalu, mereka menggunakan hadith yang sahih tersebut sebagai dalil untuk menyuruh atau menggalakkan orang lain turut mengforwardkan mesej-mesej tersebut kepada orang lain.

Apakah semua ini?

Bukankah ini satu pendustaan atas nama Nabi kita yang mulia?

Bagaimana seseorang muslim itu tidak panas hati?
Bagaimana seseorang mu'min itu tidak terguris hati?
Sedang sesuatu yang tiada kena mengena dengan baginda dikaitkan dengannya?

Kebanyakan mereka mungkin tidak tahu...
Atau mereka just ignorant...
Atau mereka sengaja tanpa mengetahui apa risikonya...
Atau juga, mereka sengaja dengan tujuan menyesatkan...
Siapa tahu?

Saya pun tidak tahu apa sebabnya.

Tetapi, apa-apa pun... Ketahuilah wahai masyarakat ini!
Bahawa RasuluLlah SAW pernah bersabda:
"Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka dia menempah tempatnya dari neraka"
(Syaikhan)

RasuluLlah tidak berkata berbohong dengan keburukan sahaja, tetapi termasuk di dalam kedustaan itu perkara-perkara yang mungkin dilihat bagus pada pandangan kebanyakan manusia, tetapi tidak datang dari baginda SAW. Jadi berwaspadalah kita! Berhati-hatilah kita, agar kita mengetahui dan memahami hakikat ini, dan tidak menempah tempat kita di neraka (na'uzbillahi min zaalik).

Untuk itu, saya mencadangkan dan menyeru kepada mereka yang mempunyai himmah (keinginan) yang tinggi untuk menyampaikan kebaikan agar:
  1. Mengenal pasti isi kandungan mesej atau email yang anda dapat untuk memastikan kesahihan isinya. Mungkin ada penyelewengan fakta atau yang seumpama dengannya. Allah SWT telah mengingatkan kepada orang-orang yang beriman: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila datang kepadamu seorang fasiq membawa berita maka selidikilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kejahilan, yang akhirnya menyebabkan kamu menyesali perbuatanmu itu" (al-Hujurat, 49:6). Atau dalam hal ini, terdapat keraguan tentang kebenaran berita tersebut, maka tinggalkan lah ia.
  2. Bertanya kepada orang yang lebih mengetahui dan juga dipercayai (biasanya para asaatiz), tentang isi kandungan yang terdapat di dalam email tersebut. Dan tidak mengforwardkan mesej-mesej tersebut kepada sesiapa yang lain melainkan setelah mendapat jawapan dan green light daripada orang yang dirujuk tersebut.
  3. Memastikan bahawa mesej-mesej yang tidak ada kaitan dengan RasuluLlah SAW tidak diakhiri dengan hadith "Sampaikanlah dariku..." tersebut. Ia seolah-olah memberi implikasi bahawa apa yang ada dalam email tersebut adalah dari RasuluLlah sedangkan tidak. Jika ada, dan artikel tersebut tidak ada kaitan, maka delete bahagian tersebut. Itupun jika email tersebut mempunyai isi-isi yang berfaedah yang dirasakan perlu dikongsikan bersama-sama dengan rakan dan teman. Jika hadith tersebut digunakan sebagai dalil untuk menyampaikan kebaikan, maka huraikanlah hadith tersebut. Tetapi jika hanya ingin mengforward, delete sahaja bahagian tersebut. Anda tidak ingin menempah tempat kembali buruk, bukan?
  4. Memberitahu kepada kawan-kawan dan rakan-rakan yang suka mengforwardkan mesej-mesej atau email-email, tentang hakikat-hakikat yang dinyatakan di atas, agar mereka juga turut berwaspada.
  5. Berusaha menulis sesuatu dari apa yang difahami sendiri, samada yang diperolehi dari program, atau dari ceramah, atau dari kelas, atau juga yang difikir-fikirkan dan diilhamkan ketika berjalan-jalan di bumi Allah ini. Berusaha menulis sendiri mesej yang dirasakan penting walaupun perkara tersebut hanya sependek satu perenggan. Yang lebih baik itu adalah sesuatu yang datang dari hati dan diterjemahkan sendiri oleh empunya hati tersebut.
  6. Kita bukan ummah yang copy-paste-forward. Tetapi kita adalah sebuah ummah yang dinamik dan terbaik yang dicipta untuk manusia, kerana kita beriman kepada Allah. Keimanan itu mempunyai satu ciri yang sangat penting, iaitu ketulenan. Tanpa ketulenan iman, kita umpama sebuah buah yang disebutkan: "Buahnya wangi tetapi isinya pahit". Kita mahu membina kefahaman, kita mahu membina iman, kita mahu membina amal yang berterusan. Kita mahu menjadi sebahagian daripada ummah yang progressif dan dinamik. Kita mahu menjadi tunggak tertinggi dunia, yang memberi dan sentiasa dirujuk. Maka kita tidak boleh sikap seperti itu; copy-paste-forward.
  7. Tidak mengforwardkan sama sekali apa-apa mesej yang menyuruh para pembaca untuk berwaspada dengan site-site tertentu. Kerana pada asalnya site tersebut tidak popular, tetapi kebiasaannya dipopularkan oleh orang yang menyuruh dan meminta orang lain berwaspada dengan site-site tersebut. Sedikit sebanyak orang yang mengforwardkan mesej tersebut mendapat saham dalam mempopularkan site-site yang sesat itu.
Mudah-mudahan kita menjadi sebuah ummah yang terisi dengan keimanan, dan tidak hanya kosong dalaman. Berwaspadalah kita dengan keadaan ghutha' (غثاء) yang disebutkan oleh RasuluLlah SAW di dalam hadith buih. Berwaspadalah kita dari menjadi salah seorang yang mempropagandakan sesuatu yang tidak benar.

Saya ingin melihat dan bersama-sama dengan mereka yang saya kasihi di syurga kelak.

Begitu juga anda...

Berwaspadalah kita...

8 comments:

ha said...

Bagus, bagus. Aku suka mode ni.

Aku pun tak faham dengan mentaliti golongan ni. Lagi aku tak suka kalau dengan kerja-kerja ni dorang perasan bagus kononnya sudah berdaawah.Banyak lagi perkara wajib dan berfaedah yang belum dibuat.

Masej apa yang kau dapat sampai terbakar begini?

Mashizaki Keikan said...

Macam yang saya cakap, saya tidak mengkondem sikap suka berda'wah atau menyampaikan kebenaran. Tetapi apa yang saya minta adalah supaya berhati-hati dengan mesej yang mereka sampaikan tu. Mungkin mesej yang ada pada mereka tu bagus, dan mungkin disebabkan mengforward mesej tu orang dapat hidayah, so kita tak boleh mengkecilkan usaha orang lain, ok?

Tapi yang saya panas itu adalah mesej-mesej yang mempunyai unsur-unsur mengarut dalam erti kata mesejnya tapi takda kena mengena RasuluLlah, lepas tu guna hadith Nabi "sampaikanlah dariku...", mana tak rasa marah? Mempergunakan hadith untuk tujuan yang tak betul.

Anonymous said...

pade pndapat ana, mungkin 'remaja' tu xpaham mcm yg kite paham...die cube utk berkongsi dgn kite ape yg die tau n nk org laen jgk tau...
emmm munkin la...

>..<

Mashizaki Keikan said...

betul. sebab tu ana letak step-step yang nak kena buat. bukan setakat menghentam atau mengkritik.

ana berpendapat masyarakat kita boleh berubah, tetapi kita kena berusaha memahamkan masyarakat ini dengan Islam yang kita faham.

Anonymous said...

dan diri sendiri pon kene jugak berubah jike silap supaye senang utk masyarakat skeliling nk berubah dan mengikut landasan yg sepatutnya...

>..<

Mashizaki Keikan said...

tak dinafikan...

AnEeP said...

salam...

nice one bro!!
tetapkan hati untuk terus istiqamah dalam berdakwah....

Mashizaki Keikan said...

thanks dude... insya Allah!

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]