Pages

Friday, November 21, 2008

Akhlaq yang Kukuh

Semoga dapat dimanfaatkan apa yang pernah ditulis suatu ketika dahulu ini. Akhlaq tidak lain dan tidak bukan suatu hal yang sangat penting sehinggakan ianya menjadi sebahagian daripada elemen terpenting da'wah RasuluLlah (SAW). Kita mengetahui bahawa ia adalah sesuatu yang ar-Rasul tunjukkan jauh sebelum zaman kerasulan baginda. Jadi marilah kita mengambil pengajaran ini, suatu pengajaran yang praktikal lagi meyakinkan.

--
#3
متين الخلق

Akhlaq pada asasnya merupakan sesuatu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan keperibadian. Bahkan akhlaq itu sendiri merupakan keperibadian yang luhur. Tidak dapat tidak untuk manusia mencapai tahap tamadun yang tinggi, nilai akhlaq itu menjadi salah satu daripada faktor terbesar yang menyumbang ke arah perkara tersebut. Dan seandainya dilihat dari persepektif universal, semua agama sebenarnya dan pada hakikatnya mementingkan nilai akhlaq itu sendiri. Lebih-lebih lagi dengan Islam yang merupakan rahmat untuk seluruh alam.

Apa yang dimaksudkan dengan akhlaq yang kukuh ialah seseorang itu mempunyai keluhuran keperibadian yang tidak hanya mengikut arus suasana di sekitarnya tetapi ia tetap luhur walau macam mana sekalipun keadaan di sekelilingnya. Ia umpama ikan air masin yang berenang-renang di dalam air masin dan dirinya masih terjaga dari kemasinan air tersebut. Alangkah baiknya contoh yang Allah (SWT) berikan kepada kita ini.

Di dalam sebuah hadith pernah diceritakan:

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله: إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Daripada Abu Hurairah (RA), RasuluLlah (SAW) pernah bersabda: "Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlaq".
(Bukhari dll)

Melalui hadith ini, ar-Rasul (SAW) menyatakan bahawa tujuan baginda dibangkitkan adalah untuk menyempurnakan akhlaq. Iaitu akhlaq yang telah dimulakan oleh para ambiya' yang terdahulu semenjak zaman Adam (AS) sehinggalah kepada zaman Baginda. Dan melalui hadith ini juga kita mengetahui bahawa kita harus mencontohi RasuluLlah (SAW) di dalam perkara-perkara yang mencantik lagi menyempurnakan akhlaq.

Juga melalui firman Allah, Allah telah menyatakan bahawa RasuluLlah itu adalah individu yang selayaknya dicontohi:

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) RasuluLlah (SAW) itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) orang-orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan hari akhirat, dan dia mengingati Allah dengan banyaknya."
(al-Ahzab, 33:21)

Kemudian menjadi persoalan bagi kita mengenai akhlaq dan keperibadian RasuluLlah (SAW). Bagaimana kita ingin mencontohi akhlaq baginda sedangkan kita ini hidup pada zaman yang kita ini tidak pernah langsung bertemu dengan peribadi yang mulia ini. Maka suatu kisah ketika beberapa orang sahabat datang bertemu Ummul Mu'minin A'isyah (RA), menjadi suatu yang sangat berharga buat kita, terutamanya dalam konteks ini. Ketika A'isyah dikunjungi sahabat-sahabat tersebut lalu ditanya mengenai akhlaq RasuluLlah:

عن عائشة رضي الله عنها قالت كان خلق رسول الله صلى الله عليه وسلم القرآن - رواه أحمد ومسلم وأبو داود، وزاد مسلم يغضب لغضبه ويرضى لرضاه
Daripada A'isyah (RA) katanya; (Bahawa) akhlaq RasuluLlah SAW adalah al-Qur'an.
(Ahmad, Muslim, Abu Daud)

Daripada hadith ini dapat difahami bahawa al-Qur'an itu merupakan sesuatu yang sangat penting di dalam pembentukan akhlaq. Dan juga daripada hadith ini kita dapat memahami bahawa keseluruhan dari isi kandungan al-Qur'an membawa kepada suatu hasil yang diharapkan, iaitu akhlaq yang mulia. Dan akhlaq itu sendiri menjadi manifestasi dari pengamalan secara sempurna seluruh isi kandungan al-Qur'an.

Dan atas dasar ini, saya mengatakan bahawa akhlaq itu bukan merupakan tujuan utama. Ia lebih kepada hasil-hasil sampingan yang akan tercapai sekiranya tujuan utama dicapai. Dan apakah yang lebih utama selain dari mempunyai aqidah yang sejahtera (سليم العقيدة)? Barangsiapa yang sudah selesai aqidahnya sepatutnya juga telah selesai perkara-perkara lain, tetapi ramai yang selesai bab aqidah yang sejahtera di peringkat teori sahaja.

Daripada hadith-hadith yang disebutkan itu juga kita dapat mengambil pengajaran bahawa akhlaq ini merupakan elemen yang sangat penting di dalam hidup manusia. Kerana akhlaq yang mulia itu merupakan fitrah manusia. Sedang manusia itu tidak diciptakan melainkan untuk mengikuti fitrah yang telah difitrahkan ke atasnya. Dan apa-apa yang telah diftrahkan itu merupakan suatu urusan yang mampu menjaga kemaslahatan sejagat. Apabila kita keluar sahaja daripada fitrah tersebut maka hasilnya adalah seperti mana keadaan yang dapat kita lihat di depan mata kita sekarang ini. Kehancuran berleluasa. Kezaliman menjadi kebiasaan. Dan penindasan di atas penindasan. Manusia bebas menyalurkan nafsu serakahnya di jalan yang batil, dan bermacam-macam lagi.

Maka ini akan kembali kepada hadith baginda (SAW):

Daripada Abi Mas'ud 'Uqbah bin 'Amru al-Ansori al-Badri (RA) katanya: RasuluLlah (SAW) telah bersabda: "Di antara perkara yang dijumpai oleh manusia dari kalam nubuwwah yang terdahulu ialah; Apabila kamu tidak malu, maka lakukan apa yang kamu suka."
(Bukhari)

Maka adakah hasil yang negatif yang kita inginkan? Sudah tentu tidak! Jadi marilah kita sama-sama menyemai perasaan al-haya' (الحياء) di dalam diri kita, agar manusia suatu hari nanti akan kembali hidup di dalam keadaan fitrah yang telah diftrahkan ke atasnya.

--
Artikel-artikel berkaitan:
  1. Ciri yang ingin diapai, 29 Oktober 2008.
  2. Aqidah yang sejahtera, 10 November 2008.
  3. Ibadah yang sahih, 17 November 2008.

No comments:

Twitter Updates

    follow me on Twitter
    "Jalan dakwah hanya satu. Jalan inilah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Demikian juga kita dan para pendokong dakwah, sama-sama melaluinya berpandukan taufik dari Allah s.w.t. Kita dan mereka melaluinya berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah s.a.w. menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar mahabbah dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman, kekuatan akidah dan kekuatan kesatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah yang ideal sebagai model. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya pasti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini." [Syeikh Mustafa Masyhur]