Pages

Monday, November 10, 2008

Aqidah Yang Sejahtera

Setelah disbukkan dengan beberapa urusan penting sebagai seorang mahasiswa, akhirnya dapat juga saya mengambil kesempatan dan peluang ini untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang suatu hakikat yang sangat penting yang perlu difahami oleh setiap individu yang bergelar muslim(ah); Aqidah yang sejahtera. Post ini merupakan sebuah repost dari arkib, jadi ianya menjadi peringatan buat yang lupa, penambahan kefahaman buat yang tidak tahu, dan ringkasan mudah buat yang serabut. Mudah-mudahan kita dapat mengambil sebaik-baik manfaat darinya.

--
#1
سليم العقيدة

Sebelum ini saya pernah mengatakan bahawa terdapat 10 ciri yang kita harapakan daripada mengikuti sistem tarbiyyah. Dan saya telah menyatakan bahawa ciri pertama yang ingin dicapai ialah beraqidah dengan aqidah yang sejahtera. Tetapi apakah maksudnya dengan mempunyai aqidah yang sejahtera? Saya akan cuba ringkaskan dalam bentuk yang padat tetapi mudah difahami semoga kita mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada ini.

Aqidah yang sejahtera ialah aqidah seperti mana yang disebutkan oleh ar-Rasul di dalam hadithnya ketika Jibril datang kepadanya:

"...Jibril berkata: Maka khabarkan kepadaku tentang iman. (Lalu) baginda berkata: Bahawa (ianya adalah) kamu beriman dengan Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, hari Akhirat dan kamu beriman dengan taqdirNya yang baiknya dan yang buruknya..."
(Mutafaqqun 'Alayh)

Beriman dengan Allah dan mentauhidkanNya di dalam tiga jenis tauhid, iaitu di dalam tauhid Rububiyyah, tauhid Uluhiyyah dan tauhid Asma wa Sifat. Tauhid Rububiyyah ialah mentauhidkan Allah di dalam erti kata meyakini hanya allah sahaja Rabb (Tuhan) yang mentadbir dan memerintah seluruh kejadian ciptaannya tanpa ada seorang penolongpun. Tauhid Uluhiyyah pula bermakna mentauhidkan Allah di dalam meletakkan tumpuan pengabdian dan perhambaan sehinggakan 'abudiyyah itu hanya untuk Allah semata-mata. Dan Tauhid Asma wa Sifat pula ialah beriman dan beri'tiqad bahawa Allah mempunyai 99 nama dan 20 sifat yang disandarkan kepadaNya yang wajib diketahui oleh seorang hamba. Dan tidak menyandarkan nama-nama tersebut mahupun sifat-sifatNya kepada yang selain daripadaNya. Dan tidak mensyirikkanNya secara jelas atau tersembunyi.

Beriman dengan kitab-kitab Allah bererti saudara beriman dengan kitab-kitab samawi dan kitab al-Qur'an. Kitab-kitab samawi hanyalah kitab Injil, Taurat dan Zabur. Dan hendaklah saudara mengimani bahawa kitab-kitab Samawi yang terdahulu semuanya telah diangkat dan sudah tiada lagi yang asli di muka bumi ini. Yang ada hanyalah kitab-kitab hasil buatan manusia yang sudah terpesong dari ajarannya yang sebenar. Manakala al-Qur'an tetaplah terpelihara sehinggalah Hari Qiyamat tanpa diubah walau sedikitpun. Dan segala isi al-Qur'an itu wajib saudara terima terutamanya yang qat'ie manakala yang mutasyabihat itu kita serahkan kepada Allah tentang maksudnya sehingga ilmu sampai kepada kita. Perlu juga kita fahaminya menurut kaedah-kaedah bahasa Arab dengan tidak memberat-beratkan atau meringankan.

Beriman dengan RasuluLlah pula ialah meyakini dan beri'tiqad bahawa baginda ialah hamba Allah dan utusanNya. Juga meyakini bahawa terdapat dua puluh lima Rasul yang wajib diketahui dan diimani bermula daripada Adam sehingga Muhammad SAW, dan kesemuanya mengajak kepada Allah dan pentauhidanNya. Juga mempercayai bahawa RasuluLlah SAW adalah rasul dan nabi yang terakhir yang tidak ada lagi jawatan seumpama itu selepas baginda. Dan bahawa segala apa yang disandarkan kepada RasuluLlah SAW di dalam hadithnya, atharnya, dan sunnahnya adalah perkara yang tidak boleh ditolak kerana ianya merupakan sesuatu yang diwahyukan kepada baginda dan bukanlah dari hawa nafsu baginda sendiri. Dan tarif hadith yang boleh diterima pakai sebagai hujjah hanyalah hadith-hadith sahih dan hadith hasan atau hasan sahih.

Beriman dengan perkara-perkara ghaib yang di dalamnya termasuk para malaikat, hari qiyamat dan penentuan qadha' dan qadar Allah. Kesemua hal ini telah jelas disebutkan di dalam al-Qur'an berulang-berulang kali. Tentang malaikat, bahawa mereka merupakan hamba-hamba Allah yang dicipta dari nur dan sangat-sangat taat kepada Allah. Dicipta tanpa hawa nafsu, atau jantina, dan menjalankan tugas-tugas yang telah diberikan kepadanya oleh Allah tanpa banyak rintangan.

Tentang Qiyamat bahawa ianya pasti akan berlaku pada suatu hari yang ditentukan, yang tidak diketahui oleh seorangpun hambanya walaupun malaikat. Apabila datangnya hari tersebut tidak akan dilewatkan atau diawalkan satu saatpun. Dan tanda-tandanya adalah seperti yang telah disebutkan oleh RasuluLlah di dalam hadith-hadith yang sahih. Apa yang diketahui tentang Qiayamat hanyalah dari apa yang dikhabarkan kepada kita dari dalam al-Qur'an dan Hadith Nabi Muhammad sahaja. Tidak lain dari yang demikian.

Dan tentang Qadha' dan Qadar Allah, bahawa segala sesuatu yang berlaku ke atas diri kita atau orang lain atau sesuatu apa yang lain hanya berlaku di dalam lingkungan qadha' dan qadar Allah SWT sahaja. Tidak kiralah samada perkara itu baik atau buruk. Namun manusia telah diberikan pilihan untuk memilih dua jalan yang telah diilhamkan kepadanya, sama ada jalan kebaikan atau jalan kejahatan. Dan manusia juga ditaklifkan sendiri terhadap apa yang mereka perbuat, bukan orang lain ataupun makhluk lain.

Dengan memahami segala penerangan ringkas yang saya sebutkan itu, saya berharap agar saudara sedikit sebanyak memahami apakah dia yang di maksudkan dengan aqidah yang sejahtera. Semoga kita ini termasuk dalam kalangan hamba-hambaNya yang lurus dan suci aqidahnya, sehinggalah kita bertemu kembali dengan Allah SWT pada hari Akhirat. Insya Allah!

--
Artikel-artikel berkaitan:

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]